Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] F1 Bahrain: Dari nasi goreng RM50 ke limpahan ekonomi berbilion ringgit

Formula One F1 - Bahrain Grand Prix - Sepang International Circuit, Sepang, Malaysia - October 4, 2026Mercedes' Andrea Kimi Antonelli in action during the race REUTERS/Jakub Porzycki
Formula One F1 - Bahrain Grand Prix - Sepang International Circuit, Sepang, Malaysia - October 4, 2026Mercedes' Andrea Kimi Antonelli in action during the race REUTERS/Jakub Porzycki

Advertisement

SEPINGGAN nasi goreng RM50. Itu mungkin cerita paling tular dari Sepang sepanjang hujung minggu Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix, bersama kesesakan trafik dan barisan panjang. Rungutan itu sah betul, namun pelbagai cerita lain yang patut kita fahamkan.

Cerita yang lebih besar ialah bagaimana sebuah peluang diplomatik dalam masa kurang dua bulan bertukar menjadi puluhan ribu pelancong asing, perniagaan untuk IKS dan aktiviti ekonomi bernilai lebih RM1 bilion. Kalau kita berhenti pada harga nasi goreng, kita terlepas semua itu.

Apa sebenarnya Malaysia dapat?

Ukuran sebuah acara akhirnya bukan berapa cantik paddock atau berapa ramai VIP dalam hospitality suite, tetapi sama ada orang datang. Jawapannya jelas. Sold out.

Sepanjang tiga hari, SIC mencatat 261,000 kehadiran terkumpul, dengan 103,000 orang pada hari perlumbaan sahaja - crowd terbesar dalam sejarah litar itu. Angka 261,000 itu kehadiran terkumpul pas tiga hari, bukan individu; 103,000 dalam satu hari itulah angka sebenar.

Pada 29 September, ketika kira-kira 95,000 pas telah dijual, CEO SIC Azhan Shafriman Hanif mendedahkan separuh pembelinya dari luar negara - secara kasar 47,500 tiket, dan mungkin menghampiri 50,000 jika nisbah itu kekal, walaupun pecahan akhir belum diumumkan. Mereka bukan sekadar membeli tiket. Mereka naik kapal terbang, tidur di hotel, mengambil Grab, makan dan membeli-belah.

Dari hujung Julai hingga awal Oktober, wang sudah bergerak sebelum sebuah kereta F1 pun masuk grid. Kontraktor mendapat kerja, pembekal menerima tempahan dan hotel mula penuh. Carian penginapan Airbnb di Kuala Lumpur dan Sepang naik lebih 160 peratus, kebanyakannya pelancong antarabangsa dengan median penginapan hampir enam malam. Tourism Selangor pula melaporkan carian "Sepang" dan "Kuala Lumpur" di Trip.com melonjak 1,600 kali ganda pada hari pengumuman sahaja.

Sebab itu ekonomi F1 tidak boleh dikira dari harga tiket sahaja. HLIB menggunakan anggaran purata perbelanjaan pelancong F1 sekitar RM8,879 seorang, dan kalau angka itu dikenakan pada 50,000 pengunjung asing, secara teori ia bersamaan perbelanjaan sekitar RM444 juta. Ini bukan angka yang diaudit, tetapi ia menunjukkan mengapa pelancong F1 bernilai besar kepada ekonomi.

Jangkaan besar itu bukan datang daripada pihak Malaysia sahaja. CEO Bahrain International Circuit sendiri menganggarkan impak ekonomi sekitar US$240 juta atau RM979 juta kepada Malaysia, manakala Hong Leong Investment Bank menganggarkan RM1.1 bilion hingga RM1.3 bilion total economic output selepas kesan pengganda. Cuma kena tepat: RM1.3 bilion bukan bermaksud kerajaan untung sebanyak itu, tetapi anggaran jumlah output ekonomi yang masih perlu diaudit.

Satu lagi angka yang jarang disebut. Menurut Shafriman, Bahrain menanggung sepenuhnya yuran hak F1 yang dianggarkan US$70 juta hingga US$80 juta, manakala Malaysia berkongsi kos persediaan tempatan sekitar RM40 juta. Itulah yang menjadikan 2026 unik: Malaysia tidak menanggung struktur kos penuh sebuah Grand Prix, tetapi masih menikmati limpahannya. Tetapi bagaimana Malaysia tiba-tiba mendapat sebuah Grand Prix Formula 1 selepas sembilan tahun?

Bagaimana Malaysia dapat F1?

Kali terakhir kereta F1 berlumba di Sepang ialah 2017. Selepas itu kalendar bergerak tanpa kita. Singapura kekal, Jepun kekal, negara baharu masuk, dan Sepang tinggal dalam arkib. Kemudian datang 2026, bukan melalui bidaan panjang atau bayaran ratusan juta ringgit untuk membeli semula slot, tetapi kerana Bahrain memerlukan lokasi alternatif bagi Grand Prix mereka susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Diplomasi jarang hadir dalam bentuk yang rakyat boleh lihat dan dengar sendiri. Kali ini, ia bunyi kereta F1 yang kembali memecut di Sepang. Jalan ini antaranya bermula dengan hubungan erat antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa sejak 2017. Ia berkembang menjadi kerjasama dua hala yang lebih rapat, termasuk Lawatan Negara Sultan Ibrahim ke Bahrain pada November 2025. Bernama menyifatkannya faktor penting yang membuka laluan, dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui hubungan baik kedua-dua Raja antara sebab Malaysia dipilih. Diplomasi diraja membuka pintu sahaja. Selepas itu kerajaan dan agensi perlu masuk dan menyelesaikan selebihnya.

Anwar berbincang dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Prince Salman bin Hamad Al Khalifa, serta Presiden dan CEO Formula 1, Stefano Domenicali. Formula 1, FIA dan kedua-dua kerajaan mencapai persetujuan, dan pada 26 Julai F1 mengumumkan Malaysia sebagai tuan rumah pada 2 hingga 4 Oktober. F1 mengiktiraf "continued commitment of the Malaysian Government", malah menyebut "the generosity of Malaysia to make this possible".

Di sinilah saya nampak satu perkara yang menarik. Malaysia tidak mengambil hak Bahrain, tetapi membantu Bahrain menyelamatkan perlumbaan yang sepatutnya tidak berlangsung tahun ini. Bahrain membawa Grand Prix mereka. Malaysia menyediakan rumah. Inilah diplomasi moden: dua negara tidak perlu bersaing apabila kedua-duanya boleh sama-sama beroleh manfaat. Prince Salman kemudian merakamkan terima kasih kepada Sultan Ibrahim dan Anwar atas sokongan Malaysia.

Dua bulan. Itu sahaja masanya.

Pemimpin boleh mencapai persetujuan. Tetapi persetujuan itu tidak akan bermakna kalau Sepang tidak bersedia. Persediaan sebuah perlumbaan F1 biasanya mengambil masa enam hingga tujuh bulan. Sepang ada kurang daripada dua bulan untuk menyediakan litar mengikut standard F1, menaik taraf paddock dan memastikan keselamatan, media, hospitality dan logistik berfungsi. Kemudian datang kargo Formula 1 yang menurut Shafriman sekitar empat hingga lima kali ganda volume MotoGP.

Kerajaan menubuhkan dua jawatankuasa khas untuk menyelaraskan kementerian dan agensi berkaitan. Pada 10 September persediaan mencecah 80 peratus, dan pada 30 September, dua hari sebelum kereta keluar ke trek, SIC mengumumkan 100 peratus. Jualan tiket pula hampir 100,000 ketika itu — rekod tertinggi dalam sejarah litar itu, sedangkan pada era kegemilangan Malaysian Grand Prix dahulu 40,000 hingga 50,000 tiket sudah dianggap besar. Shafriman menyifatkannya unprecedented.

Mengubah litar yang hampir sedekad tidak menganjurkan F1 menjadi venue yang beroperasi sepenuhnya dalam kurang dua bulan bukan kerja kecil, dan di sinilah Shafriman dan seluruh pasukan SIC wajar diberi kredit. Kerajaan boleh membuat keputusan dan diplomasi boleh membuka jalan, tetapi akhirnya seseorang perlu memastikan lampu menyala, paddock siap dan marshal berada di tempatnya pada hari perlumbaan.

Dunia sendiri mengiktirafnya

Pujian itu bukan datang daripada kita sahaja. Presiden dan CEO Formula 1 Stefano Domenicali menyifatkannya sebagai "an incredible Bahrain Grand Prix in Malaysia", dengan pasukan Bahrain dan SIC "collectively rise to the challenge" walaupun hanya ada dua bulan. Presiden FIA Mohammed Ben Sulayem menggelarnya "a tremendous achievement".

Kata-kata paling bermakna untuk Sepang datang daripada CEO Bahrain International Circuit, Shaikh Salman bin Isa Al Khalifa, yang berkata projek sebesar itu tidak mungkin terlaksana dalam masa sesingkat itu tanpa "our incredible partnership with SIC". Itu bukan kenyataan ahli politik Malaysia, tetapi orang yang setiap tahun mengendalikan sendiri sebuah Grand Prix.

Dua kenyataan ini paling kuat. Kimi Antonelli dari Mercedes: "It was amazing and the fans were incredible this weekend… hopefully we'll come back in the future to Malaysia." Lewis Hamilton dari Ferrari pula, selepas bertahun-tahun berlumba di Sepang: "this is the best race we've had here, but particularly because of this crowd." Apabila Hamilton kata ini yang terbaik, dan sebabnya crowd Malaysia, itu bukan pujian kosong.

Tetapi apa guna F1 kalau rakyat hanya boleh tengok orang kaya menonton?

Sebaik sahaja F1 diumumkan kembali, Anwar membangkitkan satu persoalan: rakyat biasa mampu menonton atau tidak? Dari situlah lahirnya Tiket MADANI. Selepas rundingan dengan Bahrain, 10,000 tiket untuk pemegang MyKad ditawarkan serendah RM200 bagi akses tiga hari, dan menjelang awal September kesemuanya habis dijual.

Rakyat yang selama ini hanya mengenali Max Verstappen, Lewis Hamilton atau Ferrari melalui skrin televisyen akhirnya dapat melihat sendiri kereta F1 di depan mata. RM200 tidak menjadikan F1 murah untuk semua orang, tetapi ia membuka pintu kepada rakyat yang mahu merasainya secara langsung, dan ramai lagi membeli tiket kategori biasa. Dan kerajaan tidak berhenti pada tiket.

Daripada paddock kepada penjaja

Setiap kali negara menganjurkan acara besar, ada kebimbangan lazim: duit hanya berpusing antara syarikat besar, hotel lima bintang dan korporat? Seawal 29 Julai, Anwar menegaskan gerai dan peniaga kecil sekitar Sepang mesti turut berpeluang berniaga, bukan hanya hotel dan restoran besar. Maka diwujudkan Litar Rasa MADANI di G Hillstand, dengan KUSKOP menghimpunkan kira-kira 40 usahawan mikro tempatan untuk berniaga kepada puluhan ribu pengunjung F1.

Hasilnya memberi gambaran kecil tentang maksud "limpahan ekonomi". Born Neo Cendol membawa stok untuk tiga hari, tetapi stok itu habis pada hari pertama dan terpaksa ditambah berulang kali, dengan sasaran jualan melebihi RM100,000. Nasi Lemak Saleha menyasarkan RM200,000 dan menyediakan kira-kira 100 kilogram ayam pada hari pertama sahaja; KOPIHUT RM7,000 hingga RM8,000 sehari. Ini sasaran yang dilaporkan RTM, bukan jualan yang diaudit, tetapi stok yang habis bercerita sendiri.

Pelanggan mereka juga bukan rakyat Malaysia sahaja. Bagi IKS, menjual kepada warga Britain, Australia, China atau Singapura yang datang kerana F1 ialah exposure yang sukar dibeli melalui iklan. MOTAC pula memanjangkan spending itu keluar daripada pagar SIC melalui Sepang Food Festival, Citrawarna Speed Festival, Malaysia International Craft Fair dan RIUH Pitstop.

Rantaiannya mudah. F1 membawa pelanggan. Pelanggan berbelanja. IKS menambah stok dan pekerja. Pembekal tempatan menerima tempahan, dan sebahagian peluang itu kekal selepas F1 tamat. Sebab itulah saya suka melihat ekonomi acara besar melalui satu frasa: daripada paddock kepada penjaja.

Inilah cerita sebenar F1 Sepang 2026

Kejayaan ini tidak patut dimiliki seorang individu. Sultan Ibrahim dan Raja Hamad membuka jalannya melalui diplomasi diraja. Prince Salman dan Anwar menterjemahkannya kepada kerjasama dua kerajaan. Shafriman dan pasukan SIC menjadikan keputusan di atas kertas sebuah perlumbaan sebenar. Bahrain International Circuit membawa pengalaman mereka ke Sepang. Dan akhirnya rakyat Malaysia di grandstand yang menjadikannya hidup.

Sebab itulah kisah F1 kali ini lebih besar daripada siapa yang menang. Secara rasmi ia tetap Bahrain Grand Prix, bukan Malaysian Grand Prix, dan mungkin kerana itulah ia lebih istimewa. Bahrain menyerahkan salah satu acara terbesar negaranya kepada Malaysia. Formula 1 pula mempercayai Sepang.

Apabila peluang itu akhirnya muncul selepas hampir sedekad, Malaysia tidak diberi setahun atau enam bulan. Kita diberi kurang daripada dua bulan. Tetapi kita ada hubungan yang dibina bertahun-tahun. Kita ada diplomasi diraja. Kita ada kerajaan yang mengambil peluang itu. Kita ada SIC yang masih bertaraf dunia. Kita ada Bahrain yang sanggup mempercayakan Grand Prix mereka kepada Malaysia. Dan akhirnya kita ada rakyat yang datang beramai-ramai.

Kita boleh kritik nasi goreng RM50, tetapi jangan sampai kita bodohkan pencapaian Malaysia. Diplomasi membuka pintu. Kerajaan merealisasikan peluang. SIC membuktikan kemampuan. Peniaga menikmati limpahan. Rakyat memenuhi grandstand. Kereta yang berlumba membawa nama Bahrain. Tetapi hujung minggu itu mengingatkan dunia kepada kemampuan Malaysia.


*Syafiq Sunny ialah seorang penulis, kolumnis, dan penganalisis politik.

**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video

Advertisement