[KOLUMNIS] Generasi "kakak tua”: Polemik peperiksaan, nilai dan jiwa generasi pelapis yang hilang
![[KOLUMNIS] Generasi "kakak tua”: Polemik peperiksaan, nilai dan jiwa generasi pelapis yang hilang [KOLUMNIS] Generasi "kakak tua”: Polemik peperiksaan, nilai dan jiwa generasi pelapis yang hilang](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/81762915137_SyafiqRidzwanJamal.jpg)
Syafiq berpendapat sistem pendidikan perlu kembali kepada nilai asal iaitu kepercayaan, kemanusiaan, dan keberanian.
KENYATAAN oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia bahawa pemansuhan peperiksaan bertujuan “mengelakkan generasi kakak tua” mencetuskan gelombang perbualan mendalam, terutama dalam kalangan mereka yang peka terhadap hala tuju pendidikan negara.
Ringkasan AI
- Pemansuhan peperiksaan untuk "mengelakkan generasi kakak tua" mendapat perhatian; terdapat pelbagai reaksi daripada masyarakat termasuk ketawa, bersetuju, menyindir, dan kecewa.
- Peperiksaan dahulu dianggap sebagai ritual ilmu yang membentuk manusia dengan nilai disiplin, kerja keras, dan tanggungjawab; namun, nilai-nilai ini semakin pudar dalam sistem pendidikan dan generasi muda kini.
- Sistem pendidikan perlu kembali kepada nilai asal iaitu kepercayaan, kemanusiaan, dan keberanian; peperiksaan seharusnya menjadi latihan psikologi, moral, dan pembentukan jati diri yang penting bagi murid.
Sebelum peperiksaan menjadi simbol tekanan dan medan mengukur darjat kepintaran, ia sebenarnya pernah menjadi ritual ilmu yang membentuk manusia.
Dalam tradisi Timur, ujian dan peperiksaan bukan sekadar alat menapis kecerdasan, tetapi medan latihan untuk mengasah jiwa, membina karakter dan menanam akhlak.
Ia mendidik manusia menepati masa, mengatur strategi, mengawal tekanan, menyalakan motivasi, serta belajar menerima hasil daripada usaha jerih perih sendiri.
Generasi terdahulu yang lahir daripada sistem ini mungkin tidak dianggap “kreatif” menurut tafsiran moden, namun merekalah yang membina asas kemajuan negara bersandarkan pada nilai kerja keras, disiplin dan rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap hasil usaha mereka.
Ironinya, nilai-nilai inilah yang kini semakin pudar dalam sistem pendidikan serta generasi muda kita hari ini.
Jika difahami dengan benar, peperiksaan sebenarnya tidak pernah bersifat hukuman, tetapi latihan ketahanan.
Ia melatih manusia menghadapi tekanan dengan sabar dan fokus; melatih mereka mengurus masa, emosi dan harapan.
Di sinilah lahirnya nilai kecekalan, daya tahan, dan kejujuran diri, sesuatu yang tidak boleh diajar melalui aplikasi digital atau modul maya, tetapi hanya boleh diperoleh melalui pengalaman sebenar menempuh ujian yang menuntut ketekunan.
Nilai inilah yang semakin terhakis apabila fungsi asal peperiksaan disalah tafsir dan disempitkan.
Apabila sistem pendidikan menjadikan peperiksaan sebagai perlumbaan markah dan gred, ibu bapa menukarnya menjadi ukuran status, dan guru menanggungnya sebagai beban KPI, maka peperiksaan kehilangan rohnya.
Ia berubah daripada latihan jiwa kepada beban sistem. Lalu apabila dasar baharu cuba “memansuhkan” peperiksaan atas alasan kononnya ia menghalang kreativiti, kita sebenarnya sedang memadam simptom bukan merawat akar permasalahan.
Masalah pendidikan kita bukan berpunca daripada peperiksaan, tetapi daripada sistem yang tidak lagi mendidik untuk berfikir.
Sekolah terlalu sibuk mengejar silibus yang semakin padat dan kompleks hingga terlepas peluang menyemai makna ilmu.
Murid diajar untuk mengingat, bukan memahami; untuk meniru, bukan mentafsir. Guru pula diletakkan di puncak autoriti, bukan sebagai rakan pembelajaran.
Ditambah pula dengan cabaran infrastruktur dan kekangan fasiliti, suasana pembelajaran semakin hilang keseronokan dan kenikmatan yang sepatutnya menjadi asas kepada keinginan untuk belajar.
Kemahiran berfikir aras tinggi yang sering dilaungkan hanya tinggal slogan di atas kertas, tanpa budaya refleksi dan keberanian untuk bertanya, meneroka dan mencabar idea.
Padahal keseronokan sebenar belajar berlaku apabila guru dan murid belajar bersama, bukan apabila satu pihak mengajar dan yang lain hanya mengikut.
Guru perlu dilihat sebagai fasilitator dan 'co-learner', bukan pengajar mutlak. Murid pula mesti diberi ruang untuk berdikari, mencuba, gagal dan memperbetulkan diri.
Dalam proses itulah mereka mempelajari makna tanggungjawab, keberanian dan kebijaksanaan sekaligus membina kemahiran berfikir aras tinggi seperti yang dihasratkan.
Malangnya, sistem kita terlalu takut kepada kesilapan hingga murid tidak lagi belajar melalui pengalaman, sebaliknya hanya meniru tanpa memahami.
Apa yang kita perlukan ialah peluang 'co-learning', bukan 'co-teaching' yang kaku dan terhad dalam ruang serta struktur yang dikawal terlalu ketat.
Sistem pendidikan kita juga terlalu tertutup, seolah-olah pembelajaran hanya sah di dalam pagar sekolah.
Padahal, seperti yang dijelaskan oleh Urie Bronfenbrenner dalam teori ekologi perkembangan manusia, proses pembelajaran sebenar berlaku dalam jaringan sosial yang lebih luas yakni hubungan antara keluarga, komuniti, media dan budaya.
Apabila sekolah menutup pintu kepada kolaborasi bersama komuniti, kita menafikan murid peluang untuk
belajar memahami kehidupan sebenar.
Dalam dunia pembangunan belia, kita melihat belia sebagai aset positif. Mereka dibangunkan melalui sokongan ekosistem dalaman dan luaran, bukan dikawal dengan ketakutan.
Jika falsafah ini dibawa ke dalam sistem sekolah, kita mampu melahirkan pelajar yang bukan sekadar pandai menjawab, tetapi juga mampu berfikir, berinteraksi dan bernilai empati.
Sekolah perlu kembali menjadi pusat pembelajaran komuniti, bukan menara kawalan yang memutuskan hubungan dengan realiti sosial.
Atas sebab ini, sudah tiba masanya peperiksaan bersifat “milestone” seperti UPSR dan PT3 dinilai semula dengan jiwa baharu.
Kita perlu melihat peperiksaan ini bukan sekadar ujian akademik, tetapi sebagai latihan psikologi dan moral dan pembentukan jati diri yang penting.
UPSR mengajar makna tanggungjawab terhadap usaha, manakala PT3 menjadi ruang refleksi
untuk murid mengenali kekuatan dan minat diri sebelum melangkah ke fasa seterusnya.
Kedua-duanya boleh diperbaharui dalam bentuk yang lebih manusiawi bukan untuk menambah
tekanan, tetapi untuk menilai pemikiran, kejujuran, empati dan refleksi diri.
Peperiksaan, jika diletakkan pada tempatnya, boleh menjadi jambatan antara pengetahuan dan kehidupan, antara nilai dan tindakan.
Namun semua ini tidak akan bermakna jika nilai teras pendidikan tidak diperbetulkan.
Kita boleh menukar silibus, menambah teknologi, malah mencipta istilah baharu, namun selagi falsafahnya masih berasaskan kawalan dan ketakutan, kita hanya memindahkan dan menumpuk masalah, bukan menyelesaikannya.
Pendidikan mesti kembali kepada nilai asalnya iaitu kepercayaan, kemanusiaan dan keberanian.
Percaya bahawa murid mampu belajar, bahawa guru mampu memimpin dengan hikmah, dan bahawa kesilapan bukan kegagalan, tetapi sebahagian daripada proses menjadi manusia.
Kita boleh tersenyum atau ketawa mendengar istilah “generasi kakak tua”, tetapi di sebalik jenaka itu tersembunyi penghinaan halus terhadap generasi yang pernah berjuang dalam sistem yang membina daya tahan bangsa.
Generasi itu bukan gagal, mereka lahir daripada budaya yang percaya pada usaha dan proses.
Hari ini kita mungkin lebih moden, tetapi kita kehilangan sabar. Kita lebih pantas, tetapi kurang fokus. Kita lebih tahu, tetapi kurang tabah.
Apa yang perlu kita pulihkan bukanlah sistem peperiksaan, tetapi makna di sebaliknya.
Peperiksaan ialah latihan kecil bagi kehidupan sebenar, kehidupan yang penuh ujian tanpa panduan, tanpa skema jawapan.
Ia melatih kita menghadapi tekanan dengan tenang, dan menghadapi kegagalan dengan berani.
Jika benar kita mahu melahirkan generasi berjiwa besar, menghapus ujian dan peperiksaan bukan langkah pertama. Sebaliknya, pulihkan nilai yang menjadikannya bermakna.
Pendidikan bukan tentang melindungi anak daripada tekanan, tetapi mengajar mereka bagaimana untuk tumbuh di bawah tekanan dengan akal yang tajam, hati yang kuat, dan jiwa yang tidak mudah goyah.
Dan mungkin, apabila kita akhirnya memahami makna di sebalik setiap ujian, kita akan sedar: yang perlu kita ubah bukan peperiksaannya, tetapi jiwa yang menilainya.
* Syafiq Ridzwan Jamaluddin merupakan Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia dan Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Bangi. Beliau juga seorang ahli geosaintis profesioanl dan aktivis pembangunan belia.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


