MALAYSIA

[KOLUMNIS] Grid Tenaga ASEAN: Impak ekonomi dan manfaat kepada Malaysia

Hasimi Muhamad 25/06/2025 | 11:34 MYT
Kepengerusian ASEAN pada tahun ini memperlihatkan banyak pencapaian yang membanggakan telah dicipta, termasuk melalui pelancaran Visi Komuniti ASEAN 2025 - Gambar fail/Bernama
MALAYSIA kini memegang tampuk kepimpinan ASEAN bagi tahun 2025 dengan satu visi strategik: memperkukuh kerjasama tenaga melalui pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN atau ASEAN Power Grid (APG).
Dalam landskap geopolitik dan tenaga yang semakin kompleks, fokus kepada APG bukan sahaja simbol integrasi serantau, malah merupakan peluang besar buat Malaysia mendepani cabaran perubahan iklim dan peralihan tenaga.
Antara inisiatif utama ialah projek sambungan kabel dasar laut yang menghubungkan Vietnam ke Semenanjung Malaysia dan Singapura, satu langkah konkrit dalam integrasi tenaga boleh diperbaharui ASEAN.
Ia bukan sahaja memperkukuh jaringan bekalan tenaga, tetapi memperlihatkan kepimpinan Malaysia dalam mendepani cabaran peralihan tenaga global.
Tetapi, adakah rakyat benar-benar mengambil cakna mengenai APG? Apa manfaat langsung yang boleh diperoleh Malaysia daripada projek APG? Atau, bagaimana APG dapat membantu menjamin keselamatan tenaga di rantau Asia Tenggara?
APG dan kesan ekonomi kepada Malaysia
Foto BERNAMA
Pada 22 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, fasa pertama APG melibatkan sambungan dari Vietnam ke Malaysia bahagian utara dan selatan, sebelum diteruskan ke Singapura.
Bagi fasa seterusnya, grid serantau itu akan diperluaskan merangkumi Kemboja, Thailand dan Sarawak - dengan memanfaatkan kekuatan negeri di Malaysia Timur dalam sumber tenaga alternatif seperti gas.
"Ini membuka kemungkinan untuk membekalkan tenaga ke Kalimantan, yang mana terletaknya ibu negara baharu Indonesia dan juga ke selatan Filipina,” kata Perdana Menteri memetik laporan media.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Asian Development Bank (ADB) pada 4 Jun lalu, Malaysia telah memperkukuhkan peranannya dalam perdagangan tenaga bersih di Asia Tenggara, termasuk membekalkan 100 megawatt (MW) ke Singapura ketika ini.
Projek itu juga bakal menjadi benteng jangka panjang bagi Malaysia menghadapi gangguan bekalan seperti insiden kebakaran saluran gas Putra Heights yang menjejaskan bekalan ke utara Semenanjung pada April lalu.
Dalam masa sama, APG berpotensi membuka ruang besar untuk pelaburan, termasuk pembiayaan sektor swasta dan teknologi hijau, selain mencipta ribuan pekerjaan baharu dalam bidang tenaga bersih.
Di bawah Kajian Pelan Induk Saling Sambung ASEAN III (AIMS III), sebanyak 18 projek sambungan transmisi sedang diberi keutamaan, termasuk sambungan rentas sempadan utama seperti Singapura–Kepulauan Riau, Semenanjung Malaysia–Sarawak, Kalimantan–Jawa dan Sumatera–Jawa.
Berdasarkan AIMS III, ASEAN dijangka mencapai kapasiti sambungan sebanyak 17,550 MW menjelang 2040 dan menyumbang kepada pembangunan grid elektrik sepanjang 2,824 kilometer di rantau ASEAN.
APG dan manfaat Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN
Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 yang dijadual pada Oktober ini dijangka menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian Dipertingkatkan bagi APG.
Menteri Ekonomi ASEAN telah menyambut baik usaha berterusan ke arah penubuhan Kerangka Kemudahan Pembiayaan APG, yang akan menggalakkan aliran pelaburan langsung asing (FDI) rentas sempadan serta membuka peluang pembiayaan baharu bagi projek tenaga serantau.
Ini satu lagi siri kejayaan yang bakal kita lihat dan akan dilakar oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Malah, semua pihak perlu akui bahawa pelaksanaan projek APG merupakan antara pencapaian terpenting Malaysia dalam penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN di ibu negara, baru-baru ini.
Foto/REUTERS
Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, menjelang 2035, kira-kira AS$990 bilion (RM4.1 trilion) nilai pelaburan akan diperlukan dalam pembangunan sektor kuasa ASEAN, yang mewakili lebih daripada 50 peratus daripada jumlah keseluruhan yang diperlukan dalam infrastruktur bekalan tenaga di rantau ini.
Terbaharu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan bahawa Sarawak akan memainkan peranan utama dalam pelaksanaan inisiatif APG, sekali gus menjadikannya pusat tenaga serantau bagi Asia Tenggara.
Kesungguhan Malaysia dalam pelaksanaan projek ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Sarawak dalam sektor tenaga, tetapi juga menonjolkan Malaysia sebagai pemain utama dalam inisiatif tenaga bersih di ASEAN.
Selain tumpuan kepada APG, Kepengerusian ASEAN pada tahun ini memperlihatkan banyak pencapaian yang membanggakan telah dicipta, termasuk melalui pelancaran Visi Komuniti ASEAN 2025 (ACV 2025).
ACV 2025 bukan sekadar dokumen simbolik semata-mata, sebaliknya ia merupakan permulaan usaha secara kolektif untuk masa depan rantau ini bagi 20 tahun akan datang agar sentiasa aman, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat.
Visi ini menggariskan enam dokumen penting, termasuk pelan strategik bagi tiga tunjang komuniti ASEAN serta pelan keterhubungan serantau.
Ia dipacu oleh 500 langkah strategik yang akan diterjemahkan kepada program kerja konkrit oleh badan-badan sektor ASEAN.
Bagi mencapai visi masa depan itu, pemeteraian projek mega APG antara yang diberikan penumpuan khusus oleh Malaysia selaku Kepengerusian ASEAN.
Antara harapan dan cabaran
Bagi merealisasikan rancangan APG, ia mesti diselaraskan dengan rangka kerja pembiayaan yang sepadan untuk memudahkan pelaksanaannya.
Misalnya, tadbir urus yang lebih kukuh perlu diwujudkan bagi mencapai keterhubungan elektrik serta pasaran elektrik yang diselaraskan di seluruh rantau.
Di tengah ketidaktentuan geopolitik global, kerjasama serantau yang dipertingkatkan boleh menjadi ‘pelindung’ terhadap kejutan bekalan dan ketidaktentuan harga.
Menurut Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Horn, visi APG memerlukan anggaran pelaburan sebanyak AS$764 bilion (RM3.22 trilion) untuk infrastruktur penjanaan kuasa dan penghantaran, bagi memenuhi matlamatnya untuk mencapai operasi grid bersepadu sepenuhnya menjelang 2045.
Kepimpinan Malaysia dalam ASEAN 2025 datang pada waktu penting, ketika rantau ini sedang mencari model pembangunan tenaga mampan.
APG - bukan sekadar kunci kepada keterjaminan tenaga, tetapi juga daya saing ekonomi, kelestarian alam sekitar dan integrasi serantau yang lebih kukuh.
Malaysia tidak hanya menyambung kabel merentas sempadan, tetapi 'penyambung masa depan rantau ini'.

* Hasimi Muhamad merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#ASEAN Power Grid #ASEAN 2025 #pelaburan langsung asing #Tenaga Boleh Diperbaharui