MALAYSIA
[KOLUMNIS] Industri udang galah Malaysia: Potensi tersembunyi yang wajar diterokai
![[KOLUMNIS] Industri udang galah Malaysia: Potensi tersembunyi yang wajar diterokai [KOLUMNIS] Industri udang galah Malaysia: Potensi tersembunyi yang wajar diterokai](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-08/81754562684_ternakanudang.jpg)
Udang galah bukan sekadar sumber makanan yang berpotensi, ia adalah aset ekonomi yang mampu membawa Malaysia ke satu tahap baharu dalam akuakultur air tawar. - Gambar Dr Murni Marlina
PERMINTAAN terhadap udang galah semakin meningkat, bukan sahaja di pasaran tempatan malah di peringkat antarabangsa, khususnya di negara-negara Asia Timur dan Timur Tengah.
Faktor seperti perubahan gaya hidup, pertambahan pendapatan isi rumah dan kesedaran terhadap sumber protein alternatif telah melonjakkan permintaan terhadap udang galah yang segar, selamat dan diternak secara lestari.
Selain itu, ketidakstabilan dalam industri udang putih (Litopenaeus vannamei) termasuk turun naik harga pasaran global, peningkatan kos pengeluaran, serta isu penyakit seperti Sindrom Hepatopancreatic Akut (AHPND) dan Enterocytozoon hepatopenaei (EHP) telah menjejaskan daya saing dan kestabilan industri tersebut.
Ketidaktentuan ini telah mendorong penternak dan pelabur untuk mencari alternatif yang lebih stabil dan mampan, sekali gus menjadikan industri udang galah semakin mendapat tumpuan sebagai sumber akuakultur bernilai tinggi yang berpotensi untuk dikembangkan secara komersial.Tambahan pula, dasar-dasar kerajaan yang menyokong pemodenan industri akuakultur dan pembangunan ekonomi luar bandar turut membuka peluang kepada penggiat industri untuk melabur dalam penternakan udang galah, selaras dengan permintaan pasaran yang semakin rancak.
Potensi ekonomi luar bandar
Penternakan udang galah mempunyai potensi besar untuk merangsang pertumbuhan ekonomi luar bandar secara inklusif dan mampan. Aktiviti ini tidak memerlukan kawasan yang luas, menjadikannya sesuai untuk diusahakan di kampung-kampung atau kawasan pertanian kecil.
Dengan kos operasi yang munasabah serta keupayaan untuk dimulakan secara berskala kecil, ia memberi ruang kepada pelbagai kumpulan sasaran dan komuniti untuk menyertai sektor ini.
Lebih penting lagi, penternakan udang galah berupaya menjadi sumber pendapatan alternatif yang stabil kepada komuniti luar bandar, terutamanya jika digabungkan dengan sistem sokongan seperti latihan teknikal, bantuan pemasaran dan pemindahan teknologi.
Pendekatan berasaskan teknologi seperti penggunaan sistem akuakultur pintar, pemantauan kualiti air secara digital dan sistem pemberian makanan automatik juga dapat meningkatkan produktiviti serta daya saing penternak luar bandar.
Selain itu, dengan permintaan pasaran yang kukuh di peringkat domestik dan antarabangsa, hasil ternakan udang galah berpotensi untuk menembusi pasaran eksport, sekali gus membawa masuk pendapatan luar yang memberi kesan langsung kepada ekonomi setempat.
Ini bukan sahaja dapat mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar tetapi juga menyumbang kepada pengurangan kebergantungan negara terhadap import makanan laut dan memperkukuh sekuriti makanan negara.
Inisiatif penternakan udang galah juga boleh dimanfaatkan sebagai pemangkin kepada pembangunan industri hiliran seperti pemprosesan makanan laut, produk nilai tambah, ekopelancongan agro dan hab latihan akuakultur desa yang mampu mewujudkan rantaian nilai lebih luas serta peluang pekerjaan baharu untuk masyarakat setempat.

Peranan I-AQUAS UPM dalam memperkasa industri
Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul sebagai salah satu institusi utama yang aktif memacu pembangunan industri udang galah Malaysia.
I-AQUAS terlibat secara langsung dalam;
- Latihan dan pembangunan kapasiti penternak: Menyediakan modul latihan komprehensif berkaitan penjagaan larva, sistem pemakanan, pengurusan air dan kesihatan udang.
- Penyelidikan inovatif: Membangunkan makanan alternatif dan penggunaan probiotik dalam penternakan untuk meningkatkan pertumbuhan dan daya tahan penyakit.
- Projek pemulihan stok dan kolaborasi kerajaan negeri: Bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka melalui Jabatan Perikanan Melaka dalam melaksanakan program pelepasan benih udang galah di perairan Melaka, sebagai sebahagian daripada inisiatif pemuliharaan sumber perikanan dan pemerkasaan komuniti nelayan tempatan.
- Pendigitalan akuakultur: Mengaplikasikan teknologi Internet of Things (IoT) untuk pemantauan kualiti air secara masa nyata dan automasi pemberian makanan.
- Jaringan benih berkualiti: Membangunkan strategi dan fasiliti untuk pengeluaran benih berkualiti dalam skala kecil bagi menyokong penternak mikro dan komuniti.
- Program pembangunan usahawan: Melalui kerjasama strategik bersama Agrobank, I-AQUAS telah melaksanakan program latihan dan pembangunan usahawan dalam bidang akuakultur, khususnya udang galah. Program yang menyasarkan penyertaan golongan asnaf dan B40 serta penternak dengan tujuan meningkatkan kemahiran teknikal dan keusahawanan serta membantu mereka mengakses pembiayaan mikro untuk memulakan atau mengembangkan aktiviti ternakan secara mampan dan berdaya saing.
Cabaran dan jalan penyelesaian
Namun, industri ini tidak terlepas daripada cabaran. Ketidakcukupan bekalan benih, kekurangan induk yang berkualiti, tahap kemahiran penternak yang tidak sekata, penyakit dan kekurangan sistem pemantauan ternakan sering menjadi penghalang utama.
Justeru, usaha kajian dan pembangunan (R&D) perlu digiatkan, termasuk penghasilan makanan alternatif berkualiti, penyediaan sistem penetasan benih yang efisien, pembangunan pusat induk dan penggunaan teknologi pintar seperti IoT untuk pemantauan kualiti air dan pertumbuhan udang secara masa nyata.

Sokongan polisi dan pelaburan
Kerajaan melalui Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) dan pelan transformasi akuakultur memberi perhatian terhadap pembangunan akuakultur bernilai tinggi. Perlu ada gerak kerja menyeluruh antara agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan pihak industri untuk menyediakan ekosistem sokongan seperti latihan, pembiayaan, infrastruktur hingga kepada jaminan pasaran.
Malah, integrasi dengan pelan pembangunan karbon kredit juga boleh membuka peluang baharu kepada penternak yang mengamalkan akuakultur rendah karbon.
Kesimpulan
Udang galah bukan sekadar sumber makanan yang berpotensi, ia adalah aset ekonomi yang mampu membawa Malaysia ke satu tahap baharu dalam akuakultur air tawar.
Dengan pendekatan holistik dan kolaboratif, serta sokongan institusi penyelidikan seperti I-AQUAS UPM, Jabatan Perikanan, universiti awam/swasta serta penggiat industri, Malaysia bukan sahaja berpotensi menampung keperluan domestik tetapi juga menembusi pasaran eksport secara berkesan dan sekali gus menjadikan udang galah sebagai antara penyumbang penting kepada sekuriti makanan dan pertumbuhan ekonomi negara.
* Prof Dr Murni Marlina Abd Karim ialah Timbalan Pengarah Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga Setiausaha Persatuan Perikanan Asia (AFS).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami