[KOLUMNIS] Integriti dan tadbir urus dalam angkasa Malaysia
![[KOLUMNIS] Integriti dan tadbir urus dalam angkasa Malaysia [KOLUMNIS] Integriti dan tadbir urus dalam angkasa Malaysia](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/81762228896_RussiaSpaceStation.jpg)
Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) - Gambar hiasan/ AP
SEKTOR angkasa telah diiktiraf sebagai dimensi ekonomi dan keselamatan baharu yang kritikal. Namun, di sebalik peluang inovasi dan kekayaan data, tersembunyi risiko yang kompleks — termasuk ancaman keselamatan siber, kebocoran maklumat strategik, serta potensi ketirisan dalam perolehan projek bernilai tinggi.
Malaysia, melalui Dasar Angkasa Negara 2030, sedang giat memacu ekosistem angkasa yang berdaya saing dan berintegriti. Justeru, kehadiran di 7th Summit for Space Sustainability di Paris, Perancis pada Oktober 2025 memberikan penekanan terhadap satu elemen utama yang tidak boleh dikompromi: integriti dan tadbir urus yang utuh.
Nilai-nilai ini adalah benteng pertahanan pertama bagi memastikan pembangunan angkasa negara berjalan secara telus, berakauntabiliti dan bebas daripada sebarang bentuk salah laku — demi menjamin kedaulatan, keselamatan dan kelestarian angkasa Malaysia untuk jangka masa panjang.
Latar Belakang dan Kerangka Angkasa Malaysia
Perjalanan Malaysia dalam sektor angkasa bermula secara signifikan sejak tahun 1988, apabila negara mula menggunakan maklumat imej satelit remote sensing bagi tujuan keselamatan dan kedaulatan negara. Keupayaan ini terus diperkasakan dengan pelancaran satelit komunikasi MEASAT-1 pada tahun 1996, diikuti dengan misi menghantar angkasawan negara ke angkasa lepas pada tahun 2007 — satu pencapaian yang menjadi mercu tanda sejarah sains dan teknologi negara.
Pembangunan sektor ini pada peringkat awal diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui penubuhan Pusat Remote Sensing Negara (MACRES), yang kemudiannya dinaik taraf menjadi jabatan pada tahun 2006 dengan nama Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM). ARSM memainkan peranan penting sebagai peneraju penyelidikan dan pembangunan teknologi pemerhatian
bumi serta pemprosesan data satelit untuk pelbagai aplikasi nasional.
Selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan dasar yang semakin luas, Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) pula ditubuhkan bagi membangunkan perkhidmatan angkasa, menjalankan penyelidikan saintifik serta menyelaras dasar dan program pembangunan sektor angkasa negara.
Selepas penggubalan Dasar Angkasa Negara 2030 pada tahun 2017, kerajaan mengambil langkah strategik untuk memperkukuh kecekapan dan integriti tadbir urus sektor angkasa. Melalui penstrukturan semula, ARSM digabungkan dengan ANGKASA, lalu membentuk Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) atau Malaysian
Space Agency.
Penggabungan ini menjadikan MYSA sebagai entiti tunggal peneraju hala tuju angkasa negara, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan pembangunan sektor angkasa Malaysia terus berkembang secara mampan, berdaya saing dan bertanggungjawab.

Penulis ketika menghadiri 7th Summit for Space Sustainability Paris, pada 22 -23 Oktober 2025.
Peranan Agensi dan Penguatkuasa Tadbir Urus
MOSTI memainkan peranan kritikal melalui dua entiti utama yang saling melengkapi dalam membentuk ekosistem angkasa yang berintegriti dan berdaya tahan:
A. Agensi Angkasa Malaysia (MYSA)
MYSA berperanan sebagai badan pembangunan dan inovasi yang bertanggungjawab merangka Dasar Angkasa Negara 2030. Fungsinya meliputi pengurusan operasi teknikal, pembangunan kapasiti nasional dalam teknologi satelit, pemetaan bumi serta memupuk kolaborasi strategik antarabangsa.
Dalam konteks ini, integriti dan profesionalisme menjadi asas utama dalam pengurusan peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta pembangunan bakat dan teknologi negara.
B. Bahagian Penguasa Angkasa (BPA) dan Akta 834 (Regulator) 
Asas undang-undang yang kukuh dicapai dengan pewartaan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834]. Akta ini menubuhkan Lembaga Angkasa Malaysia dan Bahagian Penguasa Angkasa (BPA) sebagai badan kawal selia (regulator) utama. Di bawah Akta 834, BPA bertanggungjawab untuk:
- Mengawal Selia dan Melaksanakan Pelesenan – Mengawal aktiviti angkasa oleh pihak kerajaan dan swasta, termasuk pelancaran dan operasi satelit.
 - Menjamin Pematuhan dan Liabiliti – Memastikan pematuhan kepada triti dan konvensyen antarabangsa di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya berkaitan liabiliti, pendaftaran objek angkasa, serta penggunaan ruang angkasa secara aman dan bertanggungjawab.
 - Mengurus Siasatan Kemalangan Angkasa di Bumi atau di Angkasa Lepas – Menjalankan siasatan ke atas sebarang insiden yang melibatkan objek angkasa, sama ada yang berlaku di orbit atau yang memasuki semula atmosfera dan memberi kesan di permukaan Bumi.
 
Isu Semasa dan Risiko Integriti Angkasa
Sektor angkasa kini berdepan cabaran global yang semakin kompleks — daripada kesesakan orbit dan pencemaran angkasa (space debris), hingga kepada persaingan geopolitik dan komersialisasi oleh syarikat swasta. Antara isu utama yang menuntut perhatian terhadap integriti dan tadbir urus termasuk:
- Keselamatan dan Kedaulatan Data – Pengurusan data geospatial satelit yang sensitif berkait rapat dengan keselamatan dan pertahanan negara. Sebarang kebocoran data boleh menjejaskan kedaulatan negara.
 - Liabiliti dan Space Debris – Risiko serpihan roket atau objek angkasa yang memasuki ruang udara Malaysia memerlukan kerangka tadbir urus dan tanggungjawab liabiliti yang jelas di bawah Akta 834.
 - Ketirisan Perolehan – Projek teknologi angkasa melibatkan peruntukan kewangan yang besar. Tadbir urus yang lemah boleh membuka ruang kepada konflik kepentingan dan rasuah dalam perolehan projek satelit serta pembangunan infrastruktur kritikal.
 
Dalam persekitaran risiko tinggi ini, integriti dan tadbir urus yang baik menjadi orbit utama yang mengelilingi kepercayaan. Unit Integriti MOSTI memainkan peranan penting sebagai barisan pertahanan dalaman dan penasihat tadbir urus bagi memastikan ekosistem angkasa negara beroperasi secara telus dan berakauntabiliti:
- Pengurusan Risiko Integriti – Melaksanakan penilaian risiko integriti secara proaktif dalam semua projek bernilai tinggi di bawah MYSA dan Lembaga, khususnya dalam perolehan teknologi angkasa.
 - Melindungi Kerahsiaan dan Keselamatan Data – Menekankan nilai etika, profesionalisme dan patriotisme dalam kalangan penjawat awam yang mengendalikan data satelit dan geospatial bagi menjaga kerahsiaan maklumat strategik serta kedaulatan data negara.
 - Pengukuhan Tadbir Urus Regulatori – Bekerjasama rapat dengan BPA dan Lembaga untuk memastikan pelesenan serta penguatkuasaan Akta 834 dijalankan secara telus, adil dan bebas daripada konflik kepentingan —seterusnya meningkatkan keyakinan industri dan masyarakat.
 
Komitmen Malaysia terhadap integriti dan tadbir urus turut dizahirkan melalui penyertaan aktif dalam platform antarabangsa seperti United Nations Committee on the Peaceful Uses of Outer Space (UN COPUOS), International Astronautical Federation (IAF), Asia-Pacific Regional Space Agency Forum (APRSAF), International Telecommunication Union (ITU), serta Summit for Space Sustainability.
Penyertaan ini membolehkan Malaysia menyuarakan pandangan mengenai standard keselamatan, liabiliti, dan pengurusan kelestarian angkasa, selain memperkukuh kepercayaan antarabangsa dalam perkongsian teknologi sensitif.
Kepercayaan global ini hanya dapat dipupuk melalui tadbir urus yang telus dan berintegriti di peringkat nasional.
Sektor angkasa Malaysia kini memasuki fasa pembangunan yang dinamik dan mencabar. Untuk memastikan kelangsungan dan kejayaan Dasar Angkasa Negara 2030, budaya kerja berteraskan integriti perlu dibina dalam setiap inovasi.
Sebagai tonggak, integriti dan tadbir urus yang cemerlang akan memastikan setiap keputusan memberi manfaat kepada rakyat, setiap perolehan dijalankan secara telus, dan setiap data dilindungi dengan penuh tanggungjawab.
Dengan benteng etika dan tadbir urus yang kukuh, Angkasa Malaysia bukan sahaja akan terbang tinggi dari segi teknologi, tetapi juga teguh dalam menjamin keselamatan, kedaulatan dan kemakmuran sejagat.
* Artikel ini ditulis oleh PKPj Wong Chiew Hoong, Ketua Unit Integriti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang menghadiri 7th Summit for Space Sustainability Paris, pada 22 -23 Oktober 2025. ** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


