[TERKINI] Zizi Kirana Ditahan oleh Israel – 13 Aktivis Malaysia Terputus Hubungan. Ikuti Laporan Langsung Sekarang!
MALAYSIA

[KOLUMNIS] Israel, flotilla Gaza dan pelanggaran hak pelayaran di bawah UNCLOS

Mohd Hazmi Mohd Rusli 02/10/2025 | 06:21 MYT
Penahanan flotilla kemanusiaan oleh Israel di perairan antarabangsa melanggar prinsip kebebasan pelayaran di bawah UNCLOS 1982, walaupun Israel bukan negara anggota konvensyen tersebut. -Gambar fail/Reuters
KONFLIK Israel–Palestin bukan sahaja isu politik dan kemanusiaan, tetapi turut menyentuh aspek undang-undang laut antarabangsa. Insiden penahanan flotilla kemanusiaan yang cuba menuju Gaza menimbulkan persoalan penting.


Ringkasan AI
  • Penahanan flotilla kemanusiaan oleh Israel di perairan antarabangsa melanggar prinsip kebebasan pelayaran di bawah UNCLOS 1982, walaupun Israel bukan negara anggota konvensyen tersebut.
  • Perairan Gaza secara prinsip tertakluk kepada kedaulatan Palestin, dan tindakan Israel juga mencabuli hak laluan ikhlas jika intersepsi berlaku dalam laut wilayah Palestin.
  • Komuniti antarabangsa digesa bertindak tegas kerana insiden ini menunjukkan pengabaian terang-terangan terhadap undang-undang laut antarabangsa dan hak kemanusiaan sejagat.


Walaupun Israel bukan negara anggota Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS), banyak peruntukan konvensyen ini adalah undang-undang adat antarabangsa yang mengikat semua negara.

Adakah tindakan Israel selaras dengan undang-undang antarabangsa atau adakah ia sebenarnya satu pelanggaran terhadap prinsip hak pelayaran?


Hak Pelayaran di Bawah UNCLOS

UNCLOS 1982 mengiktiraf dua bentuk hak pelayaran utama:

1. Hak laluan ikhlas (innocent passage)

Artikel 17 memperuntukkan bahawa kapal semua negara berhak melalui laut wilayah sesebuah negara secara damai.

Artikel 18 dan 19 pula mentakrifkan bahawa laluan dianggap ikhlas jika kapal tersebut tidak melakukan ancaman, aktiviti ketenteraan, penyeludupan atau perbuatan lain yang melanggar undang-undang antarabangsa.


2. Hak kebebasan pelayaran (freedom of navigation)

Artikel 87 UNCLOS menjamin semua negara berhak berlayar bebas di perairan antarabangsa, sama ada di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) atau di laut lepas, tanpa diganggu oleh mana-mana negara.

Dalam kes flotilla Gaza, kapal-kapal yang membawa bekalan kemanusiaan jelas menikmati perlindungan di bawah kedua-dua prinsip ini.

Hak laluan ikhlas jika berada di laut wilayah, dan hak kebebasan pelayaran jika berada di perairan antarabangsa.


Laut Wilayah dan Perairan Antarabangsa

Laut wilayah adalah zon sejauh 12 batu nautika diukur dari garis pangkal pantai sesebuah negara, di mana negara pantai mempunyai kedaulatan penuh.

Walau bagaimanapun, kapal asing tetap berhak menikmati hak laluan ikhlas.

Perairan antarabangsa pula adalah kawasan di luar laut wilayah, termasuk ZEE dan laut lepas, di mana prinsip kebebasan pelayaran terpakai untuk semua negara. Artikel ini menggunakan istilah perairan antarabangsa bagi merujuk kepada semua kawasan laut di luar laut wilayah, termasuk ZEE dan laut lepas.


Status Negara Palestin dan Perairan Gaza

Secara prinsip, perairan Gaza adalah sebahagian daripada laut wilayah Palestin. Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2334 (2016) menegaskan wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967 (termasuk Gaza) dan menolak kesahan penempatan Israel.

Tambahan pula, pada 5 Februari 2021, Pra-Bicara I ICC memutuskan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa wilayah terhadap Situasi di Negeri Palestin (Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur).

Namun begitu, keputusan ini berkaitan bidang kuasa undang-undang jenayah antarabangsa. Ia bukan pengiktirafan politik baharu, tetapi mengesahkan skop bidang kuasa ICC atas wilayah berkenaan.

Sehingga kini lebih 155 negara telah mengiktiraf kedaulatan Palestin dengan yang terbaharu adalah United Kingdom, Kanada dan Australia pada 21 September 2025.

Perancis pula sehari selepas itu lantas memperkukuh kedudukan negara Palestin di mata dunia. Maka perairan Gaza adalah tertakluk di bawah kedaulatan Palestin, bukan mana-mana negara lain.


Kes Mavi Marmara (2010)

Pada 31 Mei 2010, tentera laut Israel menyerang kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Serangan berlaku kira-kira 70 batu nautika (lebih 130 km) dari pesisir Gaza, iaitu jauh di perairan antarabangsa, bukan di laut wilayah Palestin.

Serangan ini mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan aktivis.

Tindakan Israel jelas bercanggah dengan Artikel 87 UNCLOS mengenai kebebasan pelayaran, kerana kapal itu berada di perairan antarabangsa dan tidak menafikan sifat laluan ikhlas.


Kejadian Flotilla 2025

Pada Oktober 2025, inisiatif Global Sumud Flotilla (GSF) sekali lagi mencuba menembusi sekatan laut Israel untuk menghantar bantuan ke Gaza.

Kapal-kapal flotilla dipintas oleh tentera laut Israel di perairan antarabangsa, 70 batu nautika dari pesisir Gaza termasuk kapal yang membawa aktivis antarabangsa seperti Greta Thunberg.

Israel mendakwa tindakannya berasaskan “sekatan laut sah”, manakala penganjur flotilla menegaskan mereka berada di perairan antarabangsa dan hanya menjalankan misi kemanusiaan.

Penahanan flotilla ini berlaku dalam suasana sekatan yang semakin ketat terhadap Gaza sepanjang 2025.

PBB dan pakar kemanusiaan memberi amaran bahawa Gaza berdepan risiko kebuluran kerana sekatan Israel menghalang kemasukan makanan, ubat-ubatan dan bekalan asas.

Intersepsi flotilla 2025 membuktikan sekali lagi bahawa hak pelayaran antarabangsa dicabuli.


Kesimpulan

Penahanan flotilla Gaza oleh Israel jelas melanggar hak kebebasan pelayaran sebagaimana dijamin oleh UNCLOS apabila intersepsi dilakukan di perairan antarabangsa.

Sekiranya penahanan itu berlaku dalam perairan Gaza, tindakan tersebut turut melanggar prinsip hak laluan ikhlas yang diberikan kepada semua kapal asing di laut wilayah.

Maka, sama ada di perairan antarabangsa mahupun di laut wilayah Palestin, tindakan Israel tetap bertentangan dengan undang-undang laut antarabangsa.

Komuniti antarabangsa mesti lebih tegas menuntut agar akses kemanusiaan ke Gaza dihormati, dan hak pelayaran tidak terus dinafikan atas alasan politik dan ketenteraan.



Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah Penyelaras, Unit Undang-Undang Antarabangsa di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), juga merupakan Felo Penyelidik, Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD), di Universiti Utara Malaysia (UUM)

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.





#Australia #Penahanan flotilla kemanusiaan #perairan antarabangsa #langgar prinsip kebebasan pelayaran #UNCLOS 1982