[KOLUMNIS] Istito’ah: Antara keupayaan dan keinsafan dalam menyantuni harapan jemaah haji
![[KOLUMNIS] Istito’ah: Antara keupayaan dan keinsafan dalam menyantuni harapan jemaah haji [KOLUMNIS] Istito’ah: Antara keupayaan dan keinsafan dalam menyantuni harapan jemaah haji](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-10/81760094712_JemaahHajiMekah.jpg)
Ibadah haji memerlukan kesiapan jasmani, rohani dan kewangan yang seimbang. - Gambar hiasan/BERNAMA
PENGUMUMAN kerajaan Arab Saudi pada 20 Oktober 2025 tentang peraturan baru untuk bakal Jemaah Haji 1447H/2026.
Ringkasan AI
- Kemampuan menunaikan haji merangkumi aspek kewangan, fizikal, keselamatan dan tanggungan keluarga, selaras dengan syarat yang ditetapkan oleh Tabung Haji dan KKM.
- Ibadah haji memerlukan kesiapan jasmani, rohani dan kewangan yang seimbang. Generasi muda digesa bersedia awal melalui penjagaan kesihatan dan tabungan.
- Islam menghargai niat dan usaha ikhlas meskipun diuji dengan kekangan. Kesabaran dan istiqamah jemaah, khususnya warga emas, mencerminkan maqasid al-shari'ah dalam menjaga nyawa dan harta.
Antara Istito‘ah dan Ketentuan Ilahi
Dalam Islam, untuk menunaikan rukun Islam kelima ini, iaitu mengerjakan ibadah haji, telah dikenakan satu syarat tambahan, iaitu syarat istito‘ah , sayarta wajib haji - kemampuan menunaikan haji.
Kemampuan ini ianya bukan sekadar soal kewangan, iaitu keupayaan dari segi membiayai perjalanan ke Tanah Suci, kos penginapan, kos makan minum sepanjang di Tanah Suci tetapi juga kos nafqah untuk tanggungan yang ditinggalkan di tanah air seperti kos makan minum, kos tempat tinggal serta kos upah menjaga anak-anak yang ditinggalkan buat sementara waktu.
Satu lagi kemampuan yang mungkin ramai kurang sedar, iaitu keupayaan dari jasmani atau fizikal dan keselamatan.
Ibadah haji adalah ibadah yang memerlukan pergerakan fizikal serta stamina dengan perubahan cuaca serta kesesakan lautan manusia di sana.
Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Āli ‘Imrān ayat 97 menegaskan:
“Dan bagi Allah, wajib ke atas manusia mengerjakan haji ke Baitullah, iaitu bagi orang yang mampu mengadakan perjalanan ke sana. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat) daripada sekalian alam.” (3:97).”
Ini juga mendasari ketetapan yang telah ditetapkan oleh pihak Tabung Haji sebelum ini, iaitu resolusi yang telah diputuskan pada Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali ke 39 musim haji 1441H/2019M.
Resolusi telah menetapkan setiap bakal jemaah haji wajib menjalani dan lulus pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai syarat kelayakan istito‘ah jasmaniyyah (kemampuan fizikal) dan kesihatan (sihhiyyah) sebelum menerima tawaran menunaikan haji.
Namun, kemampuan itu bukan mutlak. Ia datang beriringan dengan rahmat dan hikmah.
Ada yang mampu dari segi harta, tetapi diuji dengan tubuh badan yang lemah. Ada yang sihat ketika muda, tetapi rezeki belum cukup. Dan apabila usia meningkat, barulah hajat itu hampir tercapai.
Islam melihat semua ini bukan sebagai kegagalan, tetapi sebagai ujian kasih sayang Allah.
Sesiapa yang berusaha dan berniat ikhlas untuk menjadi tetamu-Nya, sudah mendapat ganjaran niat dan pahala kesungguhan.
Ramai jemaah warga emas di Malaysia menabung bertahun-tahun di Tabung Haji - ada yang menahan keinginan membeli kemewahan dunia, semata-mata untuk satu impian: menjejakkan kaki ke Tanah Suci, menunaikan ibadah haji.
Mereka adalah lambang istiqamah dan kesabaran, dua nilai yang amat tinggi dalam maqāṣid al-sharīʿah.
Haji: Ibadah yang Menuntut Kekuatan dan Hikmah
Walaupun begitu, mesej yang dibawa oleh syarat kesihatan baharu ini tetap penting: ibadah haji menuntut kesiapan jasmani, rohani dan kewangan yang seimbang.
Ia bukan untuk meminggirkan sesiapa, tetapi untuk memastikan setiap jemaah dapat beribadah dengan selamat dan bermakna.
Bagi generasi muda, ini seharusnya menjadi panggilan kesedaran. Jangan tunggu tubuh lemah baru bersedia.
Menjaga kesihatan hari ini adalah sebahagian daripada niat menuju haji esok hari. Menabung awal, bersenam, menjaga pemakanan, dan menjauhkan tabiat buruk bukan sekadar gaya hidup - tetapi latihan istito‘ah yang sebenar.
Keseimbangan Antara Harta dan Jasmani
Dalam konteks maqāṣid al-sharīʿah, menjaga nyawa (ḥifẓ al-nafs) dan menjaga harta (ḥifẓ al-māl) berjalan seiring. Islam tidak mahu seseorang membahayakan diri demi memenuhi syarat ibadah, tetapi juga tidak mahu umatnya leka dengan alasan tidak bersedia.
Bagi warga emas yang diuji, usaha dan niat tetap dihargai. Bagi yang muda dan sihat, tanggungjawab itu semakin berat - jangan tunda haji hingga tubuh tidak lagi mampu.
Rasulullah SAW bersabda: “Gunakan lima perkara sebelum datang lima perkara: masa muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, dan hidup sebelum mati.” (Riwayat al-Hakim).
Bagi yang diuji dengan kesihatan, jangan putus asa, buat persediaan awal. Persiapan awal adalah tanda kesungguhan dan keikhlasan.
Dalam maqāṣid al-sharīʿah, menjaga kesihatan (ḥifẓ al-nafs) adalah sebahagian daripada ibadah itu sendiri.
Tips Persediaan Awal Kesihatan Bakal Jemaah Haji
Bagi umat Islam yang berhasrat menunaikan haj, perlu buat persediaan awal berkaitan tahap Kesihatan. Ini penting supaya proses pemeriksaan kesihatan berjalan lancar dan ibadah haji nanti insya-Allah dapat dilaksanakan dengan tenang dan sempurna.
Langkah pertama ialah pergi ke pusat kesihatan terdekat untuk menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh seawal mungkin sebelum menjalani pemeriksaan perubatan untuk bakal haji.
Pemeriksaan ini penting untuk mengenal pasti tahap kawalan penyakit seperti diabetes, darah tinggi, jantung dan buah pinggang.
Para bakal jemaah haji disarankan memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan optimum.
Tekanan darah, paras gula dan kadar SpO₂ perlu sentiasa berada dalam julat normal. Nilai normal bagi tekanan darah lazimnya sekitar 120/80 mmHg, paras gula darah di bawah 7 mmol/L (puasa), dan kadar SpO₂ (kadar oksigen dalam darah) antara 95% hingga 100%.
Pemantauan berkala amat penting, terutamanya bagi jemaah yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi atau asma.
Ini amat kritikal untuk mengelakkan sebarang risiko kesihatan semasa menunaikan ibadah haji.
Indeks Jisim Badan (BMI) pula disarankan tidak melebihi 37.5 kg/m² bagi memastikan tahap kecergasan yang mencukupi sepanjang ibadah.
Sekiranya terdapat masalah kesihatan yang belum terkawal, bakal jemaah hendaklah mendapatkan nasihat dan rawatan awal daripada pegawai perubatan bagi memastikan kelayakan dan keselamatan semasa menunaikan ibadah haji.
Setiap bakal jemaah haji digalakkan menyimpan rekod perubatan peribadi sebagai rujukan kepada Tabung Haji (TH) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertanggungjawab melaksanakan pemeriksaan rasmi kelayakan haji.
Rekod kesihatan yang lengkap memudahkan pegawai perubatan menilai tahap kesihatan bakal jemaah dengan lebih menyeluruh serta mengenal pasti sebarang risiko lebih awal.
Dalam masa yang sama, bakal jemaah perlu memastikan aplikasi MySejahtera diaktifkan dan dikemas kini, termasuk mengisi Borang Saringan Status Kesihatan Mental (SSKM 20).
Saringan ini penting untuk menilai tahap kesiapsiagaan fizikal dan mental sebelum berangkat menunaikan ibadah haji yang memerlukan ketahanan emosi dan fizikal yang tinggi.
Sekiranya vaksin Umrah pernah diterima dan masih dalam tempoh sah laku (overage), buku vaksinasi atau kad vaksin (buku kuning) yang mengandungi tarikh dan nombor lot vaksin perlu dimuat naik ke dalam MySejahtera.
Langkah ini akan memudahkan semakan dan pengesahan doktor semasa pemeriksaan kesihatan bakal haji serta mempercepatkan proses penilaian kelayakan.
Selain itu, bakal jemaah disarankan untuk memulakan gaya hidup sihat dari sekarang sebagai persediaan menghadapi ibadah haji yang menuntut kekuatan fizikal dan ketahanan mental.
Hentikan tabiat merokok serta kawal berat badan melalui pemakanan seimbang dan aktiviti fizikal berkala.
Amalan senaman ringan seperti berjalan kaki selama 30 minit setiap hari dapat membantu meningkatkan stamina, menguatkan jantung, dan memperbaiki fungsi paru-paru.
Dalam masa yang sama, pemilihan makanan sihat perlu diberi perhatian - elakkan makanan bergula, bergoreng, dan tinggi garam, serta pastikan waktu tidur dan rehat mencukupi.
Tubuh yang sihat dan cergas merupakan kunci utama untuk menunaikan ibadah haji dengan sempurna, terutamanya ketika menjalankan ibadah yang memerlukan ketahanan fizikal seperti tawaf, wuquf di Arafah, bermalam di Muzdalifah, dan melontar jamrah di Mina di bawah cuaca yang panas dan mencabar.
Persediaan awal ini bukan sahaja melancarkan urusan ibadah, tetapi juga mencerminkan kesungguhan dalam mencari keredaan Allah SWT melalui Haji yang Mabrur.
Bagi memperkukuh persediaan, bakal jemaah digalakkan menyertai program latihan dan simulasi haji lebih awal. Kursus-kursus ini bukan sekadar sesi teori, tetapi juga peluang untuk menilai tahap kecergasan dan keupayaan fizikal sebenar sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Melalui latihan simulasi ibadah seperti tawaf, sa‘i dan wukuf, jemaah dapat menyesuaikan diri dengan pergerakan dan tuntutan fizikal sebenar ketika menunaikan ibadah haji.
Bagi mereka yang mempunyai masalah sendi, lutut atau kawalan keseimbangan, penggunaan alat bantu berjalan boleh membantu menilai keupayaan diri serta membina keyakinan ketika menjalani aktiviti ibadah.
Usaha kecil namun konsisten ini akan mengurangkan risiko kesihatan, meningkatkan daya tahan tubuh, dan memberikan keyakinan diri semasa mengharungi ibadah di bawah cuaca panas serta suasana padat di Tanah Suci.
Ia juga mencerminkan kesungguhan dan tanggungjawab seorang jemaah dalam mempersiapkan diri secara menyeluruh - rohani, jasmani dan mental - demi mencapai Haji yang Mabrur.
Dalam masa yang sama, bakal jemaah perlu memperkasakan kekuatan rohani dan mental. Ujian kesihatan bukan penghalang untuk mendekati Allah, sebaliknya peluang untuk menyedari kasih sayang dan hikmah-Nya.
Terimalah ketentuan ini dengan redha dan sabar. Banyakkan doa agar dikurniakan kesihatan serta peluang menjadi tetamu-Nya, dan jangan pernah berputus asa dengan rahmat Allah.
Amalkan zikir yang menenangkan hati, kerana ketenangan jiwa akan memberi kekuatan untuk menghadapi cabaran fizikal dan emosi.
Akhirnya, bertawakal dan bersyukur - Setelah berusaha, serahkan kepada Allah; niat ikhlas tetap diberi ganjaran, sedarilah bahawa menjaga kesihatan adalah sebahagian daripada istito‘ah, tanda kesungguhan untuk memenuhi seruan Allah dengan sebaiknya.
Persediaan rohani dan jasmani yang seimbang bukan sahaja memudahkan perjalanan haji, tetapi juga menzahirkan kepatuhan kepada maqāṣid al-sharīʿah - menjaga nyawa, kesejahteraan, dan amanah diri.
Semoga setiap usaha kecil ini menjadi langkah menuju Haji yang Mabrur dan penuh keberkatan. Tidak semua yang mampu sampai, dan tidak semua yang sampai itu mampu.
Tetapi sesiapa yang berusaha dengan hati yang redha, Allah menulis setiap langkahnya sebagai perjalanan menuju Haji yang Mabrur - kerana bagi Allah, kemampuan bukan sekadar kekuatan tubuh, tetapi keikhlasan hati yang tidak pernah lelah menanti panggilan-Nya.”
* Penulis bersama merupakan Syaryanti Hussin Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Hasnizam Hashim, iaitu Profesor Madya, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami