[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

[KOLUMNIS] Jalur Gemilang, kibaran jati diri rakyat Malaysia

Rahmahtunnisah Sailin 17/09/2025 | 10:00 MYT
Jalur Gemilang digambarkan sebagai simbol komunikasi visual dan jati diri yang menyatukan rakyat, serta perlu dikibarkan dengan bangga oleh anak muda sebagai tanda cinta kepada negara, raja dan sistem kenegaraan. -Gambar fail/Bernama
Dari Kemerdekaan ke Hari Malaysia


Ringkasan AI
  • Artikel ini menekankan bahawa kebahagiaan dan semangat patriotik rakyat Malaysia tidak hanya tertumpu pada Hari Kemerdekaan 31 Ogos, tetapi turut disambung hingga Hari Malaysia 16 September sebagai simbol perpaduan nasional.
  • Jalur Gemilang digambarkan sebagai simbol komunikasi visual dan jati diri yang menyatukan rakyat, serta perlu dikibarkan dengan bangga oleh anak muda sebagai tanda cinta kepada negara, raja dan sistem kenegaraan.
  • Penulis menyeru agar rakyat tidak tunduk kepada provokasi yang memperlekehkan bendera negara, sebaliknya memperkukuh semangat patriotik melalui tindakan hormat dan berterusan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang maruah dan perpaduan.


TANGGAL 31 Ogos yang lalu, Malaysia menyambut ulang tahun ke-68 Hari Kemerdekaan dengan penuh semangat dan rasa syukur.

Di setiap penjuru tanah air, Jalur Gemilang berkibar megah, menjadi saksi kepada perjuangan dan kebebasan yang telah diperoleh.

Namun semangat patriotik ini tidak terhenti di situ. Ia terus bergema hingga ke sambutan Hari Malaysia pada 16 September, hari yang menyatukan Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam satu ikatan kenegaraan yang utuh.

Dalam dua tarikh keramat ini, Jalur Gemilang bukan sekadar kain berwarna merah, putih, biru dan kuning — ia adalah lambang perpaduan, maruah dan jati diri kepelbagaian bangsa Malaysia.

Kibaran bendera dalam tempoh ini bukan sekadar simbolik, tetapi manifestasi cinta rakyat kepada tanah air. Ia mengingatkan kita bahawa kemerdekaan bukan hadiah, tetapi hasil perjuangan dan pengorbanan.

Dalam dunia yang semakin mencabar, semangat kebangsaan perlu terus diperkasa agar generasi muda tidak lupa akar sejarah mereka.

Jalur Gemilang adalah pengikat jiwa Malaysia—dari desa ke kota, dari pantai timur ke pedalaman Borneo — ia menyatukan kita dalam satu semangat yang tidak boleh dipatahkan.


Komunikasi dan Jati diri Anak Muda

Mengibar Jalur Gemilang adalah nuansa komunikasi yang meresap ke dalam jiwa, merentasi batas bahasa dan suara. Ia menyampaikan rasa cinta, hormat dan kesetiaan kepada tanah air.

Sejak di bangku sekolah, anak-anak Malaysia telah diajar cara mengibarkan bendera dengan betul — bukan sekadar ritual, tetapi sebagai latihan membentuk jiwa patriotik.

Setiap pagi Isnin, ketika bendera dinaikkan perlahan-lahan di tiang sekolah, iringan lagu Negaraku bukan sekadar nyanyian, tetapi gema jiwa bangsa.

Di saat itu, anak muda belajar bahawa kibaran Jalur Gemilang adalah simbol tanggungjawab dan kebanggaan yang diwarisi.

Anak muda di negara seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Korea menunjukkan rasa bangga yang tinggi terhadap bendera mereka.

Di stadium, di sekolah, bahkan dalam seni dan fesyen, bendera menjadi lambang identiti yang mereka junjung.

Semangat ini wajar menjadi inspirasi kepada anak muda Malaysia — bahawa Jalur Gemilang bukan hanya untuk dikibar pada hari-hari tertentu, tetapi untuk dijadikan lambang yang hidup dalam jiwa dan tindakan harian.

Ia adalah komunikasi visual yang menyatakan: “Saya anak Malaysia, dan saya bangga dengannya.”


Jika Bukan Kita Kibarkan, Siapa Pula?

Jalur Gemilang tidak akan berkibar sendiri. Ia menunggu tangan-tangan yang penuh cinta dan bangga untuk mengangkatnya tinggi ke langit.

Jika bukan anak muda Malaysia yang mengibarkannya, siapa lagi? Jati diri bangsa bukan sesuatu yang diwarisi secara automatik — ia perlu dipupuk, disemai dan dizahirkan secara berterusan.

Mengibarkan bendera adalah tindakan kecil yang membawa makna besar: bahawa kita bersedia mempertahankan maruah negara, bahawa kita bangga menjadi rakyat Malaysia.

Ia adalah pernyataan bahawa kita tidak hanya tinggal di Malaysia, tetapi Malaysia tinggal dalam jiwa dan sanubari kita.

Sukan di peringkat antarabangsa turut menjadi pentas kibaran bendera seluruh negara yang menyertainya. Malah memberi penghormatan kepada setiap negara pemenang sesuatu acara untuk lagu rasmi negaranya bergema penuh semangat di stadium yang penuh gah dan meriah warna-warni.

Di negara-negara seperti Indonesia dan Thailand, semangat nasionalisme anak muda begitu terserlah. Mereka mengibarkan bendera dengan penuh rasa bangga, menjadikannya sebahagian daripada budaya harian.

Di sekolah, universiti dan acara sukan, kibaran bendera menjadi lambang semangat dan solidariti. Malaysia juga mampu menzahirkan semangat yang sama.

Jika setiap anak muda Malaysia menjadikan Jalur Gemilang sebagai simbol kebanggaan, maka tidak ada provokasi atau cabaran yang mampu menggoyahkan cinta kita kepada tanah air.


Keyakinan dan Hormat: Lambang Cinta kepada Raja dan Negara

Jalur Gemilang juga membawa makna yang lebih mendalam—ia adalah lambang cinta kepada institusi diraja dan kerajaan yang menjadi teras kestabilan negara.

Mengibarkan bendera dengan penuh hormat adalah tanda keyakinan terhadap sistem kenegaraan yang telah membentuk Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan aman. Ia adalah penghormatan kepada sejarah, kepada perjuangan, dan kepada masa depan yang kita bina bersama.

Dalam setiap jaluran, warna Jalur Gemilang, tersulam harapan, keberanian dan kesetiaan rakyat kepada tanah air tercinta. Malah lebih dari itu, adalah simbolik menjunjung agama Islam sebagai agama rasmi negara.

Mengibarkannya dengan penuh hormat adalah tanda bahawa kita percaya dan menyokong sistem yang telah membentuk Malaysia yang harmoni dan sejahtera hingga hari ini.

Rasa hormat kepada bendera juga mencerminkan rasa hormat yang tinggi kepada sistem pemerintahan yang menjadi tunjang negara.


Tundukkan Provokasi, Jitukan Azam dan Cinta

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita membaca dan menyaksikan segelintir pihak seolah-olah (atau sengaja?) memperlekehkan Jalur Gemilang — sama ada melalui tindakan tidak sensitif, rekaan yang menyimpang, atau ujaran yang meremehkan makna dan identiti bendera negara.

Provokasi seperti ini bukan sahaja mencabar semangat patriotik rakyat, malah cuba menggugat rasa hormat terhadap simbol kenegaraan yang telah menjadi saksi kepada perjuangan dan kemerdekaan bangsa.

Namun, rakyat Malaysia tidak tunduk kepada provokasi. Sebaliknya, kita bangkit dengan azam yang lebih jitu, menyemai cinta yang lebih dalam terhadap tanah air.

Malaysia juga perlu menanam semangat yang sama. Setiap kali Jalur Gemilang diperlekehkan, biarlah kibaran yang lebih tinggi menjadi jawapan kita.

Kita tidak membalas dengan amarah, tetapi dengan tindakan rasional dan terhormat; mengibarkan Jalur Gemilang lebih megah, lebih berani, dan lebih bermakna.

Inilah cara kita tundukkan provokasi — dengan cinta yang tidak pernah luntur.



Rahmahtunnisah Sailin merupakan Pensyarah di Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor (UIS).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.







#Hari Malaysia #Rahmahtunnisah Sailin #Jalur Gemilang #semangat patriotik #rakyat Malaysia