MALAYSIA
[KOLUMNIS] Kawal perbelanjaan, tingkat pendapatan, urus baik hutang negara
![[KOLUMNIS] Kawal perbelanjaan, tingkat pendapatan, urus baik hutang negara [KOLUMNIS] Kawal perbelanjaan, tingkat pendapatan, urus baik hutang negara](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-06/61750919899_wangringgitgaji.jpg)
Pengurusan fiskal yang baik telah membolehkan kerajaan mengawal pertumbuhan hutang negara dengan berkesan - Gambar hiasan/BERNAMA
KEDUDUKAN hutang negara kekal menjadi antara topik utama yang diberi perhatian dalam usaha kerajaan memastikan kestabilan ekonomi jangka panjang serta kesejahteraan rakyat.
Sehingga awal tahun ini, hutang Kerajaan Persekutuan dicatatkan sekitar RM1.2 trilion, bersamaan kira-kira 63 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Walaupun angka ini kelihatan besar, Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa paras hutang masih dalam keadaan terkawal, selagi ia diurus secara berdisiplin dan digunakan untuk tujuan yang produktif.
Malah, kerajaan juga telah mengawal pertumbuhan hutang negara yang mana jumlah hutang baharu kian menurun daripada RM100 bilion (2022) kepada RM85 bilion (2024) dan unjuran tahun ini adalah RM80 bilion.
Peratusan hutang kepada KDNK Malaysia juga masih lebih rendah berbanding beberapa negara lain seperti Jepun (melebihi 200 peratus), Amerika Syarikat (sekitar 120 peratus) dan Singapura (melebihi 160 peratus). Malah, banyak negara membangun turut mencatatkan paras hutang yang jauh lebih tinggi daripada Malaysia.Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, usaha reformasi fiskal yang dilaksanakan turut mendapat pengiktirafan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, IMF melalui Misi Artikel IV 2025 turut memuji komitmen Malaysia dalam melaksanakan reformasi fiskal dengan menyifatkan pelaksanaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 sebagai tonggak penting reformasi fiskal negara.
Pengurusan fiskal yang baik telah membolehkan kerajaan mengawal pertumbuhan hutang negara dengan berkesan.
Kerajaan kini memberi tumpuan kepada pemerkasaan hasil negara, kawalan perbelanjaan serta pelaksanaan rasionalisasi subsidi secara berperingkat bagi mengekang pertambahan hutang yang tidak perlu.
Langkah seperti memperluas asas cukai, menutup ketirisan dan meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) menjadi strategi utama bagi menambah pendapatan negara tanpa terlalu bergantung kepada hutang baharu.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini memaklumkan bahawa kerajaan tidak meminjam untuk membayar gaji penjawat awam atau perbelanjaan operasi, tetapi lebih tertumpu kepada pembiayaan projek pembangunan yang memberi pulangan jangka panjang kepada negara.

Foto BERNAMA
Pakar-pakar ekonomi memberi amaran bahawa hutang negara yang tidak terkawal boleh menyebabkan beberapa kesan buruk kepada ekonomi seperti penurunan penarafan kredit negara oleh agensi antarabangsa seperti Moody’s atau Fitch.
Pada 24 Januari lalu, Moody's Ratings mengumumkan penarafan kredit berdaulat (sovereign credit ratings) untuk Malaysia dengan mengekalkan penarafan kredit pada tahap 'A3' dengan prospek 'Stabil'.
Agensi penarafan ini menjangkakan Malaysia akan menjadi ekonomi berpenarafan A, paling pesat berkembang dalam tempoh dua tahun akan datang.
Dengan penarafan ‘A3’ dan unjuran ‘Stabil’, Moody's mengiktiraf kekuatan struktur kredit Malaysia, termasuk kepelbagaian ekonomi, daya saing dan kestabilan harga yang menyokong perbelanjaan domestik. Selain itu, pasaran modal domestik yang kukuh dan sistem kewangan yang maju turut diakui sebagai faktor positif.
Kedudukan hutang tidak terkawal juga akan mengakibatkan kenaikan kadar faedah pinjaman kerajaan dan sektor swasta, keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan ekonomi Malaysia akan menyusut termasuk kesan terhadap nilai ringgit dan inflasi yang lebih tinggi.
Lebih membimbangkan, jika beban hutang terus meningkat tanpa kawalan, kerajaan mungkin terpaksa meningkatkan cukai atau memotong perbelanjaan sosial, yang akhirnya menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Bagaimanapun, kerajaan sedang berusaha mengurangkan defisit fiskal negara kepada 3.8 peratus pada tahun 2025, berbanding kadar sebelumnya yang lebih tinggi iaitu sekitar 5.5 peratus (2022), 5.0 peratus (2023) dan 4.1 peratus (2024).
Sasaran jangka panjang ialah mencapai defisit 3.0 peratus menjelang 2030.
Unjuran pertumbuhan ekonomi bagi 2024 adalah 5.1 peratus melebihi tahun 2023 iaitu antara 4 peratus hingga 5 peratus. peratus hingga 5.5 peratus, manakala suku pertama tahun iin pada kadar 4.4 peratus.

Laporan Ekonomi Malaysia Suku Pertama yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan - Foto Instagram MoF
Namun, Bank Dunia menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2025 kepada 3.9 peratus iaitu penurunan sebanyak 0.6 mata peratusan berbanding unjuran pada Januari 2025.
Mengulas mengenai isu ini, Profesor Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berpendapat, penurunan ini berpunca daripada ketegangan geopolitik global, termasuk konflik antara Iran dan Israel, serta tindakan Amerika Syarikat (AS) terhadap fasiliti nuklear Iran.
Keadaan ini boleh mengganggu ekonomi dunia, khususnya jika Selat Hormuz ditutup, iaitu satu laluan penting bagi 20 peratus bekalan minyak dunia.
Jika bekalan minyak terganggu, katanya, harga minyak global akan melonjak, memberi kesan kepada Malaysia.
Walaupun Malaysia ialah negara pengeksport minyak, rakyat sebagai pengguna akan terkesan dengan kenaikan harga petrol dan kos sara hidup.
Kenaikan harga ini juga boleh menyebabkan inflasi meningkat, dan seterusnya memaksa Bank Negara menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi mengekang inflasi.
“Dari sudut fiskal, kerajaan tetap memerlukan hutang baharu, terutama untuk menampung perbelanjaan pembangunan. Ini kerana hasil negara biasanya hanya cukup untuk menampung perbelanjaan mengurus sahaja.
“Sebagai contoh, hasil negara sekitar RM330 bilion hanya cukup untuk belanja mengurus, manakala perbelanjaan pembangunan sekitar RM86 bilion memerlukan pinjaman,” katanya.
Untuk mengurangkan kebergantungan kepada hutang, beliau mencadangkan kerajaan meningkatkan pendapatan, contohnya melalui cukai seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), cukai gula dan cukai digital.
Kerajaan juga perlu mengawal perbelanjaan antaranya dengan menyasar subsidi secara tepat yang disalurkan kepada golongan bersasar. Selain itu, ketirisan perbelanjaan dan pembaziran perlu dielakkan, seperti perbelanjaan mewah atau program yang tidak perlu.
Namun, kejutan luar jangka seperti konflik geopolitik boleh menggugat rancangan kerajaan.
Walau bagaimanapun, pengurusan hutang negara memerlukan keseimbangan. Kerajaan perlu memastikan pertumbuhan ekonomi terus rancak, dalam masa sama tidak membebankan generasi akan datang dengan hutang berpanjangan.
Hutang bukanlah sesuatu yang negatif sekiranya ia diurus dengan bijak. Apa yang penting ialah akauntabiliti dan ketelusan dalam setiap keputusan fiskal.
Dalam landskap ekonomi global yang mencabar, rakyat perlu yakin bahawa kerajaan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan negara kekal berdaya tahan dan berdaya saing.
* Hasimi Muhamad merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami