MALAYSIA
[KOLUMNIS] Kesihatan mental: Kisah di sebalik senyuman dalam media sosial
![[KOLUMNIS] Kesihatan mental: Kisah di sebalik senyuman dalam media sosial [KOLUMNIS] Kesihatan mental: Kisah di sebalik senyuman dalam media sosial](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-07/81752903644_tbMentalfitnessme.jpg)
Faktor seperti tekanan akademik, beban kewangan, pengaruh media sosial dan stigma sosial menyumbang kepada peningkatan kes gangguan emosi dan mental. - Gambar hiasan
KESIHATAN mental semakin menjadi isu hangat dalam kalangan remaja termasuklah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT). Faktor seperti tekanan akademik, beban kewangan, pengaruh media sosial dan stigma sosial menyumbang kepada peningkatan kes gangguan emosi dan mental. Fenomena ini menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan pendidik, ibu bapa dan penggubal dasar negara, apatah lagi kes-kes berkaitannya terus-menerus menjadi paparan laporan media.
Statistik yang Membimbangkan
Menurut laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang dilaporkan Institute for Public Health (2022) sebanyak 25.7% remaja berumur antara 16 hingga 24 tahun di Malaysia berisiko mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan, keresahan dan tekanan melampau. Pelajar IPT termasuk dalam kelompok ini. Kebanyakan mereka menghadapi tekanan akademik yang tinggi ekoran kos pembelajaran yang tinggi serta kekurangan sokongan sosial.
Tambahan pula, persekitaran pembelajaran yang kompetitif dan persaingan untuk cemerlang turut menyumbang kepada gangguan emosi pelajar. Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) melaporkan terdapat lebih 15,000 pelajar IPT mendapatkan kaunseling pada tahun 2023, dan majoriti kes berkaitan masalah kebimbangan, tekanan akademik serta isu keluarga.Gaya Hidup ala Media Sosial: Cabaran Generasi Muda
Dalam era digital masa kini, pelajar hidup dalam dunia yang sangat terdedah kepada teknologi dan media sosial. Mereka boleh mengakses maklumat, hiburan dan berita hanya dalam sekelip mata. Walaupun media sosial menawarkan pelbagai manfaat, ia juga membawa kesan besar terhadap kesihatan mental pelajar, khususnya apabila mereka mudah terpengaruh dengan trend semasa tanpa penilaian yang kritikal.
Sebagai contoh, terdapat trend penggunaan lagu yang mengandungi unsur seksual dan pemujaan dalam lirik yang kini semakin normal dalam kalangan remaja. Tidak kurang juga kandungan video yang memaparkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan secara terbuka tanpa batasan. Kandungan seperti ini, jika tidak diawasi, boleh menyumbang kepada keruntuhan nilai moral dan menjadi titik mula kepada gejala sosial seperti gangguan seksual, cabul dan rogol.
Selain faktor persekitaran dan pendidikan, gaya hidup seseorang turut memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju kehidupan — termasuk membawa kepada kesan negatif tanpa disedari. Misalnya, sesetengah pempengaruh di media sosial sering mempromosikan idea bahawa untuk mencari rezeki, tidak semestinya memerlukan kelulusan SPM dan lulusan tinggi. Kenyataan sebegini, apabila diulang-ulang dan dipaparkan secara meluas, boleh mempengaruhi minda pelajar yang masih mencari arah selepas tamat sekolah.
Tekanan ekonomi pada masa kini juga menyebabkan ramai pelajar memilih untuk terus bekerja selepas tamat SPM, tanpa melanjutkan pelajaran. Fenomena ini semakin ketara sejak ledakan penggunaan media sosial sekitar tahun 2020, apabila platform seperti TikTok, Instagram, dan Facebook mula digunakan secara aktif untuk menjana pendapatan melalui perniagaan atas talian. Keadaan ini juga susulan dari pandemik COVID-19 yang meninggalkan kesan mendalam kepada ekonomi sebahagian besar masyarakat Malaysia.
Trend ini mencetuskan gelombang baru dalam kalangan belia yang ingin mempunyai pendapatan atau bebas kewangan melalui cara yang kelihatan mudah di media sosial. Namun begitu, statistik menunjukkan satu kebimbangan yang perlu diberi perhatian. Pada tahun 2022, seramai 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu tidak hadir menduduki peperiksaan SPM. Angka ini meningkat kepada 10,160 daripada 383,685 calon pada tahun 2023. Walaupun terdapat pelbagai sebab di sebalik ketidakhadiran pelajar dalam peperiksaan SPM, trend media sosial yang mengagungkan kejayaan tanpa asas pendidikan formal mungkin turut membentuk pandangan mereka bahawa pendidikan bukan lagi keutamaan.
Lebih membimbangkan, pendedahan yang berlebihan kepada kandungan media sosial yang tidak ditapis boleh memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan mental dan emosi, khususnya dalam kalangan pelajar IPT. Tanpa bimbingan dan penapisan maklumat yang sepatutnya, pelajar mudah terpengaruh dengan gaya hidup yang dipaparkan di media sosial yang adakalanya jauh daripada realiti sebenar kehidupan.
Kesejahteraan yang tidak boleh diabai
Masalah kesihatan mental yang tidak ditangani boleh memberi implikasi besar terhadap kehidupan pelajar. Antaranya termasuklah penurunan prestasi akademik, pengasingan sosial, serta peningkatan risiko terhadap masalah kesihatan lain yang lebih serius.
Menurut laporan NHMS 2023, peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti meningkat kepada 16.5%, iaitu hampir sejuta individu muda terkesan. Kajian lain pula menunjukkan bahawa lebih 60% pelajar IPT mengalami gejala kemurungan atau tekanan, namun hanya sebilangan kecil mendapatkan bantuan profesional. Ini menunjukkan keperluan mendesak untuk intervensi menyeluruh dan sokongan psiko-sosial yang lebih terbuka serta inklusif di kampus. Antara faktor utama yang menghalang mereka daripada mendapatkan bantuan ialah rasa malu, takut dilabel sebagai "lemah", serta kurang kesedaran tentang pentingnya menjaga kesihatan mental.
Cadangan Penambahbaikan dan Langkah Intervensi
IPT disarankan untuk lebih proaktif dalam mengukuhkan sistem sokongan kesihatan mental bagi para pelajar. Antara inisiatif yang boleh diambil termasuk:
- Menyediakan perkhidmatan kaunseling yang mesra pengguna dan mudah diakses;
- Melatih kakitangan akademik untuk mengenal pasti tanda awal gangguan emosi;
- Melaksanakan kempen kesedaran secara berkala untuk menormalisasikan perbincangan tentang kesihatan mental.
Selain itu, kerjasama antara institusi dan keluarga juga sangat penting bagi mewujudkan persekitaran yang selamat, terbuka, dan menyokong kesejahteraan emosi pelajar. Pelajar juga wajar didedahkan kepada kemahiran daya tindak (coping skills) yang dilengkapi dengan maklumat tentang saluran bantuan yang betul.
Kesihatan mental pelajar IPT kini menjadi isu yang semakin meruncing dan tidak boleh dipandang ringan. Statistik dan realiti semasa menunjukkan betapa pentingnya intervensi awal dan bersepadu. Jika tidak ditangani secara serius, kesannya bukan sahaja akan menjejaskan pelajar secara individu, tetapi turut memberi impak negatif kepada masyarakat dan negara dalam jangka panjang.
Oleh itu, langkah kolaboratif antara institusi, kerajaan, keluarga dan pelajar sendiri amat diperlukan untuk membina budaya kesedaran dan sokongan terhadap isu ini. Pelaburan dalam kesihatan mental bukan hanya menyelamatkan nyawa — tetapi juga menjamin masa depan negara yang lebih seimbang dari segi intelektual, rohani, emosi dan sosial.
* Artikel ini ditulis Aida Hadirah binti Azhar, Calon Sarjana Komunikasi, Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor dan Rahmahtunnisah Sailin, Pensyarah Komunikasi dan Media, Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor (UIS).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami