MALAYSIA

[KOLUMNIS] Kompetensi komunikasi antara budaya pekerja asing, penting untuk keharmonian sosial negara penerima

Kolumnis AWANI 07/12/2025 | 14:30 MYT
Malaysia sedang pesat membangun dan menuju negara maju, merupakan salah satu destinasi pilihan dalam kalangan pekerja dari negara serantau. - Gambar hiasan/Astro AWANI/Shahir Omar
GLOBALISASI dan pergerakan pekerja merupakan dinamika yang saling berkait rapat apabila arus globalisasi bertindak sebagai pemangkin penting kepada peningkatan mobiliti tenaga kerja merentas sempadan.

Hubungan ini dibentuk oleh faktor ekonomi, sosial dan politik yang membawa kepada pola penghijrahan pekerja merentas sempadan yang kompleks dan memberi pelbagai impak kepada negara asal dan negara penerima pekerja-pekerja ini.

Arus globalisasi telah menghubungkan semua benua dan meningkatkan aktiviti perdagangan bebas antarabangsa, pergerakan modal pelaburan asing serta menggalakkan proses integrasi ekonomi global yang mengubah pasaran tenaga kerja dunia dan menjadikan mobiliti rentas sempadan satu lumrah.

Dari sudut akademik, ia menjadi satu ruang kajian mengenai tahap kompetensi komunikasi antara budaya melibatkan pekerja asing khususnya di Malaysia yang seterusnya menyumbang kepada penambahbaikan polisi berkaitan pekerja asing.

Ini kerana, Malaysia sedang pesat membangun dan menuju negara maju, merupakan salah satu destinasi pilihan dalam kalangan pekerja dari negara serantau seperti Indonesia, Vietnam, Nepal, Bangladesh, India, Myanmar dan lain-lain negara lagi.

Apabila pekerja tiba di negara penerima, mereka pastinya berdepan cabaran dari segi memahami budaya, bahasa, norma tempatan dan lain-lain lagi dalam usaha menyesuaikan diri di tempat baharu.


Hasil kajian kompetensi komunikasi antara budaya dalam kalangan pekerja asing di Malaysia

Dalam konteks tempatan, satu kajian telah dilaksanakan untuk tempoh 3 tahun iaitu 2020-2023 dengan skop penyelidikan berkaitan kompetensi komunikasi antara budaya bertajuk “Developing a Structural Model of Intercultural Communication Competence Among Migrant Workers in Malaysian Society”.

Kajian tertumpu kepada tiga sektor pekerjaan pilihan utama pekerja asing iaitu perkilangan, pertanian serta pembinaan dan penyelidikan ini dibiayai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS).

Penyelidikan diketuai penulis, Pensyarah Kanan Program Komunikasi Pusat Pengajian Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Syarizan Dalib dan dianggotai oleh dua penyelidik UUM, Prof. Madya Dr. Bahtiar Mohamad dan Prof. Madya Dr. Haslina Halim telah mengumpul data melibatkan 314 pekerja asing sebagai informan kajian ini.

Daripada jumlah itu, 205 adalah pekerja asing dari sektor perkilangan (65.3%), diikuti 55 orang dari sektor pertanian (17.5%) dan 54 pekerja asing lagi terlibat dalam sektor pembinaan (17.2%).

Hasil kajian tersebut mendapati, tahap kompetensi komunikasi antara budaya dalam kalangan pekerja asing secara puratanya pada tahap sederhana.

Secara lebih khusus, perbandingan tahap kompetensi komunikasi antara budaya mengikut kategori rendah, sederhana dan tinggi menunjukkan 30.3 peratus pekerja asing berada pada tahap tinggi, 36.3 peratus pekerja asing pada sederhana dan 33.4 peratus pada tahap rendah.

Hasil kajian ini menunjukkan kepentingan untuk pekerja asing diberi kesedaran tentang penyesuaian budaya bagi menjamin keharmonian dalam masyarakat di negara ini.

Dapatan ini turut membuktikan wujudnya jurang kefahaman budaya tempatan yang masih ketara dalam kalangan pekerja asing.

Keadaan ini memberi isyarat bahawa ramai pekerja asing masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan norma sosial, gaya komunikasi, serta etika kerja yang menjadi amalan masyarakat tempatan.

Perkara ini bukan semata-mata berpunca daripada kelemahan individu, tetapi turut dipengaruhi faktor struktur seperti kekangan latihan, tempoh penempatan yang singkat, batasan bahasa dan interaksi sosial yang terhad dengan komuniti setempat.

Dapatan penyelidikan mengikut sektor pekerjaan pula menunjukkan pola yang signifikan untuk difahami secara lebih mendalam.

Kajian menunjukkan pekerja dalam bidang pembinaan mempunyai skor purata kompetensi komunikasi antara budaya yang lebih tinggi.

Perkara ini boleh dijelaskan melalui sifat pekerjaan yang menuntut interaksi langsung dan berterusan antara pekerja daripada pelbagai negara dalam satu tapak kerja yang sama.

Dalam konteks pembinaan, tugasan fizikal memerlukan kerjasama segera, komunikasi spontan dan penyelarasan tugas harian menyebabkan pekerja lebih terdedah kepada keperluan menyesuaikan gaya komunikasi serta memahami isyarat budaya secara praktikal yang mempercepatkan pembelajaran budaya secara peribadi.

Sebaliknya, pekerja asing dalam sektor perkilangan menunjukkan purata kompetensi komunikasi antara budaya yang lebih rendah yang mungkin berkait dengan struktur kerja lebih terasing, tugasan berasaskan mesin, pekerjaan yang berulang dan kurang memerlukan rundingan interpersonal.

Interaksi antara budaya juga berlaku secara minimum, yang sekali gus menghadkan peluang mempraktikkan kecekapan komunikasi antara budaya.

Ini memberi isyarat jelas bahawa kecekapan komunikasi antara budaya tidak berkembang secara semula jadi tanpa pendedahan sosial yang mencukupi.

Dari segi perbandingan negara pula, kebanyakan pekerja asing dari Indonesia dan Myanmar menunjukkan tahap kompetensi komunikasi antara budaya yang tinggi.

Pekerja asing dari Vietnam dan Nepal pula, berada pada tahap yang rendah.

Dapatan ini memberi gambaran tentang jarak budaya, latar pendidikan dan sejarah migrasi sektor tenaga kerja asing seperti pekerja Indonesia misalnya, berkongsi banyak persamaan linguistik dan budaya dengan Malaysia.

Pekerja Myanmar pula mempunyai sejarah penempatan di sini dan sudah membentuk komuniti stabil di Malaysia yang memudahkan proses penyesuaian.

Sebaliknya, pekerja dari Vietnam dan Nepal mungkin berdepan halangan bahasa lebih sukar, perbezaan norma sosial yang ketara serta interaksi lebih terhad dengan komuniti setempat.

Ini melambatkan proses pembelajaran budaya dan menjelaskan skor kompetensi komunikasi antara budaya yang lebih rendah direkod oleh pekerja asing dari Vietnam dan Nepal.

Secara keseluruhan, kajian ini bukan sahaja melaporkan gambaran deskriptif tetapi turut memperkukuh pemahaman melalui pembinaan model baharu kompetensi komunikasi antara budaya dalam konteks pekerja asing di Malaysia.

Faktor seperti kecenderungan mencari pengalaman baharu, sikap terbuka terhadap budaya lain dan motivasi untuk terlibat dalam interaksi rentas budaya menunjukkan satu hubungan yang signifikan dengan kompetensi komunikasi antara budaya ini.

Ini seterusnya membuktikan bahawa kecekapan ini bukan hanya dipengaruhi oleh konteks struktur tetapi turut dibentuk oleh sifat psikologi dan personaliti individu terbabit.

Penemuan bahawa penyesuaian rentas budaya (cross-cultural adjustment) turut mempunyai hubungan signifikan dengan kompetensi komunikasi antara budaya.

Adaptasi budaya adalah proses dua hala iaitu semakin seseorang individu dapat menyesuaikan diri secara emosi, sosial dan kerja, semakin tinggilah kebolehan mereka untuk berkomunikasi secara efektif dalam konteks budaya berbeza.


Implikasi kompetensi komunikasi antara budaya terhadap pekerja asing dan keharmonian masyarakat Malaysia

Secara rasionalnya, dapatan ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh inisiatif latihan komunikasi antara budaya bagi pekerja asing sebaik sahaja mereka memasuki pasaran kerja di Malaysia.

Tanpa sokongan sistematik, kemampuan mereka untuk memahami sensitiviti budaya tempatan tidak dapat berkembang pada kadar yang diperlukan, sekali gus menjejaskan kelancaran hubungan di tempat kerja dan dalam komuniti.

Dari sudut implikasi dasar, dapatan ini memberi justifikasi kukuh untuk kerajaan mempertimbangkan langkah-langkah membantu meningkatkan kompetensi komunikasi antara budaya dalam kalangan pekerja asing.

Salah satunya, melaksanakan dasar penyaringan dan latihan pra-penempatan yang mewajibkan pendedahan asas kepada norma sosial Malaysia, termasuk komunikasi berlapik, kepentingan hormat kepada hierarki serta nilai harmoni tinggi dalam budaya tempatan.

Selain itu, kerjasama antara agensi kerajaan dan majikan dalam menyediakan program orientasi berstruktur merangkumi latihan bahasa asas Melayu dan bengkel pengurusan konflik budaya.

Inisiatif integrasi sosial di peringkat komuniti juga boleh dilaksanakan seperti penganjuran program komuniti setempat yang mempertemukan pekerja asing dengan penduduk tempatan supaya menggalakkan interaksi bermakna yang memecahkan salah tanggapan dan stereotaip pekerja asing.

Dari segi implikasi sosial, tahap kompetensi komunikasi antara budaya dalam kalangan pekerja asing yang masih sederhana dan rendah boleh memberi kesan kepada keharmonian budaya jika tidak ditangani.

Sebagai contoh, satu insiden salah faham kecil dalam komunikasi mungkin berlarutan sehingga mencetuskan konflik lebih besar jika kompetensi komunikasi antara budaya ini tidak diterap dengan lebih mendalam kepada pekerja asing di Malaysia.

Menerusi dasar lebih inklusif dan latihan lebih tersusun, Malaysia berpotensi memupuk hubungan antara budaya lebih positif dan seterusnya memperkukuh keharmonian sosial di tengah-tengah kehadiran pekerja asing yang semakin penting kepada ekonomi negara.


Cadangan meningkatkan kompetensi komunikasi antara budaya pekerja asing di Malaysia

Secara lebih khusus, saranan berikut boleh dipertimbangkan untuk meningkatkan kompetensi komunikasi antara budaya pekerja asing dengan mereka bentuk latihan khusus mengikut sektor dan berdasarkan kajian ini, sektor pembinaan boleh dijadikan model rujukan kerana persekitarannya secara semula jadi memupuk interaksi antara budaya.

Manakala, sektor perkilangan perlu diberikan latihan tambahan yang berstruktur kerana peluang pendedahan budaya semula jadi adalah minimum.

Cadangan seterusnya melaksanakan dasar penempatan dan sokongan bahasa mengikut negara asal pekerja asing seperti pekerja Vietnam dan Nepal yang mempunyai jurang budaya dan bahasa lebih besar misalnya, memerlukan modul orientasi lebih intensif termasuk pembelajaran asas bahasa Melayu serta latihan memahami norma sosial di Malaysia.

Seterusnya, modul motivasi dan sikap perlu diperkukuh kerana peningkatan tahap kompetensi komunikasi antara budaya tidak hanya bergantung kepada latihan teknikal tetapi perlu melibatkan pembinaan sikap terbuka, inisiatif berinteraksi dan kemahuan terlibat secara aktif atau ringkasnya, dasar latihan perlu merangkumi komponen psikososial.

Selain itu, mekanisme sokongan oleh majikan dan kerajaan atau pihak terlibat perlu disediakan untuk membantu penyesuaian antara budaya dalam kalangan pekerja asing seperti penyediaan program kaunseling asas, aktiviti integrasi komuniti dan program mentor rakan sekerja tempatan untuk mempercepat proses penyesuaian di tempat baharu.

Cadangan yang dikemukakan ini dilihat sangat relevan dengan mengambil kira ekosistem ekonomi global yang berkembang pesat dan proses globasasi turut didorong oleh pelbagai teknologi digital.

Di sebalik kepesatan itu, sektor tenaga kerja terus menyaksikan peningkatan mobiliti rentas sempadan bagi mengisi permintaan untuk pekerja melaksanakan aktiviti-aktiviti ekonomi ini.


Aplikasi kajian di peringkat Pusat Pengajian untuk Mahasiswa Antarabangsa SMMTC

Hasil penyelidikan “Developing a Structural Model of Intercultural Communication Competence Among Migrant Workers in Malaysian Society” ini menjadi inspirasi dan rujukan rangka kerja bagi pembangunan modul khusus bermatlamat membantu mahasiswa antarabangsa di SMMTC, meningkatkan kompetensi komunikasi antara budaya.

Program Latihan Pembangunan Adaptasi dan Kompentensi Antara Budaya edisi pertama melibatkan 18 mahasiswa siswazah antarabangsa dari China yang mengikuti modul yang direka untuk membantu mereka menyesuaikan diri sepanjang mengikuti pengajian di Malaysia.

Pengisian program anjuran Advanced Communication Research Unit (ACRU) ini dapat memperkasa keupayaan pelajar menyesuaikan diri dalam konteks kehidupan akademik, sosial dan psikologi serta meningkatkan kemampuan beinteraksi secara berkesan dalam persekitaran Malaysia khususnya di UUM.

Pelajar berkenaan mengikuti pelbagai program seperti syarahan mini berkaitan penyesuaian akademik, psikologi dan sosial, topik berkaitan kecerdasan budaya serta pembinaan hubungan rentas budaya.

Syarahan, aktiviti dan penyampaian modul latihan disempurnakan oleh tiga lagi penyelidik ACRU iaitu Dr. Nursafwah Tugiman, Dr. Norhayati Mohamad Husin dan Dr. S. Maartandan Suppiah.

Antara aktiviti adalah perbincangan kumpulan, aktiviti main peranan atau role play, pembentangan individu dan kumpulan serta sesi menyuarakan pandangan terhadap apa sahaja topik oleh peserta.

Modul tersebut dapat membantu mereka memahami cabaran sepanjang mengikuti pengajian di Malaysia dan bagaimana melaksanakan strategi penyesuaian dalam konteks budaya tempatan.

Komponen penting dalam program ini adalah soal selidik mengukur tahap kebolehan pelajar dalam menyesuaikan diri dengan budaya tempatan secara lebih sistematik dan berasaskan data.

Inisiatif ini selaras dengan hasrat bidang pengajian tinggi negara yang aktif mempromosikan Malaysia sebagai destinasi utama untuk melanjutkan pengajian tinggi di dalam pelbagai bidang dan di peringkat SMMTC, ia merupakan satu usaha mendukung aspirasi universiti untuk memperkukuh persekitaran pembelajaran inklusif dan menyokong pembangunan sahsiah pelajar antarabangsa secara holistik.



* Prof. Madya Dr. Syarizan Dalib ialah Ketua Advanced Communication Research Unit (ACRU) Pusat Pengajian Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM)

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#faktor ekonomi #sektor pembinaan #pekerja asing #pilihan utama