MALAYSIA

[KOLUMNIS] MA63: Antara janji, kemajuan dan harapan

Hasimi Muhamad 02/07/2025 | 11:18 MYT
Lebih dua tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, MA63 kini menjadi medan penting untuk menilai komitmen terhadap janji lama tersebut - Gambar fail
PERJANJIAN Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar perjanjian politik, tetapi merupakan kerangka federalisme yang menjamin hak-hak khas Sabah dan Sarawak.
Selepas lebih enam dekad, pelaksanaannya terus menjadi isu utama dalam wacana kenegaraan, dan lebih dua tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, kini ia menjadi medan penting menilai komitmen terhadap janji lama itu.
Dalam tempoh tersebut juga, pendekatan Kerajaan Perpaduan dilihat lebih terbuka. Keterlibatan pemimpin Sabah dan Sarawak dalam jawatankuasa teknikal dan politik, serta dalam beberapa siri rundingan, menunjukkan satu proses yang lebih bersifat dua hala.
Namun, perlu diakui masih banyak isu yang tertangguh dan memerlukan pendekatan yang benar-benar inklusif.
April lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilapor berkata, rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri berkaitan MA63 boleh diselesaikan secara baik tanpa perlu dirujuk ke mahkamah bagi tujuan pentafsiran undang-undang.
Sarawak turut memberi jaminan tidak akan membawa perkara itu ke mahkamah untuk memuktamadkan pentafsiran undang-undang berkenaan.
Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 memaklumkan, terdapat lima tuntutan MA63 dikategorikan kritikal dan belum dapat diputuskan di peringkat kepimpinan tertinggi Putrajaya, Sabah dan Sarawak.
Ini termasuk kuota 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, royalti dan formula pertambahan peruntukan pembangunan bagi Sabah dan Sarawak seperti termaktub di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Sembilan perkara selesai
Pada Mac lalu, Fadillah memaklumkan Kerajaan MADANI berjaya menyelesaikan sembilan tuntutan berkaitan MA63 setakat ini. Manakala, perkara atau tuntutan lain berkaitan masih belum selesai akan terus dibincang dan dipantau oleh Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63.
1. Penyerahan pihak berkuasa kawal selia untuk Gas Petroleum Cecair (LPG) kepada Kerajaan Sarawak melalui PETROS.
2. Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan untuk memulihkan status Sarawak dan Sabah sebagai rakan kongsi yang sama dalam pembentukan Malaysia selaras dengan MA63.
3. Pindaan kepada tafsiran istilah 'Persekutuan' di bawah Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.
4. Pindaan kepada Perkara 161A untuk memberikan kuasa penuh kepada Sarawak mentakrifkan istilah 'native' secara lebih menyeluruh dan secara inklusif.
5. Memperkasakan pengeluaran Lesen Perikanan Laut Dalam kepada Jabatan Perikanan Laut Sarawak dan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah.
6. Pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182).
7. Pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik wakil Kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.
8. Penyerahan semula kuasa pentadbiran ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Kerajaan Sabah.
9. Pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak.
Foto/AWANI
Lapan perkara dalam rundingan
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pula berkata, lapan perkara masih dalam tumpuan utama perundingan.
1. Cadangan menambah bilangan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.
2. Cadangan untuk meminda Perkara 25A (Pelancongan) dalam Senarai I (Persekutuan) kepada Senarai III.
3. Memberi kuasa kepada Pengarah Kesihatan Sarawak untuk menjalankan fungsi di bawah Akta Perkhidmatan dan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
4. Urusan berkaitan pendidikan seperti isu perjawatan, pelaksanaan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dalam Bahasa Inggeris dan penggunaan Bahasa Inggeris untuk Pendidikan Teknikal dan Vokasional dan Latihan (TVET).
5. Pengiktirafan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) sebagai Jabatan Teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182.
6. Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan.
7. Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di Sarawak.
8. Pembangunan kawasan sempadan Sabah-Sarawak-Kalimantan.
Foto/Sinar Harian
Komitmen kerajaan Persekutuan dalam kenyataan terbuka oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, mengakui keperluan menunaikan janji MA63.
Namun, dari sudut pelaksanaan, komitmen ini perlu diterjemahkan dalam bentuk reformasi perundangan, pemindahan kuasa yang sebenar dan pembaharuan fiskal.
Cabaran utamanya adalah rintangan perundangan yang memerlukan pindaan Perlembagaan, kekangan fiskal untuk menstruktur semula agihan dana, dan iltizam politik.
Keazaman politik yang kuat amat diperlukan, bukan sekadar pendekatan teknokratik. Tanpa iltizam politik, MA63 hanya akan tinggal sebagai wacana.
MA63 perlu dibawa melangkaui politik. Ia wajar dijadikan agenda nasional dalam pelan pembangunan negara, dengan peruntukan khusus dalam Rancangan Malaysia, dan diperkuatkan dengan akta pelaksanaan khas di Parlimen.
Lebih penting, rakyat perlu dilibatkan dalam memahami makna sebenar MA63, supaya tuntutan ini bukan dilihat sebagai agenda wilayah, tetapi sebagai usaha membina semula Malaysia yang adil dan setara.
Akhirnya, kejayaan pelaksanaan MA63 bukan hanya mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan, tetapi juga menjadi cerminan keikhlasan kita sebagai sebuah negara untuk menghormati janji sejarah dan membina masa depan bersama atas dasar keadilan dan perpaduan.

* Hasimi Muhamad merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

#Perjanjian Malaysia 1963 #Dewan Rakyat #Perlembagaan Persekutuan #perkhidmatan awam