[TERKINI] Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah Bandar Utama – Suspek Ditahan, Direman Esok | Ikuti Perkembangan di Saluran 501 & Semua Platform AWANI
MALAYSIA

[KOLUMNIS] Makna diplomasi, pesan manusiawi dalam isu kemanusiaan global

Azlinariah Abdullah 14/10/2025 | 03:45 MYT
Apabila peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) serta Freedom Flotilla Coalition (FFC) dibebaskan dan diterbangkan dari Turkiye, diplomasi juga yang paling disebut-sebut ramai pihak. - Foto fail
DALAM seminggu dua ini, perkataan diplomasi menjadi amat popular. Diplomasi, sejak kebelakangan ini, meniti di banyak bibir, oleh banyak pihak.

Popularnya diplomasi, bukan sahaja pemimpin negara yang membentuk polisi, penganalisis yang juga pemerhati, wartawan yang menulis berita diisi, penulis bertukar watak mempengaruhi pembaca di media sosial sendiri dan orang-orang di kedai kopi warung atau di sudut yang "healing", semuanya dengan mudah menyebut diplomasi.

Kita faham, diplomasi menjadi lebih kerap disebut oleh banyak pihak di Malaysia apabila berlaku pintasan armada kapal dalam misi menghantar bantuan makanan ke Gaza di bawah tema "Break the Seige" dan "Break the Silence" bermula September 2025.

Diplomasi menjadi lebih riuh disebut-sebut apabila kumpulan aktivis Malaysia diculik tentera Zionis semasa belum sempat sampai di pantai Gaza.

Realiti ditahan tentera Zionis dan layanan ke atas warganegara Malaysia oleh Israel yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia, menyebabkan diplomasi paling banyak disebut dalam analisis,tulisan dan perbualan biasa kalangan pelbagai lapis rakyat di Malaysia.

Selepas itu, apabila peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) serta Freedom Flotilla Coalition (FFC) dibebaskan dan diterbangkan dari Turkiye, diplomasi juga yang paling disebut-sebut ramai pihak.

"Memang kita akui, diplomasi Malaysia dengan negara luar menjadi penyumbang kepada pembebasan aktivis GSF, FFC, iaitu rakyat kita yang berani menyertai misi kemanusiaan untuk menunjukkan kepada dunia tentang kezaliman Israel," kata seorang menteri, merujuk kepada hubungan baik Malaysia dengan beberapa negara dunia.

"Sememangnya atas kapasiti kita (Malaysia) sebagai Pengerusi ASEAN dan hubungan baik dengan beberapa negara Arab dan Eropah, juga Amerika Syarikat, walaupun tiada hubungan diplomatik dengan Israel, kita berjaya membebaskan aktivis kita yang diculik dan didera Israel.

"Itu hasil kejayaan diplomasi Malaysia diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata seorang penganalisis apabila diminta mengulas faktor yang membawa kepada pembebasan 23 aktivis GSF dan 9 aktivis dalam FFC. Ya, diplomasi juga yang disebut-sebut di situ.

"Mujur Malaysia ambil pendekatan tidak bermusuh, walaupun lantang bersuara, jika tidak, tidak tahu apa nasib aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan itu," kata seseorang yang lain, yang ditemui di kedai kopi estetik hipster di ibu negara sebelum menyambung ulasannya dengan berkata : " Itulah pentingnya ada diplomasi".

Jadi, apa itu diplomasi? Maknanya apa apabila kita kata diplomasi Malaysia adalah resipi yang membawa kepada pemulangan dengan selamat aktivis-aktivis yang belayar di perairan membawa harapan dalam menjayakan misi kemanusiaan Palestin? Selebihnya, apa pesan yang boleh ditangkap daripada peristiwa yang membawa kepada kejayaan diplomasi itu? Ingat, diplomasi Malaysia bukan wujud hanya selepas berlaku insiden yang menimpa aktivis GSF dan FFC. Ia sudah lama ada, ia tumbuh lalu berkembang seiring Malaysia terbentuk menjadi sebuah negara.

Ketahuilah, dalam penyelesaian konflik secara aman, diplomasi Malaysia yang menjayakan Perjanjian Damai Selatan Filipina (2001–2014) di mana Kuala Lumpur menjadi perantara utama antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF). Kini tiada lagi angkat senjata di Selatan Filipina dan itulah erti dan makna diplomasi.

Begitu juga dalam isu kemanusiaan dan perang Bosnia dan Herzegovina (1992–1995). Semasa Perang Bosnia, Malaysia memainkan peranan yang penting melalui tekanan diplomatik di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk mengutuk kekejaman etnik terhadap umat Islam Bosnia. Malah, Malaysia menawarkan bantuan kemanusiaan dan menghantar pasukan pengaman (MALCON) di bawah panji PBB selepas perang. Dalam isu ini juga Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi antara pemimpin paling lantang menentang keganasan etnik dan memperjuangkan keadilan untuk rakyat Bosnia. Hasilnya, Malaysia diiktiraf sebagai negara Islam yang tegas dan konsisten dalam memperjuangkan keamanan global selain hubungan diplomatik Malaysia–Bosnia kekal erat hingga kini.

Di dalam kamus, diplomasi itu sendiri bermaksud seni dan amalan menjalankan hubungan antarabangsa melalui rundingan, perbincangan, dan kompromi bagi mencapai kepentingan negara tanpa menggunakan kekerasan. Dalam konteks hubungan antarabangsa, diplomasi menjadi alat penting untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan negara; memupuk kerjasama ekonomi; politik dan sosial; menyelesaikan konflik secara aman melalui dialog dan perundingan.

Begini. Saya membelek semula buku Malaysia's Foreign Relations Issues and Challenges (2006) suntingan Profesor Ruhanas Harun diterbitkan Universiti Malaya (UM) untuk lebih faham erti sebenar diplomasi yang disebut-sebut ramai pihak. Di halaman 3, bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar menulis bagaimana pendekatan dan cabaran diplomasi Malaysia dalam konteks ASEAN, dunia Islam, dan hubungan global. Tulisnya, saya petik begini :

"Diplomacy is still the most important channel for Malaysia in the promotion and preservation of peace, security and progress. Some has noted that Malaysian diplomacy in the pursuance of its objectives is profiled, on occasion seen to be aggressive and sometimes crusading in nature. This is so because our action takes into consideration our country's national interest and in many instances the interest of the developing countries.

Seterusnya, di halaman 4, beliau yang juga bekas Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) menulis, " The conduct of diplomacy has its own complexities and peculiarities. In practice, countries do act by making tradeoffs in order to serve their national interests. It may or may not just. So long as it fulfils the objectives to be achieved it is considered justified. What is pertinent for Malaysia is our ability to make our position known on issues and problems concerning international affairs."

Tidak dapat tidak, diskusi mengenai penculikan dan pembebasan aktivis GSF dan FFC serta beberapa flotilla sebelumnya berada dalam ruang lingkup diplomasi, yang meniti di bibir banyak orang di Malaysia.

"Ada tiga layer atau lapisan dalam kejayaan diplomasi dan peristiwa membabitkan flotilla kemanusiaan ke Gaza yang dikawal Israel secara kejam dan tidak mematuhi undang-undang. Tiga lapisan itu, semestinya kerajaan, diplomat dan rakyat yang bergabung membuat desakan sebelum pembebasan berlaku," kongsi Ashwad Ismail, Ketua Pengarang Astro Awani yang juga bekas tahanan Israel dalam insiden Mavi Marmara.

Kata Ashwad, pada masa itu - tahun 2010 - Jordan hubungannya lebih erat dengan Israel berbanding Mesir atau Turkiye, maka, tahanan pulang dari Amman sebelum ke Malaysia.

Dalam kes terkini, kata Ashwad, Malaysia ada hubungan baik dengan Türkiye. Presiden Recep Tayyip Erdogan, hubungannya sangat akrab dengan Perdana Menteri.

"Seni diplomasinya, dengan pantas, panggilan telefon disambung untuk meminta bantuan pembebasan aktivis rakyat Malaysia. Secara kebetulan rakyat Turkiye juga menjadi tahanan, prosesnya lebih mudah. Tolong rakyat sendiri, rakyat negara sahabat turut dibantu juga. Jika hubungan tidak akrab, bolehkah rakyat Malaysia ini dibebaskan dalam waktu tidak sampai 48 jam? Tentulah tidak, inilah kejayaan diplomasi," tambah Ashwad.

Di peringkat lain, menteri-menteri terlibat dengan pertemuan bersama pegawai kanan negara kuasa besar, sambil menyatakan pendirian Malaysia mengenai pelbagai isu, termasuk Palestin dan soal perdagangan selain perkembangan ekonomi.

Sekadar memberi satu contoh, pertemuan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio pada Julai 2025 bermatlamat membincangkan isu hubungan dua hala sambil menyatakan pendirian tegas Malaysia tentang pelbagai isu, tanpa terkecuali isu Palestin, tarif dan perdagangan.

Dan, kalau Malaysia memberikan pandangan yang keras dan bermusuh, adakah pegawai-pegawai negara kuasa besar mahu membantu supaya pada akhirnya apabila berlaku krisis, kesemua aktivis berupaya dibebaskan lebih awal berbanding warganegara lain yang negara mereka ambil pendekatan sebaliknya? Tentulah tidak, bukan?

Kelebihan lain, pada tahun ini Malaysia ialah Pengerusi ASEAN. Atas kapasiti sebagai Pengerusi, anggota entiti 10 negara ini boleh diminta untuk membantu - menggunakan kelebihan yang tidak ada pada anggota lain, sebagai contoh hubungan diplomatik - untuk proses rundingan pembebasan.

Di sini, Vietnam yang ada hubungan diplomatik dengan Israel. Jadi, tentulah, jalannya lebih mudah apabila Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN meminta bantuan Vietnam dalam hal ini. Jika sebaliknya, barangkali agak sukar untuk aktivis-aktivis dibebaskan lebih awal.

Untuk memahami aliran sukar dalam seni diplomasi sesebuah negara untuk membebaskan rakyat semasa krisis, khususnya yang ditahan oleh Israel, saya menonton semula dua filem berdasarkan kisah benar, satu, filem Korea "Escape from Mogadishu" (2021) dan filem Inggeris lakonan Ben Affleck, "Argo" (2012).

Bagi saya, kedua-duanya, bukan sekadar kisah tahanan dramatik, tetapi cerminan seni diplomasi dalam krisis. Di lapis lain, ia menunjukkan bahawa, diplomasi bukan hanya berlaku di meja rundingan, tetapi juga di kapal dipenuhi peluru atau di penjara sarat dendam kesumat.

Baik "Escape from Mogadishu" atau "Argo", di dalamnya ada seni mengurus konflik yang memerlukan empati, komunikasi, dan keberanian moral. Inilah diplomasi. Ini baru diplomasi.

Bahawa "Escape from Mogadishu" adalah kisah benar yang berlaku pada tahun 1991 di Mogadishu, Somalia, ketika perang saudara meletus, mempamerkan kejayaan membebaskan pegawai diplomatik dan rakyat yang terperangkap, termasuk Duta dari dua Korea yang bertelingkah. Di tengah-tengah konflik yang tegang, ada seni dicapai melalui kerjasama empati, komunikasi lintas ideologi, sekali gus bukti bahawa kemanusiaan mampu menembusi sempadan politik.

Begitu juga "Argo" yang menyorot tindakan Kanada memberi perlindungan kepada enam diplomat Amerika adalah contoh diplomasi kemanusiaan dan solidariti.

Di sebalik berisiko tinggi terhadap hubungan dengan Iran, Kanada memilih nilai kemanusiaan mengatasi politik prinsip utama dalam seni diplomasi sejati yang akhirnya membawa kejayaan diplomat Amerika keluar dari Iran dengan selamat tanpa menimbulkan ketegangan antarabangsa.

Pada akhirnya, saya membuat kesimpulan, bahawa, walaupun dua filem itu, latarnya tidak sama - satu semasa perang saudara, manakala satu lagi pembebasan tebusan dalam kerangka membabitkan hubungan Amerika dan Kanada, tema yang diangkat di dalamnya tertumpah soal diplomasi.

Maka, jangan melihat diplomasi itu pada lapis seni rundingan semata-mata. Lihat juga asas manusiawi di tengah-tengah pasak rundingan dan bual bicara sebelum kejayaan dicapai - iaitu pembebasan, yang semestinya wajar dirai.

Diplomasi ialah usaha beradab untuk mencapai matlamat nasional melalui perhubungan damai antara negara. Adab itu terpakai bukan sahaja semasa seni rundingan itu berlangsung tetapi juga estetika selepas kejayaan rundingan. Itulah diplomasi, dan, saya katakan sekali lagi, ia wajar dirai bukan dicaci sebagai wayang.

Saya mahu menutup tulisan ini dengan memetik buku tulisan Steve Pinker, "The Black State". Saya ingin sekali senada dengan Pinnker, yang juga profesor di Jabatan Otak dan Sains Kognitif di Massachusetts, Amerika Syarikat.

Bahawa, tidak segan silu Pinker berkata, moral sesiapa sahaja, hatta kaum intelektual sekali pun boleh runtuh ketika mana sisi kemanusiaan itu hilang.

Diplomasi itu adalah susunan beradab. Beradab pula lambang kemanusiaan. Tanpa adab, orang tidak manusiawi. Tiada manusiawi, tentunya tidak berakal budi. Gagal menjadi berakal petanda tiada penawar kepada manusiawi untuk lebih dimengerti dan difahami.

Bahawa, saya mahu bersetuju, perang, pembersihan etnik, genosid, keruntuhan moral intelek mempamerkan rasa tiada kemanusiaan. Dan, menyamakan mereka yang mahu menjadi manusiawi kerana memperbetulkan "ketidakadilan" itu sebagai wayang adalah antara sindrom penyakit kemanusiaan yang sedang melanda kita.

Ia kemudiannya menyelak kepada makna dan pesan kemanusiaan sebenar yang semakin parah kita dipertanyakan. Melihat kepada peristiwa GSF dan FFC serta cara kita melayani isu kemanusiaan Palestin, soal perang dan krisis, juga diplomasi yang wajar dirai, kita barangkali tidak mempunyai jawapan untuk semua itu, kerana jawapan sebenarnya terletak kepada kejujuran batin kita.



* Azlinariah Abdullah menulis tesis PhD bertajuk "The Myanmar Rohingyas : Challenges Faced by the "Refugee" Community in Malaysia 2014-2016. Beliau ialah Editor Astro AWANI dan penerbit AWANI Pagi.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.








#diplomasi #Global Sumud Flotilla #Gaza #Freedom Flotilla Coalition