Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

[KOLUMNIS] Malaysia dan Responsible AI: Antara pembangunan dan kepercayaan

Kolumnis AWANI 19/08/2025 | 00:00 MYT
AI ibarat pisau bermata dua. Ia boleh mempercepat pembangunan, tetapi juga mampu menjadi ancaman. - Gambar hiasan/REUTERS
KECERDASAN buatan (AI) kini semakin mempengaruhi kehidupan rakyat Malaysia, daripada perbankan digital, pendidikan, hingga media sosial.

Namun laporan terbaru Stanford AI Index 2025 mendedahkan bahawa keyakinan rakyat terhadap masa depan teknologi ini semakin merosot.

Dalam laporan ini, negara hanya muncul di dalam Bab 8: Public Opinion, di mana laporan itu menyatakan Malaysia tidak mencatat peningkatan dalam kepercayaan bahawa AI akan memberi kesan besar dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Malah tahap optimisme menurun, terutama kerana kerisauan terhadap perlindungan data peribadi. Jika di Kanada dan Jerman keyakinan terhadap AI semakin meningkat, rakyat Malaysia lebih berhati-hati dan kurang yakin.

“Tanpa kepercayaan, pembangunan AI hanya akan menimbulkan keraguan dan rasa takut dalam masyarakat.”

Kebimbangan ini tidak datang tanpa alasan. Dunia digital hari ini dipenuhi dengan contoh penyalahgunaan AI. Teknologi deepfake digunakan untuk mencipta imej dan video palsu yang dijadikan senjata buli siber. Bot pintar menyebarkan mesej kebencian secara berulang, manakala teknologi voice cloning meniru suara ahli keluarga untuk memperdaya mangsa scam kewangan.

Rakyat sering menjadi mangsa kerana tidak memahami bagaimana teknologi ini bekerja. Tanpa pengetahuan, mereka mudah “dibutakan” oleh manipulasi digital.


Responsible AI Sebagai Jalan Tengah

Inilah titik pentingnya Responsible AI. Prinsip yang diterjemahkan sebagai sebuah kerangkaa ini menuntut teknologi dibangunkan secara telus, adil dan menghormati hak individu. Apabila rakyat celik Responsible AI, mereka lebih bersedia mengenal pasti penipuan digital, melindungi data peribadi, dan melaporkan kes buli siber.

Mereka bukan lagi pengguna pasif, tetapi pengawas awam yang kritis. Kerangka ini juga membantu pembangunan teknologi berasaskan AI yang lebih selamat, adil dan telus.

Malaysia kini berada di persimpangan. Kita mahu memanfaatkan AI untuk ekonomi dan inovasi, tetapi keresahan rakyat tidak boleh diabaikan. Pembangunan tanpa kepercayaan adalah pembangunan yang rapuh. “Responsible AI bukan sekadar konsep teknikal, tetapi perisai sosial rakyat Malaysia.”

Langkah ke hadapan menuntut pendidikan dan kesedaran. Modul literasi digital dan etika AI wajar diperkenalkan di sekolah serta universiti. Media massa harus menjelaskan isu AI dalam bahasa mudah, manakala syarikat teknologi mesti membuktikan komitmen melindungi data rakyat.

AI ibarat pisau bermata dua. Ia boleh mempercepat pembangunan, tetapi juga mampu menjadi ancaman. Laporan Stanford AI Index 2025 memberi isyarat jelas: rakyat Malaysia semakin berhati-hati. Jika kita mengangkat kesedaran Responsible AI, keraguan ini boleh ditukar menjadi kekuatan.

AI boleh menjadi alat kemajuan, tetapi lebih penting, ia harus menjadi benteng yang melindungi masyarakat daripada buli siber, scam digital, dan manipulasi.



* Artikel oleh Asma’ Abu Samah dan Nor Fadzilah Abdullah, Jabatan kejuruteraan Elektrikal, Elektrobik dan Sistem, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia.

** Penulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan bidang yang dijalaninya serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.



#kecerdasan buatan #AI #responsible AI #teknologi #keyakinan rakyat #ancaman