SEMASA lawatan  Datuk  Seri  Anwar  Ibrahim ke  Australia pada  7  Mac  2024,  beliau  telah mengeluarkan satu kenyataan yang boleh memberikan impak kepada hubungan antarabangsa khususnya di rantau Asia. 

Kenyataan ‘kita  tidak  mempunyai  masalah  dengan  China’ boleh memberikan implikasi yang besar kepada negara. Hal ini demikian kerana, negara perlu mengakui bahawa Malaysia sememangnya mempunyai masalah dengan China.

Menurut Roy Anthony Rogers, pensyarah kanan di Jabatan Strategi dan Kajian Antarabangsa Universiti Malaya, kenyataan daripada  pemimpin  tertinggi  negara  sememangnya  menjadi perhatian khususnya berkenaan dengan polisi negara.

Satu kenyataan atau ucapan khususnya daripada seorang Perdana Menteri boleh menjadi polisi negara sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa. Tindakan Perdana Menteri di peringkat antarabangsa misalnya akan menjadi kayu pengukur oleh negara-negara lain untuk melihat polisi yang akan dilakukan oleh negara tersebut.

Tidak dapat dinafikan dalam ilmu hubungan antarabangsa, kaedah diplomatik merupakan salah satu cara  untuk menyelesaikan pertikaian.

Namun demikian, kelemahan perundingan dalam kaedah diplomatik ialah negara yang lebih berkuasa boleh mempengaruhi hasil perundingan sehingga merugikan negara yang lemah.

Dalam konteks Asia, China merupakan negara yang lebih berkuasa berbanding negara-negara lain di rantau ini.

Justeru, China mampu untuk mempengaruhi perundingan khususnya berkaitan dengan konflik tuntutan yang berlaku di Laut China Selatan.

Malah, China juga akan bertindak sewenang-wenangnya kerana menyedari bahawa negara-negara lain khususnya di Asia tidak akan berani menentang China secara terbuka.

Sememangnya, Malaysia mempunyai masalah dengan China. Kenyataan ini bukanlah untuk menghalang peningkatan ekonomi atau kemajuan China seperti yang diucapkan oleh Anwar, tetapi ia merupakan realiti yang tidak boleh dinafikan.

Malaysia khususnya tidak boleh berada dalam keadaan penafian hanya kerana mementingkan sektor ekonomi kerana dengan berbuat demikian, kita akan dilihat sebagai mangsa yang mudah dibuli lagi-lagi oleh negara besar seperti China.

Walaupun  sememangnya China merupakan antara rakan dagang terbesar Malaysia dengan anggaran sebanyak RM450.84 bilion, tetapi dalam menangani konflik di Laut China Selatan, Malaysia sejujurnya memerlukan strategi lain.

Menurut Ian Storey, Felo Kanan dan Editor di Institut Yusof Ishak, Malaysia harus melindungi hubungan ekonomi yang terjalin dengan China daripada pertikaian tersebut.

Sememangnya, sejak awal 1990-an, strategi Malaysia adalah untuk menjalinkan hubungan ekonomi yang lebih erat dengan China sambil menyatakan pendirian yang lebih lunak terhadap China di peringkat  antarabangsa.

Namun demikian, pendekatan lunak tersebut sudah kelihatan tidak relevan kerana China seperti tidak mengendahkan pendekatan Malaysia.

Anwar juga mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan mengkritik China adalah fobia-China.

Sebenarnya, kritikan kepada China bukanlah kerana fobia dengan negara tersebut tetapi fobia  terhadap tindakan yang dilakukan China khususnya di perairan negara.

Apakah rasional seorang Perdana Menteri Malaysia mengeluarkan kenyataan mempertahankan China sedangkan China Coast Guard bertindak agresif di perairan negara?

Kalau benar kita tiada masalah dengan China, adakah negara tersebut juga mengakui mereka tiada masalah dengan kita?

Adakah China sanggup untuk menggugurkan sebahagian tuntutan besar Laut China Selatan yang berada di rantau kita, kalau benar mereka tiada masalah dengan kita?

Persoalan-persoalan ini harus dijawab sekiranya benar kita tidak mempunyai sebarang masalah dengan China.

Walaupun China menghargai pendirian Malaysia khususnya melalui ucapan yang dizahirkan oleh Perdana Menteri Malaysia, tetapi persoalan yang timbul, sejauh mana penghargaan tersebut diartikulasikan melalui bentuk tindakan?

Pada 18 Februari 2023 yang lepas, kapal pengawal pantai China telah menceroboh perairan ZEE Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali.

Selain itu, China juga telah menghantar kapal skrap yang bertujuan untuk mencuri khazanah laut dalam yang terletak diperairan negara.

Pada Mei 2023, kapal skrap yang diberi nama Chuan 68 bukan sahaja menceroboh perairan negara tetapi juga telah merompak khazanah negara iaitu HMS Prince of Wales yang terletak di perairan negeri Pahang.

Tindakan ini merupakan satu bentuk perompakan (piracy) berdasarkan artikel 101 Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Selain itu, Laut China Selatan juga kaya dengan hasil minyak dan gas.

Contohnya, di Kepulauan Spratly yang menjadi pertikaian dianggarkan terdapat 225 bilion tong simpanan minyak mentah.

Sekiranya China berterusan menunjukkan tindakan agresif untuk menuntut kawasan  tersebut di samping tindakan pimpinan negara yang bersifat acuh tak acuh, maka Malaysia berpotensi untuk kehilangan sumber ekonomi yang cukup besar.

Adakah ini penghargaan yang seharusnya diterima oleh negara?

Tambahan lagi,pada 20 Jun 2023,China juga telah menghantar kapal penyelidikan miliknya, Haiyang  Dizhi menceroboh Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia di Laut China Selatan.

Kapal tersebut bukan sahaja menceroboh perairan Malaysia, tetapi juga telah mengkaji potensi minyak dan gas di Sarawak.

China Coast Guard juga telah menggangu kapal-kapal pesisir milik Malaysia yang beroperasi di lapangan minyak dan gas Petronas menyebabkan wujud ketakutan terhadap para petugas yang berada di situ.

Menurut Seow E Kin, penyelidik Institut SEDAR, tuntutan Malaysia di kawasan perairan Laut China Selatan dianggarkan mempunyai 5 bilion tong simpanan minyak dan 80 trilion simpanan gas menjadikan kawasan tersebut menjadi rebutan oleh beberapa negara khususnya China.

Laporan Audit Kerajaan Malaysia pada tahun 2020 telah menyatakan bahawa kapal China telah menceroboh kawasan ZEE Malaysia sebanyak 89 kali.

Hakikatnya, China memandang remeh terhadap Malaysia.

Ucapan Anwar menggambarkan Malaysia merupakan sasaran yang mudah untuk diceroboh.

Kenyataan Anwar semasa lawatan ke Australian National University  bahawa kita perlu menghormati kemampuan dan kemajuan China merupakan sememangnya benar tetapi perkara tersebut akan disokong sekiranya China tidak bertindak agresif dengan kemampuan yang mereka ada.

Sekiranya Malaysia hendak mengekalkan status sebagai sebuah negara berkecuali di samping menjaga  kepentingan ekonomi negara, kepimpinan negara perlu untuk mempertahankan kedaulatan negara. 

Hal ini kerana, sekiranya kedaulatan negara diceroboh, Malaysia tidak seharusnya berdiam diri melainkan lebih vokal dalam menegakkan hak dan keselamatan negara.

Kementerian Luar Negeri seharusnya memberikan nasihat yag lebih baik kepada Perdana Menteri sekiranya beliau berucap di peringkat  antarabangsa.

Anwar pula perlu menonjolkan pendekatan yang menjaga kepentingan dan hak negara serta tidak memainkan retorika politik khususnya di peringkat antarabangsa.

Noktahnya, Kementerian Luar Negeri harus memperbetulkan tindak-tanduk pemimpin negara yang menggugat kedaulatan dan kepentingan negara



* Datuk Mohd Imran Tamrin merupakan peguam dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.