MALAYSIA

[KOLUMNIS] Malaysia selama Ini membaca angka tanpa ruang, apa maksudnya?

Nik Nuur Azam Shah 10/12/2025 | 23:30 MYT
Geohub DOSM menghubungkan angka dengan lokasi, menonjolkan rakyat miskin dan kawasan kurang akses internet, menjadikan data bukan sekadar nombor, tetapi kisah hidup sebenar rakyat Malaysia. - Foto Geohub DOSM
Kuala Lumpur: PERNAHKAH kita tertanya di mana sebenarnya rakyat yang miskin, atau kawasan yang kurang akses internet? Selama ini, statistik memberi jawapan dalam bentuk angka, tapi jarang menunjukkan “di mana” jawapan itu berlaku. Laman sesawang Geohub oleh Jabatan Perangkaan Malaysis (DOSM) yang dilancarkan minggu lalu hadir mengubah cara kita membaca Malaysia, menghubungkan angka dengan ruang, menjadikan data bukan sekadar angka, tetapi kisah hidup rakyat yang nyata.


Ringkasan AI
  • Geohub oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dilancarkan minggu lalu, mengubah cara kita membaca Malaysia dengan menghubungkan angka statistik dengan ruang, menjadikan data bukan sekadar angka tetapi kisah hidup rakyat.
  • Geohub DOSM dengan gabungan statistik rasmi nasional dan peta interaktif, memudahkan penggunaan untuk pembuatan dasar, penyelidikan, dan masyarakat, serta menjadi titik peralihan penting dalam cara negara membaca angka dan ruang secara serentak.
  • Harapan besar ialah agar data dalam Geohub dapat dipetakan mengikut kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) suatu hari nanti, membolehkan dasar negara lebih tepat, adil, dan menyentuh realiti rakyat secara langsung.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Malaysia hidup dalam perubahan, tetapi banyak perubahan hanya dirasakan, jarang divisualkan. Statistik diumum saban tahun, penuh angka, jadual dan graf, namun kosong daripada nilai ruang. Dengan Geohub, kita diberi peluang membaca negara dengan lebih jujur dan dekat kepada realiti, memahami bukan sahaja “apa” yang berlaku, tetapi juga “di mana”.

Sejarah data geospatial di Malaysia bukan baru. Sejak dekad 1990-an, infrastruktur seperti Malaysia Centre for Geospatial Data Infrastructure (MyGDI) dan portal negeri seperti Penang GeoHub telah wujud, menyediakan peta digital dan data ruang untuk pelbagai kegunaan
.
Namun, apa yang membezakan Geohub DOSM ialah gabungan statistik rasmi nasional dengan peta interaktif, menjadikannya lebih mesra pengguna, telus, dan bersepadu untuk pembuatan dasar, penyelidikan, dan masyarakat. Ia bukan permulaan data ruang di Malaysia, tetapi satu titik peralihan penting dalam bagaimana negara membaca angka dan ruang secara serentak.

Kita terlalu lama membaca masalah sosial dan ekonomi hanya dalam angka. Kemiskinan, pendidikan, akses kesihatan, atau tekanan ekonomi dibincangkan, tetapi kita jarang benar-benar tahu di mana ia berlaku. Angka tanpa peta ibarat nota muzik tanpa melodi, kita boleh membacanya, tetapi ia tidak hidup. Dengan Geohub, jurang itu mula jelas.

Bayangkan peta yang menunjukkan jarak sebenar keluarga di pedalaman Sabah ke pusat kesihatan, atau peta akses internet yang memperlihatkan kawasan yang terputus daripada transformasi digital, atau peta populasi warga emas yang menyorot wilayah yang semakin sunyi dan memerlukan sokongan sosial. Semua ini bukan sekadar angka, tetapi kisah hidup rakyat yang menuntut perhatian.

Geohub menjadikan prinsip itu nyata, data bukan sekadar laporan, ia adalah panduan untuk tindakan. Dengan konteks ruang, angka menjadi lebih daripada simbol, ia menjadi cerita yang menuntut kita bertindak dengan telus dan rasional.

Harapan besar adalah agar data dalam Geohub suatu hari nanti dapat dipetakan mengikut kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), unit politik yang paling dekat dengan kehidupan rakyat. Di sinilah denyut sebenar pembangunan dan peluang hidup dapat diperhatikan.

Jika statistik kemiskinan, pendidikan, kesihatan atau risiko bencana dapat dilihat mengikut sempadan ini, dasar negara akan menjadi lebih tepat, adil, dan menyentuh realiti rakyat secara langsung. Wakil rakyat dapat melihat peta kawasan mereka dengan jelas, media boleh menyiarkan kisah sebenar, dan penyelidik dapat menganalisis corak yang sebelumnya tersembunyi dalam angka.

Geohub hadir tepat pada masanya, menawarkan panduan visual untuk memahami negara dengan lebih baik. Tetapi lebih penting daripada pelancarannya ialah bagaimana platform ini digunakan. Diharapkan pemegang taruh, penggubal dasar, penyelidik, wartawan, sektor swasta dan masyarakat umum dapat memanfaatkannya secara aktif. Tanpa penggunaan, Geohub hanya menjadi portal cantik yang tidak mengubah realiti.

Sebagai individu berlatar belakang sarjana muda geografi, saya melihat pelancaran ini sebagai langkah besar dalam usaha membaca Malaysia secara menyeluruh. Geohub bukan sekadar portal atau peta, ia adalah bahasa baharu yang mengajar kita memahami angka dalam konteks ruang, menyalakan perspektif yang selama ini kabur, dan membuka jalan kepada dasar dan tindakan yang lebih bijaksana, lebih manusiawi, dan lebih dekat dengan kehidupan rakyat.



* Nik Nuur Azam Shah merupakan wartawan Astro AWANI yang berkelulusan jurusan Geografi dari Universiti Malaya.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.



Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apa yang membezakan Geohub DOSM daripada inisiatif geospatial sebelum ini di Malaysia?
    A: Geohub DOSM dengan menggabungkan statistik rasmi nasional dengan peta interaktif, menjadikannya lebih mesra pengguna, telus, dan bersepadu untuk pelbagai kegunaan.
  • Q: Mengapakah Geohub dianggap sebagai titik peralihan penting dalam cara membaca angka dan ruang di Malaysia?
    A: Geohub dianggap sebagai titik peralihan penting kerana ia mengubah cara negara membaca angka dan ruang secara serentak, membolehkan pemahaman yang lebih jujur dan dekat kepada realiti rakyat.
  • Q: Bagaimanakah harapan penggunaan data Geohub mengikut kawasan politik dapat mempengaruhi pembuatan dasar negara?
    A: Harapan besar ialah apabila data dalam Geohub dapat dipetakan mengikut kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), ia akan membantu pembuatan dasar negara menjadi lebih tepat, adil, dan menyentuh realiti rakyat secara langsung.



#Geohub DOSM #Data Geospatial #DoSM #Parlimen #DUN