MALAYSIA

[KOLUMNIS] Melangkaui garisan negara; Sebuah rantau budaya

Azharul Azmir Kamarulzaman 18/10/2025 | 10:00 MYT
Madani International Film Festival - sebuah festival filem yang dianjurkan sejak tahun 2018 di Jakarta.
SEBUAH kesempatan tidak hanya akan lahir secara kebetulan dengan aturan Tuhan -- melainkan perlu turut diiringi impian dan usaha; sebelum dilengkapi tawakal kepada-Nya. Itu optimisme yang saya bina dalam beberapa minggu terakhir ini.

Lebih sebulan saya tidak berkesempatan menulis di ruangan ini -- tuntutan tugasan hakiki begitu mendesak. Ia bulan yang agak padat, termasuk kunjungan kerja saya ke dua buah negara jiran.

Tanggal 16 September, ketika Malaysia menyambut hari ulang tahun ke-62, saya berada di utara Narathiwat -- tepatnya sebuah mukim bernama Palukasamo, dalam daerah Bacho di selatan Thailand. Meski sering ke selatan Thailand, ini pertama kali saya ke Narathiwat.

Salah sebuah dari tiga buah wilayah di selatan Thailand yang sebelum ini sering diberikan gambaran sebagai kawasan bergolak -- namun saya suka untuk melihat Narathiwat dari perspektif berbeza; bahawa ia sebuah daerah yang punya potensi budaya yang besar.

Integrasi budaya di antara selatan Thailand dengan utara serta pantai timur Semenanjung Malaysia memperlihatkan banyak persamaan gaya hidup. Meski lazimnya wilayah di sempadan seringkali diperkatakan dalam konotasi yang kurang manis, namun hubungan warga di kedua wilayah di dua negara ini memberikan warna-warni yang tersendiri.

Saya hadir ke Narathiwat bagi memantau sekaligus memberikan sokongan kepada pasukan produksi sebuah filem yang saya terlibat melalui kerjasama dengan rakan penerbit Thailand. Meski ralat kerana hanya berkesempatan hadir pada hari terakhir penggambaran -- namun saya teruja kerana ini pertama kali saya dapat terlibat dalam sebuah produksi filem Thailand; sesuatu yang telah lama diusahakan.

Diterajui oleh syarikat produksi sahabat saya yang berpengkalan di Bangkok, filem ini dijangka akan menemui penonton di pawagam pada tahun hadapan. Kerjasama awal ini diharapkan dapat membuka jalan kepada kolaborasi yang lebih komprehensif pada masa akan datang -- memperkasa jalinan sinema di kedua negara. Tidak hanya dalam konteks pasaran dan urusniaga, tetapi juga pencitraan hubungan budaya kedua negara.

Menjejaki Narathiwat dalam masa yang singkat tetap memberikan saya peluang menjadi saksi kepada kehidupan masyarakat di sini -- sebagai wilayah yang menjadi salah satu di antara fokus gerakan perdamaian diterajui Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini.

Sebagai individu yang percaya bahawa filem mempunyai pengaruh dan impak besar dalam usaha diplomasi -- saya percaya peranan besar boleh diberikan kepada cerita di layar bagi menjadi wahana toleransi yang melahirkan persefahaman.

Filem yang diusahakan bersama sahabat saya ini -- yang sememangnya berasal dari Narathiwat -- diharapkan mampu mengisi makna kepada usaha membina wajah yang lebih berwarna kepada wilayah ini.

Tiga minggu kemudian -- berbeza lokasi -- namun harapan yang sama dibawa ketika saya ke Jakarta.

Filem terbitan penulis berjudul Ninavau dipilih untuk tayangan di Madani International Film Festival.


Kunjungan ke Jakarta kali ini bagi menghadiri Madani International Film Festival -- sebuah festival filem yang dianjurkan sejak tahun 2018.

Ia kini memasuki edisi ke-8 adalah sebuah festival yang memfokuskan filem-filem yang memaparkan kehidupan masyarakat Muslim di pelbagai pelosok dunia -- sama ada Muslim sebagai majoriti mahupun minoriti.

Kehadiran saya ke festival ini adalah kerana salah sebuah filem terbitan saya berjudul Ninavau dipilih untuk tayangan di festival ini -- sebuah penghormatan yang saya raikan dengan menghadirkan diri bersama sahabat – Bebbra Mailin -- yang juga pengarah bagi filem tersebut.

Sebelum ditayangkan di pawagam seluruh negara dalam masa terdekat, ia merupakan tayangan luar negara yang pertama bagi Ninavau.

Madani International Film Festival tahun ini diadakan di beberapa lokasi -- termasuk di dalam talian -- dengan Taman Ismail Marzuki (TIM) menjadi lokasi utama. Tayangan filem cereka pula -- termasuk tayangan Ninavau -- diadakan di Centropole XXI, iaitu pawagam tertua di Indonesia yang masih beroperasi.

Sebagai seorang pecinta warisan, sebuah penghargaan apabila Ninavau ini dapat ditayangkan bukan sahaja di festival ini -- tetapi juga di sebuah binaan yang punya kisah sejarahnya yang tersendiri.

Meski Jakarta antara adalah ibu kota negara di ASEAN yang paling kerap saya kunjungi -- setiap acara yang dihadiri memberikan keterujaan; yang membawa pengalaman tersendiri.

Sesuai dengan tema dan latar yang dibawa oleh filem Ninavau -- sebagai usaha membawa representasi yang jarang disentuh dalam sinema Malaysia -- saya gembira apabila diskusi pasca tayangan membawa kepada wacana yang diharapkan.

Perbincangan yang segar dengan intipati identiti kita di wilayah ini yang majmuk dan pelbagai.

Seusai tayangan, saya berkesempatan berbual dengan antara penonton -- sekumpulan anak muda alumni Universiti Indonesia dari pelbagai bidang pengajian yang bergabung menggagas IMAC Film Festival, salah sebuah festival filem pendek di Indonesia. Festival ini sudah memasuki edisi ketiga tahun hadapan.

Setelah selesai tayangan, saya juga dibawa makan malam oleh salah seorang sahabat -- seorang pensyarah perfileman warganegara Malaysia -- yang sudah lebih satu dekad menetap di Jakarta.

Kami turut ditemani rakan-rakan lain warga tempatan dari pelbagai latar belakang -- ada yang dari Manado di Sulawesi Utara – serta rakan warga asli pulau Jawa; kami berbual tentang pelbagai perkara – dan penuh dengan gelak tawa.

Meski aktiviti beberapa minggu ini mungkin boleh dilihat sebagai sebagai rutin biasa bagi saya yang suka berkelana ke pelbagai destinasi dan menemui kenalan lama dan baharu, namun setiap perjalanan menjanjikan sudut pandang yang sentiasa menyegarkan.

Pengalaman dalam sebulan terakhir ini tambah meyakinkan apa yang saya percaya selama ini, bahawa kita sebagai warga sebuah wilayah serantau -- mempunyai banyak sebab untuk menggerakkan upaya bersama. Sempadan politik yang dipisahkan negara bangsa ini hanya sebuah aturan rasmi yang tidak akan dapat memutuskan keakraban kebudayaan yang terbina sejak sekian lama.

Kita mampu membangunkan sebuah wilayah budaya rentas sempadan yang punya citra yang tersendiri; dengan memaknai jenama Asia Tenggara di mata dunia.

Lalu, membuktikan bahawa kerjasama serantau itu bukan sekadar tugas dan peranan pihak kerajaan dan pemerintah yang memegang tampuk kuasa -- tetapi boleh digerakkan dengan kuasa yang ada di tangan setiap dari kita sebagai warga.

Oleh itu, keyakinan itulah yang boleh diusahakan -- menjadikan ia sebuah realiti.


* Penulis merupakan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF) dan Pengarah Urusan bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.






#diplomasi filem #selatan thailand #Integrasi budaya #Madani International Film Festival