ASPIRASI Malaysia MADANI diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlandaskan enam rukun utama iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

Elemen pendidikan antara isu utama dalam pembuatan dasar berkaitan, dan penting bagi masyarakat dan setiap warga dalam sistem pendidikan negara untuk memahami dan menghayatinya dengan baik.


Kemampanan: Membangunkan pemikiran kelestarian alam sekitar


Kemampanan (sustainability) bermaksud keupayaan untuk memenuhi keperluan semasa, tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka sendiri.

Dalam aspek pendidikan, penekanan dalam kemampanan atau kelestarian alam sekitar menjadi fokus utama. Universiti tempatan diajak memperkenal pendekatan lintas bidang, sebagai contoh, menggabungkan pengetahuan bidang sains, perfileman dan kejuruteraan bagi mencari solusi cabaran kelestarian.

Saintis dan jurutera misalnya boleh bekerjasama dengan seniman untuk mencipta naskah seni yang menggalakkan pemeliharaan alam sekitar.

Amalan kreativiti dalam pengubahsuaian sekolah dan kampus berlandaskan konsep lestari juga harus digalakkan, misalnya memasukkan teknologi hijau dalam seni bina seperti penggunaan panel solar dan pengwujudan sistem pengumpulan air hujan yang jatuh pada bangunan.

Pembelajaran di luar persekitaran biasa juga boleh menyemai penghayatan kemampanan alam sekitar. Sebagai contoh, pelajar diajak memerhati dan berfikir tentang inovasi baru dalam bidang pertanian yang boleh dilaksanakan bagi memastikan bekalan makanan berterusan bukan hanya untuk keperluan manusia hari ini, malah pada masa hadapan.

Mengambil iktibar pengalaman semasa pandemik COVID-19 di mana keperluan akan penyelidikan dan penyelesaian segera adalah penting, penerokaan bidang teknologi makanan seharusnya tidak dipandang ringan.

Tidak ketinggalan, di peringkat pengajian tinggi, kajian dalam bidang kemampanan dan perubahan iklim menjadi landasan ke arah memahami dan mengatasi cabaran-cabaran iklim masa depan.

Negara mesti mempersiapkan diri untuk menghadapi sebarang impak buruk kemelut iklim dan memperkukuh kemampuan negara untuk mengurus dan bertahan jika diuji dengan bencana alam sekitar seperti banjir besar.


Kesejahteraan: Membangunkan ekononi tanpa mengetepikan kesejahteraan

Kesejahteraan dari lensa aspirasi MADANI diinterpretasikan sebagai tidak semata mencari kesejahteraan duniawi seperti kekayaan dan kebendaan, sebaliknya menyeimbangkan keperluan jasmani dan rohani.

Oleh itu, sokongan harus diberi kepada universiti tempatan untuk menghasilkan ilmu yang memberi fokus kepada teknologi baharu yang mampu menangani keperluan semasa. Sebagai contoh, bidang ekonomi dan kesejahteraan penting untuk negara menghadapi cabaran ekonomi pada masa mencabar, namun pada masa sama kesejahteraan rakyatnya tetap terjamin.

Antara bidang berkaitan ekonomi yang boleh diberi perhatian ialah ekonomi digital seperti e-commerce dan fintech. Kedua, ekonomi kreatif yang menggalakkan lebih banyak penghasilan naskah seni bertaraf dunia yang mengangkat budaya Malaysia.

Ketiga, teknologi perubahan seperti mengkaji impak kecerdasan buatan (Artificial intelligence), robotik dan Internet of things (IoT) dalam industri dan ekonomi negara, dan yang terakhir bidang ekonomi kesihatan yang menerokai teknologi baru berkait rapat dengan penjagaan kesihatan serta pengurusan kos dan aksesibilti kepada perkhidmatan kesihatan.

Universiti tempatan perlu berusaha untuk terus mengemaskini program pengajian agar relevan dengan cabaran semasa dan keperluan negara, di samping mampu menjana ekonomi yang mampan.

Untuk memastikan ekonomi negara berkembang seiring dengan kesejahteraan rakyatnya, antara bidang yang perlu diberi perhatian termasuk menyelidik isu berkaitan kesejahteraan masyarakat seperti penjagaan kesihatan mental, penjagaan golongan kurang upaya dan warga emas, kesejahteraan kanak-kanak, keluarga dan komuniti setempat.

Memastikan hak-hak golongan ini terpelihara dalam masyarakat amat penting agar negara tidak hanya mempunyai sistem ekonomi yang baik, namun di dalamnya didiami rakyat yang sihat dan terjamin kesihatan mental dan sosialnya demi kesejahteraan dan keselamatan negara yang berterusan.




Daya Cipta: Kekal relevan di era digital

Aspirasi MADANI meletakkan konsep daya cipta sebagai agenda penting dalam menyediakan masyarakat yang tidak semata menjadi pengguna, malah penyumbang aktif mencorak teknologi yang menyumbang kepada kehidupan yang lebih baik.

Pendidikan Malaysia menghadapi cabaran yang semakin kompleks di era digital, dan membawa perubahan amatlah penting bagi mewujudkan generasi berdaya saing dan relevan dengan kemajuan dunia semasa.

Kemahiran coding merujuk keupayaan untuk menulis dan memahami bahasa pengaturcaraan komputer. Keupayaan mencipta dan menulis kod-kod tertentu membolehkan arahan diberi kepada komputer untuk melaksanakan pelbagai tugas seperti menghasilkan aplikasi, perisian, laman web atau permainan komputer.

Pelajar yang mempunyai kemahiran pengekodan adalah aset negara yang yang mampu bertahan dalam pasaran pekerjaan kompetitif kerana kemampuan mencipta teknologi terkini selari permintaan pasaran.

Melalui keusahawan digital contohnya, ilmu coding membuka peluang untuk pelajar memahami dan mengembangkan aplikasi atau perisian sendiri. Ini menyuntik semangat keusahawanan di atas talian, membolehkan mereka mencipta produk dan perkhidmatan relevan dengan keperluan ekosistem pasaran digital.

Hal ini seterusnya membuka pintu kepada peluang ekonomi lebih besar di dunia. Dengan menerapkan konsep-konsep ini dalam sistem pendidikan Malaysia, kita dapat melonjak ke hadapan sebagai negara yang menghasilkan individu kreatif, adaptif, dan berdaya cipta.


Hormat: Mencipta persekitaran digital yang selamat

Antara tumpuan utama rukun hormat bagi elemen pendidikan ialah tatasusila dan etika penggunaan media sosial dan teknologi baharu.

Dengan memasukkan aspek ini dalam kurikulum pendidikan, pelajar tidak hanya memperoleh pengetahuan tentang penggunaan teknologi, malah memahami nilai-nilai seperti kesopanan dalam talian, menghargai privasi orang lain dan menggunakan platform media sosial dengan beretika dan bertanggungjawab.

Pelajar diharap dapat menjalin hubungan sosial berkualiti dalam dunia maya, mengurangkan risiko konflik dan buli siber, serta membina komuniti dalam talian yang penuh hormat dan bertimbang rasa.

Selain itu, tanggungjawab menyebarkan maklumat, integriti dalam penulisan dan kesedaran akan kesannya terhadap masyarakat juga perlu diterap dalam kurikulum pendidikan.

Pendekatan ini bukan sahaja membina generasi masa depan cemerlang akademiknya, malah membentuk masyarakat yang hormat perasaan orang lain, seterusnya membantu pembangunan emosi dan empati pelajar.

Dengan memasukkan nilai hormat dalam kurikulum pendidikan, kita tidak hanya membina generasi cerdas secara akademik tetapi juga individu berempati, hormat orang lain dan bertanggungjawab dalam dunia digital yang semakin kompleks. Ini memberi asas kukuh untuk masyarakat bermoral dan beradab dalam menyelusuri dunia informasi tanpa sempadan.




Keyakinan: Membina keyakinan terhadap sistem pendidikan negara

Rukun keyakinan ini antara lain memberi penekanan kepada usaha memperoleh keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan negara. Ini penting bagi kerajaan untuk memastikan akses pendidikan setara bagi semua lapisan masyarakat, tanpa memandang latar belakang sosial, ekonomi atau etnik.

Bagi menambahkan keyakinan antara kaum, pembinaan sebuah kurikulum dalam bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris yang menyemai keyakinan nasional, pengetahuan sejarah dan tradisi budaya Malaysia dalam konteks keempat-empat bahasa ini amat penting.

Guru-guru mestilah dilatih untuk memiliki pemahaman mendalam tentang kebudayaan dan nilai-nilai dalam masyarakat berbilang kaum dan memastikan apa yang diajar mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia yang seterusnya mewujudkan perasaan saling memahami dan menghormati persamaan dan perbezaan.

Menggalakkan aktiviti kebudayaan bersama antara pelajar berbilang kaum adalah usaha yang seharusnya diterus dan diperbanyakkan lagi bagi mengekalkan perpaduan dan keyakinan antara kaum.


Ihsan: Menyemai sikap peduli sesama insan

Aspirasi Ihsan dalam kerangka MADANI bermaksud peduli, belas kasihan dan prihatin terhadap penderitaan dan keperluan orang lain, seterusnya disusuli azam untuk menamatkan penderitaan itu.

Nilai-nilai berkaitan ihsan seperti kejujuran, keikhlasan dan kasih sayang boleh disemai bermula dari sekolah. Subjek Pendidikan Moral contohnya, boleh diperkaya dengan elemen ihsan yang membimbing pelajar pentingnya memberi dan berkhidmat kepada masyarakat yang memerlukan.

Aktiviti luar bilik darjah seperti kempen membantu mangsa banjir dapat menghasilkan pelajar yang peka dengan kesusahan orang lain, dan mengikis perasaan pentingkan diri. Hal ini boleh dilakukan dengan mengajak pelajar mengumpul barang keperluan untuk mangsa banjir seperti pakaian, makanan kering, bantal dan selimut bagi mengurangkan beban mereka.

Selain itu, di peringkat pengajian tinggi, festival kemasyarakatan misalnya, boleh dijalankan untuk menyebar kesedaran tentang pentingnya perasaan peduli dan kasih sayang sesama manusia.

Kerjasama antara universiti, komuniti setempat dan badan bukan kerajaan adalah digalakkan bagi menganjurkan program sosial dan kebajikan. Festival Altruisme anjuran Universiti Teknologi MARA dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam baru-baru ini misalnya, salah satu usaha murni bagi memupuk sifat ihsan mahasiswa, warga universiti dan masyarakat setempat.

Altruisme bermaksud sifat atau prinsip suka mengutamakan kebajikan atau kebahagian orang lain berbanding diri sendiri.

Rukun ihsan juga menekankan usaha untuk meringankan beban kewangan pelajar kurang bernasib baik seperti mewujudkan biasiswa dan geran khas bagi mengurangkan kos dan beban kewangan mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Usaha murni ini mampu mengelak berlaku ketidakadilan kepada pelajar yang berpotensi besar menyumbang kepada pembangunan negara dari aspek kemahiran dan intelektual.

Visi pendidikan berasaskan rukun Malaysia MADANI memerlukan kerjasama semua pihak Meskipun matlamat pendidikan melalui enam rukun asas seperti di asas adalah jelas, namun ia memerlukan usaha menyeluruh, bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa dari pelbagai pihak iaitu kerajaan, kementerian berkaitan, pihak sekolah dan guru-gurunya, serta universiti dan tenaga pengajarnya.

Tidak dilupakan sokongan ibu-bapa dan masyarakat setempat. Hanya melalui pembinaan kurikulum yang rapi, relevan, munasabah dengan situasi semasa dan pelaksanaan bersungguh-sungguh akan membawa kejayaan pencapaian sistem pendidikan yang benar-benar bersedia menghadapi cabaran masa depan terutama di zaman informasi tanpa sempadan ini.



*Wan Faizatul Azirah Ismayatim merupakan  pensyarah di Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA Shah Alam, Selangor, yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat PhD dalam bidang Pendidikan di University of Edinburgh, Scotland.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.