Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Memaknai pengalaman kampus untuk kehidupan sebenar

santuni warga emas_Universiti Malaysia Terengganu
Pengajian di kampus bukanlah semata-mata mengejar kecemerlangan akademik tetapi meraih sebanyak mungkin pengalaman kampus untuk persediaan kehidupan akan datang. - Gambar hiasan

PENULIS suka meminjam kata-kata hikmah oleh Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz dalam buku Mahasiswa Menggugat. 

Beliau menulis, “belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju, tanpa pemimpin, berpengalaman (mencabar) dan terpelajar.”

Advertisement

Mengapa kita perlu memberi tumpuan kepada pengalaman mahasiswa di kampus? 

Hal ini kerana kampus atau universiti bukanlah sifatnya seperti sekolah tinggi dan lanjutan dari alam persekolahan.

Sebaliknya, ia sebuah institusi yang menawarkan suatu ekosistem kehidupan yang sangat berbeza. 

Di kampuslah, mereka mengurus kedewasaan, belajar daripada kesilapan, mengerti makna kehidupan dan menjadi manusia yang bertanggungjawab. 

Malah, pengalaman mahasiswa di kampus inilah yang membentuk  karakter mereka menjadi manusia yang lebih bersedia menempuh kehidupan.

Lebih penting, pengalaman ini menjadikan mereka manusia yang dapat memperagakan nilai-nilai kemanusiaan yang semakin sirna dalam masyarakat kita seperti empati, cakna, tolak-ansur, dan menghormati perbezaan juga kepelbagaian.

Pengajian di kampus bukanlah semata-mata mengejar kecemerlangan akademik tetapi meraih sebanyak mungkin pengalaman kampus untuk persediaan kehidupan akan datang.

Sewaktu menyampaikan penzahiran iltizam 2026 baru-baru ini, penulis memberi penekanan soal pengalaman mahasiswa. 

Tulisan ini memberi fokus kepada lima aspek penting dalam memaknai pengalaman mahasiswa di kampus yang sekali gus membentuk karakter mereka sehingga dapat memperagakan nilai-nilai kemanusiaan.

Pertama, pengalaman kehidupan di kampus bermakna seseorang mahasiswa itu bukan menjalani suatu kehidupan yang biasa seperti waktu sebelumnya. 

Akan tetapi, mereka perlu untuk keluar daripada zon selesa. Sekiranya sebelum ini kebanyakan urusan ditentukan oleh ibu bapa dan para guru di sekolah, kini mereka perlu menentukan arah dan hala tuju kehidupan dengan sendiri. Pilihan berada di tangan mereka.

Kedua, mahasiswa perlu menguruskan kedewasaan dengan membuat keputusan sendiri secara rasional dan matang. 

Negara sebenarnya mengiktiraf kematangan mahasiswa sebagai generasi muda yang mempunyai peranan yang besar. 

Ini dapat dilihat melalui hak mengundi yang diberikan apabila had umur diturunkan daripada 21 ke 18 tahun.

Melalui agenda pemerkasaan mahasiswa, sudah banyak ruang dan peluang dibuka kepada mahasiswa. 

Pelbagai aspek kebebasan telah dijamin oleh Kerajaan seiring dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). 

Justeru, pendekatan berhemah dan diplomasi yang mempamerkan budaya dan adab yang tinggi sangat dituntut.

Ketiga, sepertimana kata-kata Profesor Diraja Ungku Aziz, mahasiswa perlu sentiasa mencabar. 

Sikap untuk mencabar ini suatu yang baik namun ia perlu disalurkan kepada perkara yang positif dan membina. 

Misalnya, bagaimana mahasiswa mencabar diri dengan mengemukakan idea-idea segar dan mencari jalan penyelesaian dalam sesuatu cabaran semasa yang dihadapi oleh negara.

Kumpulan mahasiswa tidak sewajarnya menjadi kumpulan penerima semata-mata tetapi menjadi kumpulan yang proaktif memberikan sumbangan dalam aspek idea dan pandangan dalam isu-isu negara.

Kerajaan kini membuka ruang seluas-luasnya kepada anak muda khususnya penuntut di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam menyuarakan pandangan dan suara hati mereka. 

Malah, dalam konteks Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyediakan platform khas kepada pemimpin mahasiswa memberi input pelaksanaan secara terbuka. Ini boleh dilihat melalui Makmal dan Dialog Kemenjadian Mahasiswa RPTM 2026-2035 yang telah diadakan pada bulan Februari yang lalu.

Pendekatan dialog juga menjadi keutamaan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam usaha beliau mendengar suara hati mahasiswa dalam pelbagai isu secara lebih dekat.

Keempat, mahasiswa yang memaknai pengalaman kampus adalah mereka yang berani melakukan kesilapan untuk menjadi manusia yang lebih baik. 

Melakukan kesilapan ini tidak boleh diertikan sebagai sengaja membuat kesilapan sehingga boleh menjatuhkan maruah diri dan nama baik universiti tetapi suatu proses penting dalam mengurus kedewasaan khususnya membangunkan potensi diri menjadi manusia yang lebih baik.

Belajar daripada kesilapan dan tidak mengulangi kesilapan yang sama pada masa akan datang dapat memberikan kematangan dan pengalaman berharga kepada mahasiswa untuk terus menjadi insan yang terbaik.

Kelima, pengalaman kampus mahasiswa tidak hanya berkisar tentang diri mereka semata-mata. 

Dalam kata lain, pengalaman kampus tidak berlaku sekiranya mahasiswa hanya memikir dan mementingkan diri sendiri. 

Sebaliknya, mereka perlu cakna dan prihatin terhadap persekitaran khususnya komuniti.

Persekitaran yang dimaksudkan di sinilah turut meliputi rakan sebaya, pihak berkepentingan dan alam sekitar. Interaksi dengan pihak lain ini akan memberi nilai tambah dan pengalaman yang berbeza kepada mahasiswa.

Sebagai contoh, mahasiswa yang cakna dan prihatin kepada perkembangan komuniti setempat akan berusaha melaksanakan pelbagai aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada pembangunan komuniti secara lestari. 

Ini termasuk meningkatkan sosio ekonomi komuniti melalui inisiatif keusahawanan sosial.

Inilah juga nilai yang wajar ditanam dalam kalangan mahasiswa, iaitu nilai darmabakti yang memberi sebanyak-banyaknya. Bukan meminta-minta dan menerima sebanyak-banyaknya.

Hakikatnya, banyak program yang boleh disertai oleh mahasiswa melalui persatuan, kelab dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk di luar negara. 

Penyertaan ini akan menyaksikan mahasiswa dapat memasyarakatkan diri sendiri demi pengalaman kampus yang berbeza.

Secara tuntasnya, usaha meraih pengalaman sepanjang pengajian di kampus sangat kritikal dalam melahirkan mahasiswa idaman yang bersedia menempuh kehidupan sebenar.

Pengalaman kampus ini boleh diraih melalui lima pendekatan, iaitu keluar dari zon selesa, menguruskan kedewasaan dengan membuat keputusan sendiri secara rasional dan matang, sentiasa mencabar potensi diri, berani melakukan kesilapan untuk menjadi manusia yang lebih baik dan berinteraksi dengan pihak lain.

Percayalah, mahasiswa yang meraih pengalaman (berpengalaman) di kampus bukan sahaja memberi manfaat kepada pengukuhan potensi dan bakat mereka tetapi menjadi benteng kepada nilai-nilai kemanusiaan yang semakin terhakis sejak akhir-akhir ini.

Inilah aspirasi dalam RPTM 2026-2035 yang cuba dizahirkan melalui usaha mengangkat martabat mahasiswa sebagai pembina negara berpaksikan kemanusiaan.


  • Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
  • Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

 

Must Watch Video