[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

[KOLUMNIS] Membina lantai perlindungan sosial untuk setiap kanak-kanak

Kolumnis AWANI 24/09/2025 | 09:22 MYT
Liputan perlindungan sosial bagi keluarga di PPR menunjukkan peningkatan sejak kajian Living on the Edge dijalankan. - Gambar hiasan
"BARANG baby makin mahal — tak tahu macam mana nak hadap (kos) lepas dapat anak nanti,” luah seorang ibu hamil di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Kuala Lumpur.

Kerisauan beliau tentang kos barangan bayi yang semakin meningkat mencerminkan kebimbangan harian ramai ibu bapa yang membesarkan anak-anak di flat kos rendah sekitar ibu negara. Suara beliau, dan ramai lagi, menjadi peringatan mengapa ASUH KL begitu penting.

Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) baru-baru ini antara UNICEF dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menandakan satu langkah besar dalam usaha Malaysia ke arah pembangunan bandar yang inklusif dan sistem perlindungan sosial yang lebih kukuh. Dihasilkan melalui penglibatan komuniti dan penyelidikan bertahun-tahun, program perintis perlindungan sosial bersepadu ASUH KL kini bersedia untuk dilancarkan. Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk merangka semula cara kita menyokong pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak yang tinggal dalam kawasan PPR di sekitar Kuala Lumpur, agar mereka dapat mencapai potensi sepenuhnya.

Sejak tahun 2017, UNICEF telah mendekati banyak keluarga menerusi siri kajian tentang tahap keperluan asas kanak-kanak seperti Children Without Families on the Edge dan Living on the Edge. Kajian ini bukan sahaja menumpu kepada rintihan mereka, tetapi juga merekodkan ketabahan mereka, dan menyaksikan sendiri bagaimana kemiskinan terus diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Hasil kajian ini telah mewujudkan satu kerjasama strategik dengan Kementerian Kewangan menerusi Belanjawan 2025 untuk melaksanakan program perintis ASUH KL di mana objektif utama ialah untuk menangani kemiskinan dan kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun.

Dengar Dahulu: Pendekatan Berasaskan Komuniti

Kami berpandukan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 1: untuk menghapuskan kemiskinan dalam semua bentuk di seluruh dunia. Salah satu sasarannya ialah pelaksanaan lantai perlindungan sosial menyeluruh untuk semua. Dengan matlamat ini, kami meneliti bagaimana program yang terbukti berkesan di peringkat global yang menggabungkan bantuan tunai dengan perkhidmatan sosial boleh diterjemahkan dalam konteks bandaraya Kuala Lumpur.

Sebelum merangka intervensi, kami turun padang, dengan hati terbuka, tanpa tanggapan tetapi persoalan. Kami berjumpa dengan pemimpin komuniti, persatuan penduduk dan NGO yang aktif di lapangan untuk memahami perkhidmatan sedia ada, mengenal pasti jurang yang masih wujud, dan mendengar cadangan penyelesaian daripada komuniti PPR itu sendiri.

Pada masa yang sama, kami turut menjalankan tinjauan asas untuk memahami bagaimana penjaga memberi makanan kepada anak-anak mereka, jenis perkhidmatan yang dapat diakses, halangan yang dihadapi, dan sokongan yang masih belum diperolehi. Penunjuk-penunjuk ini akan terus dipantau sepanjang pelaksanaan program bagi menilai sejauh mana keberkesanan ASUH KL dalam memenuhi keperluan komuniti.

Setakat ini, terdapat perkembangan yang cukup memberangsangkan. Liputan perlindungan sosial bagi keluarga di PPR menunjukkan peningkatan sejak kajian Living on the Edge dijalankan, manakala kadar ralat pengecualian dalam program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk keluarga yang mempunyai anak bawah lima tahun telah berjaya dikurangkan, daripada 28% kepada 10%.

Namun, cabaran masih ada. Ramai keluarga masih hidup dalam kesusahan, meskipun bekerja keras setiap hari. Kadar kemiskinan mutlak dalam kalangan isi rumah yang mempunyai anak bawah lima tahun kekal tinggi, sekitar 37%. Hampir 1 daripada 3 kanak-kanak mengalami bantut atau kurang berat badan, dan lebih 1 daripada 3 kanak-kanak di PPR tidak mendapat pemakanan yang mencukupi. Angka-angka ini adalah isyarat jelas bahawa tindakan segera amat diperlukan. Ia mengukuhkan lagi keperluan intervensi seperti ASUH KL. Tiada kanak-kanak yang sepatutnya tidur dalam keadaan lapar.

Artikel ini ditulis oleh Farqani Mohd Noor, Pakar Polisi Sosial (kiri) dan Juanita Vasquez-Escallon, Ketua Polisi Sosial, UNICEF Malaysia (kanan).


Mengambil Iktibar dari Sejarah: Legasi Buku Merah

Dalam membentuk ASUH KL, kami mengambil inspirasi daripada sejarah kita sendiri, khususnya Buku Merah yang diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak pada Mei 1960. Inisiatif ini menekankan dua prinsip yang kekal relevan hingga hari ini: penglibatan komuniti dan pemantauan yang telus serta dapat dilihat secara nyata.

Pejabat Daerah ketika itu diberi kuasa untuk menyelaras dan menggerakkan projek pembangunan luar bandar, menyatukan usaha antara agensi persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Apa yang lebih penting, Buku Merah disimpan di setiap Pejabat Daerah, sebagai rekod langsung untuk mencatat dan menjejak kemajuan. Allahyarham Tun Abdul Razak sendiri, ketika menyandang jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar, cukup dikenali kerana turun padang ke pejabat daerah bagi memantau projek, memperlihatkan betapa pentingnya pengurusan projek yang menyeluruh dan penilaian yang teliti.

Buku Merah mengetengahkan hakikat bahawa komuniti setempat lebih memahami keperluan dan konteks mereka sendiri, justeru memastikan usaha pembangunan bukan sahaja dirancang dengan baik, tetapi juga dilaksanakan dengan berkesan. Semangat inilah yang diteruskan melalui ASUH KL di bawah pimpinan DBKL. Ia meletakkan pengetahuan dan penglibatan komuniti sebagai nadi perlindungan sosial, agar setiap penyelesaian bukan sahaja dirancang secara inklusif, tetapi benar-benar sampai kepada keluarga dan kanak-kanak yang memerlukan.

Pendekatan Berimpak: Bantuan Tunai + Perubahan Tingkah Laku Sosial (SBC)

Seperti mana Buku Merah menyelaras usaha pembangunan negara, ASUH KL turut menggabungkan perlindungan sosial dengan perkhidmatan sosial melalui penglibatan komuniti yang kukuh. Gabungan ini membentuk satu pendekatan menyeluruh dalam menangani kemiskinan kanak-kanak yang bersifat pelbagai dimensi.

ASUH KL menggabungkan bantuan tunai dengan intervensi Perubahan Sosial dan Tingkah Laku (Social Behavioural Change, atau SBC) yang berfokus kepada pemakanan. Dengan sokongan Kementerian Kewangan di bawah Belanjawan 2025, komponen bantuan tunai khas untuk wanita hamil dan kanak-kanak bawah lima tahun, bantuan ini dijangka dapat mengukuhkan kedudukan ekonomi isi rumah, menambah baik tabiat pemakanan, dan memperluas pelaburan terhadap kesejahteraan kanak-kanak.

Pada masa yang sama, UNICEF merangka komponen SBC dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Universiti Malaya. Ia merangkumi penglibatan komuniti, komunikasi strategik dan penyepaduan perkhidmatan yang mempromosikan penyusuan susu ibu, pemberian makanan pelengkap, penjagaan responsif, pembelajaran awal, pemantauan tumbesaran dan imunisasi kanak-kanak.

Gabungan bantuan tunai dan komunikasi perubahan sosial dan tingkah laku merupakan satu pendekatan yang berkesan. Ramai ibu bapa sering menyebut bahawa kekurangan wang dan harga makanan yang tinggi menjadi halangan utama untuk menyediakan pemakanan seimbang. Bantuan tunai bulanan ASUH KL membantu mengatasi halangan ini, manakala komunikasi perubahan sosial dan tingkah laku pula membekalkan ibu bapa dengan ilmu serta keyakinan untuk memberikan anak-anak mereka permulaan yang lebih sihat.

Pelan Induk untuk Masa Hadapan

ASUH KL menawarkan satu model tentang bagaimana lantai perlindungan sosial menyeluruh untuk kanak-kanak boleh diwujudkan. Ia menekankan pelaburan pada tahun-tahun awal kehidupan, ketika pelaburan modal insan memberi hasil yang paling besar.

Risiko jika kita berdiam diri terlalu tinggi untuk diabaikan. Siri The Lancet mengenai Pembangunan Awal Kanak-Kanak menganggarkan bahawa masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak menelan kos lebih USD 374 juta setahun kepada sektor swasta Malaysia dalam bentuk kehilangan produktiviti dan modal insan. Melabur sejak awal bukan sahaja perkara yang betul untuk dilakukan, malah ia juga pelaburan yang bijak dari segi ekonomi.

Program ini dibina berasaskan prinsip sejagat, melibatkan setiap kanak-kanak bawah lima tahun yang tinggal di flat PPR. Ini menjadikan ASUH KL antara program berfokuskan kanak-kanak yang bersifat universal di Malaysia, seiring dengan Bantuan Persediaan Persekolahan. Namun, kebanyakan bentuk sokongan berkaitan kanak-kanak masih terhad dari segi capaian: hanya 1.4 peratus kanak-kanak dilindungi di bawah skim keselamatan sosial berkanun, dan hanya 0.72 peratus kanak-kanak menerima bantuan kewangan berkaitan kanak-kanak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2024.
Jurang ini menggambarkan keperluan mendesak untuk liputan yang lebih menyeluruh, seperti yang turut ditegaskan dalam kajian Living on the Edge. Dalam kajian tersebut, 93 peratus responden menyatakan mereka bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, manakala 72 peratus tidak mampu menampung keperluan asas. Bagi keluarga, keadaan ini selalunya memaksa mereka membuat pilihan yang mustahil: makan malam atau lampin, data telefon atau susu formula, bayaran pinjaman kereta atau ubat-ubatan.

ASUH KL turut menyokong program yang baharu diumumkan seperti SARA, sambil menangani beberapa kekangan yang wujud. SARA ialah program bantuan sosial yang bertujuan membantu isi rumah mendapatkan barangan keperluan asas. Namun, bentuk pelaksanaan sedia ada merangkumi barangan tinggi gula, garam dan bahan pengawet, dengan akses yang terhad kepada hasil segar. ASUH KL menutup jurang ini dengan memberi tumpuan kepada makanan berkhasiat dan perkhidmatan sokongan, menjadikan kesihatan dan perkembangan kanak-kanak sebagai fokus utama intervensi, sambil memperkasakan keluarga untuk membuat pilihan pemakanan yang sihat.

Kajian antarabangsa secara konsisten menunjukkan bahawa bantuan tunai digunakan dengan bertanggungjawab di samping sebahagian besar wang dibelanjakan untuk makanan, perumahan, pendidikan dan penjagaan kesihatan. Ini bermakna keluarga lebih berupaya untuk membina masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka, sekaligus memberi peluang lebih besar untuk memutuskan kitaran kemiskinan yang berpunca daripada pelaburan yang tidak mencukupi dalam pemakanan dan pendidikan. Selain itu, bantuan tunai tidak menjejaskan motivasi orang dewasa untuk bekerja. Malah, ia sering membantu mereka mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

UNICEF komited untuk menilai keberkesanan ASUH KL dalam mengurangkan kemiskinan serta memupuk perubahan tingkah laku dan pembangunan positif dalam kalangan keluarga yang mempunyai anak bawah lima tahun di PPR sekitar Kuala Lumpur. Penilaian menyeluruh terhadap program ini akan menghasilkan dapatan baharu untuk Malaysia, sekaligus menyokong pembuat dasar dalam memperluas perlindungan sosial di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Kesimpulan


Langkah seterusnya menuntut kerjasama, inovasi dan akauntabiliti. Dengan MoU yang ditandatangani bersama DBKL dan asas pelaksanaan yang telah diletakkan, ASUH KL kini bersedia untuk bergerak daripada visi kepada realiti. Berpaksikan bukti, dipandu oleh suara komuniti, dan berteraskan prinsip sejagat, program perintis ini membuka peluang untuk merangka semula perlindungan sosial bagi semua kanak-kanak di Malaysia.

Namun, tiada satu pihak pun yang mampu membina lantai perlindungan sosial ini secara bersendirian. Untuk memperluas pelaksanaan ASUH KL, semua pihak perlu berganding bahu, melibatkan kerajaan, masyarakat sivil, sektor swasta dan komuniti itu sendiri. Kami menyeru rakan-rakan kerjasama untuk menjadi sebahagian daripada jaringan yang memastikan setiap anak membesar dengan sihat dan sejahtera. Bersama-sama, kita dapat memastikan setiap kanak-kanak di Malaysia membesar dengan rasa selamat, peluang yang adil, dan kehidupan bermaruah yang berhak mereka perolehi.

Setiap ibu seharusnya dapat memandang ke hadapan dengan penuh keyakinan, mengetahui bahawa beliau mampu menyediakan yang terbaik untuk anaknya. Dengan ASUH KL, kita dapat memperlihatkan bahawa setiap kanak-kanak, tanpa mengira di mana mereka dilahirkan, berhak membesar dengan cukup nutrisi, sihat, dan penuh potensi untuk menyumbang kepada masa depan Malaysia.


* Artikel ini ditulis oleh Farqani Mohd Noor, Pakar Polisi Sosial dan Juanita Vasquez-Escallon, Ketua Polisi Sosial, UNICEF Malaysia.
**Penulisan artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.



#UNICEF #perlindungan sosial #Kanak-kanak #PPR #kos sara hidup