MALAYSIA
[KOLUMNIS] Memerangi ‘Misinformation and Disinformation Campaign’ perlukan pendekatan menyeluruh
![[KOLUMNIS] Memerangi ‘Misinformation and Disinformation Campaign’ perlukan pendekatan menyeluruh [KOLUMNIS] Memerangi ‘Misinformation and Disinformation Campaign’ perlukan pendekatan menyeluruh](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-06/81748922958_worldpressfreedom.jpg)
Di sebalik tajuk akhbar dan siaran berita, maklumat telah digunakan sebagai alat dominasi hingga mencorak pemikiran rakyat tanpa sedar. - Gambar hiasan/Freeimages.com
KETIKA Perang Dingin memuncak pada era 1950-an, Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) melancarkan operasi propaganda rahsia seperti “Operation Mockingbird” yang menyusup masuk ke dalam media arus perdana untuk membentuk naratif probarat di seluruh dunia.
Di sebalik tajuk akhbar dan siaran berita, maklumat telah digunakan sebagai alat dominasi hingga mencorak pemikiran rakyat tanpa sedar.
Dalam konteks hari ini, konflik Palestin-Israel menjadi bukti paling jelas bagaimana disinformasi digunakan secara sistematik bagi membentuk persepsi global yang berat sebelah.
Dalam setiap pusingan serangan rejim haram Israel terhadap Gaza, naratif dominan sering digerakkan oleh media prozionis yang membingkai pengeboman awam sebagai ‘langkah mempertahankan diri’, hingga menenggelamkan konteks sebenar penjajahan, aparteid, pembunuhan beramai-ramai, pelanggaran undang-undang dan norma antarabangsa, pencabulan hak asasi dan pembunuhan wartawan serta seribu satu jenayah perang yang berpanjangan. 
Foto Reuters
Laporan-laporan daripada penganalisis media, pemerhati perang, pakar hubungan anatrabangsa serta pelbagai Human Rights Watch, termasuk dua pertubuhan hak asasi Israel sendiri menunjukkan bagaimana istilah, imej dan statistik dimanipulasi untuk menggambarkan semua rakyat Palestin sebagai ancaman termasuklah bayi dan kanak-kanak.
Media digunakan untuk menggambarkan setiap seorang warga Palestin sebagai Hamas dan semua kanak-kanak dituduh sebagai mereka yang bakal membesar menjadi pengganas.
Penderitaan mereka dipersempit kepada angka-angka yang tidak mencerminkan realiti, apatah lagi membangkitkan sebarang empati. Naratif palsu ini disebar luas melalui media arus perdana, media sosial dan para pempengaruh berbayar yang menjadi juru laung mereka dalam mencairkan sempadan antara propaganda dan berita.
Perkara ini dilakukan dengan harapan ia akan melemahkan solidariti global terhadap keadilan kemanusiaan sekali gus melihat Israel sebagai mangsa dan ‘pasukan tentera paling bermoral’ di dunia.
Misinformasi dan peperangan hibrid
Pendekatan seperti ini kini diiktiraf sebagai sebahagian daripada konsep peperangan hibrid, yang mengangkat informasi sebagai domain kelima dalam struktur pertahanan selepas darat, laut, udara dan siber.
Lebih-lebih lagi, kita kini berada pada zaman gelombang Kecerdasan Buatan (AI), yang nyata mampu menghasilkan wajah, suara dan video palsu yang sangat mengelirukan.

Foto Reuters
Algoritma media sosial pula mempercepat penyebaran naratif palsu secara bersasar. Manakala, jaringan siber tanpa sempadan menjadikan propaganda dan maklumat yang tidak jelas dan sahih sebagai alat manipulasi yang sangat berbahaya dan berupaya mengancam kestabilan serta kedaulatan negara.
Adalah tidak pelik jika banyak negara mula melambakkan pelaburan dan suntikan dana untuk meneliti keperluan meningkatkan keupayaan mengawal dan menyebarkan maklumat kepada orang awam.
Banyak kerajaan di seluruh dunia sedar bahawa penyebaran maklumat palsu dan mengelirukan akan berupaya menjadi satu ‘senjata’ baharu yang sangat berkesan.
Misinformasi dan Kedaulatan Negara
Kedaulatan dalam era pasca kebenaran tidak lagi ditentukan oleh kekuatan fizikal semata-mata. Keupayaan mempertahankan naratif nasional daripada anasir manipulasi yang bersifat halus, terancang dan berulang kini menjadi sangat kritikal.
Disinformasi kini membentuk corak baharu dalam taktik melemahkan negara. Ia meresap ke ruang awam dengan sasaran memanipulasi persepsi, mengganggu kestabilan sosial, dan mencetuskan satu ‘hala tuju’ dasar strategik yang selari dengan kepentingan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Laporan oleh European Centre of Excellence for Countering Hybrid Threats (Hybrid CoE) menggariskan bahawa kempen maklumat palsu sering disasarkan kepada isu-isu sensitif seperti etnik, agama dan politik, dengan tujuan mengeksploitasi fabrik dan struktur sosial sesebuah negara.
Sebagai negara berbilang kaum, berstatus geopolitik terbuka dan terletak di simpang laluan maritim Indo-Pasifik penting dunia, Malaysia pastinya tidak terlepas daripada menjadi sasaran serangan ini.
Pada tahun 2019, laporan daripada firma analitik Graphika telah mengenal pasti rangkaian operasi maklumat prokerajaan China yang dikenali sebagai “Spamouflage” atau “Dragonbridge”, iaitu sebuah jaringan akaun palsu berskala besar yang beroperasi di pelbagai platform termasuk Facebook, YouTube, dan X (dahulu Twitter).

Foto fail
Operasi ini dikesan menyasarkan negara-negara Asia Tenggara dengan menyebarkan kandungan yang menyokong dasar luar China dan pada masa yang sama menyerang pihak yang dikritik Beijing, termasuk AS dan sekutu serantaunya.
Dalam konteks Malaysia, Spamouflage menyasarkan naratif berkaitan Laut China Selatan, pelarian etnik, dan pembelian aset ketenteraan untuk menanam persepsi negatif terhadap dasar kerajaan.
Menurut Graphika, kandungan ini sering kali digabungkan dengan visual manipulatif dan mesej emosi tinggi yang direka untuk mencetuskan kebimbangan awam dan menghakis kepercayaan terhadap institusi keselamatan tempatan.
Apa yang tampak seperti ciapan rawak (random tweet) atau hantaran biasa sebenarnya sebahagian daripada operasi terancang yang menyusup masuk ke ruang fikir masyarakat.
Sasaran utama ialah kepercayaan rakyat terhadap institusi keselamatan dan dasar pertahanan negara. Apabila maklumat diputar secara konsisten, sempadan antara fakta dan propaganda menjadi kabur.
Lama-kelamaan, persepsi, keraguan serta kekeliruan yang terbentuk ini berupaya menggantikan realiti hingga menyebabkan keretakan, perpecahan serta prejudis yang teruk dalam struktur keutuhan nasional.
Keperluan Ekosistem Pengurusan Maklumat Awam
Ancaman ini menuntut agar satu kerangka atau ekosistem pemantauan strategik dan keupayaan membina balas naratif yang berakar pada fakta dan kefahaman awam mesti menjadi sebahagian daripada pendekatan keselamatan serta pertahanan negara.
Penapisan oleh agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) semata-mata tidak memadai dan tidak akan berupaya memberi ketahanan jangka panjang. Apa yang diperlukan ialah kekuatan serta keupayaan ekosistem pertahanan maklumat yang menjadikan rakyat serta kesejahteraan awam sebagai teras utama.
Ketahanan nasional bermula daripada kefahaman kolektif dan daya tahan psikologi masyarakat. Apabila warganegara memiliki keupayaan membaca maklumat secara kritikal serta mengenal pasti muslihat yang tersembunyi dalam lambakan ‘cerita’ harian yang dihidangkan kepada mereka oleh media dan pelbagai saluran yang ada, maka benteng pertahanan negara akan terbina melalui kesedaran awam yang berakar kukuh.
Ketahanan maklumat tidak bermula pada sistem pengawasan atau kecanggihan algoritma; ia bertitik tolak daripada kekuatan mentaliti rakyat.
Literasi digital dalam kalangan masyarakat Malaysia masih belum cukup kukuh untuk menyaring maklumat yang telah dimanipulasi secara halus melalui video pendek, ciapan palsu dan mesej berantai.
Keupayaan membezakan antara fakta dan propaganda kekal terbatas, menjadikan rakyat sasaran yang mudah dalam kempen disinformasi yang digerakkan dari luar mahupun dalam negara.
Tidak dinafikan bahawa semua agensi Kerajaan berperanan dalam menguruskan perkara ini. Namun, Kementerian Pertahanan (Mindef) dilihat mempunyai bebas tugas yang lebih besar dan berat.
Ini kerana, mandat Mindef tidak hanya terikat kepada penyediaan keupayaan tempur dalam aspek ketenteraan secara konvensional – perang, operasi keamanan, pengurusan konflik dan memelihara kedaulatan sempadan dan wilayah.
Sebaliknya, Mindef kini mesti melihat dan menguruskan landskap keselamatan kontemporari, sektor pertahanan dan segala aspek kedaulatan negara yang sangat berkait rapat dengan pemeliharaan persepsi awam, pengukuhan keyakinan terhadap institusi negara, serta pembinaan naratif nasional yang utuh.
Dalam hal ini, Mindef berada dalam posisi strategik, dan kritikal, untuk memimpin inisiatif membina daya tahan psikologi rakyat terhadap ancaman kempem disinformasi dan misinformasi.
Usaha seperti “National Information Security Readiness” wajar diterjemah dalam bentuk latihan berskala yang melibatkan institusi pendidikan, media nasional, universiti awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) keselamatan. Literasi maklumat perlu diletakkan sebagai komponen latihan keselamatan negara yang menyeluruh, setanding dengan latihan kecemasan kebakaran di bangunan awam.
Finland menjadi rujukan penting apabila negara itu meletakkan pendidikan media dalam kurikulum seawal usia prasekolah yang membina daya tapis maklumat rakyat sejak awal.
Estonia pula memanfaatkan simulasi berita palsu dan analisis sumber dalam bilik darjah sebagai sebahagian daripada strategi pertahanan menyeluruh. Malaysia mesti melihat perkara ini secara serius.
Kita memerlukan pendekatan seumpama ini, khususnya yang melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi yang sering menjadi sasaran utama kempen manipulasi dalam ruang digital.
Pengukuhan sistem amaran awal serta pelaburan dalam AI memerlukan sokongan daripada kesedaran rakyat yang tinggi terhadap maklumat yang diterima. Selagi masyarakat masih cenderung menyebarkan kandungan palsu tanpa tapisan, segala usaha teknologi tidak akan mencapai matlamatnya.
Barangkali ini adalah masanya untuk Mindef dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) benar-benar mempertimbang saranan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin bahawa kita mesti mula terbuka dan proaktif merekrut ‘hacker’ atau penggodam serta mereka yang mahir dalam bidang IT, media dan keselamatan siber sebagai anggota tentera.
Malah, pembentukan satu perkhidmatan tentera siber mesti menjadi satu perkara yang diperhalusi dan dipertimbangkan secara mendalam. Kita tidak boleh memandang remeh aspek pertahanan yang melibatkan pemesongan maklumat.
Daya tahan nasional, keamanan serta kedaulatan negara sangat terdedah kepada ancaman yang hadir tanpa kita sedar. Selain literasi informasi yang kukuh dan berupaya menangkis naratif yang tidak benar, keupayaan ekosistem pertahanan kita untuk berhadapan dengan semua itu harus segera diperkemas.
**Artikel ini ditulis oleh Shah Mohd Akmal Abdul Halim, yang sedang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia dan merupakan pensyarah sambilan di Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Universiti Utara Malaysia.
**Penulisan artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami