MALAYSIA

[KOLUMNIS] Memori Quezon City, menjejaki warisan sinema

Azharul Azmir Kamarulzaman 01/11/2025 | 09:58 MYT
Pengalaman menghadiri Asia Pacific Cinema Documentary Heritage Conference di Quezon City pada 2018 membuka mata terhadap kepentingan pengarkiban filem sebagai warisan budaya.
“HIDUP yang tidak didedikasikan kepada suatu idea besar adalah sia-sia. Ia seperti sebiji batu yang dibazirkan di padang tanpa menjadi sebahagian daripada mana-mana bangunan”.


Ringkasan AI
  • Pengalaman menghadiri Asia Pacific Cinema Documentary Heritage Conference di Quezon City pada 2018 membuka mata terhadap kepentingan pengarkiban filem sebagai warisan budaya.
  • Filipina menunjukkan komitmen tinggi dalam pengarkiban filem melalui sokongan kerajaan, komuniti arkivis dan festival seperti QCinema.
  • Quezon City kini diiktiraf sebagai UNESCO City of Film bersama Ho Chi Minh City, membuka peluang kerjasama serantau dalam pembangunan sinema dan warisan audiovisual ASEAN.


Begitu kata Jose Rizal, negarawan dan tokoh penulis Filipina yang tidak asing lagi.

Kata-kata yang tidak hanya sesuai dalam konteks hidup individu dan bermasyarakat -- tetapi juga untuk mencapai sesuatu yang lebih besar; termasuklah peradaban dan kemanusiaan.

Tujuh tahun lalu, sebuah pesawat penerbangan tambang rendah berlepas dari KLIA2, menuju ke timur laut.

Penerbangan awal pagi 25 Oktober 2018 itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila setelah hampir empat jam di udara.

Saya dan seorang sahabat merupakan antara penumpang dalam penerbangan tersebut -- dalam perjalanan ke Quezon City bagi menghadiri sebuah acara; Asia Pacific Cinema Documentary Heritage Conference.

Saya ketika itu masih dalam fasa awal menekuni gerakan warisan audiovisual -- meski telah sekian lama terlibat dalam dunia perfileman.

Konteks filem sebagai warisan adalah sesuatu yang jarang dibicarakan di Malaysia sebelum itu, membawa saya mula banyak menjejakinya di luar negara -- termasuklah menyertai acara persidangan ini; untuk menimba ilmu dan pengalaman dari barisan tokoh pelbagai negara yang hadir.

Keterujaan berganda kerana itu adalah pertama kali saya menjejakkan kaki ke Filipina -- sebuah negara kepulauan dengan 7,641 buah pulau.

Seperti kelaziman pengunjung luar negara yang akan tertarik untuk menaiki Jeepney -- pengangkutan awam unik yang hanya ada di Filipina -- saya juga sama namun tidak mengalahkan fokus terhadap pengarkiban filem di Filipina; yang cuba saya terokai serba sedikit sepanjang mengikuti acara persidangan ini.

Diterajui oleh seorang sejarawan filem yang merupakan tokoh sinema Filipina, Nick Deocampo -- persidangan pertama kali ini mengupas banyak aspek lapis-lapis makna warisan sinema -- sekali gus membuka mata saya tentang kepentingan warisan audiovisual untuk terus dilestarikan.

Persidangan ini adalah sebahagian pengisian QCinema International Film Festival -- festival filem yang dimulakan tahun 2013 -- dan diadakan di beberapa lokasi sekitar bandar Quezon City.



Festival anjuran Quezon City Film Development Commission (QCFDC) yang dipengerusikan Datuk Bandar Quezon City ini merupakan inisiatif pihak berkuasa tempatan bandar Quezon City, serta didukung pelbagai pihak termasuklah pihak industri dan dunia akademik.

Malah, penganjurannya juga mendapat dukungan agensi perfileman nasional Filipina iaitu Film Development Council of the Philippines (FDCP), Network for Promotion of Asia Pacific Cinema (NETPAC) serta UNESCO.

Budaya pengarkiban filem begitu berkembang di Filipina. Selain arkib filem nasional iaitu Philippines Film Archive (PFA), wujud banyak arkib-arkib persendirian, termasuk di pelbagai organisasi yang membangunkan arkib filem mereka sendiri.

Ini termasuk di beberapa wilayah dan daerah yang berselerak di pelbagai kepulauan di negara tersebut.

Malah, Society of Filipino Archivist for Film (SOFIA), sebuah kumpulan para arkivis diwujudkan bagi menghimpunkan penggiat serta advokator dunia pengarkiban filem di negara tersebut.

Kesedaran terhadap kepentingan filem dan sinema untuk dipelihara dan dipulihara sebagai warisan dan khazanah negara subur di sini.

Menyertai persidangan di Quezon City ini bukan sahaja membuka mata saya tentang warisan sinema -- malah bagaimana gerakan pembangunan perfileman yang bukan sahaja digerakkan oleh kerajaan persekutuan -- tetapi juga di peringkat bandar.



Tujuh tahun berlalu.

Semalam, serentak sambutan Hari Bandar Sedunia yang disambut seluruh dunia, UNECSO mengumumkan Quezon City diangkat bersama Ho Chi Minh City (Vietnam) menyertai UCCN sebagai City of Film, menjadikan kedua bandar tersebut sebagai dua bandar pertama di Asia Tenggara yang diiktiraf sebagai UNESCO City of Film.

Pengumuman tersebut adalah bersekali dengan 56 bandar lain seluruh dunia yang diterima menjadi ahli baru UNESCO Creative Cities Network (UCCN) dalam lapan kategori -- termasuk empat buah bandar sebagai City of Film.

Inisiatif UCCN termasuk City of Film ini adalah sebuah gerakan memperkasa elemen kreativiti dan kebudayaan dalam pembangunan lestari melalui hubungan kerjasama antara bandar dari seluruh dunia.

Pengiktiran terhadap Quezon City dan Ho Chi Minh City tersebut membawa ingatan saya ke beberapa tahun sebelumnya -- ketika saya membuat kunjungan rasmi ke dua buah UNESCO City of Film -- iaitu Busan, Korea Selatan dan Bradford, United Kingdom.

Antara yang menjadi perbincangan ketika itu adalah galakan mereka agar ada bandar dari Asia Tenggara dapat menyertai sebagai City of Film.

Beberapa bandar termasuk Pattaya, Thailand ketika itu menyatakan minat, termasuk saya yang cuba mengusahakannya untuk bandar di Malaysia.

Quezon City bersama Ho Chi Minh City kini akhir menjadi dua wakil bandar dari negara ASEAN dalam jaringan tersebut -- dan melengkap jumlah terkini 30 bandar dari seluruh dunia sebagai UNESCO City of Film.

Namun, ia hanyalah permulaan -- dan diharapkan akan ada bandar-bandar lain dari negara ASEAN yang lain untuk turut sama merencana untuk bergabung dalam inisiatif tersebut -- sekali gus memperkasa pendekatan filem dan sinema sebagai penghubung jalinan antara negara.

Tambah kebetulan, beberapa hari yang lalu, Malaysia menyerahkan kepengerusian ASEAN kepada Filipina untuk menjadi pengerusi ASEAN bagi tahun 2026.

Platform ASEAN mampu dimanfaatkan untuk Quezon City turut membantu dan membimbing bandar-bandar lain dari negara anggota ASEAN untuk bersama dalam gabungan tersebut.

Usaha ini pernah diusahakan Thailand ketika mereka menjadi pengerusi ASEAN pada tahun 2019 -- apabila Thailand ketika itu mengusahakan ASEAN Creative Cities Network – untuk menjadi platform perkongsian ahli UCCN dari negara ASEAN.

Memanfaatkan filem sebagai sebuah bentuk kesenian kontemporari yang berpengaruh dalam gerakan pembangunan dan jalinan keakraban serantau adalah sebuah gagasan idea yang praktikal serta relevan dalam dunia hari ini.

Sebagaimana lanjutan dari kata Jose Rizal di awal tadi, ia bukan sekadar untuk menyusun batu bata persefahaman dalam membina bangunan dan binaan `rumah ASEAN` yang lebih kukuh -- tetapi juga untuk memaknai kehidupan dan peradaban kita pada masa kini; idea besar yang diimpikan kita semua.



Penulis merupakan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF) dan Pengarah Urusan bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd. Untuk membaca lebih lanjut tentang inisiatif ini, boleh dilayari di www.diplomasifilem.com

Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.






#Asia Pacific Cinema Documentary Heritage Conference #Quezon City #pengarkiban filem #UNESCO City of Film