MALAYSIA

[KOLUMNIS] Menelaah sinema Vietnam: Memahami Asia Tenggara

Azharul Azmir Kamarulzaman 23/08/2025 | 08:30 MYT
Pertemuan dengan pembikin Vietnam membuka peluang penulis meneliti semula ekosistem sinema Vietnam melalui acara Telefilm, lawatan ke RICE Content & Media, dan kunjungan ke National Cinema Center di Hanoi. -Foto penulis
KEHIDUPAN bukan sekadar mengenai perjalanan kita -- tetapi juga tentang orang-orang yang kita temui di sepanjangnya -- yang mengisi makna hidup dengan caranya yang tersendiri.


Ringkasan AI
  • Pertemuan kebetulan dengan pembikin Vietnam membuka peluang penulis meneliti semula ekosistem sinema Vietnam melalui acara Telefilm, lawatan ke RICE Content & Media, dan kunjungan ke National Cinema Center di Hanoi.
  • Industri kandungan Vietnam berkembang pesat dengan pasaran Telefilm yang konsisten, syarikat penerbitan kreatif seperti RICE, serta peningkatan akses filem Vietnam melalui platform OTT seperti Netflix.
  • Pengalaman ini menekankan potensi sinema Asia Tenggara untuk bergerak sebagai jenama serantau, memanfaatkan kepelbagaian budaya bagi memperkukuh kedudukan di peta kandungan global.


Dalam sebuah pesawat dari kota Bangkok ke negara Laos empat tahun lalu, saya berkenalan dengan Espin Hoan; seorang penerbit dan pengarah kreatif dari Vietnam.

Kami dalam perjalanan menuju destinasi yang sama -- sebuah festival filem di Luang Prabang. Kami berbual, dan saya juga bertanya-tanya tentang perfileman di Vietnam -- negara yang sekian lama tidak saya jejaki ketika itu.

Kali pertama dan terakhir saya menjejakkan kaki ke Vietnam adalah ketika Kembara Sinema Indo-China yang saya jalankan pada tahun 2012 -- yang mana Ho Chi Minh City menjadi destinasi terakhir dalam kembara melalui jalan darat ke tiga buah negara Indo-China.

Sejujurnya, selepas kembara itu berakhir -- atas faktor bahasa dan akses yang terhad -- saya kurang mengikuti mengenai perfileman di Vietnam.

Perbualan dengan Espin yang kebetulan duduk bersebelahan dalam penerbangan itu membuka mata saya tentang potensi besar dunia sinema dan kandungan kreatif di negara dengan lebih seratus juta penduduk ini.

Kemudiannya, selepas itu, saya berpeluang beberapa kali mengunjungi Vietnam atas pelbagai tujuan. Salah satunya kunjungan pada tahun 2023 – perjalanan yang menyegarkan kembali persepsi saya terhadap dunia sinema di republik sosialis ini.

Antara tujuan saya ke sana adalah bagi menyertai acara Telefilm Vietnam -- sebuah acara pasar filem dan kandungan yang diadakan di Ho Chi Minh City.

Acara ini merupakan salah satu acara pasar kandungan yang aktif dan konsisten di rantau ini sejak edisi pertamanya pada tahun 2013.

Meski berskala agak kecil berbanding banyak pasar kandungan antarabangsa yang lain, namun ia mengisi keperluan untuk memperbanyakkan pasar kandungan di negara-negara ASEAN, yang ketika itu hanya didominasi oleh Asia TV Forum & Market (ATF) di Singapura.

Acara Telefilm Vietnam yang saya sertai tersebut menampilkan kandungan daripada banyak negara, terutama Korea Selatan dan Rusia – selain dari Vietnam sendiri.

Saya sempat menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh delegasi Rusia di sebuah hotel di bandar Ho Chi Minh City; yang diisi dengan acara persembahan dan makan malam.

Sekitar Telefilm Vietnam


Rusia sedang dalam kancah perang dengan Ukraine yang baru bermula ketika itu – tetapi menarik dapat melihat bagaimana sebuah usaha dagang kandungan dan filem dapat menjadi medium diplomasi di tengah-tengah ketegangan tersebut.

Saya juga berkesempatan mengunjungi syarikat penerbitan tempat Espin bekerja, RICE Content & Media Co Limited yang terletak di tengah-tengah bandar Ho Chi Minh City.

Ia bagi membalas kunjungan Espin yang telah dahulu melawat saya di Kuala Lumpur, beberapa bulan sebelumnya.

Di RICE, bersama Espin & Andy


Ketika berkunjung ke pejabatnya, beliau memperkenalkan saya dengan rakan-rakan yang lain, termasuklah pengasas RICE, Andy Ho.

Andy merupakan kelahiran Singapura yang sudah bertahun berhijrah ke Vietnam -- serta mengasaskan RICE di sana.

Andy bercerita tentang bagaimana kunjungannya ke Vietnam belasan tahun yang lalu membuatkan dia jatuh cinta dengan negara ini – lalu membuat keputusan untuk menetap di sana.

RICE memfokuskan kepada kerja-kerja penerbitan untuk pengiklanan, di samping membangunkan kandungan serta platform mereka sendiri -- dengan nama yang sama -- mengangkat dokumentari-dokumentari pendek tentang kehidupan seharian masyarakat Vietnam.

Dengan slogan ‘Real People, Real Stories’, jenama dan platform ini juga telah berkembang bukan sahaja Vietnam, tetapi memasuki pasaran penerbitan kandungan di Kemboja.

Kunjungan saya itu juga kebetulan serentak dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan Vietnam.

Pelbagai acara diadakan pihak kerajaan kedua negara bagi meraikan sambutan jubli perak tersebut. Saya hadir beberapa acara yang meraikan hubungan dua negara ini -- khususnya yang terbuka kepada orang awam; cuba untuk bergaul dengan orang tempatan.

Tambah kebetulan, ketika itu juga adalah hari lahir saya -- sekumpulan pekerja hotel di tempat saya menginap meraikannya dengan menghantar kek dan kad ucapan -- serta menyanyi lagu selamat hari lahir di hadapan bilik penginapan saya.

Malah, penjaga pintu di lobi hotel pun mengucapkan selamat hari lahir. Tanpa sedar, layanan yang meskipun diberikan atas faktor profesionalisme hospitaliti memberikan perasaan seperti saya berada di rumah sendiri.

Selesai di Ho Chi Minh City, saya menaiki pesawat tambang rendah tempatan -- Pacific Airlines -- meneruskan perjalanan ke ibu negara Vietnam; Hanoi.

Ketika di Hanoi, saya dapat berhubung dengan Vietnam Film Institute, serta mengunjung National Cinema Center (NCC).

Di National Cinema Center (NCC)


Saya teruja dapat melawat dan menonton filem di pawagam tersebut -- kerana agak jarang dapat ditemui sesebuah negara mempunyai sebuah pawagam nasional.

Berbeza dengan panggung negara (untuk teater dan persembahan pentas) -- yang sememangnya dimiliki kebanyakan negara.



Menonton filem tempatan memang menjadi antara fokus utama ketika itu memandangkan agak sukar saya untuk mendapatkan akses terhadap filem Vietnam di Malaysia sebelum itu.

Namun, pasca kunjungan tersebut, dalam beberapa tahun terakhir juga, platform penstriman (OTT) juga telah semakin mempermudahkan kita mendapat akses terhadap filem-filem dari negara ini.

Platform seperti Netflix kini semakin konsisten mendapatkan hak tayang filem Vietnam untuk tontonan penonton di luar negara -- termasuklah Malaysia.

Saya mula banyak menonton filem-filem dari Vietnam -- meski kebanyakannya adalah filem kontemporari -- tetapi setidaknya membantu saya untuk lebih memahami situasi semasa perfileman di negara itu.



Ia seterusnya membuka ruang fikir tentang bagaimana perhatian yang diberikan oleh dunia terhadap perfileman Asia Tenggara kini boleh menjadi gerakan bersama dalam usaha pembangunan perfileman serantau.

Meski dalam perbezaan budaya, sinema Asia Tenggara boleh bergerak sebagai sebuah jenama dalam memposisikan rantau ini dalam peta sinema dan kandungan dunia.

Pertemuan yang tidak disangka dengan Espin dalam sebuah penerbangan membuka ruang kepada saya untuk kembali meneliti tentang sebuah negara yang mungkin kurang saya berikan perhatian selama ini – khususnya dalam konteks filem dan kandungan.

Menelaah kembali catatan perjalanan saya tentang hubungan saya dan Vietnam beberapa tahun terakhir ini, saya menemui kerencaman garis sempadan di antara negara dalam rantau Asia Tenggara.

Menyedarkan bahawa sekian ramai masyarakat di rantau ini -- yang selain berhijrah -- tetapi sejak awal mempunyai hubungan emosi yang kuat dengan negara-negara jiran kita yang lain.

Membuka mata bahawa jika kita mahu bergerak ke hadapan – dalam perbezaan dan kepelbagaian yang kita ada -- kita tetap boleh membentuk gelombang bersama.

Meski dipisahkan oleh sempadan politik -- namun kita mempunyai hubungan dan pengikat yang cukup kuat -- membuktikan bahawa waima tanpa sedar, kita sebenarnya sudah ada bersama dalam sebuah keluarga besar ASEAN.



Penulis merupakan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF) dan Pengarah Urusan bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd.

Untuk membaca lebih lanjut tentang inisiatif ini, boleh dilayari di www.diplomasifilem.com

Penulisan artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.












#pembikin filem Vietnam #ekosistem sinema #Telefilm #National Cinema Center