MALAYSIA
[KOLUMNIS] Nasib Sungai Klang
Acara penyampaian hadiah dan sumbangan pada Program Jom Bersih Sungai Klang anjuran MBDK di Royal Selangor Yacht Club, Pelabuhan Klang, 1 Jun 2025.
APABILA disebut sahaja Bandaraya Diraja Klang, dua perkara pasti terlintas di fikiran — Sungai Klang dan gagak.
Ringkasan AI
Masalah gagak telah berjaya diatasi hampir 10 tahun lalu. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Namun, timbul persoalan — bila pula Sungai Klang akan benar-benar dipulihkan?
Saya dilahirkan, dibesarkan dan menerima pendidikan awal di Klang. Saya bangga menjadi alumni ACS Klang, sebuah sekolah yang terkenal dengan motonya, "Ilmu Punca Kejayaan".
Kini, pada usia 50 tahun, saya masih menetap di Jalan Tepi Sungai Klang — kawasan perumahan yang paling hampir dengan sungai itu.
Setiap hari saya melalui pemandangan Sungai Klang menuju ke bandar malah ia sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya.
Sungai Ikonik, Tetapi Tercemar
Sungai Klang, sepanjang 120 kilometer, meliputi kawasan aliran dari Kuala Lumpur, Gombak, Ampang, Petaling Jaya, Shah Alam, dan berakhir di Klang. Malangnya, imej Sungai Klang sering dikaitkan dengan pencemaran dan timbunan sampah.
Sebut sahaja Klang, pasti ramai akan membayangkan sungainya yang kotor dan tercemar. Adakah ini takdir sebuah sungai yang menjadi simbol utama bandar raya ini?
Namun begitu, saya perlu akui bahawa sejak dua tahun kebelakangan ini, ada perubahan positif. Dalam bahasa mudah, warna air yang dahulu seperti teh tarik kini semakin jernih. Ini adalah pemerhatian peribadi saya.
Longgokan sampah juga tidak lagi kelihatan sekerap dahulu, kecuali ketika musim hujan lebat — apabila sampah dari hulu akhirnya sampai ke penghujung jajaran sungai ini.
Perhatian Diraja dan Tanggungjawab Kolektif
Semasa majlis pengisytiharan Bandaraya Diraja Klang pada 5 Februari 2024, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah tentang pentingnya menjaga kebersihan Sungai Klang dan mengelakkan banjir.
Dalam program Gagasan Rumpun Selangor peringkat Klang pada 28 Ogos 2024, DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah juga menegaskan kepentingan pemuliharaan sungai ini.
Mungkin inilah antara faktor yang mendorong MBDK memberi perhatian serius terhadap Sungai Klang. Kini, panorama sungai semakin menyenangkan mata memandang.
Peranan Media dan Masyarakat
Sebagai bekas wartawan dan penyampai berita di ntv7, saya telah mengetengahkan banyak laporan berkaitan pengurusan sampah di Sungai Klang dalam program Edisi 7 dan Edisi Siasat.
Sebagai anak jati Klang, saya rasa bertanggungjawab untuk membantu menceriakan wajah sungai ini.
Terkini, MBDK di bawah kepimpinan Datuk Bandar Datuk Abdul Hamid Hussain giat menganjurkan program pembersihan sungai melibatkan agensi kerajaan, penduduk, dan pelajar sekolah.
Ini berpaksikan kepada moto "sungai kita, tanggungjawab kita."
Ketika program pembersihan Sungai Klang di Royal Selangor Yacht Club pada 1 Jun 2025, beliau menyatakan bahawa pemulihan sungai bukan hanya tanggungjawab MBDK.
“Tepuk sebelah tangan tak akan berbunyi,” katanya — satu tangan lagi adalah penduduk Klang yang kini mencecah hampir 1 juta orang. Mereka juga perlu berubah — berhenti membuang sampah merata-rata.
Cabaran Pengurusan Sampah dan Harapan Baharu
Meskipun kompaun RM1,000 dikenakan kepada pesalah yang membuang sampah secara haram, keberkesanannya masih dipersoalkan.
Sampai bila kita perlu diingatkan bahawa pemuliharaan sungai adalah tanggungjawab bersama, khususnya apabila negeri Selangor menuju ke arah mencapai 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) — termasuk air bersih (SDG 6), bandar mampan (SDG 11), dan tindakan iklim (SDG 13)?
Krisis di tapak pelupusan sampah seperti di Kuala Selangor, Tanjung 12, dan Bukit Beruntung telah memaksa kerajaan negeri menaikkan kadar tipping fee dari RM36 ke RM43 setan berkuat kuasa 1 Julai 2023 — dan mungkin akan terus meningkat sekiranya konsep kitar semula tidak dihayati oleh penduduk Selangor.
Antara inisiatif negeri termasuk program SELKitar, iClean Selangor, kitar semula minyak masak terpakai (MMT), e-waste, pusat kitar semula komuniti, serta kempen kesedaran pendidikan.
Semua ini memerlukan kerjasama tanpa kompromi daripada rakyat, yang merupakan cabaran terbesar bagi pihak berkuasa tempatan — termasuk MBDK.
Kesimpulan: Masa Depan di Tangan Kita
Sungai Klang telah dicemari selama berdekad-dekad. Walaupun projek River of Life dan penggunaan mesin Interceptor membantu meningkatkan kualiti air, perjalanan masih panjang.
Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa nasib Sungai Klang terletak di tangan kita — penduduk Klang.
Sama ada kita mahu menyokong aspirasi menjadikan air sungai ini sebagai sumber air minuman masa depan, atau terus membiarkannya dikenali sebagai antara sungai paling tercemar di Malaysia.
Pilihan itu di tangan penduduk bandar raya Klang… ini kerana hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.
Charles Mohan merupakan bekas wartawan penyiaran dengan pengalaman lebih 22 tahun dalam bidang kewartawanan.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Ringkasan AI
- Sungai Klang yang ikonik tetapi tercemar semakin menunjukkan perubahan positif hasil usaha Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), dengan sokongan diraja dan program pembersihan melibatkan komuniti.
- Pemulihan sungai memerlukan kerjasama menyeluruh daripada penduduk Klang, bukan hanya pihak berkuasa, termasuk dalam pengurusan sampah dan penghayatan konsep kitar semula.
- Masa depan Sungai Klang bergantung kepada sikap dan tindakan kolektif masyarakat, sama ada mahu menjadikannya sumber air bersih atau terus membiarkannya tercemar.