Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] “Nasyid Malaysia tak mati, kita yang terlalu lama melayannya sebagai nostalgia”

Wan Syahrul Amry Wan Mansor adalah Timbalan Presiden MUNSYID Malaysia. -- MUNSYID Malaysia
Wan Syahrul Amry Wan Mansor adalah Timbalan Presiden MUNSYID Malaysia.
Advertisement

INDUSTRI nasyid Malaysia tidak mati, yang perlu berubah ialah cara kita melihat, menghasilkan, memasarkan dan membawa nasyid kepada generasi baharu.

Kita tidak boleh selama-lamanya bercakap tentang zaman kegemilangan nasyid dengan hanya menyebut kejayaan 20 atau 30 tahun lalu.

Kalau setiap kali bercakap tentang nasyid kita hanya bercakap tentang nostalgia, sampai bila kita mahu mencipta legenda baharu?

Malaysia pernah melahirkan nama-nama besar yang membuktikan bahawa nasyid mampu menjadi sebahagian daripada budaya popular. Mereka membawa mesej yang baik tanpa perlu meminta masyarakat menganggap nasyid sebagai muzik untuk kelompok tertentu sahaja.

Tetapi cabaran kita hari ini berbeza. Generasi baharu tidak lagi menemui muzik hanya melalui radio, televisyen atau kedai CD. Mereka menemui lagu melalui TikTok, Reels, YouTube, Spotify, podcast dan perkongsian rakan-rakan mereka.

Sebab itu kita tidak boleh menghasilkan produk tahun 2026 tetapi memasarkannya menggunakan pemikiran tahun 1998.

Nasyid tidak perlu menjadi kurang Islamik untuk menjadi moden. Nasyid cuma perlu menjadi lebih berani.

Berani bekerjasama dengan pemuzik hip-hop,  bereksperimen dengan pop, rock, R&B, lo-fi, orkestra dan muzik elektronik.

Berani bercakap mengenai kehidupan sebenar anak muda — keluarga, persahabatan, kehilangan, keresahan, perjuangan hidup, kemanusiaan, keamanan dan pencarian makna.

Dakwah tidak semestinya kedengaran seperti ceramah yang dinyanyikan.

Kadangkala satu rangkap yang jujur mampu mengetuk hati seseorang lebih kuat daripada seribu nasihat.

Pada masa yang sama, penggiat nasyid sendiri perlu melakukan muhasabah.

Kita tidak boleh menyalahkan radio kerana tidak memainkan lagu kita, televisyen kerana tidak menjemput kita atau masyarakat kerana tidak membeli tiket konsert kita sekiranya kita sendiri tidak serius membina karya, kandungan, pemasaran dan komuniti peminat.

Hari ini artis bukan sekadar perlu pandai menyanyi. Artis perlu tahu bagaimana untuk membuat masyarakat peduli.

MUNSYID Malaysia mahu melihat satu ekosistem baharu diwujudkan — artis senior membimbing pelapis, pencipta lagu bertemu bakat baharu, industri korporat berani menaja program nasyid dan penggiat nasyid pula membuka pintu kepada kolaborasi dengan industri muzik arus perdana.

Kita juga mahu melihat lebih banyak pentas, festival, pertandingan, kandungan digital dan ruang media diberikan kepada generasi baharu. 

Kita tidak mahu melahirkan ‘’Raihan kedua’’ atau ‘’Rabbani kedua’’ kerana mereka sudah mempunyai tempat tersendiri dalam Sejarah sebaliknya kita mahu mencari nama pertama bagi generasi seterusnya.

Impian saya mudah, suatu hari nanti apabila seorang anak muda membuka TikTok atau Spotify, dia mendengar sebuah lagu tanpa terlebih dahulu bertanya “Ini nasyid ke?” Sebaliknya dia cuma berkata, “Sedap lagu ni. Apa maksud lirik dia?”

Apabila itu berlaku, nasyid sudah berjaya melepasi tembok genre dan kembali menjalankan fungsi terbesarnya — menyampaikan nilai melalui seni.

Malaysia mempunyai sejarah, bakat dan ekosistem yang cukup untuk sekali lagi menjadi antara pusat muzik Islamik penting di rantau ini dan kebangkitan itu tidak akan datang dengan bernostalgia tetapi kita sendiri perlu menciptanya.

Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti bertanya, “Bolehkah nasyid popular semula?”, sebaliknya kita bertanya, “Apa yang perlu kita lakukan agar dunia kembali mendengar nasyid Malaysia?”


*Wan Syahrul Amry Wan Mansor adalah Timbalan Presiden MUNSYID Malaysia

**Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
 

Must Watch Video

Advertisement