MALAYSIA

[KOLUMNIS] Obsessive-Compulsive Disorder: Apabila kesempurnaan menjadi beban

Dr Saw Jo Anne 08/07/2025 | 00:20 MYT
Dalam konteks OCD, kesempurnaan bukan sahaja memanjangkan kitaran gangguan, malah sering kali menjadi pencetus kepada obsesi dan kompulsi. - Gambar hiasan
DALAM kehidupan seharian, ramai antara kita mungkin pernah mengalami rasa was-was – memeriksa pintu lebih daripada sekali, mengatur barang supaya kelihatan seimbang, atau berasa tidak selesa dengan persekitaran yang tidak bersih. Namun, bagi sesetengah individu, perasaan ini hadir dalam bentuk yang lebih ekstrem dan mengganggu sehingga menjejaskan fungsi harian, hubungan sosial, dan kesihatan mental secara keseluruhan. Keadaan ini dikenali sebagai Gangguan Obsesif-Kompulsif, atau Obsessive-Compulsive Disorder (OCD).

Menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Edisi Kelima, Teks Semakan (DSM-5-TR) yang diterbitkan oleh American Psychiatric Association (2022), OCD diklasifikasikan sebagai sebahagian daripada kumpulan Obsessive-Compulsive and Related Disorders. Gangguan ini melibatkan dua ciri utama: obsesi dan kompulsi. Obsesi ialah pemikiran, imej, atau dorongan yang berulang, tidak diingini, dan mengganggu; manakala kompulsi pula ialah tindakan berulang, sama ada secara fizikal atau mental, yang dilakukan untuk meredakan keresahan atau mengelakkan perkara yang ditakuti.

Kajian global menunjukkan bahawa OCD memberi kesan kepada kira-kira 2 hingga 3 peratus daripada populasi dunia (Ruscio et al., 2010; Lawrence et al., 2015; Barzilay et al., 2019), menjadikannya salah satu gangguan mental yang lazim. Di Malaysia, walaupun data epidemiologi yang khusus tentang OCD masih terhad, dianggarkan bahawa sekitar 1 hingga 2 peratus populasi mengalami OCD, melibatkan semua kaum, jantina, dan peringkat umur — termasuk dalam kalangan kanak-kanak dan remaja (Andrew Mohanraj, 2018).

OCD bukanlah sekadar sifat cerewet atau tingkah laku berulang yang boleh diketawakan atau dipermainkan. Ia merupakan gangguan kesihatan mental yang kompleks, kronik dan sering kali melemahkan fungsi kehidupan harian individu yang mengalaminya. Apabila obsesi terhadap kebersihan, kesempurnaan, keselamatan atau simetri mula mengambil alih pemikiran dan tingkah laku seseorang sehingga mengganggu kerja, hubungan sosial dan kesejahteraan emosi, ia memerlukan perhatian klinikal yang serius.

Dalam masyarakat yang menghargai ketelitian, ketepatan dan keteraturan sebagai sifat peribadi yang positif, kita sering terlepas pandang bahawa bagi sesetengah individu, dorongan untuk mencapai kesempurnaan bukan sekadar satu pilihan, tetapi satu bentuk penderitaan psikologi yang berkaitan dengan keperluan kesempurnaan dan simetri. Ketidakteraturan kecil — seperti buku yang sedikit senget, bantal yang tidak tersusun rapi, atau langkah yang dirasakan “tidak sempurna” — boleh mencetuskan tahap keresahan yang tinggi dalam diri penghidap. Dalam konteks OCD, kesempurnaan bukan sahaja memanjangkan kitaran gangguan, malah sering kali menjadi pencetus kepada obsesi dan kompulsi.

Antara bentuk kompulsi yang lazim dalam kalangan penghidap OCD berkaitan kesempurnaan dan simetri termasuklah tindakan menyusun objek mengikut saiz, warna, bentuk atau arah tertentu secara berulang-ulang sehingga dirasakan benar-benar “sempurna”, serta mengulangi pergerakan tertentu seperti membuka dan menutup pintu, mengetuk meja atau menyusun semula barangan sehingga tercapai simetri yang dirasakan sempurna. Selain itu, ada juga individu yang melaksanakan “ritual”, tindakan berulang melalui gerakan tubuh — contohnya, jika tangan kanan menyentuh sesuatu, mereka berasa terdorong untuk menyentuh tangan kiri juga demi mencapai rasa “seimbang”. Dalam sesetengah kes, penghidap akan mengulangi frasa atau nombor tertentu secara senyap di dalam minda sebagai usaha untuk meredakan ketidakselesaan apabila sesuatu kelihatan tidak simetri atau tidak sempurna. Perasaan “tidak sempurna” atau “tidak seimbang” ini hadir sebagai keresahan dalaman yang sukar dijelaskan tetapi amat nyata bagi penghidap. Kegagalan memenuhi keperluan simetri boleh menyebabkan keresahan, kemurungan, dan gangguan fungsi harian.

Individu yang mengalami obsesi berkaitan kebersihan dan pencemaran sering dipenuhi oleh fikiran intrusif dan ketakutan berlebihan terhadap kuman, virus, bahan kimia atau cecair tubuh—seolah-olah setiap sentuhan boleh mencetuskan jangkitan atau mencemarkan orang lain. Untuk mengatasi keresahan ini, mereka kerap melakukan tindakan kompulsif seperti mencuci tangan atau mandi secara berlebihan, menukar pakaian berulang kali, atau menghindari tempat dan objek yang mereka anggap “kotor”. Walaupun niatnya adalah untuk mengurangkan kebimbangan atau mencegah “bencana” yang dibayangkan, kelepasan yang dicapai hanyalah sementara. Komplikasi yang berlaku bukan sekadar mengambil masa yang banyak—ia juga boleh menjejaskan rutin harian, meningkatkan keletihan mental, dan menyebabkan pengasingan sosial.

Lebih penting untuk difahami bahawa walaupun perbuatan mencuci atau membersih dalam kalangan penghidap OCD kelihatan seperti amalan menjaga kebersihan, ia sebenarnya didorong oleh rasa cemas yang berlebihan dan tidak rasional, bukannya keperluan sebenar untuk bersih. Kebimbangan ini bersifat patologikal, bermakna ia berpunca daripada gangguan psikologi, bukan logik atau keperluan kesihatan biasa. Dalam kes yang lebih serius, tingkah laku mencuci yang berulang kali ini boleh menyebabkan kesan fizikal, seperti keradangan kulit, ekzema, atau luka-luka akibat penggunaan sabun atau bahan pencuci yang terlalu kerap dan melampau.

Selain dorongan kuat untuk memastikan sesuatu berada dalam keadaan simetri, tersusun rapi, atau sempurna, kajian menunjukkan bahawa bentuk obsesi yang lain termasuklah ketakutan terhadap kuman atau pencemaran, kerisauan melampau terhadap kemungkinan terlupa atau kehilangan sesuatu, serta kebimbangan akan kehilangan kawalan terhadap tingkah laku sendiri sehingga mencetuskan tindakan yang berbahaya. Selain itu, terdapat juga obsesi berbentuk fikiran agresif terhadap diri sendiri atau orang lain, serta pemikiran yang tidak diingini dan dianggap “taboo” yang berkaitan dengan seks, agama, atau kecederaan, yang sering kali menimbulkan rasa malu atau bersalah yang keterlaluan. Selain itu, individu juga sering memeriksa sesuatu secara berulang kali, seperti memastikan pintu telah dikunci atau alat elektrik telah dimatikan, walaupun tiada bukti kukuh bahawa ia tidak dilakukan sebelum itu. Pengiraan kompulsif – contohnya mengira langkah atau objek dengan bilangan tertentu – turut berlaku tanpa tujuan praktikal. Sebilangan penghidap juga melibatkan diri dalam ritual mental, seperti mengulang kata-kata, doa, atau frasa tertentu secara senyap, sebagai usaha untuk meneutralkan fikiran mengganggu atau mencegah kemudaratan yang dibayangkan.

Walaupun penghidap OCD lazimnya menyedari bahawa obsesi dan kompulsi yang dialami adalah berlebihan atau tidak rasional, mereka tidak berupaya mengawal pemikiran dan tingkah laku tersebut secara sukarela. Gangguan ini dicirikan oleh ketidakupayaan untuk menghentikan obsesi atau kompulsi, meskipun individu sedar akan ketidakmunasabahannya. Dalam kebanyakan kes, penghidap akan menghabiskan lebih daripada satu jam setiap hari untuk melaksanakan “ritual” atau terlibat dalam pemikiran obsesif, yang secara langsung menjejaskan masa dan fungsi harian. Tidak seperti tingkah laku yang dilakukan untuk keseronokan, kompulsi dalam OCD tidak mendatangkan kepuasan, tetapi sebaliknya dilakukan semata-mata untuk meredakan keresahan atau ketidakselesaan yang berpunca daripada obsesi. Meskipun kelegaan yang dirasai mungkin berlaku seketika, gangguan ini sering membawa kepada kemerosotan fungsi sosial, akademik, atau pekerjaan, sekali gus memberi kesan negatif yang ketara terhadap kualiti hidup penghidap (National Institute of Mental Health [NIMH], 2023).
Penghidap OCD sering berdepan kesukaran menjalani rutin harian kerana perlu melaksanakan kompulsi berulang, seperti mencuci tangan atau membersih secara berlebihan hingga mengganggu masa untuk bekerja, belajar, dan urusan keluarga (Zisler et al., 2024). Gangguan ini turut menjejaskan hubungan sosial — penghidap mungkin berasa malu, rendah diri, atau bimbang dinilai negatif kerana tingkah laku yang dilihat ganjil. Akibatnya, ramai memilih untuk mengasingkan diri, yang menyumbang kepada kesunyian dan tekanan emosi.

Dalam konteks psikologi klinikal, pendekatan psikologi terbukti menjadi antara kaedah yang efektif untuk membantu individu yang berdepan dengan OCD menguruskan simptom secara berkesan untuk jangka panjang. Rawatan psikologi yang efektif untuk OCD juga perlu melibatkan psikoedukasi, iaitu memberi pemahaman menyeluruh kepada pesakit dan keluarga mengenai sifat OCD, mekanisme gejala, serta strategi penanganan. Intervensi keluarga penting bagi mengurangkan penglibatan mereka dalam ritual kompulsif, memperbaiki komunikasi dan membina sistem sokongan yang lebih berkesan (NIMH, 2023).

Cognitive Behavioral Therapy (CBT) adalah bentuk rawatan psikologi yang paling banyak dikaji dan secara konsisten dilaporkan sebagai intervensi pertama yang disyorkan untuk OCD (National Institute for Health and Care Excellence, 2005). Exposure and Response Prevention (ERP) adalah komponen paling utama dalam Terapi Tingkah Laku Kognitif (CBT) untuk rawatan Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD). Melalui ERP, individu secara berperingkat didedahkan kepada situasi, objek atau pemikiran yang mencetuskan obsesi, tanpa dibenarkan melakukan tingkah laku kompulsif sebagai tindak balas. Tujuannya adalah untuk melatih sistem saraf agar menerima rasa cemas tanpa bergantung kepada ritual – secara beransur-ansur mengurangkan kebergantungan kepada kompulsi dan memecahkan kitaran simptom OCD yang berulang (Song et al., 2022).

Pendekatan Mindfulness-Based Cognitive Therapy (MBCT) pula menggabungkan teknik kognitif dan meditasi kesedaran bagi membantu pesakit menerima kehadiran obsesi tanpa melibatkan diri secara berlebihan atau berusaha menghapuskannya. Kajian menunjukkan bahawa terapi ini boleh menjadi pelengkap kepada CBT, terutamanya dalam membantu penghidap mengekalkan keseimbangan emosi dan mengurangkan kadar kambuh (Hertenstein et al., 2021).

Secara keseluruhannya, OCD merupakan suatu kondisi kesihatan mental yang kompleks, kronik dan sering kali melemahkan fungsi kehidupan harian individu yang mengalaminya. Meskipun OCD sering disalah tafsir sebagai sekadar "tabiat pelik" atau "terlalu pembersih", hakikatnya ia merupakan gangguan klinikal yang memerlukan diagnosis dan rawatan khusus.

Dengan adanya intervensi terapi psikologi, rawatan farmakologi yang sesuai, serta sokongan daripada keluarga dan komuniti, individu yang menghidap OCD akan mempunyai peluang untuk mencapai tahap fungsi yang lebih stabil dan bermakna. Justeru, penting bagi masyarakat untuk meningkatkan kesedaran, menghapuskan stigma, dan menyokong akses kepada rawatan profesional yang komprehensif.



* Dr Saw Jo Anne ialah Pakar Perunding Psikologi Klinikal di UiTM Private Specialist Centre (UPSC) dengan Kerjasama Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.







#OCD #kesihatan mental #Gangguan Obsesif-Kompulsif #rawatan psikologi