NATIONAL
[KOLUMNIS] Orang muda dan jerat populisme
![[KOLUMNIS] Orang muda dan jerat populisme [KOLUMNIS] Orang muda dan jerat populisme](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2019-01/81547634246_MEETING.jpg)
Anak muda adalah sasaran utama dalam budaya politik populis kerana secara psikologinya kumpulan ini lebih mudah terpengaruh dengan perkara yang sentimental, berkait jati diri dan ideologi. - Gambar hiasan
GOLONGAN muda atau belia adalah set kumpulan dalam demografi sesebuah negara yang mempunyai nilai tinggi serta penggerak ekonomi yang progresif dalam memastikan kemandirian sesebuah wilayah berdaulat.
Menelusuri sejarah peradaban dunia, kumpulan anak muda adalah aset bagi jentera sesebuah kerajaan bagi mempertahankan wilayah yang didiami atau menakluki mana-mana tanah yang ingin dikuasai sebagai simbolik kekuatan dan keagungan empayar mereka.
Jelas di sini, “muda” yang ditakrifkan pada waktu itu adalah pada sudut kecergasan fizikal semata, manakala para pemikir kebanyakan berlegar di kalangan mereka yang sudah berumur.
Tidak hairanlah tokoh-tokoh ilmuan yang kita kenali pada hari ini terdiri dari mereka yang tua (pada waktu penemuan dilakukan) dan amatlah sedikit nama-nama cendekiawan yang memberi dampak yang signifikan terhadap perkembangan dunia di kalangan mereka yang muda belia.Fenomena sosial ini bukanlah satu hal yang devian memandangkan sistem pendidikan sejagat pada waktu itu tidak mempunyai modul asas yang memberi kayu ukur dalam usaha mengembangkan potensi anak muda sejak kecil.
Lewat abad ke-17, berlaku satu revolusi pemikiran di Barat yang diberi nama “enlightenment years” yang menekan masyarakat supaya berfikir dengan lebih rasional dan menjadikan ilmu sebagai teras penting dalam kehidupan, melawan gereja pada ketika itu yang menganggap ilmu falsafah dan sains sebagai sihir yang merosakkan manusia.
Perkembangan ini mula merubah landskap sosial masyarakat yang tidak lagi meletakkan anak muda sebagai askar dan tentera kerajaan sahaja.
Meskipun begitu, Dalam Perang Dunia I dan II, majoriti tentera yang dikerah ke medan peperangan masih lagi di kalangan mereka yang masih muda bahkan seawal usia 16 tahun.
Dapatan ini boleh dirujuk melalui WWII Memorial Registry (USA) dan pelbagai lagi arkib maya yang menyimpan data yang boleh diakses orang awam.
Kitaran sosial manusia sejagat umumnya tidak akan terlepas dari segmentasi umur ini.
Jika dahulu anak muda dieksploitasi kecerdasan dan kecergasan fizikalnya untuk menjadi askar, dalam dunia politik moden hari ini anak muda adalah aset berharga yang menjadi sasaran politikus melalui propaganda serta cukong-cukong kapitalis untuk dieksploitasi, dalam spektrum penjajahan berbeza.
Dasar-dasar populis yang menjadi bahan kempen utama pemimpin-pemimpin dunia sering menjadi senjata utama politikus bagi meraih sokongan dan memainkan sentimen rakyat.
Dengan kemajuan teknologi maklumat dan transformasi media arus perdana khususnya, dasar yang populis ini seringkali dijadikan modal pelaburan parti-parti politik bagi membentuk satu optik seksi lagi mengiurkan yang mampu menginzalkan rakyat terutamanya anak muda.
Seiring dengan kemudahan akses ilmu yang dicapai, adakah anak muda dapat mengenal pasti naratif berbentuk populis dan mampukah kita membina generasi yang mempunyai kesedaran kritis?
Anak muda sebagai umpan
Anak muda adalah sasaran utama dalam budaya politik populis kerana secara psikologinya kumpulan ini lebih mudah terpengaruh dengan perkara yang sentimental, berkait jati diri dan ideologi.
Ejen propaganda mewakili parti politik akan “memasarkan” produk mereka dalam “bungkusan” yang mampu menarik perhatian mereka, lagak seolah memahami apa yang dimahukan rakyat.
Media sosial dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyebarkan mesej dengan pantas dan efektif.
Di Barat atau Eropah khususnya, golongan populis sering menggunakan isu seperti imigrasi, pekerjaan, dan nasionalisme untuk menarik minat anak muda.
Dengan menyarung baju “suara rakyat” dan menentang keras elitis-elitis yang hanya mahu terus kaya dan menjarakkan lagi jurang antara kelas masyarakat.
Sebagai anak muda yang baru mahu mulakan hidup dan melalui fasa kesukaran dalam ekonomi dan kewangan terutamanya, dasar ini sudah pastinya akan menjadi ikutan dan anutan mereka tanpa disedari jerat populis politikus ini sudah mengena.
Bahaya dasar populis
Walaupun dasar populis sering dilihat sebagai langkah penyelesaian yang mudah dan dapat diterima ramai, ia adalah jalan pintas dalam melahirkan generasi yang malas dan tidak kritis dalam menilai permasalahan.
Dasar populis juga biasanya bersifat “utopia”, indah ditinta dengan pena, mudah dijual-bicara walhal kebanyakannya tidak realistik dan sangat merbahaya kesannya untuk jangka masa panjang.
Dalam dunia yang berdenyut nadikan ekonomi kapitalisme, dasar-dasar populis biasanya akan kontra dengan kehendak pelobi politik, cukong-cukong dan kuasa besar yang tidak akan pernah senada dengan keperluan serta kehendak masyarakat kebanyakan.
Siapa pemimpin yang benar-benar mengasingkan diri dari pelobi-pelobi ini dan fokus kepada kehendak rakyat yang masih hidup? Korea Utara? Tidak.
Komunisme tidak lagi seeksklusif era Soviet dan geopolitik pada hari ini lebih kompleks dan rumit berbanding zaman Perang Dingin.
Gaddafi? Masih adakah pemimpin yang cekal dan berani seperti beliau, atau adakah perjuangan beliau memberi kesan jangka panjang yang baik untuk negaranya?
Lihatlah Libya pada hari ini. Dasar populis juga akan memerangkap pemikiran anak muda untuk berfikir dengan simplistik, tidak kritis dan boleh dikatakan politikus yang menjual idea populis ini sedang menjalankan projek pembodohan generasi yang akan merugikan negara.
Dasar yang popular juga kebiasaannya akan menyebabkan rakyat lemah dalam menilai fakta dan ilmu – menolak dapatan dan hujah yang berasaskan penyelidikan dan bukti saintifik.
Kesedaran anti-populis di luar negara
Di negara-negara Scandinavian seperti Sweden, golongan muda aktif dalam kempen literasi politik dan inisiatif periksa fakta untuk menangani propaganda populis.
Kelab pelajar dan organisasi belia seperti “Fatta Fakta” membantu remaja mengenali retorik populis yang bersifat manipulatif, seperti janji ekonomi yang tidak realistik atau retorik anti-imigran yang bersifat emosional tetapi tidak berasaskan data. – Foreignaffirs.com
Remaja di Sweden sering menganjurkan perbincangan terbuka dan forum debat di sekolah serta memanfaatkan media sosial untuk mendedahkan kelemahan dasar populis.
Mereka juga terlibat dalam simulasi pilihan raya dan gerakan kesedaran politik bagi memastikan generasi muda mempunyai pemikiran kritis dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif populis.
Di Kanada, organisasi belia seperti “Apathy is Boring” membantu anak muda memahami politik secara mendalam dan menggalakkan mereka menyertai perbincangan mengenai isu-isu semasa tanpa terpengaruh dengan propaganda populis.
Mereka menggunakan media sosial dan bengkel pendidikan untuk membongkar taktik populis seperti penyebaran ketakutan (fear-mongering) atau janji-janji palsu yang tidak praktikal. - Freedomhouse.org
Selain itu, di bandar-bandar seperti Toronto dan Vancouver, pelajar sekolah menengah dan universiti aktif menyertai pelbagai gerakan bagi menekan kerajaan supaya membuat dasar berasaskan fakta dan bukannya emosi semata-mata.
Mereka juga membentuk kelab diskusi politik di sekolah dan kolej bagi membincangkan bagaimana untuk mengenali serta menangani retorik populis dalam media dan kempen pilihan raya.
Kaedah seperti ini membantu memastikan remaja lebih berfikiran kritis dan tidak mudah terpengaruh dengan politik yang hanya mementingkan populariti tanpa dasar yang kukuh.
Populisme adalah ruang untuk politikus menawarkan retorik dan janji kosong mereka selain berupaya memecahbelahkan masyarakat pada akhirnya dengan isu-isu dan sentimen yang dimainkan.
Kumpulan, organisasi atau NGO berasaskan pendidikan kesedaran politik yang dipelopori orang muda di negara ini khasnya perlu lebih giat dalam menganjurkan wacana dan perbincangan ilmiah dalam memastikan generasi kita tetap tumbuh dalam suasana ilmu yang subur, bukan dalam suasana yang penuh kebencian, stereotaip dan mundur pemikirannya.
Manfaatkan kemudahan dan akses yang ada pada hari ini untuk mengangkat kemuliaan ilmu.
* Adam Mukhriz ialah seorang penulis.
** Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami