GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
MALAYSIA

[KOLUMNIS] Palestin, solidariti dan jurang empati bukan Islam di Malaysia

Shafezah Abdul Wahab 04/10/2025 | 05:18 MYT
Penulis kesal apabila ada yang memperlekeh sukarelawan Sumud Nusantara, menuduh mereka mencari publisiti dan menyusahkan kerajaan untuk urusan membawa pulang setelah ditahan penjajah Israel. - Foto REUTERS
MALAYSIA sejak sekian lama menjadi antara negara paling lantang menyuarakan sokongan kepada Palestin. Dari era Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Razak yang membuat lawatan ke Palestin hinggalah ke Perdana Menteri Anwar Ibrahim, isu Palestin sentiasa menjadi sebahagian daripada dasar luar negara kita yang konsisten dan berprinsip.

Di pentas antarabangsa, imej Malaysia sering dipuji kerana teguh berdiri menentang kezaliman rejim Israel, sekali gus menjadi suara moral dunia Islam dan negara-negara Selatan.

Namun, di sebalik imej itu, wujud satu realiti yang lebih kompleks apabila isu ini diteliti dari sudut domestik. Solidariti Palestin di Malaysia masih terlalu didominasi oleh komuniti Muslim dengan bahasa dan simbol keagamaan sebagai teras advokasi.

Hal ini tidak salah, bahkan terbukti berkesan dalam mobilisasi umat Islam untuk menyumbang dana dan menyertai perhimpunan besar-besaran. Tetapi dalam masa yang sama, ia menimbulkan jurang penyertaan apabila masyarakat bukan Islam melihat Palestin sebagai isu agama, bukan isu kemanusiaan sejagat.

Persoalan pokok yang mesti dijawab ialah mengapa masyarakat bukan Islam di Malaysia perlu peduli dengan Palestin? Jawapannya mudah dan penting kerana Palestin bukan soal agama, tetapi soal kemanusiaan.

Rakyat Palestin tidak ditindas kerana mereka Muslim semata-mata, tetapi kerana mereka dijajah, diusir dari tanah air, dibunuh tanpa perikemanusiaan dan dinafikan hak asasi paling asas iaitu hak untuk hidup dalam keadaan bebas dan bermaruah. Ini adalah isu universal yang sepatutnya melampaui agama, kaum dan sempadan geografi.

Jika masyarakat bukan Islam di Malaysia boleh bersuara dengan lantang tentang isu-isu seperti diskriminasi gender, hak pekerja, isu buli atau hak golongan LGBT atas nama kemanusiaan, maka Palestin juga menuntut empati dan keberanian yang sama.

Mengapa kita begitu cepat menyuarakan keprihatinan terhadap penderitaan kumpulan tertentu dalam negara, tetapi menjadi pasif atau sinis apabila berdepan dengan penderitaan manusia di Gaza?

Sikap selektif dalam mendefinisikan isu kemanusiaan ini mencerminkan masalah “ignorance” iaitu keengganan untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebahagian daripada perjuangan moral sejagat.

Jika dibandingkan dengan luar negara, jurang ini lebih ketara. Greta Thunberg, seorang aktivis iklim Sweden tidak pernah menjadikan isu Palestin sebagai isu agama. Baginya, Gaza adalah isu kemanusiaan yang sebahagian daripada perjuangan menentang kezaliman dan ketidakadilan global.

Begitu juga aktivis Thiago Avila dari Brazil yang menyertai flotilla kemanusiaan ke Gaza, sanggup berdepan risiko ditahan oleh tentera Israel serta melancarkan mogok lapar sebagai tanda protes. Thiago tidak Muslim, tetapi hatinya dipandu oleh nilai moral sejagat.

Mengapa di Malaysia, kita jarang sekali mendengar suara lantang sebegitu daripada aktivis bukan Islam? Mengapa masyarakat bukan Islam di Malaysia yang tegas membela isu keadilan sosial dalam negara tidak mengangkat Palestin dengan nada sama? Inilah persoalan kritikal yang perlu direnungi dengan jujur.

Jurang empati ini lebih terserlah di media sosial. Walaupun ada bukan Islam yang simpati, tidak sedikit pula yang memilih untuk bersikap sinis. Mereka mempersoalkan mengapa bantu Palestin, bukan isu tempatan? Mengapa derma berjuta untuk Gaza, tetapi tidak untuk miskin bandar? Lebih menyedihkan, ada yang memperlekeh sukarelawan Sumud Nusantara, menuduh mereka mencari publisiti dan menyusahkan kerajaan untuk urusan membawa pulang setelah ditahan penjajah Israel.

Kecaman sebegini bukan sahaja melemahkan semangat sukarelawan, malah menampakkan kegagalan kita sebagai masyarakat majmuk untuk berdiri bersama atas nama kemanusiaan. Ia membuktikan bahawa Palestin di Malaysia masih terperangkap dalam bingkai Muslim vs. bukan Muslim, bukannya Manusia vs. Kezaliman.

Dalam konteks Malaysia Madani, pemimpin bukan Islam mempunyai tanggungjawab moral yang besar. Mereka tidak boleh terus menyerahkan isu Palestin kepada rakan Muslim sahaja. Mereka perlu berdiri bersama Perdana Menteri di pentas sama. Jika benar prinsip kemanusiaan menjadi asas perjuangan politik mereka, maka Palestin juga seharusnya menjadi sebahagian daripada suara itu.

Pemimpin bukan Islam sering lantang dalam isu-isu seperti pendidikan vernakular, hak minoriti atau kebebasan bersuara. Itu wajar dan patut diteruskan. Namun, keadilan tidak boleh dipilih secara selektif. Kegagalan bersuara tentang Palestin akan meletakkan mereka dalam posisi hipokrit seolah-olah perjuangan keadilan hanya penting jika ia menyentuh kepentingan komuniti sendiri.

Bayangkan jika pemimpin bukan Islam berdiri di pentas utama solidariti Palestin bersama rakan Muslim mereka. Bayangkan jika delegasi Malaysia ke Gaza turut diwakili sukarelawan Cina, India atau Orang Asal. Mesejnya kepada dunia pasti lebih kuat bahawa sokongan Malaysia kepada Palestin ialah sokongan negara bangsa, bukan sekadar sokongan agama.

Palestin bukan sahaja ujian moral dunia, tetapi juga ujian integriti Malaysia sebagai sebuah negara majmuk. Jika masyarakat bukan Islam terus berdiam diri atau bersikap sinis, maka kita telah gagal membuktikan bahawa kemanusiaan ialah nilai bersama seluruh rakyat Malaysia.

Sudah tiba masanya semua pihak sama ada Muslim dan bukan Muslim, pemimpin politik dan masyarakat awam melihat Palestin sebagai cerminan integriti kemanusiaan kita sendiri. Jangan biarkan Palestin terperangkap sebagai “isu Muslim”. Ia adalah isu manusia melawan kezaliman.

Hanya dengan bersatu di bawah panji kemanusiaan sejagat, Malaysia boleh benar-benar berdiri teguh sebagai suara global yang konsisten, berani dan dihormati dalam perjuangan Palestin.



* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM Melaka

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.



#rakyat Malaysia #solidariti #bukan Islam #Gaza #Sumud Nusantara