MALAYSIA
[KOLUMNIS] Pekerja Kesuma Bangsa, pemacu bakat unggul negara
![[KOLUMNIS] Pekerja Kesuma Bangsa, pemacu bakat unggul negara [KOLUMNIS] Pekerja Kesuma Bangsa, pemacu bakat unggul negara](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-05/71746154103_HalEhwalPelajarda.jpg)
Pemerkasaan mahasiswa disokong oleh kompetensi staf universiti khususnya di Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA). - Gambar hiasan
SETIAP tahun pada 1 Mei, kita memperingati Hari Pekerja sebagai penghargaan kepada semua pekerja yang menjadi tulang belakang pembangunan negara.
Tema Hari Buruh tahun ini, “Pekerja Kesuma Bangsa” membawa makna besar kepada seluruh warga kerja negara, khususnya mereka yang berada di menara ilmu yang membangunkan bakat dan potensi terbaik negara, iaitu universiti.
Dalam hal ini, semua komuniti universiti seperti ahli akademik, pentadbiran, teknikal mahupun sokongan memainkan peranan besar dalam membentuk masa depan negera melalui pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan khidmat komuniti.
Universiti bukan sahaja tempat untuk melahirkan graduan berilmu, malah ia adalah institusi yang menggerakkan inovasi, membina tamadun dan menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi.Semua ini tidak akan tercapai tanpa dedikasi dan usaha keras warga kerja universiti yang setiap hari menjalankan tugas dengan penuh komitmen.
Ketika berucap di Majlis Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi Tahun 2025, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menekankan peranan penting kakitangan universiti dalam melahirkan bakat terbaik negara dengan memastikan bahawa setiap warga universiti termasuk pensyarah dan staf sokongan memainkan peranan aktif dalam membimbing dan membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berdaya saing dan beretika tinggi.
Melalui kolaborasi yang erat di antara semua pihak dalam ekosistem pendidikan tinggi, usaha melahirkan graduan yang mampu memenuhi pasaran kerja dan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara.
Dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin kompleks, peranan warga kerja universiti bukan sahaja memerlukan komitmen dan semangat kerja berpasukan, tetapi juga menuntut anjakan dari segi kompetensi dan kemahiran agar selari dengan keperluan semasa.
Usaha melahirkan bakat terbaik negara adalah bebanan tanggungjawab berat terhadap masyarakat yang harus dilunaskan menerusi gerak kerja berpasukan.
Warga kerja universiti misalnya di Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) merupakan antara pemain utama yang melaksanakan peranan penting dalam menjayakan agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi melahirkan bakat terbaik negara dan mahasiswa negara yang berdaya saing dan seimbang dari aspek akademik serta insaniah.
Namun, bagi memastikan aspirasi ini dapat direalisasikan secara nyata, kakitangan HEPA perlu bersedia untuk berubah, dari sekadar pelaksana program kepada fasilitator pembangunan bakat.
Dalam konteks di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), pembangunan bakat mahasiswa yang digariskan dalam Pelan Strategik UMT 2023-2027 adalah tunjang kepada matlamat untuk UMT muncul sebagai universiti berfokus marin terunggul dalam negara dan disegani di peringkat global.
UMT sentiasa memberi perhatian yang serius menatah mahasiswa idaman dengan mengariskan tujuh gagasan idea dalam pembangunan intelektual menerusi aktivisme dan bakat, kesejahteraan mahasiswa serta pembinaan nuansa kebangsaan yang kukuh.
Justeru, usaha-usaha tersebut perlulah disokong dengan keperluan untuk memperkasakan kompetensi dan keupayaan staf di HEP yang merangkumi aspek pemikiran strategik, keupayaan merancang, pengalaman pembelajaran luar bilik kuliah, kecekapan digital, literasi psikososial serta pendekatan kepimpinan berasaskan empati semakin penting.
Ini kerana cabaran semasa yang dihadapi oleh pelajar seperti tekanan mental, ketidaktentuan pasaran kerja dan jurang kemahiran menuntut sentuhan yang lebih dinamik dan manusiawi dari warga HEPA.
Dalam usaha menjadikan HEPA sebagai platform strategik pembangunan pelajar, kerja berpasukan yang mantap antara semua pihak, termasuk pentadbir, pensyarah, pelajar dan alumni perlu digabungkan dengan peningkatan berterusan kompetensi staf di HEPA.
Latihan, pendedahan antarabangsa, kajian tindakan dan inovasi program-program pelajar harus menjadi sebahagian daripada budaya kerja harian.
Sambutan Hari Pekerja ini seharusnya menjadi detik refleksi untuk menilai sejauh mana kita sebagai pekerja, sebagai kesuma bangsa, telah bersedia untuk berkembang seiring dengan perubahan.
Dalam mendepani era digitalisasi industri dan cabaran pasca-pandemik, tiada ruang untuk selesa dan terus berpuas hati.
Staf di HEPA bukan hanya penjaga kebajikan, tetapi bingkas menjadi pemangkin perubahan, pembentuk karakter dan seterusnya artisan penghasilan bakat terbaik negara. Ia adalah suatu usaha yang memberi impak melangkaui tempoh kuliah di kampus.
Justeru, marilah kita bersama-sama mengangkat martabat pekerjaan dalam sektor pendidikan terutama di universiti dengan memperkukuh kerja berpasukan, memperluas kompetensi dan menyumbang komitmen demi kejayaan anak bangsa.
Hal ini kerana dalam setiap langkah pelajar ke arah kejayaan dan menjadi bakat terbaik negara, terselit usaha gigih seorang pekerja yang dinamakan kesuma bangsa.
Selamat Hari Pekerja 2025 kepada semua rakyat Malaysia.
* Fadli Mamat ialah Ketua Pentadbiran Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami