MEMANDANGKAN Kabinet dijangka berbincang dan membuat keputusan tentang hala tuju pelancaran (rollout) 5G negara secara betul, efektif, efisien dan telus di Malaysia pada minggu ini (19 April 2023), dan selepas penyelidikan dan kajian menyeluruh yang disertai lebih 20 terbitan artikel berkaitan 5G berasaskan data dan bukti oleh EMIR Research, sudah tiba masanya untuk menyatakan jalan dan hala tuju spesifik yang boleh diambil untuk menyelesaikan isu ini demi manfaat semua dengan beralih model pelancaran “Single Wholesale Network (SWN)” yang telah terbukti gagal di seluruh dunia, kepada model berjaya secara global iaitu “Multiple Wholesale Network (MWN)”.

DNB akan menjadi 100% dimiliki oleh Pengendali Rangkaian Mudah Alih (Malaysian Mobile Network Operators; MNO) utama Malaysia yang akan memastikan 80% liputan di kawasan populasi (Coverage of Populated Area; CoPA) menjelang akhir 2023. MNO akan memaksimumkan kecekapan dengan memanfaatkan aset sedia ada, kepakaran dan ekosistem rakan kongsi untuk memberi impak kos terbaik kepada Rakyat.

Langkah dan Strategi Khusus
  1. MNOs memegang 100% ekuiti dalam DNB. Pemegang saham akan mempunyai hak yang sama dan saksama, selaras dengan Akta Syarikat.
  2. Kerajaan akan melepaskan saham dalam DNB kepada MNO – membebaskan Kerajaan daripada beban pengendalian dan pembiayaian DNB. Kerajaan juga akan mendapatkan semula semua modal yang dilaburkan dalam DNB. Tiada saham istimewa (golden share) yang diperlukan kerana Kerajaan mempunyai hak pengawasan dan boleh mengawal selia industri melalui SKMM.
  3. Spektrum dalam DNB iaitu, 700Mhz dan 3500Mhz untuk ditukar kepada Penetapan Spektrum (Spectrum Assignment). MNO akan komited untuk melabur kerana terdapat kestabilan dalam operasi. Ini juga akan meningkatkan keyakinan pelabur asing dalam industri, mengujakan Bursa Malaysia (KLSE), sambil menyediakan tambahan kepada wang kerajaan. Kerajaan harus mempertimbangkan untuk mengenepikan (waive) kos pendahuluan spektrum serta menangguhkan bayaran spektrum tahunan bagi meringankan beban MNO yang akan diwarisi daripada DNB, justeru itu membolehkan MNO menumpukan lebih banyak sumber kewangan untuk melabur dalam peningkatan rangkaian dan pengurangan kos untuk manfaat pengguna dan pelanggan (rujuk terbitan EMIR Research sebelum ini bertajuk “Malaysian 5G Rollout — Spectrum Economics & Deadweight Loss”).
  4. Kerajaan segera mengembalikan neutralisme teknologi (technology neutrality) untuk membantu mempercepatkan liputan 5G kepada 80% dan untuk meningkatkan kecekapan rangkaian dan pengalaman pelanggan.

Pelan Implementasi
  1. MNO mesti komited untuk meneruskan pelancaran 5G oleh DNB tanpa berlengah-lengah, dengan jaminan mencapai 80% CoPA menjelang akhir 2023 dengan memanfaatkan asas-aset sedia ada mereka (contoh: tapak, gentian)—ini akan mempercepatkan pelancaran dan mengurangkan kos.
  2. MNO akan mencerminkan faedah daripada kos yang lebih rendah ini kepada pembinaan akses komersial yang baru (new access constructs). Ini akan meningkatkan tahap mampu milik perkhidmatan 5G kepada Rakyat. MNO juga hendaklah menyediakan akses yang sama rata dan tanpa diskriminasi kepada semua pencari akses.
  3. Meningkatkan liputan 5G luar bandar menggunakan spektrum MNO (melalui neutralisme teknologi) dan aset yang sedia ada serta menggunakan spektrum 700Mhz dengan lebih cekap.
  4. Meningkatkan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi negara kepada luar bandar kepada tahap 100% dengan memanfaatkan sistem jalur lebar satelit inovatif yang tersedia dan menggunakan spektrum liputan iaitu jalur dibawah 1 GHZ seperti 700 MHZ.
  5. MNO yang memperoleh kepentingan (saham) dalam DNB mesti melanggan dan menandatangani syarat ketat yang akan ditentukan oleh SKMM dari segi kualiti perkhidmatan, liputan perkhidmatan dan jaminan tahap perkhidmatan dengan garis masa tertentu yang akan dijejaki secara teknikal dengan tahap kebebasan dan kesungguhan yang tinggi, dimana kegagalan dalam pencapaian akan tertakluk kepada denda hukuman dan langkah-langkah lain yang dianggap adil dan saksama untuk memastikan matlamat dan objektif pelancaran 5G yang cekap, berkesan dan tercapai tepat pada masanya.

Manfaat kepada pihak-pihak berkepentingan

1. Kerajaan
  1. Membebaskan kerajaan daripada komitmen dan beban pembiayaan disamping  mencapai pemulihan kos penuh.
  2. Penambahan wang tambahan kepada wang kerajaan daripada pengagihan spektrum, memberi aliran tunai yang mampan untuk kerajaan.
  3. Faedah cukai dan duti 100% berbanding 65%.
  4. MNO mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya serta akauntabiliti terhadap pelaksanaan dan memastikan capaian CoPA menjelang akhir tahun 2023 atau lebih awal.
  5. Menggalakkan inovasi menerusi persaingan, membendung fenomena ‘brain drain’ yang lebih teruk daripada ekosistem dalam industri.
2. Rakyat
  1. Mencapai 80% CoPA menjelang akhir tahun 2023 dengan mengambil manfaat daripada kebolehan DNB dan MNO, sumber dan aset sedia ada, termasuklah (tetapi tidak terhad) kepada tapak, gentian optik dan lain-lain, kemudian diperkasakan dengan pemahaman yang segera dan holistik oleh MNO berkenaan tingkah laku pengguna, corak penggunaan, pengurusan trafik jalur lebar dan demografi.
  2. Mencapai jalur lebar nasional yang berkelajuan tinggi meliputi 100% kawasan luar bandar menggunakan sistem jalur lebar satelit yang konsisten dengan keperluan pengguna dan corak penggunaan (Rajah 1).
  3. Meningkatkan liputan 5G di kawasan luar bandar menggunakan spektrum MNO melalui neutralisme teknologi (technology neutrality) dan aset sedia ada, berdasarkan spektrum 700MHz yang lebih cekap (Akses Tanpa Wayar Tetap).
  4. Melengkapi pelancaran 5G dengan perkhidmatan 4G kini untuk memaksimumkan kecekapan dan pengurangan kos serta meningkatkan pengalaman pengguna bergantung kepada keperluan pelanggan dan corak penggunaaan.
  5. MNOs perlu menggambarkan faedah kos yang lebih rendah kepada Perjanjian Akses Baru (New Access Agreement) bagi meningkatkan tahap mampu milik perkhidmatan 5G kepada Rakyat.
Perbandingan rangkaian wireless yang berbeza antara satu sama lain.

Kita perlu bertindak lebih bijak dengan menimba pengalaman di peringkat global, di mana lebih daripada 156 buah negara dan wilayah memilih persaingan sebagai asas jalan pelancaran 5G. Kita perlu bertindak lebih bijak dengan mereplikasikan model yang telah berjaya di peringkat global.

Ayuhlah kita bertindak lebih bijak demi rakyat dan negara.


* Dr Rais Hussin ialah Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, sebuah badan pemikir bebas yang memberi tumpuan kepada cadangan dasar strategik berdasarkan penyelidikan yang rapi.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.