NATIONAL
[KOLUMNIS] Pemberian hadiah Hari Guru: Wajar atau tidak?
![[KOLUMNIS] Pemberian hadiah Hari Guru: Wajar atau tidak? [KOLUMNIS] Pemberian hadiah Hari Guru: Wajar atau tidak?](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2024-10/81730000120_Guru.jpg)
Amalan memberi hadiah sepatutnya lahir dari rasa ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Namun dalam sesetengah kes, ia berubah menjadi simbol status atau ukuran kasih sayang. -Gambar hiasan/Bernama
HARI Guru merupakan acara tahunan yang diraikan di seluruh dunia dalam pelbagai bentuk.
Ringkasan AI
- Hari Guru di Malaysia disambut pada 16 Mei sebagai penghargaan terhadap peranan guru dalam membentuk sistem pendidikan negara, berbeza dengan Hari Guru Sedunia yang ditetapkan UNESCO pada 5 Oktober.
- Budaya pemberian hadiah kepada guru semakin berubah, daripada sekadar simbolik kepada pemberian material mewah yang menimbulkan tekanan sosial, ketidakadilan, dan potensi konflik kepentingan, serta mencemarkan nilai asal penghargaan yang ikhlas.
- Dicadangkan agar KPM memperkenalkan garis panduan baharu untuk menyambut Hari Guru secara lebih bermakna dan tidak berasaskan kebendaan, dengan menekankan penghargaan berbentuk nilai, etika, dan hubungan insani antara guru dan murid.
Sambutan ini tidak semata-mata perayaan simbolik, tetapi suatu pengiktirafan rasmi terhadap peranan guru dalam membina modal insan, memperkukuh identiti nasional dan memperkasakan pembangunan negara.
Dalam konteks ini, amalan penghargaan kepada guru menjadi manifestasi rasa terhutang budi generasi muda dan masyarakat umum kepada warga pendidik.
Era 1980-an dan 1990-an memperlihatkan sambutan Hari Guru berlangsung dalam bentuk yang sederhana tetapi menyentuh hati.
Murid-murid menulis kad ucapan, mendeklamasikan puisi, atau menyampaikan persembahan kecil seperti nyanyian dan tarian.
Guru pula diraikan dalam majlis gotong-royong, pertandingan sukaneka, dan makan bersama-sama. Hubungan guru dan murid dipenuhi suasana keikhlasan dan silaturahim.
Namun, memasuki alaf baharu, budaya pemberian hadiah semakin mengakar, terutamanya di sekolah-sekolah bandar.
Faktor media sosial, peningkatan kuasa beli, dan normalisasi budaya "hadiah sebagai penghargaan" mendorong ramai ibu bapa untuk memberi hadiah bersifat komersial — set kosmetik mewah, beg tangan berjenama, barangan emas, baucar beli-belah, dan sebagainya.
Dalam banyak kes, amalan ini bukan lagi sekadar pilihan, tetapi menjadi norma sosial yang memberi tekanan kepada ibu bapa yang kurang berkemampuan.
Ada pula yang terpaksa mengikut arus kerana bimbang anak mereka dianggap ‘tidak tahu berterima kasih’.
Amalan memberi hadiah sepatutnya lahir dari rasa ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Namun dalam sesetengah kes, ia berubah menjadi simbol status atau ukuran kasih sayang.
Laporan tidak rasmi dari beberapa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menunjukkan peningkatan ketara dalam jumlah dan nilai hadiah yang diterima guru pada setiap tahun.
Lebih membimbangkan ialah berlakunya kes guru meletakkan ‘syarat’ atau ‘pantang larang’ terhadap jenis hadiah yang boleh diterima.
Sebagai contoh, ada guru yang menolak hadiah makanan ringan atas alasan ‘tiada nilai’, atau menyindir murid yang membawa hadiah dari kedai bajet.
Ini bukan sahaja mencederakan emosi murid kecil, malah menanam bibit elitisme dan penghinaan kelas dalam persekitaran pendidikan.
Lebih parah, terdapat amalan ‘guru popular’ menerima hadiah bertimbun, manakala guru yang kurang disenangi murid atau bersikap tegas langsung tidak menerima sebarang penghargaan.
Fenomena ini mencetuskan pertandingan populariti dan merendahkan integriti profesion perguruan.
Dalam konteks undang-undang, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1998 menyatakan bahawa penjawat awam tidak boleh menerima hadiah yang dikaitkan dengan tugas rasmi mereka, kecuali atas kelulusan khas Ketua Jabatan.
Hadiah boleh dianggap sebagai satu bentuk imbuhan yang boleh menjejaskan integriti penjawat awam, termasuk guru.
Memandangkan guru kini berperanan dalam sistem Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), pemberian hadiah oleh murid kepada guru boleh menimbulkan konflik kepentingan, apatah lagi jika pelajar tersebut sedang dinilai dari aspek akademik, sahsiah, atau kokurikulum.
Meskipun tidak semua guru terjejas dari segi integriti, namun persepsi awam tetap penting dalam menilai kebersihan sistem pendidikan negara.
Dari sudut syariah, hadiah kepada guru dianggap harus, selagi tidak melibatkan unsur kepentingan atau rasuah.
Walau bagaimanapun, apabila pemberian hadiah berlaku dalam konteks penilaian atau hubungan kekuasaan (guru sebagai penilai, murid sebagai subjek penilaian), maka ia boleh dikategorikan sebagai suapan halus.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui beberapa irsyad al-fatwa menyatakan bahawa hadiah yang mengaburi keadilan atau menimbulkan syubhah dalam hubungan kerja boleh dianggap tidak halal.
Prinsip saddu al-zari‘ah (menutup pintu kepada kemudaratan) wajar menjadi panduan utama.
Fatwa negeri-negeri lain juga menyarankan agar pemberian hadiah dielakkan sekiranya wujud unsur ketidakadilan atau harapan balasan.
Penulis sendiri sebagai seorang ahli akademik pernah beberapa kali menolak hadiah daripada pelajar universiti atas pertimbangan etika penilaian.
Lebih menyentuh hati, anak penulis yang masih di sekolah rendah pernah dimarahi secara pasif oleh guru kerana membawa hadiah makanan ringan.
Guru tersebut menyatakan bahawa ‘hadiah seperti ini hanya akan menjadi najis selepas dimakan’. Ungkapan sebegini bukan sahaja menghina usaha anak kecil, tetapi membudayakan logik bahawa penghargaan mesti berbentuk material yang mewah.
Realiti ini mencerminkan transformasi budaya yang semakin menjauh dari nilai asal perguruan yang ikhlas dan rendah hati.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memandang serius perkara ini. Budaya pemberian hadiah secara berlebihan perlu ditangani dengan mekanisme kawalan.
Dicadangkan agar KPM mengeluarkan garis panduan baharu tentang sambutan Hari Guru, termasuk larangan pemberian hadiah material.
Sebaliknya, digalakkan aktiviti penghargaan tidak material seperti ucapan, persembahan seni, dan pengisian berbentuk nilai.
KPM juga perlu meneliti semula tema sambutan Hari Guru yang kadang kala keterlaluan, seperti guru berpakaian seperti doktor, juruterbang, atau tukang masak.
Tema ‘Jika Guru Bukan Guru’ misalnya, meskipun kreatif, memberi isyarat bahawa profesion guru adalah kurang penting jika dibandingkan dengan profesion kerjaya yang lain.
Hakikatnya, semua profesion kerjaya lahir daripada didikan dan keringat seorang guru.
Budaya pemberian hadiah Hari Guru perlu dinilai semula agar ia tidak mencemarkan maruah profesion perguruan.
Guru tidak perlu dinilai berdasarkan hadiah yang diterima, tetapi berdasarkan ilmu dan kasih sayang yang dicurahkan.
Justeru, KPM, PIBG, dan masyarakat perlu bersatu untuk membina budaya penghargaan yang lebih bermakna dan tidak berasaskan kebendaan.
Mengembalikan sambutan Hari Guru kepada asasnya — iaitu hubungan insani, semangat muhibah, dan penghargaan nilai ilmu — adalah usaha penting dalam membina semula kepercayaan terhadap sistem pendidikan kita.
Kerana sesungguhnya, guru adalah ibu bapa kedua yang membentuk masa depan negara, bukan pemungut hadiah tahunan.
Nor Afandy Hamid dan Dr Abdul Mutalib Embong ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Terengganu.
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami