NATIONAL
[KOLUMNIS] Pengaruh media sosial terhadap kemasukan pelajar ke universiti
Perkembangan media sosial memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kemasukan pelajar ke universiti. - Gambar hiasan
KEMAJUAN teknologi telah membawa perubahan besar dalam cara manusia berinteraksi, bekerja, dan mendapatkan maklumat. Internet, telefon pintar, dan media sosial telah menjadi alat utama dalam kehidupan seharian, yang membolehkan akses kepada maklumat dengan lebih pantas dan efisien.
Perkembangan media sosial memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kemasukan pelajar ke universiti. Platform seperti Facebook, Instagram, TikTok, dan YouTube menjadi sumber utama bagi calon pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi untuk mendapatkan maklumat program pengajian.
Alumni pempengaruh
Dalam era digital dan perkembangan media sosial yang pesat, pelajar universiti kini lebih cenderung untuk berkongsi kehidupan seharian mereka di kampus melalui platform seperti Instagram, TikTok, dan YouTube.
Fenomena ini bukan sahaja membolehkan mereka mendokumentasikan pengalaman akademik dan sosial, tetapi juga memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat realiti kehidupan di universiti.
Dari aktiviti kuliah seperti kelas dan pembentangan tugasan, sama ada berkumpulan atau individu membolehkan kreativiti diketengahkan bagi menjadikan sebuah aktiviti yang interaktif dan menyeronokkan.
Rutin harian dikongsikan bagi pendedahan tentang kos perbelanjaan makan seharian dan aktiviti riadah yang boleh dilakukan.
Antara perkongsian ialah program kemahasiswaan seperti program mentoring, yang membolehkan pelajar berkongsi masalah pembelajaran ataupun mendapatkan nasihat daripada pensyarah yang menjadi mentor pelajar. Malah khidmat bimbingan sesama rakan sebaya dalam kelompok mentoring yang sama juga dapat dimanfaatkan.
Perkongsian ini menjadi satu trend yang bukan sahaja menghubungkan pelajar dengan rakan sebaya, malah memberi gambaran kepada bakal pelajar mengenai suasana pembelajaran dan kehidupan kampus.
Penonjolan universiti melalui siaran langsung atau rakaman dan suntingan dalam media sosial ini membantu meningkatkan kredibiliti, imej dan reputasi yang baik kepada orang awam. Apatah lagi apabila ia dikongsikan oleh alumni yang telah mencapai kejayaan yang membanggakan. Malah ia boleh menjadi bukti bahawa institusi itu mampu melahirkan graduan berkualiti dan berdaya saing malah berbangga menjadi sebahagian mahasiswa atau alumninya
Pempengaruh boleh memberi motivasi dan inspirasi kepada pelajar untuk lebih bersungguh-sungguh dalam pengajian mereka.
Reputasi akademik
Media sosial telah menjadi medium yang sangat penting dalam menyebarkan reputasi sesebuah institusi pengajian tinggi.
Salah satu kelebihan utama media sosial ialah ia berfungsi sebagai alat pemasaran yang berkesan. Universiti boleh mempromosikan program akademik mereka, menunjukkan keunikan kursus yang ditawarkan, menonjolkan pencapaian akademik dan penyelidikan; malah kemudahan dan persekitaran kampus yang kondusif.
Media sosial juga membolehkan institusi pengajian tinggi meningkatkan penglibatan dengan pelajar sedia ada dan bakal pelajar. Komunikasi menjadi lebih mudah dan pantas apabila pertanyaan mengenai kursus, syarat kemasukan, dan biasiswa boleh dijawab secara langsung melalui komen atau mesej peribadi.
Ini bukan sahaja memudahkan pelajar dalam membuat keputusan, tetapi juga memberikan gambaran langsung bahawa universiti tersebut bersifat responsif dan mesra pelajar.
Tambahan pula, reputasi sesebuah institusi dapat ditingkatkan melalui perkongsian kejayaan akademik dan pencapaian para pelajar serta alumni.
Universiti boleh menampilkan kisah kejayaan graduan mereka yang telah berjaya dalam bidang masing-masing, sekali gus membuktikan bahawa institusi tersebut mampu melahirkan individu berkualiti yang mendapat pengiktirafan dalam dunia pekerjaan.
Hubungan dengan alumni juga boleh dikekalkan melalui media sosial, di mana mereka boleh menjadi duta yang membantu mempromosikan universiti dan memberi inspirasi kepada pelajar baharu.
Tidak ketinggalan, bagi institusi yang ingin menarik minat pelajar antarabangsa, media sosial membolehkan mereka menonjolkan keunikan universiti dari segi budaya, kemudahan pembelajaran, dan kelebihan lokasi mereka.
Dengan adanya testimoni pelajar antarabangsa yang berkongsi pengalaman mereka di universiti tersebut, ia dapat meyakinkan lebih ramai pelajar luar negara untuk memilih institusi berkenaan.
Jelas, media sosial bukan sahaja berfungsi sebagai medium penyebaran maklumat, tetapi juga sebagai alat utama dalam membentuk dan mengekalkan reputasi sesebuah institusi pengajian tinggi. Dengan penggunaan yang berstrategi, universiti dapat meningkatkan daya tarikan mereka di peringkat nasional dan antarabangsa, seterusnya menarik lebih ramai pelajar yang berkualiti dan membina komuniti akademik yang lebih dinamik.
Kerjasama dan rangkaian
Kerjasama dan rangkaian antara universiti dan organisasi luar memainkan peranan penting dalam mewujudkan kepercayaan kepada bakal pelajar.
Dalam era persaingan pendidikan yang semakin sengit, pelajar bukan sahaja menilai universiti berdasarkan reputasi akademik, tetapi juga melihat peluang yang ditawarkan untuk perkembangan kerjaya mereka selepas tamat pengajian.
Ia penting sebagai salah satu jaminan kepada bakal pelajar bahawa pendidikan yang ditawarkan di universiti berkenaan relevan dengan keperluan pasaran kerja.
Apabila sesebuah institusi mempunyai hubungan baik dengan syarikat-syarikat besar atau badan industri yang berprestij, ia menunjukkan bahawa kurikulum yang disediakan selari dengan perkembangan semasa dan memenuhi keperluan pasaran kerja.
Selain itu, melalui kerjasama dengan organisasi luar atau program-program mobiliti; universiti dapat menawarkan lebih banyak peluang latihan industri dan seterusnya peluang pekerjaan yang bertepatan.
Latihan industri bukan sahaja membantu pelajar membina kemahiran yang diperlukan oleh majikan, malah peluang luas kepada mereka untuk mendapatkan pekerjaan di syarikat yang sama selepas tamat pengajian.
Bagi bakal pelajar, aspek ini menjadi salah satu faktor utama dalam memilih universiti, kerana mereka ingin memastikan bahawa pendidikan yang mereka terima akan membantu mereka memasuki dunia pekerjaan dengan lebih mudah.
Syarahan tamu industri
Kerjasama ini juga memberi peluang kepada universiti untuk menjemput pakar industri sebagai pensyarah jemputan atau penceramah dalam seminar dan bengkel yang dianjurkan di kampus.
Kehadiran pakar dalam bidang tertentu dapat memberi pelajar gambaran lebih jelas mengenai cabaran dan peluang dalam industri yang mereka ceburi. Selain itu, sesi perkongsian bersama profesional yang berjaya boleh memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar untuk mencapai kejayaan dalam bidang mereka.
Tambahan pula, hubungan erat dengan organisasi luar juga membolehkan universiti menjalankan penyelidikan dan inovasi bersama syarikat atau industri tertentu.
Kejayaan dalam penyelidikan yang mendapat pengiktirafan di peringkat nasional atau antarabangsa akan meningkatkan reputasi universiti di mata bakal pelajar.
Mereka akan lebih yakin untuk memilih universiti yang aktif dalam penyelidikan kerana ia menunjukkan bahawa institusi tersebut sentiasa berkembang dan menghasilkan penemuan baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Universiti yang mempunyai rangkaian luas dengan organisasi luar dilihat lebih berdaya saing dan menjadi pilihan utama bagi pelajar yang ingin memastikan masa depan mereka lebih terjamin selepas tamat pengajian.
* Artikel ini ditulis oleh Nur Hafizah Hadi dan Rahmahtunnisah Sailin, masing-masing mahasiswa Sarjana Komunikasi, dan Pensyarah Jabatan Komunikasi dan Media, Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor (UIS).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.