NATIONAL

[KOLUMNIS] Pengundi luar negara

Amerul Muner Mohammad 16/05/2025 | 05:00 MYT
Hak rakyat untuk mengundi dijamin oleh Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. - Gambar hiasan
AIMAN, seorang rakyat Malaysia dan pengundi berdaftar bagi kawasan Parlimen Johor Bahru dan Dewan Undangan Negeri Larkin, Johor.

Beliau menetap di sebuah bandar kecil di pulau selatan New Zealand dan telah mendaftar sebagai Pengundi Tidak Hadir Luar Negara (PTH).

Semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) beliau menerima kertas undi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiga hari sebelum hari mengundi dan dalam PRU15, beliau terima kertas undi seminggu selepas hari mengundi.

Perkara ini menyebabkan ramai pengundi seperti Aiman yang kecewa dengan proses pilihan raya di Malaysia.

Kenyataan Perdana Menteri di Moscow baru-baru ini, yang menyatakan bahawa kerajaan akan memastikan bahawa proses mengundi bagi rakyat Malaysia yang berada di luar negara akan ditambah baik untuk memudahkan pengundi menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengundi walaupun mereka berada di luar negara.

Kenyataan ini amat memberangsangkan dan memberi harapan baharu kepada pengundi seperti Aiman serta yang sentiasa mengharapkan langkah-langkah refomasi untuk menambahbaik sistem dan undang-undang pilihan raya di negara ini.

Hak rakyat untuk mengundi dijamin oleh Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

SPR sebagai pengendali utama pilihan raya di negara ini seharusnya mencari jalan bagi membolehkan setiap rakyat yang layak didaftarkan sebagai pengundi dan setiap pengundi dapat mengundi dengan mudah tanpa sebarang halangan tanpa mengira lokasi atau keberadaan mereka.

Setakat November 2023, terdapat 1.86 juta rakyat Malaysia yang menetap di luar negara.

Melalui pendaftaran pengundi secara automatik, kesemua dispora Malaysia yang layak, akan menjadi pengundi berdaftar.

Mengikut tatacara pengundian semasa, rakyat Malaysia di luar negara perlu mendaftar sebagai PTH secara dalam talian dengan SPR dan pengesahan akan dilakukan apabila hampir dengan pilihan raya.

Kertas undi akan dikirimkan melalui perkhidmatan kiriman barangan komersial.

Kertas-kertas undi yang telah dilaksanakan oleh PTH akan dihantar secara pos kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan akan dikira bersama undi lain di pusat perjumlahan. Keseluruhan proses ini akan bermula selepas penamaan calon sehingga hari mengundi.

Di antara isu yang sering timbul adalah keperluan untuk mendaftar dengan SPR sebagai PTH. Kegagalan untuk mendaftar sebagai PTH akan menafikan hak untuk mengundi.

Banyak negara lain yang membenarkan pengundi mereka yang berada di luar negara walaupun sebagai pelancong untuk mengundi tanpa perlu untuk mendaftar sebagai pengundi tidak hadir.

Sebagai contoh, pelancong dari Australia hanya perlu untuk hadir di kedutaan mereka di negara asing pada hari mengundi dan melaksanakan tanggungjawab mereka sambil melancong di negara asing.

Pihak kedutaan akan memastikan undi mereka diambil kira dalam perjumlahan undi yang terkumpul.

Pihak pengurusan pilihan raya Indonesia, Komisi Pemilihan Umum (KPU) membuka lima pusat mengundi di Malaysia bagi memudahkan warga Indonesia untuk mengundi semasa Pemilu 2024.

Indonesia menetapkan undi dari luar negara akan diletakkan di beberapa kerusi Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bagi memudahkan pengurusan.

Apa yang penting adalah suara rakyat akan tetap diwakili di dalam pembikinan undang-undang negara.

Model ini akan memudahkan pengurusan pilihan raya. Sistem PTH di Malaysia ketika ini, kesemua undi PTH perlu dihantar ke bahagian masing-masing di mana mereka berdaftar.

Proses ini melibatkan pengurusan logistik yang mencabar terutama faktor jangka masa yang terhad.

Pelbagai cara termasuk, teknologi moden boleh diguna pakai oleh SPR bagi memastikan PTH dapat turut serta di dalam pilihan raya walaupun mereka tidak berada di Malaysia secara fisikal.

Pengundian secara dalam talian boleh dipertimbangkan sekiranya integriti proses dan sistem pemilihan boleh dijamin oleh SPR.

Sebarang gangguan terhadap proses dalam talian akan mengakibatkan keseluruhan pilihan raya diragui dan tahap demokrasi negara akan terjejas.

Langkah kerajaan meluluskan pendaftaran pengundi secara automatik adalah satu langkah bijak, dan sekarang setiap pengundi berdaftar harus mendapat kemudahan mengundi tanpa sebarang halangan.

Setiap kertas undi harus dikira tanpa sebarang tapisan. Undang-undang pilihan raya di Malaysia yang diluluskan semenjak sebelum merdeka harus dikaji semula seiring dengan kemajuan teknologi bagi memudahkan rakyat.

Di samping PTH luar negara, pengundi-pengundi Sabah dan Sarawak yang menetap di semenanjung dan sebaliknya juga perlu diberi kemudahan yang sama bagi memastikan hak mengundi bukan hanya terjamin di atas kertas tetapi secara realiti.

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya (ERC) JPM telah mengemukakan pelbagai cadangan termasuk kemudahan bagi PTH.

Cadangan-cadangan tersebut hasil dari kajian mendalam dan ditandaaraskan dengan praktis terbaik negara-negara demokrasi matang, perlu diberi perhatian serius bagi meningkatkan proses demokrasi di negara ini.


* Amerul Muner Mohammad ialah Pengarah Projek di Pusat Kajian MADANI.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.





#Kolumnis AWANI #pilihan raya #pengundi luar negara #SPR #Pengundi Tidak Hadir Luar Negara