MALAYSIA
[KOLUMNIS] Penyasaran subsidi elak ketirisan, pastikan rakyat layak, nikmati manfaat
Keputusan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi bertujuan memastikan faedahnya benar-benar dinikmati oleh 80 hingga 85 peratus rakyat. - Gambar fail/BERNAMA
OPS Tiris 3.0 dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bermula 1 Januari hingga 23 Disember 2024 dengan merekodkan nilai rampasan pelbagai barangan bersubsidi termasuk diesel bernilai lebih RM90.8 juta memberi terjemahan jelas bahawa hak rakyat Malaysia sedang ‘diratah’ pihak lain.
Dalam konteks ini, subsidi yang diberikan sebelum ini dan sepatutnya memanfaatkan rakyat Malaysia, turut dinikmati pihak lain termasuk warga asing.
Ini bukan cerita palsu, sebaliknya dari operasi dijalankan pasukan penguatkuasaan, mendedahkan dengan nyata bahawa kelompok ini juga terlibat serta aktif menyeludup barangan bersubsidi termasuk RON95 untuk meraih untung berganda.
Tindakan itu bukan sahaja dilihat ‘meratah’ hak rakyat Malaysia, namun turut merugikan negara apabila perbelanjaan diperuntukkan kerajaan untuk kesejahteraan rakyat dan membantu golongan rentan, kini dinikmati malah dimanipulasi oleh pihak tidak sepatutnya.
Jika dilihat sejak bertahun lalu, pemberian subsidi negara diagihkan secara menyeluruh iaitu menerusi konsep ‘blanket subsidy’. Langkah ini mengakibatkan banyak insiden penyeludupan bahan bersubsidi seperti diesel yang berlaku di kawasan sempadan negara.
Sebagai rakyat, melihat hak sendiri dinafikan dan lebih kesal, dinikmati pula oleh warga asing yang tidak membayar cukai, apabila mereka turut menggunakan diesel dan RON95 bersubsidi di sempadan Thailand, Kalimantan (Indonesia) dan Singapura, ia sesuatu yang menyakitkan pandangan mata.

Hal ini tak boleh dibiarkan berterusan. Kesedaran dan kefahaman masyarakat mesti ditingkatkan khususnya berkaitan agihan perbelanjaan subsidi tinggi yang dikeluarkan kerajaan setiap tahun.
Melihat kepada situasi itu, maka program penyasaran subsidi mula dilaksanakan kerajaan terhadap barangan tertentu. Ini merupakan satu usaha bagi mengelakkan ketirisan berterusan terhadap perbelanjaan tahunan kerajaan, khususnya yang berkaitan dengan subsidi negara.
Lantaran itu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim acap kali menjelaskan, bahawa keputusan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi bertujuan memastikan faedahnya benar-benar dinikmati oleh 80 hingga 85 peratus rakyat.
Dalam bahasa mudah, ia merujuk kepada usaha kerajaan bagi memastikan subsidi yang diperuntukan setiap tahun ini, hanya layak diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan iaitu kumpulan berpendapatan rendah B40 dan sebahagian lagi kepada kumpulan M40.
Pendekatan ini sekali gus memberi terjemahan bahawa ia bukan bermakna kerajaan menghentikan serta tidak meneruskan peruntukan subsidi kepada rakyat, sebaliknya bantuan subsidi itu akan disalur kepada golongan yang benar-benar layak dan memerlukan.

Sebagai contoh, antara pendekatan bagi memenuhi makna sebenar subsidi bersasar yang ditawarkan kerajaan ketika ini seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Program Harga Rahmah (Menu Rahmah), Program MySubsidi Diesel, Program Subsidi Tiket Penerbangan dan banyak lagi.
Pendekatan bersasar seumpama ini akan membolehkan hanya golongan benar-benar layak akan menikmati manfaatnya. Ia tidak lagi dinikmati secara menyeluruh termasuk mereka yang mempunyai status kewangan tinggi dan stabil, apatah lagi warga asing.
Jumlah bantuan tunai dari inisiatif yang disenaraikan diatas juga sudah menyaksikan peningkatannya dari tahun ke tahun. Ia antara lain bagi mengimbangi kesan kenaikan kos sara hidup yang kini dilihat terus meningkat setiap tahun.
Contohnya, peruntukan bagi STR dan SARA telah dinaikkan kepada RM13 bilion berbanding RM 10 bilion pada 2024.
Sebanyak 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA sebanyak RM100 sebulan, berbanding 700,000 penerima pada 2024. Penambahan peruntukan sebanyak RM3 bilion juga membolehkan kadar maksimum yang diterima isi rumah meningkat kepada RM4,600 berbanding RM3,700 pada 2024.
Selain itu, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) turut menyaksikan peningkatan kepada RM150 sejak 2023 berbanding RM100, di mana bantuan itu diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapanya pada tahun hadapan. Bagi 2025, RM800 juta diperuntukan untuk membantu ibu bapa membuat persiapan untuk persekolahan anak-anak.
Sebagai antara negara yang menggajikan ramai pekerja asing, Malaysia sudah tentu terdedah kepada ketirisan belanja subsidi yang digunakan kumpulan pekerja asing ini.
Atas sebab itu, Perdana Menteri berulang kali menyebut, langkah penyasaran subsidi juga bertujuan mengelakkan manfaat turut dinikmati kira-kira 3.5 juta warga asing di negara ini.
Subsidi minyak diesel yang dilaksana sejak 2024 lalu, juga bertujuan memastikan ketirisan dan penyeludupan yang berlaku sejak sekian lama hingga menyebabkan negara kerugian puluhan bilion setiap tahun dapat dihentikan.
Manakan tidak, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pernah mendedahkan bahawa kerajaan telah membelanjakan RM1 bilion setiap bulan untuk subsidi diesel, sementara kerugian akibat ketirisan mencatatkan jumlah yang besar sebanyak RM4.5 juta sehari. Ini satu hal yang tak wajar diterima apatah lagi dibiarkan berterusan.
Rakyat perlu menyedari subsidi merupakan bantuan kewangan. Ia juga bukan satu obligasi kerajaan untuk meneruskan dan menyediakan bantuan seumpama ini setiap tahun.
Maka, perbelanjaan subsidi negara tidak wajar dianggap bersifat kekal, sebaliknya ditentukan bersandar kriteria penting iaitu kemampuan kewangan kerajaan serta kawalan kepada ketirisan subsidi negara.
Maka, jika bebanan kewangan subsidi yang ditampung oleh kerajaan semakin tinggi setiap tahun, maka pemberian bantuan itu perlulah dikaji semula. Kerana pemberian subsidi bolehlah dianggap sebagai ‘belanja hangus’.
Betul dari satu sudut, ia meringankan beban rakyat, namun jika belanja subsidi terus meningkat atau tinggi setiap tahun, tidak mustahil, ia akan menjejaskan belanja pembangunan.
Membaik pulih sekolah, membina sekolah dan hospital, menaik taraf jalan raya dan sebagainya akan turut terjejas.
Untuk rekod, perbelanjaan bagi subsidi dan bantuan sosial diperuntukkan kerajaan pada tahun ini saja sudah mencecah sekitar RM 52.6 bilion, yang mana daripada jumlah itu, penjimatan berjumlah RM8.8 bilion dijangka dibuat melalui rasionalisasi subsidi khususnya melibatkan diesel.
Betul perbelanjaan subsidi negara mula mencatatkan penurunan setiap tahun, iaitu daripada RM71.8 bilion pada 2023 kepada RM67.3 bilion pada 2024. Namun, jika ‘belanja hangus’ dapat dialihkan untuk belanja yang lebih bermanfaat, kehidupan rakyat akan menjadi lebih baik dan sejahtera.
Contohnya, jika belanja subsidi negara ini dapat dijimatkan dan dialihkan untuk membina sebuah hospital baharu, rakyat akan mendapat manfaat langsung iaitu perkhidmatan kesihatan lebih berkualiti.
Sama juga jika wang subsidi ini dialihkan untuk menggajikan lebih ramai doktor tetap baharu, maka isu dan masalah melibatkan doktor kontrak akan dapat diselesaikan.
Saban tahun juga kita menyaksikan isu sekolah daif terus menjadi bualan umum. Rumah penjawat awam usang, jalan rosak dan berlubang, tidak kurangnya kerap dibangkitkan dan dilaporkan oleh media massa.
Masalah berbangkit seperti ini secara langsung turut menjejaskan kualiti hidup dan memberi tekanan kepada rakyat. Maka, penyelesaian terbaik adalah dengan mengawal perbelanjaan dan mengelak ketirisan daripada belanja subsidi yang sememangnya tinggi ketika ini.

Tanggapan sesetengah pihak yang menyifatkan pelaksanaan Ops Gasak bermula Mei lalu bertujuan menarik subsidi gas petroleum cecair (LPG) perlu ditangkis segera.
Sebaliknya, seperti dijelaskan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, operasi itu memberi fokus untuk memperkasa peruntukan sedia ada bagi mengekang ketirisan subsidi.
Untuk rekod, kos subsidi LPG telah menyaksikan lonjakan kepada RM3.4 bilion pada tahun ini, berbanding RM2.2 bilion yang direkod pada 2013.
Justeru, reformasi subsidi secara bersasar ke atas LPG wajar dilaksanakan segera, jika tidak lebih banyak wang subsidi negara akan terdedah kepada ketirisan.
Apatah lagi, sejak Ops Gasak dilancarkan pada 1 Mei lalu, pelbagai kesalahan berkaitan penyelewengan LPG yang bernilai jutaan ringgit telah didedahkan oleh peguatkuasaan KPDN, hasil serbuan mereka di premis perniagaan di seluruh negara.
Sesuatu harus dilakukan dan ia mesti bermula sekarang.
* Hasimi Muhamad merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.