STOMA merupakan bukaan usus di bahagian badan pesakit yang terhasil selepas pesakit menjalani pembedahan berkaitan usus. Ia merupakan sejenis teknik yang terpaksa digunakan pakar bedah terutama apabila pesakit tidak sesuai untuk mengalami penyambungan semula usus.

Stoma boleh berbentuk kekal atau sementara. Walaupun begitu, terdapat banyak salah faham dan stigma mengenai stoma. Artikel ini bertujuan untuk menangkis beberapa tanggapan kurang tepat tentang stoma.

Stoma dan pemakanan

Anda masih boleh menikmati makanan kegemaran anda selepas pembedahan, berdasarkan had yang dicadangkan doktor. Makanan kaya protein dan karbohidrat seperti telur, nasi, ayam, daging, dan ikan disarankan kerana membantu dalam proses penyembuhan selepas pembedahan yang merupakan faktor stres bagi badan.

Stoma dan sukan

Pesakit dengan stoma boleh melakukan aktiviti sukan dan riadah yang baik untuk kesihatan, tetapi elakkan sukan lasak dan mengangkat berat. Sebelum pulang dari hospital, pastikan anda telah mendapat tunjuk ajar daripada jururawat tentang penjagaan stoma, termasuk pemakaian beg stoma untuk mengelakkan komplikasi kulit.

Secara kesimpulannya, pesakit dengan stoma boleh menjalani kehidupan seperti biasa selepas pembedahan.

Stoma dan pekerjaan

Pesakit stoma boleh kembali bekerja seperti biasa tanpa halangan. Sebelum itu, pastikan anda faham isu-isu yang mungkin timbul. Jika anda risau dengan badan berbau disebabkan stoma, jangan risau kerana beg stoma tersebut akan menapis bau. Anda perlu realistik dan memahami bahawa anda mungkin akan mengambil masa untuk kembali ke tempat kerja. Untuk menguruskan jangkaan dan persepsi, anda boleh berkongsi berkenaan stoma dan kepada rakan kerja anda untuk memastikan mereka faham situasi anda.

Stoma dan ibadat

Stoma tidak menghalang seseorang daripada menjalankan ibadah. Bagi pesakit Islam, wuduk dan solat masih boleh dilakukan seperti biasa. Untuk maklumat lanjut, rujuk kepada laman web jabatan agama negeri atau berbincang dengan pakar agama.

Stoma dan pemakaian baju

Sebelum pembedahan, pakar bedah anda akan membuat tanda ('stoma marking') di bahagian badan anda di mana stoma akan dikeluarkan. Pakar bedah akan memastikan keselesaan anda dan memudahkan pemakaian beg stoma. Majoriti stoma tidak kelihatan melalui pakaian biasa, jadi anda boleh teruskan memakai baju kegemaran anda.

Secara kesimpulannya, pesakit dengan stoma boleh menjalani kehidupan seperti biasa selepas pembedahan. Jangan risau, terdapat banyak bantuan dan sumber maklumat yang disediakan oleh pakar kesihatan untuk membantu anda menyesuaikan diri.

Penting untuk semua pihak faham bahawa walaupun anda memakai beg stoma, anda masih boleh menikmati aktiviti harian kegemaran anda. Walau bagaimanapun, pastikan anda memberi perhatian kepada batasan yang disyorkan oleh doktor anda.

Ingatlah bahawa kehidupan yang berkualiti masih boleh dicapai dengan stoma, dan anda berhak untuk menikmati kebahagiaan dan kesejahteraan seperti sebelumnya.

* Dr Nabil Mohammad Azmi merupakan Pakar Bedah dan Pensyarah di Jabatan Surgeri, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan bertugas di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.