MALAYSIA
[KOLUMNIS] Peringatan global tentang hak dan maruah wanita dalam penjara
Menurut World Prison Brief, lebih daripada 740,000 wanita dan gadis ditahan di institusi pemulihan di seluruh dunia. - Gambar hiasan/Bernama
DI seluruh dunia, wanita dalam penjara menghadapi kesusahan yang jauh melangkaui kehilangan kebebasan. Walaupun pemenjaraan itu sendiri merupakan satu bentuk hukuman, keadaan yang dialami oleh wanita sering membawa kepada penderitaan tambahan yang tidak disengajakan terutamanya dalam aspek kebersihan haid, penjagaan diri, penjagaan ibu dan anak, serta kesejahteraan emosi.
Ringkasan AI
- Cabaran wanita dalam penjara: Wanita di seluruh dunia menghadapi kesusahan tambahan dalam penjara, termasuk akses terhad kepada kebersihan haid, penjagaan diri, kesihatan, serta kesejahteraan emosi dan peranan sebagai ibu.
- Perbezaan sistem penjara global: Negara maju seperti Scandinavia lebih menekankan model pemulihan, manakala negara Global Selatan termasuk Malaysia berdepan dengan kekurangan kemudahan khusus untuk wanita, kesesakan dan kelemahan birokrasi.
- Bangkok Rules sebagai penyelesaian: Peraturan Bangkok oleh PBB menekankan akses kepada kebersihan, penjagaan kesihatan, dan hak ibu dalam penjara, tetapi pematuhan masih tidak konsisten secara global.
Menurut World Prison Brief, lebih daripada 740,000 wanita dan gadis ditahan di institusi pemulihan di seluruh dunia, mewakili kira-kira 7% daripada jumlah populasi penjara global. Di Malaysia, setakat tahun 2024, wanita merangkumi 5.9% daripada keseluruhan banduan. Kira-kira 2.2% pula terdiri daripada kanak-kanak, termasuk yang tinggal bersama ibu mereka, manakala hampir 41.7% adalah tahanan praperbicaraan, satu angka yang menunjukkan kelewatan serius dalam proses keadilan jenayah.
Ramai wanita ini dipenjarakan bukan kerana kesalahan yang ganas, tetapi kesalahan yang berpunca daripada kemiskinan, atau kelangsungan hidup. Situasi ini mencerminkan isu sistemik yang lebih besar seperti ketidaksamarataan gender, kekurangan akses kepada perwakilan guaman, dan ketiadaan alternatif kepada penahanan.
Keadaan yang dialami wanita dalam penjara berbeza secara ketara dengan negara – negara seperti Scandinavia dan sebahagian Eropah Barat dimana sistem penjara mereka telah bergerak ke arah model pemulihan. Institusi penjara biasanya dilengkapi dengan sumber yang mencukupi, penjagaan kesihatan yang mesra/sensitif gender, akses kepada produk kebersihan dan penjagaan diri, perkhidmatan ibu dan anak, serta program pemulihan sosial.
Sebaliknya, penjara di negara-negara Global Selatan, termasuk Asia Tenggara, sering beroperasi dengan bajet yang terhad, kekurangan kemudahan khusus untuk wanita, dan bergelut dengan isu kesesakan serta ketidakefisienan birokrasi. Menurut laporan yang diterbitkan oleh HAYAT sempena Sesi ke-88 Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) (13 – 31 Mei 2024), wanita dalam penjara di Malaysia tidak mempunyai akses yang mencukupi kepada penjagaan kesihatan khusus seperti perkhidmatan pakar sakit puan dan bekalan tuala wanita yang mencukupi.
Situasi ini turut berlaku di Thailand, Indonesia dan Filipina, di mana wanita yang dipenjarakan sering tidak mendapat akses kepada produk kebersihan haid yang mencukupi, penjagaan kesihatan mental, atau ruang selamat untuk menjalankan peranan sebagai ibu. Ketidaksamarataan ini bukan sahaja mencerminkan perbezaan dari segi sumber, tetapi juga mencerminkan isu yang lebih mendalam berkaitan keutamaan dasar dan pengabaian institusi.
Di banyak penjara wanita di seluruh dunia, akses kepada tuala wanita adalah terhad, tidak konsisten atau tidak mencukupi. Sesetengah penjara hanya membekalkan kuantiti minimum, yang sering kali tidak memadai bagi wanita yang mengalami aliran haid yang banyak atau masalah inkontinens urinari. Ketiadaan pelbagai jenis produk seperti pelapik seluar dalam atau tuala wanita dewasa menjadikan wanita terpaksa menanggung ketidakselesaan, rasa malu dan penghinaan. Apabila peruntukan kerajaan tidak mencukupi, wanita banduan sering bergantung kepada kiriman wang daripada keluarga atau ihsan banduan lain. Sistem ini mewujudkan ketidaksamarataan dan mengukuhkan hierarki tidak rasmi dalam penjara.
Salah satu punca kekurangan ini ialah sistem perolehan yang lapuk dan tidak responsif terhadap perubahan populasi penjara. Di sesetengah negara, kemasukan tahanan tanpa dokumentasi atau kes kecemasan menjejaskan bekalan sedia ada, tanpa pelarasan sewajarnya. Barangan kebersihan tidak sepatutnya dianggap sebagai satu pilihan atau bergantung kepada anggaran belanjawan, sebaliknya ia adalah keperluan asas untuk kesihatan dan maruah diri.
Larangan terhadap alat mencukur atau akses terhad kepada produk penjagaan diri seperti deodorant, ubat gigi, losyen, minyak wangi, alatsolek dan lain – lain sering digunakan atas alasan keselamatan. Namun larangan ini mengabaikan kesan psikologi apabila wanita tidak dapat menjaga penampilan diri mereka.
Rambut badan yang tidak terurus, bau badan dan kekurangan sabun dan wangian semuanya menyumbang kepada rasa tidak selesa. Penjagaan diri bukanlah satu bentuk keistimewaan, ia adalah asas kepada harga diri dan identiti seseorang.
Secara global, ibu yang dipenjarakan terutamanya yang menjaga bayi dalam penjara menghadapi keperluan berganda yang tidak dipenuhi. Lampin, susu formula, pakaian bayi dan perkhidmatan penjagaan kesihatan ibu sering tidak mencukupi. Ibu tanpa sokongan luar terpaksa berjuang seorang diri. Kesan pengabaian ini melangkaui tembok penjara, dan membentuk masa depan kanak-kanak yang lahir dalam tahanan.
Meskipun masyarakat umum menunjukkan keinginan untuk membantu, prosedur untuk menyumbang barangan kebersihan atau keperluan asas kepada banduan wanita sering tidak jelas. Kekurangan panduan, ketelusan dan akauntabiliti menyebabkan kepercayaan masyarakat terhakis. Penambahbaikan dalam garis panduan dan pelaksanaan yang telus amat diperlukan.
Bangkok Rules: Pelan Induk untuk Penjagaan Wanita
United Nations Rules for the Treatment of Women Prisoners and Non-custodial Measures for Women Offenders atau lebih dikenali sebagai Bangkok Rules menawarkan kerangka pengurusan penjara yang peka gender dan berperikemanusiaan. Peraturan ini menekankan antara lain akses mencukupi kepada produk haid dan kebersihan diri; penjagaan kesihatan khusus untuk wanita, termasuk ibu mengandung dan menyusu; sokongan kepada ibu dan anak dalam tahanan; dan layanan yang bermaruah dan menjurus kepada pemulihan.
Malangnya, pematuhan terhadap peraturan ini masih tidak konsisten secara global. Sesetengah negara telah menunjukkan kemajuan, tetapi ramai yang masih memberi alasan logistik atau birokrasi. Pelaksanaan sepenuhnya terhadap Bangkok Rules mesti dilihat bukan sebagai ideal semata-mata, tetapi sebagai keperluan minimum.
Wanita dalam penjara bukanlah penjenayah tanpa wajah. Mereka ialah ibu, anak perempuan, adik-beradik atau adakalanya menjadi mangsa sistem ketidakadilan. Ramai dipenjarakan atas kesalahan yang bukan ganas atau demi kelangsungan hidup. Mereka membawa sejarah yang rumit, trauma dan harapan. Menafikan hak mereka kepada kebersihan, penjagaan atau maruah bukanlah keadilan tetapi boleh dianggap sebagai pengabaian institusi.
Pemulihan memerlukan persekitaran yang sensitif secara emosi dan bukan beban emosi tambahan. Penjara tidak seharusnya memadamkan sifat kewanitaan, keibuan, atau kemanusiaan. Sistem pemulihan di seluruh dunia mesti berubah daripada menghukum kepada memulihkan daripada mengawal kepada menjaga.
Biarlah wanita di mana pun mereka ditahan, melalui proses haid secara bermaruah, menjadi ibu yang boleh memberikan kasih sayang, dapat menjaga diri dengan bangga, dan hidup dengan harapan. Keadilan sebenar tidak berakhir dengan hukuman, ia bermula dengan sistem yang berakar pada rasa hormat dan kemanusiaan.
*Dr Haezreena Begum binti Abdul Hamid adalah Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya.
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.