MALAYSIA
[KOLUMNIS] Persempadanan tonggak utama pilihan raya
Sebarang perubahan ke atas jumlah kerusi akan ditetap selepas kajian terhadap penyempadanan kawasan pilihan raya yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setiap tidak kurang daripada lapan tahun. - Gambar hiasan
SEBAGAI sebuah negara demokrasi berparlimen, pilihan raya adalah suatu elemen yang harus diberi perhatian khusus oleh setiap warga negara kerana pemilihan wakil untuk membawa suara dan inspirasi rakyat ke dalam proses pembikinan undang-undang di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah sangat penting bagi memastikan prinsip demokrasi dipraktikkan dengan erti kata sebenar.
Malaysia mengamalkan sistem pilihan raya ’First Past The Post’, di mana, calon yang memperoleh undi terbanyak akan menjadi wakil kepada rakyat bagi kawasan parlimen atau DUN yang telah ditetapkan.
Rakyat harus faham bagaimanakah kawasan pilihanraya tersebut ditetapkan dan siapakah yang menetapkan kawasan-kawasan tersebut.
Malaysia mewarisi sistem Parlimen Westminster di mana Parlimen terbahagi kepada dua dewan iaitu Dewan Negara, yang mempunyai 70 ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Manakala 222 ahli Dewan Rakyat dipilih melalui pilihan raya yang diadakan setiap lima tahun.
Jumlah kerusi Dewan Rakyat ditetapkan di dalam Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan.
Sebarang perubahan ke atas jumlah kerusi akan ditetap selepas kajian terhadap penyempadanan kawasan pilihan raya yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setiap tidak kurang daripada lapan tahun.
Ini adalah peruntukan undang-undang yang tercatit di dalam Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
Kajian persempadanan kawasan pilihan raya sering menjadi topik panas terutama dalam kalangan parti politik kerana hasil kajian kerap dilihat sebagai memberi kelebihan kepada parti memerintah.
Secara dasarnya, proses persempadanan dibuat mengikut tatacara yang dinyatakan di dalam Jadual 13
Perlembagaan Persekutuan.
Peruntukan ini juga menyenaraikan prinsip-prinsip yang harus diambil kira di dalam proses persempadanan.
Penetapan kawasan pilihan raya harus mengambil kira kemudahan kepada pemilih semasa mengundi.
Bahagian pilihan raya Persekutuan tidak harus merentasi sempadan negeri manakala bahagian pilihan raya negeri tidak boleh merentasi bahagian pilihan raya Persekutuan.
Prinsip kedua adalah faktor kemudahan pentadbiran bagi tujuan pendaftaran pengundi dan pengundian.
Kemudahan pendaftaran pengundi mungkin tidak lagi menjadi isu yang besar kerana pendaftaran pengundi kini dijalankan secara automatik.
Prinsip ketiga adalah bilangan pemilih hendaklah lebih kurang sama banyak bagi setiap bahagian pilihan raya kecuali, atas kesulitan di kawasan luar bandar, ukuran kewajaran (weightage) bagi bahagian-bahagian pilihan raya haruslah diberikan.
Prinsip keempat adalah berkaitan dengan kesulitan yang akan akibat daripada perubahan bahagian pilihan raya dan memastikan pemeliharaan hubungan tempatan.
Walaupun prinsip-prinsip ini dinyatakan dengan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan, banyak pihak terutama parti-parti pembangkang dan pertubuhan-pertubuhan sivil sering mempertikaikan proses kajian persempadanan.
Mereka mendakwa, proses tersebut adalah 'gerrymandering’ atau manipulasi sistem pengurusan pilihan raya yang membawa kepada taburan pengundi yang tidak sekata (malapportionment) yang memberi kelebihan kepada parti pemerintah.
Adalah mustahil untuk menjadikan kesemua bahagian pilihan raya mempunyai saiz dan bilangan pengundi yang sama.
Namun apabila terdapat perbezaan jumlah pengundi yang besar bagi bahagian-bahagian pilihan raya di dalam sebuah negeri yang sama, seperti P092 Sabak Bernam (51,609 pengundi, setakat Oktober 2022) dan P102 Bangi (303,430), Selangor, memberi gambaran seolah-olah penyempadanan ini bermotifkan politik.
Di kebanyakan negara asing, proses penyempadanan dijalankan oleh sebuah badan bebas yang ditubuhkan semata-mata untuk menyediakan laporan berkaitan sempadan kawasan pilihan raya, seperti di Kanada.
Manakala di Australia dan New Zealand, Parlimen menubuhkan sebuah badan yang bertanggungan terus kepada Parlimen.
Sebarang cadangan yang dilakukan oleh badan tersebut akan dibentang terus ke Parlimen untuk dijadikan undang-undang.
Di Malaysia, laporan persempadanan yang disediakan oleh SPR akan dikemukakan kepada Perdana Menteri yang bebas untuk membuat apa-apa perubahan sebelum dibentangkan di Parlimen.
Ini diperuntukkan di dalam Seksyen 8, Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan ini memberi kuasa yang luas kepada Perdana Menteri untuk menentukan kawasan pilihan raya.
Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) telah mencadangkan agar proses penyempadanan dilakukan oleh sebuah badan bebas yang ditubuhkan mengikut tempoh yang ditetapkan oleh undang-undang.
Ini boleh mengelakkan dakwaan berlakunya gerrymandering dan lain-lain perkara berkaitan penyempadanan kawasan pilihan raya.
* Amerul Muner Mohammad ialah Pengarah Projek Pusat Kajian MADANI.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.