MALAYSIA
[KOLUMNIS] Pertumbuhan tidak seimbang melanda produktiviti negara
![[KOLUMNIS] Pertumbuhan tidak seimbang melanda produktiviti negara [KOLUMNIS] Pertumbuhan tidak seimbang melanda produktiviti negara](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-08/81755387985_TBproduktiviti.jpg)
Penulis berpendapat, selagi kerajaan tidak berani melakukan perubahan struktur yang tuntas, produktiviti dan daya saing negara akan terus tersekat di dalam lingkaran pertumbuhan tidak seimbang. - Gambar hiasan
TATKALA Malaysia melakar sebuah perancangan jangka sederhana melalui Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), rakyat dihidangkan dengan pelbagai naratif optimistik. Malaysia ingin menjadi negara Kecerdasan Buatan (AI), destinasi pelaburan bernilai tinggi dan antara ekonomi paling kompetitif di Asia Tenggara. Namun, sebagai rakyat yang kritis dan kritikal, kita harus menyingkap tirai optimisme ini dengan persoalan - adakah retorik ini disokong oleh pencapaian sebenar dari segi produktiviti dan daya saing negara?
Ringkasan AI
- RMK13 memaparkan pencapaian ekonomi positif seperti pertumbuhan KDNK, peningkatan PNK per kapita, pelancongan dan FDI, namun produktiviti buruh hanya meningkat 2.7% setahun, jauh dari sasaran dan tidak cukup untuk keluar daripada perangkap pendapatan pertengahan.
- Manfaat pertumbuhan tidak dinikmati pekerja secara adil, pampasan pekerja kepada KDNK hanya 33.1% (bawah sasaran 4045%), dasar gaji progresif masih terbatas, dan kuasa beli rakyat berisiko terjejas akibat inflasi.
- Naratif AI dan daya saing masih banyak retorik, dengan kurang bukti pelaksanaan strategik. Artikel menekankan perlunya reformasi pasaran buruh, pengukuhan pelaburan domestik, serta pelaburan pendidikan/TVET untuk meningkatkan produktiviti sebenar dan daya saing jangka panjang.
Lebih memburukkan keadaan, produktiviti ini masih bergantung kepada peningkatan permintaan domestik dan sumbangan sektor perkhidmatan tradisional seperti perdagangan borong dan runcit dan bukannya inovasi atau transformasi sektor bernilai tinggi. RMK13 melaporkan bahawa sektor pembuatan memberikan sumbangan yang besar kepada pertumbuhan, namun hakikatnya hanya subsektor elektrik dan elektronik yang benar-benar menunjukkan peningkatan konsisten (7.6 peratus setahun), manakala subsektor lain seperti produk petroleum dan makanan hanya mencatatkan pertumbuhan sederhana.
Bahagian pampasan pekerja kepada KDNK hanya mencapai 33.1 peratus pada tahun 2023 - masih jauh daripada sasaran 45 peratus yang ditetapkan oleh kerajaan dan sasaran RMK12 iaitu 40 peratus. Ini memberi gambaran jelas bahawa manfaat pertumbuhan ekonomi tidak mengalir secara adil kepada golongan pekerja, walaupun produktiviti mereka meningkat.
Ketidakseimbangan ini memperlihatkan kegagalan struktur pasaran buruh negara di mana majikan masih mendahulukan keuntungan berbanding pengagihan saksama kepada pekerja.
Kerajaan cuba merawat keadaan ini dengan memperkenalkan Dasar Gaji Progresif dan menaikkan gaji minimum kepada RM1,700, serta komitmen Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dalam menyediakan gaji wajar minimum sebanyak RM3,100 kepada 153,000 pekerja.
Namun, dasar gaji wajar minimum masih bersifat serpihan dan tidak menyeluruh. Ianya juga tidak mencakupi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) atau sektor informal yang membentuk lebih separuh pasaran buruh. Jumlah peningkatan gaji minimum masih tidak mencukupi jika diunjurkan dengan peningkatan kuasa beli yang perlahan dan berisiko terjejas akibat inflasi yang mungkin meningkat di luar jangkaan.
RMK13 juga menyebut bahawa Malaysia melonjak daripada kedudukan ke-34 ke 23 dalam International Institute for Management Development (IMD) World Competitiveness Yearbook 2025. Sekilas lalu, ini adalah berita baik. Tetapi apakah benar ini mencerminkan transformasi struktur daya saing negara?
Realitinya, kedudukan daya saing seperti IMD bergantung kepada persepsi pelabur dan indikator makro, bukannya prestasi mikroekonomi atau produktiviti sektor. Walau bagaimanapun, Malaysia mencatat klasifikasi yang sangat tinggi dalam Indeks Pembangunan Manusia (HDI) tetapi jatuh dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) berbanding tahun 2022.
Dua indikator ini juga penting untuk menunjukkan kualiti daya saing sebenar sesebuah negara. Persoalannya, adakah dengan hanya mempamerkan pencapaian kedudukan IMD menatijahkan kekuatan struktur ekonomi secara keseluruhan?
Salah satu janji besar RMK13 adalah menjadikan Malaysia sebagai antara negara Kecerdasan Buatan (AI) utama di dunia menjelang 2030. Namun, naratif ini lebih banyak berbentuk aspirasi berbanding pelaksanaan strategik.
Tiada data yang jelas tentang kadar penerapan teknologi AI dalam PMKS, tahap kesediaan bakat digital negara atau mekanisme pemantauan transformasi digital secara menyeluruh. Usaha “menaikkan siling” melalui AI dan pendigitalan kelihatan masih retorik yang belum bertapak dalam ekonomi sebenar.
Berdasarkan data rasmi dalam RMK13, produktiviti buruh hanya berkembang sebanyak 2.7 peratus setahun dalam tempoh 2021 hingga 2024.
Malaysia masih belum mampu mencapai sasaran produktiviti yang ditetapkan dalam RMK12 dan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12, daripada 3.6 peratus yang dipinda kepada 3.7 peratus setahun. Maka, apakah strategi yang perlu dipertimbangkan bagi melengkapi RMK13 yang masih mengekalkan sasaran produktiviti buruh tahunan pada kadar 3.6 peratus?
Pertama, reformasi pasaran buruh secara menyeluruh perlu dilaksanakan, termasuk pembaharuan undang-undang buruh, penstrukturan upah berdasarkan kemahiran, dan insentif kepada majikan yang melabur dalam latihan serta Kajian dan Pembangunan (R&D).
Kedua, kebergantungan kepada Pelaburan Langsung Asing (FDI) perlu dikurangkan. Malaysia harus memperkukuh Pelaburan Langsung Domestik (DDI) melalui insentif fiskal, pembiayaan inovasi dan peningkatan kapasiti PMKS tempatan.
Ketiga, pelaburan strategik dalam pendidikan secara keseluruhan dan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dibuat sebagai asas kepada peningkatan produktiviti jangka panjang. Peningkatan enrolmen TVET kepada 53.6 peratus pada 2024 adalah positif, tetapi kualiti dan kesepadanan industri masih perlu ditambah baik.
Keempat, kerajaan perlu meletakkan sasaran dan memberikan fokus pada indikator seperti nilai tambah per pekerja mengikut sektor, kos upah sebenar berbanding produktiviti dan pemindahan teknologi dalam pelaburan luar bagi mencapai indeks prestasi yang lebih holistik.
RMK13 merupakan dokumen perancangan yang penuh semangat dan idealisme. Namun dalam aspek produktiviti dan daya saing, dokumen ini masih gagal menawarkan strategi radikal dan berani yang diperlukan oleh negara untuk keluar daripada belenggu lama.
Malaysia tidak memerlukan lebih banyak retorik, sebaliknya keberanian politik untuk menstruktur semula pasaran buruh, memperbetulkan insentif ekonomi dan melabur dalam potensi sebenar rakyat. Selagi kerajaan tidak berani melakukan perubahan struktur yang tuntas, produktiviti dan daya saing negara akan terus tersekat di dalam lingkaran pertumbuhan tidak seimbang. Dalam erti kata lain - angka KDNK meningkat tetapi kehidupan rakyat tetap tidak berubah.
* Muhammad Iman Khidir Bin Tarmidzi ialah Penganalisis Penyelidikan (Ekonomi) Institut Masa Depan Malaysia (MASA)
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami