MALAYSIA

[KOLUMNIS] Polis Selangor dan kecerdasan buatan

Charles Mohan 17/07/2025 | 07:29 MYT
Menurut penulis ini, tindakan holistik dan segera diperlukan untuk keperluan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk di Selangor mahupun di Malaysia secara keseluruhan — dengan pendekatan Tegas, Adil dan Berhemah. - Foto Charles Mohan
SEBUT sahaja kecerdasan buatan atau AI, sememangnya kita akan faham akan definisinya — iaitu teknologi yang membolehkan komputer untuk melakukan tugas yang memerlukan kecerdasan manusia, seperti berfikir, membuat analisa keputusan, memahami bahasa manusia serta meramal corak atau tingkah laku.

Kalau nak cakap bahasa pasar, AI ini boleh melakukan kebanyakan tugas harian manusia. Yang jelas, AI ini ada kebaikan dan keburukannya.

Antara kebaikannya yang diketahui umum termasuk menjimatkan masa dan tenaga manusia, meningkatkan produktiviti, meminimumkan kesilapan manusia (human error), menjadikan kaedah pembelajaran lebih mudah dan menarik serta meningkatkan tahap keselamatan.

Namun begitu, AI juga membawa keburukan.

Mungkin ramai akan hilang pekerjaan, berlaku penyalahgunaan — khususnya kemunculan penciptaan suara dan video deepfake, hilangnya privasi dalam kehidupan, penularan scam yang sukar dikawal serta kebergantungan yang terlalu konsisten kepada teknologi sehingga menyebabkan manusia menjadi malas untuk berfikir, membaca dan menganalisa data.

Kursus bersama Polis Selangor

Baru-baru ini, saya mengendalikan kursus "Pengendalian Krisis Media dan Keberkesanan Komunikasi" anjuran bersama Polis Kontinjen Selangor.

Seramai 28 peserta hadir dalam kursus selama tiga hari ini — dan yang hadir bukan calang-calang orangnya. Kebanyakan mereka adalah Ketua Polis Daerah di Selangor, pegawai dari Jabatan Jenayah Narkotik, Siasatan Jenayah, Siasatan Jenayah Komersil dan Cawangan Khas. Semuanya berpangkat besar, berpengalaman luas serta memikul tanggungjawab yang besar.

Apa tidaknya, seramai 7.3 juta penduduk tinggal di Selangor.

Dan keselamatan mereka diletakkan di tangan pasukan polis ini.

Jika diterjemahkan, itu bersamaan 21.6% daripada jumlah penduduk negara. Maka faham-faham sahajalah bagaimana beratnya cabaran harian mereka.

Tekanan dari Teknologi dan Media Sosial

Dalam tempoh tiga hari mengendalikan kursus tersebut, saya dan rakan-rakan panel — Datin Seri Hani Harun, Melissa Ong dan Khairul Rizuan Azizan — sependapat dalam satu perkara: bukan senang nak pikul tanggungjawab yang diamanahkan, lebih-lebih lagi apabila negara kini berdepan dengan cabaran AI.

Cuba bayangkan, untuk selesaikan sesuatu kes pun perlu melalui pelbagai prosedur dan perincian siasatan.

Dalam masa sama, media sentiasa mahukan berita terkini mengenai sesuatu krisis, cabaran dari media sosial begitu pantas, dan kini muncul pula ancaman dari teknologi AI.

Rasanya memang sukar untuk mereka ini tidur lena apabila sesuatu krisis muncul dan perlu ditangani segera.

Kenyataan Ketua Polis Selangor: “If you don’t change, you will be changed”

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, yang turut serta dalam kursus ini menjelaskan bahawa Polis Selangor tidak ada pilihan — suka atau tidak, mereka perlu bersiap siaga untuk berdepan dengan cabaran AI. Beliau berkata, “If you don’t change, you will be changed.” Maka inilah realitinya. Polis Selangor wajib bersiap siaga.

Ini termasuklah kemahiran menganalisa CCTV pintar yang dilengkapi teknologi AI, menangani ancaman jenayah deepfake dan penipuan berasaskan AI, meningkatkan siasatan dan penguatkuasaan secara lebih proaktif dan inovatif, menjalani latihan berterusan dalam bidang forensik digital serta memahami penggunaan kelengkapan teknologi berasaskan AI.

Cabaran sebenar di lapangan

Semua ini nampak mudah dalam coretan yang saya zahirkan ini, namun realitinya, jurang antara perkembangan teknologi AI dengan kelengkapan serta pemahaman polis masih luas. Kita perlu akui bahawa inilah senario sebenar yang sedang berlaku.

Bukan bermaksud kaedah penyiasatan konvensional sudah tidak boleh dipakai, tetapi ia perlu ditambah baik mengikut keperluan cabaran cabang baharu siasatan — iaitu jenayah menggunakan AI.

Inisiatif berani di bawah kepimpinan Datuk Hussein

Menyedari semua cabaran ini, Polis Kontinjen Selangor di bawah kepimpinan Datuk Hussein Omar Khan telah mula mencatur pelbagai kursus dan latihan seperti ini — yang menyentuh kaedah pengendalian krisis selaras dengan keperluan media, cara pantas mengendalikan cabaran AI ketika krisis, serta meningkatkan keterampilan anggota semasa sidang media dan podcast.

Ia boleh disifatkan sebagai satu inisiatif yang out of the box, demi menambah baik prestasi Polis Kontinjen Selangor.


Teguran Perdana Menteri

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya sempena Hari Polis ke-217 pada 25 Mac 2024 di PULAPOL, menegaskan bahawa jenayah digital dan siber adalah ancaman signifikan dan PDRM tidak boleh ketinggalan dalam penggunaan teknologi untuk membanteras jenayah atas talian.

"Kalau (anggota polis) tidak ada latihan atau keterampilan yang cukup dalam bidang tersebut, kita akan kalah," kata beliau.

Tindakan semasa Polis Selangor

Ketika ini, PDRM termasuk Polis Selangor sedang rancak menumpukan perhatian dalam tindakan semasa berdepan dengan ancaman AI yang berpaksikan kepada jenayah yang merugikan individu, khususnya dalam talian.

Ini membabitkan penghantaran pegawai ke program latihan di luar negara dengan kerjasama antarabangsa, penggunaan CCTV canggih yang dilengkapi teknologi AI, dan penganjuran program seperti "SHIELD UP" yang memberi tumpuan kepada pendidikan pelajar sekolah mahupun universiti tentang risiko AI dan jenayah siber.

Kesimpulan: Tindakan holistik dan segera diperlukan

Apa yang saya dapat simpulkan dalam tempoh tiga hari mengendalikan kursus ini untuk Polis Kontinjen Selangor ialah, penambahbaikan dari segi teknologi dan peningkatan kepakaran kakitangan di IPK Selangor perlu bersifat holistik dan memerlukan kesegeraan dalam usaha menangkis jenayah berpaksikan AI.

Ini adalah satu keperluan mendesak bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk di Selangor mahupun di Malaysia secara keseluruhan — dengan pendekatan Tegas, Adil dan Berhemah.


* Charles Mohan ialah seorang wartawan penyiaran veteran Malaysia yang terkenal dengan kerjanya sebagai pembaca berita dan wartawan di ntv7, dengan kerjaya yang menjangkau lebih 22 tahun.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.





#kecerdasan buatan #Hussein Omar Khan #PDRM #Polis Kontinjen Selangor