MALAYSIA

[KOLUMNIS] Prolegomena memahami aspirasi Madani

Saiful Nujaimi Abdul Rahman 15/06/2025 | 09:00 MYT
Keseimbangan yang dihasratkan itu ialah apabila setiap perlakuan majoriti ahli masyarakat seimbang secara intelektual, spiritual, dan material – tanpa melulu mengejar keuntungan materialis. - Gambar hiasan/Bernama
TANPA PREJUDIS, Dasar Malaysia Madani yang diusulkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim tanggal 19 Januari 2023 lalu, bukanlah sesuatu yang terdorong oleh kecenderungan semasa atau trend politik kontemporari.

Sebaliknya, ia berakar sejak ribuan tahun lamanya dalam segenap sanubari para penegak tamadun dunia – seawal manusia bertatih mengenali sistem pemerintahan. Hakikatnya, madani merupakan aspirasi teragung bagi setiap pemerintah yang bermaruah sejak dahulu lagi.

‘Madani’ pada pengertian yang paling mudah ialah sebuah usaha berterusan untuk mencapai keperkasaan pentadbiran (madinah fadhlilah), demi menzahirkan tamadun seimbang (umranul madani) pada tiga aspek utama – intelektual, spiritual, dan material.

Sejujurnya, konsep masyarakat madani kembali dibincangkan di Nusantara Melayu setelah cendekiawan tersohor, Tan Sri Prof Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas menyampaikan ucaptama beliau, The Dewesternization of Knowledge kepada First World Conference Muslim Education di Mekah pada 1977.

Sebagai individu terulung dunia yang memprakarsakan gagasan besar ‘Islamization of Knowledge’, beliau kemudiannya memilih Angkatan Belia Islam Malaysia – ABIM (yang ketika itu Presidennya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim) sebagai penerbit buku beliau, Islam and Secularism pada 1978.

Keseluruhan teks ucaptama yang dijadikan sebagai salah satu bab, ternyata melengkapkan diskusi buku tersebut. Untuk julung kalinya bab yang bertajuk Islam: The Concept of Religion and The Foundation of Ethics and Morality ditampilkan, manakala istilah madani dan perihal susur galurnya dikupasbicarakan.

Istilah madani itu menurut Prof Naquib, wajar difahami bersandarkan terma din (religion) – sepertimana yang disarankan oleh Ibnu Manzur dalam Lisan al-‘Arab (diterbitkan pada 1883M). Ini kerana, peristilahan madani berasal daripada perkataan Arab itu sendiri.

Rasional beliau sebenarnya amat bernas kerana, para cendekiawan terdahulu memberikan pelbagai peristilahan kepada konsep yang sama. Misalnya Plato (427-348SM) memperkenalkannya sebagai eudaimonia, Aristotle (384-322SM) menggelarkannya koinōnía politikḗ, manakala Cicero (106-43SM) menampilkannya sebagai societas civilis.

Seterusnya, Prof Naquib menghuraikan betapa perkataan din mengikut interpretasi dan pemahaman Barat adalah berbeza berbanding persepsi Islam. Din pada interpretasi Islam adalah seumpama pohon yang menumbuhkan empat cabang dahan signifikan yang simbiotik.

Empat cabang tersebut menurut beliau ialah: (1) keberhutangan (indebtedness); (2) pengabdian (submissiveness); (3) kuasa penghakiman (judicious power); dan (4) kecenderungan semulajadi (natural inclination or tendency) – kepada Tuhan.

Daripada situ bercambahlah perkataan da-na (being indebted), daynunah (judgment), dan idanah (conviction) – yang hanya wujud dalam masyarakat yang memiliki keteraturan. Keteraturan itu melahirkan terma mudun (towns) dan mada’in (cities) – yang menjurus kepada munculnya istilah maddana (to build, to civilize, to refine, and to humanize).

Berakar daripada terma maddana, muncullah terma tamaddun yang merangkul dua pengertian serentak – iaitu peradaban (civilization) dan pemurnian (refinement) yang dilaksanakan secara bergandingan dan berterusan. Pengertian tersebut menjadi budaya masyarakat yang mencapai status madani.

Justeru pada 26 September 1995, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) julung kalinya mengemukakan istilah ‘masyarakat madani’ kepada Simposium Nasional dalam Rangka Forum Ilmiah Festival Istiqlal di Jakarta, Indonesia, sebagai:

“…yang kita maksudkan dengan masyarakat madani
ialah sistem sosial yang subur yang diasaskan kepada prinsip moral
yang menjamin keseimbangan di antara kebebasan perseorangan
dengan kestabilan masyarakat.”

Konsep madani kemudiannya dibincangkan dalam Konvensyen Masyarakat Madani di Universiti Kebangsaan Malaysia (19-21 September 1996) menerusi kupasan mendalam terhadap buku beliau, The Asian Renaissance (1996).

Antara pembentang kertas kerja ketika itu termasuklah Tan Sri Prof Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas; Prof Emeritus Dato’ Dr. Nik Safiah Nik Karim, Prof Emeritus Dato’ Dr. Osman Bakar, (Allahyarham) Prof Emeritus Dato’ Dr. Mohammad Kamal Hassan, dan (Allahyarham) Prof Dato’ Dr. Siddiq Fadzil.

Sehubungan itu, maka benarlah persepsi Naib Presiden ABIM, Zairudin Hashim menerusi artikelnya, Membangun Masyarakat Madani: Tentang Harapan & Keberanian Bertindak (Malaysia Gazette, 08 April 2024) bahawa: “Idea besar seperti madani ini bukan milik seorang Anwar Ibrahim – ia adalah milik semua dan dinukil serta dikupas oleh ramai ilmuwan”.

Bahkan tambah Zairudin: “Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri tidak pernah mendakwa bahawa beliau adalah pengasas atau pemilik kepada konsep madani tersebut”.

Sekali gus, persepsi sesetengah ahli masyarakat kita bahawa idea Dasar Malaysia Madani bersumber daripada penulisan John Locke menerusi bukunya, Two Treatises of Government (1689M) ternyata jauh menyimpang.

Secara jelas, teras Dasar Malaysia Madani memfokus kepada melestarikan keharmonian masyarakat majmuk, menjana pembangunan yang mampan, dan membudayakan tadbir urus yang baik.

Fokus itu seganding dengan pengertian madani menurut Ibnu Khaldun (1332-1406M) dalam Mukaddimah (1377M), yang berhujah bahawa umranul madani hanya mampu dicapai setelah majoriti ahli masyarakat menjadikan aspirasi madani sebagai matlamat hidup mereka.

Keseimbangan yang dihasratkan itu ialah apabila setiap perlakuan majoriti ahli masyarakat seimbang secara intelektual, spiritual, dan material – tanpa melulu mengejar keuntungan materialis sebagaimana lumrahnya masyarakat global kini.

Masyarakat yang mencapai status madani melakukan segenap perkara secara bertunjangkan kewarasan (fikr, nazar, makrifat, ra'y) demi mencapai sesuatu yang ideal dan bermanfaat dalam kehidupan mereka.

Mereka menjunjung adab, tertib, pekerti, sopan, susila, etika, protokol, dan seumpamanya – seiring kegigihan usaha dalam mencapai segenap ketertinggian pencapaian lahiriah.

Sebab itulah Dasar Malaysia Madani yang pada mulanya hanyalah satu gagasan daripada sebuah buku yang dilancarkan pada 2 Oktober 2022 di Hotel Dorsett, Subang, kini ia menjadi dasar negara yang melandaskan enam perkara utama – kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan.

Bersama bagasi dasar tersebut, terpikul pula lapan aspek pertanggungjawaban di bahu para pelaksana – iaitu ekonomi, kewangan, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar, dan luar bandar.

Memang benar, aspirasi madani ini bukanlah sesuatu yang mudah. Bahkan menurut Ibnu Khaldun, ia mengambil tempoh 30 tahun atau satu generasi. Inilah yang wajar menjadi prolegomena atau diskusi kritis yang meletakkan asas dalam memahami satu-satu gagasan.

Sebetulnya, pendekatan ini selari dengan pandangan Confucius (551-479M): “Jika merancang untuk tempoh satu tahun, maka suburkanlah gandum; Jika merancang untuk satu dekad, maka suburkanlah pohon; Jika merancang untuk satu abad, maka suburkanlah manusia”.

Inilah jua hakikat yang dimaktubkan menerusi titah Maharaja Ur-Nammu (sekitar 2050SM): “I did not deliver the orphan to the rich; I did not deliver the widow to the mighty; I did not deliver the man with only one shekel to the man with sixty shekels; I did not deliver the man with only one sheep to the man with one ox; I eliminated enmity, violence, and cries for justice”.

Titah berusia lebih 4000 tahun itu dianggap sebahagian besar sarjana global sebagai ‘Kod Moral Tertua’ yang terakam menerusi tulisan pepaku pada sebuah prasasti batu di Kota Nippur, Lembah Mesopotamia.

Pun begitu, ia bukanlah kod pentadbiran purba pertama yang ditemui para arkeologis dunia – kerana, yang tertua ialah titah Maharaja Urukagina (Kod Urukagina) sekitar 2350SM di perlembangan yang sama. Daripada sudut heirarki kod pentadbiran purba, yang tertua ialah Kod Urukagina (2350SM), diikuti Kod Ur-Nammu (2050SM), dan Kod Hammurabi (1790SM).

Melalui Kod Urukagina, pemerintahan ketika itu berikhtiar memerangi rasuah secara besar-besaran, berfokus kepada penerapan amalan ihsan, dan bertegas menerapkan prinsip lex talionis (qisas) ke dalam fabrik masyarakatnya. Maksudnya, baginda bermula dengan meletakkan asas (iktikad) dalam pemerintahannya.

Sebab itulah Kod Ur-Nammu (yang digubal 300 tahun selepas Kod Urukagina) masih mengekalkan asas tata kelola yang sama. Cuma, prinsip lex talionis kemudiannya dipinda kepada pampasan wang (diat) – dan orientasi pemerintahan beralih kepada usaha memperkasakan institusi kekeluargaan (munakahat) pula.

Selepas 290 tahun berselang, Maharaja Hammurabi kemudiannya tampil memperbaharui pemerintahan dengan memfokuskan kepada urus tadbir dan tata kelola bidang ekonomi (muamalat).

Sebab itulah juga, hampir 50 peratus Kod Hammurabi (1790SM) berkisar perihal kontrak perniagaan, 30 peratus lagi berhubung kekeluargaan, manakala selebihnya mengekalkan perlaksanaan prinsip lex talionis mengikut kesesuaian perubahan dalam strata sosialnya.

Kod itu kemudiannya dipahat dan dicatatkan pada puluhan prasasti batu dan puing tanah liat, dan disebarluaskan ke seluruh jajahan kekuasaan baginda. Sehingga kini, para arkeologis telah menemui 44 prasasti yang menyuratkan kod tersebut.

Sebagaimana lazimnya, Maharaja Hammmurabi tidak meminggirkan landas asas pentadbiran para maharaja sebelum baginda. Sebaliknya, baginda memperkukuhkan dasar sedia ada – selain menambah satu hukuman khusus kepada para hakim yang korup. Seperkara yang signifikan, baginda meneruskan aspirasi madani secara memulakan setiap prasasti melalui pernyataan:

“Dengan nama beta, Hammurabi – putera yang mulia,
yang mentaati Marduk – Tuhan Babylon,
untuk membawa pemerintahan yang sewajarnya di muka bumi".

Tegasnya, aspirasi madani bukanlah sebuah retorik politik seperti yang dimomokkan oleh mereka yang dangkal ilmunya. Ia sebenarnya merupakan adidaya atau nukleus yang mengemudikan kecemerlangan setiap manusia agar menyedari tujuan mereka dihidupkan.

Ini telahpun dibuktikan oleh tiga bangsa terawal dunia (Akkadia, Assyria, dan Sumeria) yang bersepakat menenggala Lembah Mesopotamia seawal 10,000SM – dan kemudiannya membina tamadun yang bukan sekadar digeruni, bahkan dikagumi sehingga ke detik ini.

Legasi mereka bukan sahaja mampu membangunkan tamadun di perlembangan itu, bahkan turut berjaya menyemai benih peradaban seimbang (madani) ke seluruh pelosok dunia. Hasilnya, maka bangkitlah barisan tamadun agung dunia di pelbagai lembah subur yang lain.

Tamadun China misalnya, konsisten menerapkan aspirasi madani sehingga menjadi falsafah peradaban mereka dalam membentuk prinsip etika, moral, norma, dan kepercayaan masyarakat – sekalipun kekuasaan pentadbiran silih berganti. Buktinya, Dinasti Han (206-220SM) terus memperingatkan rakyatnya berhubung tata kelola yang baik menerusi perutusan Di-Bao.

Natijahnya menjelang kurun ke-6 Masehi, ilmu falsafah yang menjulang prinsip madani telah dinobatkan sebagai pemikiran mercu tertinggi dalam ketamadunan mereka. Selain Confucius, Tamadun China turut membariskan beberapa nama besar penjana masyarakat madani yang lain seperti Lou Tzu (570-470M) dan Mo Tzu (470-391M).

Menyorot sejarah Yunani, Plato menerusi bukunya, Republic (dianggarkan terbit pada 375M) telah menceritakan perihal sebuah kerajaan berstatus utopia bernama Atlantis – melalui monolog panjang Timaeus dan Critias.

Kemudian, Aristotle menampilkan konsep koinōnía politikḗ yang merujuk kepada sikap saling bergantung dalam masyarakat. Menurut bukunya Nicomachean Ethics (dianggarkan terbit pada 4SM), menegaskan betapa kemuncak pencapaian bermasyarakat ialah eudaimonia – iaitu kesentosaan diri yang dikongsi bersama.

Begitu jugalah Tamadun Romawi, meskipun sejarah mencatatkan lima maharaja terzalim – iaitu Nero (memerintah 54-68SM), Caligula (memerintah 37-41SM), Tiberius (memerintah 14-37M), Domitian (memerintah 81-96M), dan Commodus (memerintah 176-192M), namun mereka turut membariskan lima maharaja teradil.

Bahkan legasi lima maharaja teradil mereka – iaitu Nerva (memerintah 96-98M), Trajan (memerintah 98-117M), Hadrian (memerintah 117-138M), Antoninus Pius (memerintah 138-161M), dan Marcus Arelius (memerintah 161-180M) telah memberikan sumbangan positif yang jauh melampaui kezaliman maharaja sebelum mereka.

Secara konsisten, konsep societas civilis (masyarakat madani) diadaptasi Cicero apabila menghuraikan konsep res publica (republik). Konsep itu menjadi penjana perubahan dalam pemerintahan masyarakat Eropah pada Zaman Pencerahan (1715-1804M).

Ia dijadikan pokok perbincangan dalam kalangan cendekiawan zaman tersebut, antaranya termasuklah Francis Bacon (1561-1626M), John Locke (1632-1704M), René Descartes (1596-1650M), Jean-Jacques Rousseau (1712-1778M), dan Immanuel Kant (1724-1804M).

Demikianlah lumrahnya setiap kebaikan. Ia seumpama hujan lebat yang menghapuskan kebahangan, menyuburkan ketandusan, merimbunkan kembali pepohonan – lantas memberi manfaat kepada seluruh jagat manusia, mergas dan satwa.

Pada era keagungan Tamadun Islam juga, sejarah turut merakamkan betapa aspirasi madani yang dikupasbicarakan oleh Ibnu Khaldun, menjadi diskusi dan syarah kepada ratusan ilmuwan Islam seawal Al-Farabi (870-951M), Ibnu Miskawayh (932-1030M), dan Al-Ghazali (1058-1111M).

Para intelektual ketika itu amat gigih menggandakan kecemerlangan dalam segenap lapangan. Misalnya tokoh agung perubatan Islam, Abu Ali Husain ibn Abdullah ibn Hasan ibn Ali Sina (akrab digelar Ibnu Sina) turut menguasai metafizik, geometri, astronomi, dan pelbagai lagi.

Selain Al-Qanun Fi al-Tibb (ensiklopedia perubatan), Ibnu Sina turut menulis puluhan disiplin ilmu yang lain. Antaranya termasuklah Al-Adawiyat Al-Qalbiyah (perihal sajak perubatan), As-Syifa' al-Naja (perihal falsafah), Al-Isharah wa al-Tanbihat (perihal mantik), Fi Aqsam al-Ulum al-Aqliyah (perihal geologi dan kimia), dan Al-Mabda’ wa al-Ma’ad (perihal politik dan agama).

Dalam erti kata termudah, aspirasi madani telah sekian lama menjadi adidaya dalam menjulang keperkasaan setiap tamadun agung dunia. Berulangkali sejarah memahatkannya pada ribuan puing, arca, mahupun lembaran. Ternyata, aspirasi madani menjadi piawaian sebenar dalam mengukur tahap keintelektualan sesuatu bangsa yang berjaya. Inilah prolegomena yang wajar disepakati dalam memahami aspirasi madani.

Justeru dalam merengkuh langit cabaran abad ke-21 ini, kita perlu menerima hakikat bahawa negara kini memiliki ramai intelektual – namun terlalu sedikit kelompok yang berstatus pemikir. Iaitu mereka yang dapat diandalkan bagi mengemudi masyarakat.

Kita juga perlu menyedari bahawa aspirasi madani memerlukan tempoh panjang dan barisan pelaksana cekal untuk mencapainya. Iaitu mereka yang tidak dapat dilalaikan oleh persepsi populis bahawa hanya melalui kepantasan, kita akan beroleh ganjaran terbaik.

Kita juga perlu bersegera membentuk generasi pemimpin madani. Iaitu mereka yang menghasratkan sesuatu yang lebih besar daripada harta, kuasa, dan gelaran. Pemimpin yang sentiasa memanjatkan senyum di hati rakyat menerusi bahasa dan tindakan. Pemimpin yang sentiasa memperkatakan kebenaran, lantaran kebenaran itu tidak pernah patah dipukul zaman.

Bergegaslah dalam menginsafi betapa negara ini panjang dan rakyatnya ramai, sedang usia kita semua cumalah di batas nafas yang tipis. Kita perlu yakin dengan kemampuan diri untuk menzahirkan masyarakat madani, sepertimana barisan bangsa teragung yang tercatat dalam lembar sejarah dunia – tanpa perlu mempedulikan sebarang bentuk perlekehan.

Meminjam mahfhum pesanan Sasterawan Negara, Prof Dr. Muhammad Salleh melalui Sajak-Sajak Sejarah Melayu (1981):

“Daripada biduk kekayaan yang selebar upih,
kita jadikan ia sebuah bahtera kemakmuran yang besar
– sekalipun usaha ini akan terus diperlekehkan
oleh pihak yang bertentangan.”



*Saiful Nujaimi Abdul Rahman merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.








#Malaysia Madani #Anwar Ibrahim #masyarakat madani #Kolumnis