QURAN adalah satu-satunya mukjizat Nabi Muhammad SAW yang sangat luar biasa, yang kekal sehingga ke hari ini. Meskipun usia penurunan Quran sudah melebihi 1400 tahun, namun ia terus segar dan seakan baru saja diturunkan. Quran sentiasa dibaca, dipelajari dan diajar oleh umat Islam sejak zaman Nabi SAW sehingga ke hari ini.

Pada setiap tahun peristiwa Nuzul Quran yang jatuh pada 17 Ramadan disambut dan diingati oleh umat Islam di seluruh dunia. Ini menggambarkan bahawa Quran sentiasa dekat di hati umat Islam tanpa mengira bangsa dan negara serta warna kulit.

Penurunan Quran sebenarnya membawa transformasi mega kepada manusia dan kemanusiaan. Quran mengubah manusia dari menyembah berhala kepada menyembah Allah Yang Maha Esa. Semasa berlakunya pembukaan Kota Mekah (Fath Makkah) iaitu pada 20 Ramadan tahun ke-8 hijrah, terdapat 360 buah berhala di sekeliling Kaabah. Baginda kemudiannya menghancurkannya dengan tongkat yang berada di tangan Baginda.

Quran juga telah berjaya menghapuskan kezaliman manusia kepada keadilan dan rahmah. Semasa sebelum kedatangan Quran, umat jahiliah sanggup menanam anak perempuan mereka hidup-hidup seperti yang diceritakan dalam Quran: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.” Surah An-Nahl: 58-59

Namun dengan setelah  kedatangan Quran segalanya berubah. Mereka tidak lagi membunuh anak-anak perempuan mereka bahkan anak-anak perempuan dilayan penuh kasih sayang seperti anak-anak lelaki. Jika di zaman jahiliah wanita dipandang rendah dan hanya dijadikan tempat untuk melepaskan hawa nafsu kaum lelaki, namun selepas kedatangan  Quran, darjat mereka diangkat oleh Allah SWT dan tiada apa yang membezakan lelaki dan wanita di sisi Allah SWT kecuali ketakwaan mereka.

JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK 

Menurut Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Quran adalah 'ruh Rabbani' atau kekuatan Rabbani yang akan mampu menghidupkan dan menggerakkan akal fikiran dan hati manusia. Sebagaimana Quran juga adalah undang-undang Allah yang mengatur kehidupan manusia sebagai individu dan bangsa secara kolektif. Syeikh Muhammad Al-Ghazali juga menyebutkan bahawa Quran adalah kitab yang membentuk jiwa, membangun umat dan kebudayaan mereka.

Mukjizat Quran menjadi sumber kekuatan bagi umat Islam hingga mampu menguasai 2/3 dunia sejak zaman Nabi SAW hingga ke zaman Othmaniah di Turki.

Inilah kekuatan dan kehebatan mukjizat Quran ini.

Quran juga adalah mukjizat yang tidak akan terhenti keajaibannya. Quran yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada kita umat akhir zaman. Ia mempunyai formula rawatan Rabbani yang perlu digali oleh umat ini.

Inilah satu-satunya pedoman yang benar lagi pasti berbanding dengan rujukan lain, kerana sifatnya yang memberi saranan bersifat universal, lengkap dengan tatacara Syariat yang suci, serta mampu mengangkat martabat manusia. Quran  menghalalkan bagi mereka perkara-perkara yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala perkara yang kotor dan keji. Quran juga menghapuskan segala beban-beban dan belenggu-belenggu di bahu mereka. Quran juga adalah rahmat kepada seluruh alam memimpin manusia menuju Hari Pembalasan.

Namun apa yang amat mendukacitakan kita sebagai umat Islam hari ini, Quran ini sudah tidak lagi menjadi sumber rujukan dan panduan umat Islam. Umat Islam kini sudah semakin jauh dari ajaran Quran. Umat Islam lebih mengkagumi sumber lain selain dari Quran.

Apabila perlahan-lahan ajaran Quran ditinggalkan, maka kekuatan dan kehebatan umat Islam turut secara perlahan menjadi luntur dan akhirnya terus hilang. Kini kegemilangan dan kemasyhuran Islam hanya sekadar menjadi sejarah yang diajar di sekolah dan pusat-pusat pengajian. Umat Islam kini bukan hanya hilang kegemilangan dan kecemerlangan mereka, bahkan mereka menjadi umat yang lemah dan sering menjadi mangsa penindasan musuh-musuh mereka. Lihat saja apa yang berlaku di Afghanistan, Iraq, Myanmar, Kashmir, Palestin dan lain-lain. Mereka dijajah, disiksa dan dibunuh. Wanita-wanita diperkosa dan dinoda tanpa belas kasihan.

Umat Islam akan terus kekal dalam situasi yang menyayat hati ini, selagi umat Islam tidak mengambil langkah segera dan drastik dan kembali ke pangkuan Quran.

Menurut Syeikh Dr Taha Jabir al Alwani, umat Islam kini menghadapi pelbagai krisis - intelektual, kebudayaan dan ketamadunan akibat terkebelakang dalam menjadikan Quran sebagai pedoman. Akibatnya umat ini tiada jati diri, terumbang ambing, berkrisis dan sebagainya.

Justeru, tiada jalan keluar daripada krisis ini kecuali dengan kembali kepada al Quran dan mendaki semula kemuncak kemuliaannya berpandukan cara hidup Nabi SAW. 

Umat Islam tiada pilihan lain kecuali mengambil kembali Quran kerana hanya melalui Quran, kekuatan dan kegemilangan umat Islam dapat dikembalikan. Kembali kepada Quran bukan bermaksud hanya menonjolkan syiarnya seperti menganjurkan pertandingan hafazan dan bacaan Quran atau seumpamanya, tetapi dalam maksud yang lebih tuntas iaitu dengan cara membaca, memahami, menghayati dan mengamalkan segala ajaran Quran dalam semua aspek kehidupan merangkumi kehidupan individu, keluarga, perundangan, ekonomi, sosial dan pemerintahan. Yakinlah jika umat Islam kembali mengaplikasi ajaran Quran dalam setiap inci kehidupan mereka, pasti kegemilangan yang hilang akan dapat dikembalikan.

Jika kegemilangan Quran mampu mengangkat martabat umat Islam di zaman Nabi SAW dan para sahabat serta generasi selepas itu, pastinya perkara yang sama akan berlaku kerana kita masih membaca Quran yang sama serta ajaran yang sama tanpa sebarang perubahan.

Memang sudah tiba saatnya bagi kita untuk menerima Quran dengan sepenuh perasaan dan fikiran tidak lagi menggantungkan harapan kepada kekuatan lain selain Quran. Allah SWT berfirman: “Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Al-Hadid: 16).



* Penulis adalah Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.