MALAYSIA
[KOLUMNIS] Reformasi menyeluruh diperlukan selepas letupan di Putra Heights
![[KOLUMNIS] Reformasi menyeluruh diperlukan selepas letupan di Putra Heights [KOLUMNIS] Reformasi menyeluruh diperlukan selepas letupan di Putra Heights](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-04/81744603274_JalanPutraHarmoni.jpg)
Letupan di Putra Heights harus mendorong kita bukan hanya kepada penyelesaian sementara, tetapi reformasi menyeluruh terhadap sistem yang selama ini mungkin menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang remeh. - Gambar hiasan
SUDAH dua bulan berlalu sejak letupan dahsyat di Putra Heights berlaku semasa Hari Raya Aidilfitri – peristiwa tragis yang kesannya masih tersisa dalam Aidil Adha baru-baru ini.
Aidilfitri yang sepatutnya memberi kegembiraan kini diliputi kenangan duka.
Saya merakamkan rasa simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa yang masih sebak dan trauma.
Kesedihan mereka bukanlah sekadar ingatan tetapi satu panggilan untuk sistem perlindungan yang bukan retorik dan berpandukan kepada keutamaan keselamatan.Permintaan penduduk untuk mengalihkan penempatan paip gas jauh dari rumah adalah sesuatu yang dijangkakan.
Rasa takut itu menyuarakan keinginan untuk meredakan kegelisahan kehidupan yang amat terkesan.
Namun, realitinya, sistem paip gas tidak boleh dianggap remeh – ia adalah nadi infrastruktur yang menyokong hospital, kilang, sekolah, serta kediaman rakyat.
Tanpa bekalan gas berterusan, kita bakal dilanda krisis elektrik, perniagaan terhenti, yang memberi impak besar kepada kehidupan harian masyarakat.
Dari apa yang saya baca, paip gas berkenaan sudah wujud lebih 30 tahun, jauh sebelum projek perumahan yang dibina berhampiran kawasannya.
Saya masih teringat terdapat aliran sungai kecil di kawasan itu yang kini hilang di sebalik pembinaan perumahan.
Fenomena pengalihan sungai dan tanah kedap mengingatkan kita pada tragedi Bukit Antarabangsa, di mana manipulasi alam menjadi penyumbang kepada runtuhan tanah yang teruk.
Apakah pengubahsuaian alam semula jadi di Putra Heights turut menjejaskan kestabilan tanah? Adakah pengalihalihan aliran atau pengisian tanah menyumbang kepada tragedi ini?
Perkara ini mencetuskan persoalan penting.
Mengapakah pihak berkuasa tempatan dan pemaju membenarkan pembinaan rumah sedekat itu dengan infrastruktur gas?
Adakah pembeli rumah mendapat maklumat lengkap sebelum membeli? Apakah syarat jarak keselamatan dituntut dan dimestikan dipatuhi?
Atau adakah agensi-agensi beroperasi secara ‘silo’, menyebabkan jurang keselamatan tidak terkesan?
Lebih dari itu, kita mungkin berhadapan dengan kelemahan dalam sistem perancangan bandar di Malaysia – kekurangan koordinasi antara agensi alam sekitar, paip utiliti, pembangunan dan peraturan.
Infrastruktur adalah penting, tetapi nyawa manusia lebih utama.
Setiap pembeli rumah berhak mendapat maklumat jelas: “Kediaman anda hanya 20 meter dari saluran paip gas yang dibina bertahun lalu.” Apabila maklumat jelas, masyarakat membuat pilihan lebih selamat.
Saya bukan seorang jurutera atau pakar geologi, namun atas dasar kebertanggungjawaban saya rasa penting untuk menimbulkan perkara ini – apabila rumah dibina di atas tanah yang dimodifikasi, dipadatkan atau dikeringkan tanpa kajian geologi lengkap, sudah pasti kemungkinan risiko timbul, amat tinggi.
Kita tidak mahu tragedi seperti di Highland Towers atau projek cerun berulang.
Perlu diperingatkan, ini bukannya soal pemilihan infrastruktur berbanding nyawa – sebaliknya soal memastikan pembinaan infrastruktur dijalankan dengan betul serta mengambil semua langkah keselamatan masyarakat, sebagai faktor terpenting.
Insiden ini seharusnya menggesa tindakan menyeluruh pihak berkuasa – pertama, sokong mangsa dengan bantuan rumah sementara, perubatan dan kaunseling.
Kedua, semak semula kelulusan projek di sepanjang koridor paip gas – pastikan piawaian jarak keselamatan dipatuhi.
Ketiga, wujudkan keperluan kelulusan dari berbilang agensi untuk projek sensitif—agar tiada keputusan ‘silo’ serta lokasi paip hendaklah didedahkan dalam pelan, bagi setiap projek yang bakal melibatkan orang awam, seperti projek perumahan.
Sememangnya gas itu penting, begitu juga dengan pembinaan perumahan – tetapi tanggungjawab memastikan keselamatan masyarakat harus menjadi keutamaan.
Letupan di Putra Heights harus mendorong kita bukan hanya kepada penyelesaian sementara, tetapi reformasi menyeluruh terhadap sistem yang selama ini mungkin menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang remeh.
Jika rumah dibina di pinggir paip membawa tragedi, maka timbul persoalan: adakah pembeli sedia maklum tentang wujudnya paip berhampiran kawasan perumahan mereka?
Atau, adakah perkara ini akan kekal tersembunyi dalam pembinaan projek-projek lain?
Saya menyeru kepada reformasi, dengan jiwa tulus – bukan untuk mencari kambing hitam, tetapi untuk memberi pengajaran.
Aidiladha bukan sekadar hari memperingati pengorbanan, tetapi juga detik memperbaharui tekad terhadap nilai keadilan, keselamatan dan amanah yang menjadi teras masyarakat bertamadun.
Dalam semangat ini, saya harapkan pihak-pihak berkenaan akan mengenang para mangsa tragedi Putra Heights bukan hanya dengan simpati, tetapi melalui langkah-langkah konkrit yang menjamin tragedi seumpamanya tidak berulang.
Tindakan berani dan telus inilah yang akan mencerminkan kebertanggungjawaban sebenar serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pihak berkuasa dan organisasi yang terlibat dalam menjaga keselamatan awam.
* Artikel ini ditulis oleh Dr Shaharom Nor Azian, seorang pesara dalam bidang perubatan.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami