MALAYSIA

[KOLUMNIS] RMK-13: Dari dokumen ke tindakan, strategi keterjaminan air dan tenaga negara

Hasimi Muhamad 24/09/2025 | 08:30 MYT
Komitmen PETRA di bawah kepimpinan Fadillah (tengah) memperlihatkan kesungguhan Malaysia untuk bersedia lebih awal dalam menangani krisis air dan tenaga secara strategik, mampan dan inklusif - Gambar PETRA
ISU keterjaminan air dan tenaga semakin kritikal dalam menghadapi perubahan iklim global, pertambahan populasi serta tekanan terhadap sumber asli negara.

Di bawah kepimpinan Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Tenaga, Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Malaysia sedang melaksanakan strategi holistik bagi menjamin kelangsungan bekalan air dan tenaga untuk jangka masa panjang.

Pelbagai inisiatif telah digerakkan untuk menyokong matlamat nasional menuju negara yang lebih mampan, berdaya tahan dan rendah karbon.

Antaranya, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Transformasi Sektor Air 2040 (AIR 2040) menjadi asas penting dalam menangani cabaran ini secara menyeluruh.

AIR 2040, misalnya, berpotensi memacu Malaysia sebagai hab utama sektor air bagi negara-negara serantau, dengan matlamat mentransformasi sektor air negara menjadi mampan, memacu pembangunan ekonomi, serta menjamin bekalan air berkualiti.


Kepentingan strategi untuk masa depan negara

Sektor tenaga dan air adalah enjin utama pembangunan. Tanpa keterjaminannya, negara berisiko berdepan gangguan bekalan, kos sara hidup yang meningkat, serta kemerosotan keyakinan pelabur asing.

Dalam konteks ekonomi hijau, pelaburan dalam teknologi tenaga bersih dan pengurusan air pintar juga mampu mewujudkan ratusan ribu peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, selain menjadikan Malaysia sebagai hab serantau untuk teknologi lestari.

Foto/PETRA


Komitmen PETRA memperlihatkan kesungguhan Malaysia untuk bersedia lebih awal dalam menangani krisis air dan tenaga secara strategik, mampan dan inklusif.

Menurut laporan antarabangsa, pelaburan tenaga bersih global menunjukkan peningkatan berterusan, dengan anggaran trilion dolar Amerika Syarikat bakal disalurkan menjelang 2025.

Laporan World Energy Investment oleh IEA juga mengunjurkan sebahagian besar dana ini akan tertumpu kepada tenaga boleh baharu, nuklear, grid pintar, storan tenaga, serta teknologi pelepasan rendah.


Lawatan kerja ke China: Hasil dan implikasi strategik

Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri ke China dari 16 hingga 23 September 2025 telah berjaya memperkukuh agenda keterjaminan air dan tenaga Malaysia, selain membuka ruang pelaburan strategik untuk masa depan mampan negara.

Di 22nd China–ASEAN Expo (CAEXPO) di Nanning, Malaysia menegaskan peranannya sebagai penyelaras hubungan Dialog ASEAN–China (2024–2027).

Timbalan Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Naib Perdana Menteri China, Lui Guozhong


Delegasi Malaysia turut mengadakan pertemuan peringkat tertinggi dengan Naib Perdana Menteri China, Liu Guozhong, yang memberi tumpuan kepada kerjasama strategik dalam pengurusan air, termasuk pertukaran teknologi, pembangunan kapasiti dan inisiatif lestari.

Lawatan ke Beijing dan Chongqing turut memberi fokus kepada:

- Teknologi tenaga boleh baharu dan sistem storan tenaga
- Teknologi nuklear generasi baharu
- Inovasi pengurusan air seperti Sponge City untuk mitigasi banjir dan adaptasi perubahan iklim
- Sistem air pulih sebagai sumber alternatif industri, pembangunan loji bawah tanah, serta penjanaan tenaga daripada biogas

Hasil lawatan ini memperkukuh usaha Malaysia untuk memanfaatkan kepakaran dan pengalaman China dalam bidang tenaga dan air, sekali gus mengukuhkan pelaksanaan NETR dan AIR 2040.

Ia juga melambangkan komitmen Malaysia MADANI untuk memainkan peranan lebih besar dalam kerangka ASEAN–China serta memperkukuh daya saing ekonomi negara di peringkat serantau dan global.


RMK-13 dan tenaga nuklear

Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai lalu turut menyatakan bahawa kerajaan akan melaksanakan program pembangunan tenaga nuklear bagi penjanaan elektrik sebagai salah satu sumber tenaga bersih dalam campuran tenaga negara.

Sasaran operasi pertama dijangka bermula pada tahun 2031, dengan MyPOWER Corporation dilantik sebagai Nuclear Energy Programme Implementing Organization (NEPIO) yang bertanggungjawab terhadap tadbir urus menyeluruh program nuklear, selaras dengan ketetapan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Foto/PETRA


Sebagai pelaksana utama, MyPOWER akan menyelaras program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA), pelaburan infrastruktur, aktiviti R&D, latihan kepakaran serta kerjasama antarabangsa berkaitan teknologi tenaga nuklear.

Kerajaan juga sedang meneliti hasil kajian prakebolehlaksanaan tenaga nuklear yang menunjukkan potensi besar dalam menjamin bekalan tenaga yang stabil, bersih dan boleh dipercayai.


Cabaran pelaksanaan

Walaupun strategi telah digariskan, kejayaan sebenar bergantung kepada kecekapan pelaksanaan, keberanian membuat keputusan, dan komitmen menyeluruh seluruh ekosistem negara.

Isu birokrasi dan kelewatan pelaksanaan projek sering dikenal pasti sebagai kelemahan utama dalam dasar kerajaan. Pelabur dan penggiat industri hijau turut menyuarakan kebimbangan mengenai proses kelulusan yang lambat, dasar yang tidak konsisten, serta kekurangan sokongan teknikal dan kewangan.

Tanpa reformasi institusi yang menyeluruh, strategi sebaik mana pun akan gagal membawa impak sebenar kepada rakyat dan ekonomi.

Oleh itu, kerjasama antarabangsa – khususnya dengan negara serantau, institusi kewangan global dan peneraju teknologi hijau, perlu diperkukuh bagi mendapatkan pembiayaan, kepakaran serta pemindahan teknologi.

Malaysia kini berada di landasan lebih kukuh selepas kejayaan lawatan rasmi ke China, yang bukan sahaja memperkukuh pelaksanaan NETR dan AIR 2040, tetapi juga mengangkat peranan Malaysia sebagai rakan strategik serantau yang proaktif dan berdaya saing.

Gabungan strategi domestik dan kerjasama antarabangsa ini diharap mampu memastikan keterjaminan air dan tenaga negara dalam jangka panjang.



* Hasimi Muhamad merupakan Wartawan Penyiaran Kanan di Astro AWANI dan lulusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.





#RMK13 #kos sara hidup #ASEAN #lawatan rasmi