MALAYSIA
[KOLUMNIS] RMK13 lain daripada lain?
Laporan dua Rancangan Malaya dan 12 Rancangan Malaysia yang telah mewarnai pembangunan dan pertumbuhan negara sejak tahun 1956. - Foto Manimaran
DALAM 30 bulan lagi negara akan menyambut ulang tahun ke-70 kemerdekaan atau Hari Kebangsaan. Tahun kedua sebaik Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dilaksanakan kelak, bagi tempoh lima tahun dari 2026-2030. Pada hari ini kita sudah mula bercakap mengenai rupa wajah RMK13, yang sedang digubal, terutama melibatkan pembuat dasar dan industri.
Rancangan Malaysia yang digubal dan diluluskan Parlimen setiap lima tahun menjadi perhatian, sebagaimana belanjawan tahunan. Kedua-duanya ada hubung kait satu sama lain, tetapi belanjawan tahunan menjadi lebih fokus, kemungkinan ia bersifat jangka pendek iaitu diumum untuk dilaksanakan dalam satu tahun. Selain itu, Rancangan Malaysia lazimnya bersifat makro, yang kadangkala sukar difahami oleh rakyat jelata, tetapi perancangan lima tahun kekal penting kerana merupakan asas kepada dasar pembangunan negara dalam jangka panjang.
Rancangan Malaysia juga penting kerana ia menjadi tulang belakang kepada pembangunan negara secara terancang dan menyeluruh. Ia bukan sekadar dokumen dasar, tetapi pelan tindakan lima tahun yang menetapkan hala tuju ekonomi, sosial, alam sekitar dan tadbir urus negara. Ia membolehkan kerajaan menetapkan keutamaan dan sasaran yang realistik berdasarkan cabaran semasa dan potensi masa depan.
Setiap rancangan Malaysia mempunyai keunikan tersendiri dalam memenuhi keperluan dan menangani cabaran mengikuti persekitaran sosioekonomi, dan ditambah kukuh dengan kepimpinan politik. Kita tidak dapat lari daripada ekosistem tersebut, dan disebabkan itu, kandungannya telah dirangka sedemikian rupa untuk memenuhi harapan para pemegang taruh. Ia telah dilihat dan diperlihatkan kesemua 12 rancangan Malaysia setakat ini, dan termasuk dua Rancangan Malaya (1956-1965) dan Buku Kuning (1951-1955) sebelum itu, digunakan sebelum Persekutuan Malaysia dibentuk.
• RMK1 (1966–1970) dirangka untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi di Negeri-negeri Borneo serta percubaan pertama untuk merancang pembangunan bagi Semenanjung Tanah Melayu dan Negeri-Negeri Borneo secara bersama. Matlamatnya ialah (i) meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, (ii) mengurangkan kadar kemiskinan, (iii) merapatkan jurang ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar, (iv) memajukan sektor pertanian sebagai asas pembangunan ekonomi, (v) memperluas peluang pekerjaan dan mengurangkan pengangguran, (vi) mempertingkatkan pembangunan luar bandar melalui infrastruktur dan kemudahan asas, (vii) memajukan sektor perindustrian untuk mempelbagaikan ekonomi negara, dan (viii) menggalakkan perpaduan nasional melalui pembangunan yang lebih seimbang antara wilayah dan kaum. RMK1 juga menyaksikan penubuhan agensi penting seperti FELDA, MARA, dan MARDI untuk menyokong pembangunan sosioekonomi luar bandar dan memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam ekonomi.
• RMKe-2 (1971-1975) merupakan rancangan pembangunan terbesar dan keazaman yang pernah dijalankan. Ia memastikan usaha-usaha lebih besar berbanding sebelum itu; bersandarkan Dasar Ekonomi Baharu (DEB). Terdiri daripada dua matlamat iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat.
• RMKe-3 (1976–1980), iaitu fasa kedua dalam pelaksanaan DEB; dilihat sebagai satu usaha berani, kreatif dan berpandangan jauh untuk menangani cabaran sosioekonomi dan politik ketika itu, dan inisiatif paling besar pernah dilaksanakan demi kepentingan seluruh rakyat.
• RMKe-4 (1981-1985) berteraskan prinsip bahawa ekonomi negara dijangka berkembang dan lebih pelbagai. Peluang untuk pengembangan ekonomi diandaikan cerah. Tumpuan utama telah diberikan kepada kesan perkembangan luar terhadap ekonomi Malaysia, terutamanya kadar kenaikan harga domestik.
• RMKe-5 (1986-1990) telah dirangka berdasarkan kemajuan sosial dan ekonomi yang telah dicapai, kelemahan dialami, serta bakal cabaran; merupakan satu rancangan untuk penyatuan dan pengurusan ekonomi secara cekap, dengan penekanan kepada usaha memperkukuh pencapaian sedia ada serta memperkasakan lagi ekonomi.
• RMKe-6 (1991-1995) merupakan fasa pertama pelaksanaan Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2), merangkumi Dasar Pembangunan Nasional (DPN), menetapkan objektif, strategi dan sasaran menyeluruh bagi membimbing pembangunan negara sepanjang 1990-an.
• RMKe-7 (1996–2000) mengekal dan menekankan semula konsep pembangunan seimbang yang diperkenalkan pada 1991 sebagai ciri utama DPN; terus memberi perhatian serius terhadap strategi bagi menjana pertumbuhan ekonomi pesat yang mampan serta memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi diagihkan secara saksama dalam kalangan rakyat dan antara negeri.
• RMKe-8 (2001–2005) menggariskan langkah-langkah yang diambil ke arah menjadi sebuah negara bersatu dan maju sepenuhnya mengikut acuan sendiri menjelang 2020. Strategi dan program yang dibentangkan bertujuan memperkukuh asas negara agar lebih berdaya tahan dan berdaya saing.
• RMKe-9 (2006-2010) merangkumi strategi, program dan peruntukan yang diperlukan bagi tujuan merealisasikan misi nasional dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju, saksama dan bersatu padu; turut menghuraikan misi nasional sebagai rangka dasar dan pelaksanaan yang terdiri daripada lima teras utama bagi mencapai matlamat Wawasan 2020.
• RMKe-10 (2011-2015) berasaskan aspirasi Program Transformasi Kerajaan dan Model Baharu Ekonomi yang berteraskan pendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan. Ia menyediakan pentas bagi transformasi struktur utama yang diperlukan oleh ekonomi berpendapatan tinggi serta hala tuju dasar, strategi dan program baharu yang membolehkan negara tampil sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi.
• RMKe-11 (2016-2020) merupakan rancangan pembangunan lima tahun terakhir ke arah merealisasikan matlamat Wawasan 2020. Bertumpu kepada enam strategi, iaitu (i) Inklusiviti, (ii) Kesejahteraan Rakyat, (iii) Modal Insan, (iv) Pertumbuhan Hijau, (v) Infrastruktur; dan (vi) Inovasi dan Produktiviti.
• RMKe-12 (2021-2025) merupakan fasa terakhir dalam pelan pemulihan negara di bawah pendekatan 6R iaitu reform; bagi memastikan Malaysia berada pada landasan kukuh bukan sahaja dalam menangani isu dan cabaran sosioekonomi semasa kesan pandemik COVID-19, tetapi juga untuk mencapai pertumbuhan ekonomi jangka panjang mampan. Antara lain, telah dirangka untuk membina asas kukuh dalam membentuk sebuah negara berteknologi dan berpendapatan tinggi dengan pengagihan yang lebih saksama.
Ketika usaha dan proses merangka RMK13 giat berjalan, pelbagai pihak telah dan sedang berusaha untuk mengemukakan input, cadangan dan saranan masing-masing. RMK13 diharap akan memperkenalkan peralihan ekonomi ke arah nilai tinggi iaitu mempercepatkan peralihan daripada model ekonomi bergaji rendah kepada ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi tinggi. Selain itu, RMK13 juga diharap akan memacu ekonomi rendah karbon, khususnya dalam sektor minyak, gas dan tenaga. Malah, rakyat berharap RMK13 juga akan memberi penekanan ke arah pembangunan modal insan dan pendidikan masa depan.
Sementara kita menyaksikan perubahan drastik dalam pelbagai sudut dan sektor, termasuk demografi, pendidikan dan teknologi, juga diharap ialah pembaharuan kesihatan dan perlindungan sosial, di mana usaha menstruktur semula sistem kesihatan awam, termasuk kesihatan mental dan penjagaan warga emas, dan memperluas perlindungan sosial kepada golongan B40 dan komuniti rentan akan diberi keutamaan holistik. RMK13 juga diletakkan harapan tinggi agar mampu meningkatkan kesejahteraan bandar dan luar bandar, kelestarian alam sekitar dan tindakan iklim, tatakelola baik dan reformasi institusi, dan transformasi digital dan jurang teknologi.
Pentingnya, perlu ada agenda reformasi pasaran buruh dan pendidikan, gaji progresif, dan pembangunan kemahiran untuk memenuhi keperluan masa depan, penambahbaikan pendapatan isi rumah dan pengurangan ketidaksamaan melalui reformasi fiskal dan sosial yang disasarkan, dan persediaan menghadapi penuaan penduduk melalui pelaburan dalam penjagaan kesihatan, penjagaan warga emas, serta menambah baik keseimbangan wilayah agar kemakmuran tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja.
RMK13 dinantikan dengan penuh harapan.
Setiap Rancangan Malaysia mempunyai keutamaan. Begitu juga pendekatan untuk menggubal dan melaksanakannya.
Justeru itu, RMK13 perlu hadir dalam pembaharuan yang menyeluruh. Dalam persekitaran amat mencabar perlu ada program, inisiatif dan dasar yang boleh memenuhi aspirasi rakyat – menambah baik taraf sosioekonomi dalam mengharungi tahun-tahun mendatang, yang pastinya tidak bebas daripada cabaran, harapan dan ujian-ujian yang berada di luar kawalan kita.
* Dr G Manimaran ialah penganalisis pilihan raya dan perunding media.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.