MALAYSIA
[KOLUMNIS] RUU Pekerja Gig 2025: Langkah bersejarah selaras semangat Malaysia MADANI
RUU ini adalah bukti bahawa pekerja gig yang semakin ramai kini tidak lagi diabaikan, sebaliknya diiktiraf sebagai tenaga kerja penting dalam ekonomi baharu negara. - Bernama
PEMBENTANGAN Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di Parlimen pada bulan ini disambut baik oleh pelbagai pihak. Kebetulan pula ia berlangsung menjelang sambutan Hari Merdeka dengan tema Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, sekali gus menjadikan usaha ini simbol kesungguhan kerajaan memperkasa rakyat dalam ekosistem pekerjaan moden.
RUU ini adalah bukti bahawa pekerja gig yang semakin ramai kini tidak lagi diabaikan, sebaliknya diiktiraf sebagai tenaga kerja penting dalam ekonomi baharu negara.
Ekonomi gig di Malaysia berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kehadiran pelbagai platform digital e-hailing, penghantaran makanan serta pelbagai perkhidmatan bebas lain membuka peluang rezeki kepada ratusan ribu rakyat, apatah lagi pasca Covid-19 apabila banyak syarikat terpaksa menutup operasi atau mengecilkan saiz perniagaan.
Proses menyiapkan draf RUU ini pula bukanlah mudah kerana ia mengambil masa panjang bagi memastikan keseimbangan kepentingan pekerja, platform dan kerajaan dapat dicapai.
Walaupun tidak sempurna, ia boleh ditambah baik dari semasa ke semasa. Hakikatnya, ekosistem ekonomi gig bergerak pantas selaras dengan arus Revolusi Industri 4.0, justeru undang-undang juga perlu fleksibel agar sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.
Antara perkara utama yang dimaktubkan dalam RUU ini termasuk asas pembentukan peraturan pekerjaan gig, iaitu definisi pekerja gig yang lebih jelas, mekanisme aduan dan pertikaian, perlindungan sosial melalui PERKESO, serta isub gaji dan kontrak bertulis. Elemen-elemen ini merupakan isu besar yang seringb diperdebatkan dalam kalangan pekerja dan majikan platform.
Dengan adanya peruntukan undang-undang khusus, pekerja gig kini mempunyai rujukan sah dan pelindung kukuh bagi hak mereka. RUU ini turut membawa ciri baharu yang memberi nafas segar, antaranya penubuhan Tribunal Pekerja Gig yang membolehkan pertikaian diselesaikan lebih cepat dan kos rendah berbanding mahkamah sivil, serta penubuhan Majlis Perundingan yang membuka ruang dialog telus antara kerajaan, penyedia platform dan pekerja gig. Hak asas pekerja seperti slip bayaran, ketelusan pendapatan, dan larangan penamatan tanpa sebab munasabah turut diberi penekanan khusus.
Implikasi positif daripada RUU ini sangat besar. Dari sudut sosio-ekonomi, pekerja gig akhirnya mendapat perlindungan yang sewajarnya, seterusnya meningkatkan keyakinan masyarakat untuk terus berkecimpung dalam sektor ini dan menstabilkan pendapatan keluarga.
Dari sudut perundangan, tribunal dapat mengurangkan beban mahkamah sivil dan mewujudkan kepastian undang-undang. Dari sudut dasar awam, Malaysia kini selari dengan negara lain yang telah lebih awal melaksanakan undang-undang khas bagi melindungi pekerja gig, malah seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 8) iaitu pekerjaan layak dan pertumbuhan ekonomi.
Namun begitu, terdapat juga suara kegusaran yang dibangkitkan oleh wakil-wakil persatuan gig berkaitan seksyen-seksyen tertentu dalam RUU tersebut. Antaranya ialah kebimbangan berkaitan tafsiran “sebab munasabah” bagi penamatan kerja yang didakwa masih longgar dan berpotensi memihak kepada syarikat.
Begitu juga dengan tempoh pembayaran pendapatan dalam masa tujuh hari yang dianggap terlalu lama untuk pekerja yang bergantung kepada pendapatan harian, selain wujud kebimbangan mengenai potongan gaji atas alasan “kesilapan syarikat” yang boleh dimanipulasi. Mereka juga mempersoalkan seksyen yang membenarkan penyedia platform menggantung akaun pekerja sehingga 14 hari bagi tujuan siasatan.
Bagi mereka, tempoh ini terlalu lama dan boleh menyebabkan pekerja kehilangan sumber rezeki serta-merta walaupun belum dibuktikan bersalah.
Mereka mencadangkan tempoh siasatan dipendekkan, atau sekiranya perlu dilanjutkan, satu bayaran minimum harian wajar diberikan.
Justeru, selain memuji RUU ini dibentang sebagai langkah awal yang bersejarah, kegusaran yang dibangkitkan oleh wakil persatuan gig ini juga wajar diberi perhatian serius.
Undang-undang tidak boleh menjadi kosmetik semata-mata, tetapi harus benar-benar berfungsi untuk melindungi golongan pekerja gig yang rentan ini.
Oleh itu, amatlah diharapkan agar sesi perbahasan RUU ini di Parlimen akan berlangsung dengan matang dan berfokus, agar hasilnya benar-benar memperkasakan undang-undang yang digubal serta memberi manfaat optimum kepada pekerja gig, penyedia platform dan negara secara keseluruhan.
* Oleh Prof Madya Dr Nurhidayah Abdullah, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan berdasarkan atas pemerhatian atau bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.