MALAYSIA

[KOLUMNIS] Senyap tetapi berimpak, fungsi berterusan universiti memperkasa komuniti

Kolumnis AWANI 31/12/2025 | 10:29 MYT
Universiti berperanan menterjemahkan ilmu kepada amalan, menyumbang kepakaran kepada masyarakat, serta membina generasi masa depan yang lebih berdaya tahan dan berkeyakinan. -Foto IPIZ UUM
POLEMIK mengenai bidang pengajian tinggi yang secara khusus merujuk kepada universiti-universiti awam bukan sesuatu yang aneh di Malaysia.


Ringkasan AI
  • Polemik mengenai bidang pengajian tinggi, khususnya universiti awam, sering timbul dalam masyarakat Malaysia, menunjukkan keperihatinan terhadap kelestarian institusi pendidikan tinggi.
  • Pembangunan modul "Voicing Through Media" oleh Universiti Utara Malaysia bertujuan membangunkan keyakinan dan kemahiran bersuara dalam kalangan murid-murid sekolah di Changlun, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan pembangunan komuniti setempat.
  • Melalui pelaksanaan modul ini, universiti membuktikan komitmen dalam membangunkan generasi muda yang berani, berfikiran kritikal, serta bertanggungjawab dalam era digital yang kompleks.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Wacana ini sering muncul dalam pelbagai bentuk, sama ada melalui laporan media, perbincangan awam mahu pun platform digital.

Hakikatnya, polemik ini menandakan satu bentuk keprihatinan pelbagai pihak agar institusi pengajian tinggi terus dipertahan dan diperkasakan mengikut kesesuaian zaman, keperluan negara dan masyarakat.

Ini berikutan peranan universiti bukan sahaja sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran, malah sebagai pemangkin pembangunan ilmu, sosial dan komuniti dalam kerangka pembangunan negara lebih menyeluruh.

Namun begitu, isu dan konteks berkaitan universiti sering dibingkai, dilontar dan dipolemikkan sehingga membentuk persepsi rencam dalam kalangan masyarakat.

Orang awam pula, biasanya tidak mempunyai kefahaman mendalam tentang operasi sebenar institusi pengajian tinggi, khususnya melibatkan universiti awam.

Sebagai salah satu contoh adalah, kefahaman awam tentang proses bagaimana sesebuah universiti merangka strategi dan melaksanakan projek pembangunan komuniti berimpak tinggi.

Persepsi yang terbina adakalanya tidak mengambil kira proses panjang, pertimbangan akademik serta strategi berfasa yang perlu dilalui sebelum sesuatu inisiatif untuk masyarakat dapat dilaksanakan.

Kerja-kerja ini lazimnya berlaku di belakang tabir, tidak bersifat sensasi dan jarang menampakkan hasil segera, namun signifikan dalam jangka panjang.

Sehubungan itu, penulisan ini sekadar perkongsian pengalaman pasukan lima penyelidik Program Teknologi Media, Pusat Pengajian Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam membangunkan satu modul berfokus yang mencerminkan sumbangan universiti kepada pembangunan komuniti setempat.



Pembangunan Modul Bantu Murid Sekolah Bina Keyakinan Bersuara

Projek penyelidikan "Voicing Through Media: A Changlun Initiative To Build Confidence Among Digital Natives" yang diterajui Changlun Youth Leadership Club (CYLC) ini mendapat pembiayaan Skim Geran Inovasi Sosial (SIGS) UUM, bagi membina keyakinan diri dan kemahiran pengucapan secara tersusun dalam kalangan murid-murid sekolah sekitar Changlun.

Ia mendapat bantuan kewangan awal daripada Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) UUM bagi tujuan pembangunan modul untuk membantu khususnya peserta dari kawasan luar bandar.

Program ini telah diterima sebagai salah satu inisiatif di bawah Projek Transformasi Changlun (CTP) diterajui UUM, bagi memperkasa komuniti Changlun menjadi Komuniti Berpengetahuan dan progresif dalam tempoh 10 tahun.

Pembangunan modul bagi projek komuniti ini bermula secara berfasa sejak April hingga September 2025 bagi menghasilkan satu modul berkesan dalam mencapai matlamat projek pembangunan komuniti Changlun ini.

Sasaran utama murid sekolah berusia antara 10 hingga 12 tahun yang tergolong dalam kelompok digital natif atau digital natives dan mendapat kerjasama dengan Pejabat Penghulu Mukim Temin, Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok, Masjid Zainal Abidin Sungai Laka, Darulaman Toastmasters Club dan Astro AWANI cawangan Kedah.

Dalam era digital serba pantas, kanak-kanak hari ini sering dianggap mahir teknologi kerana kebolehan mereka menggunakan peranti digital dan aplikasi media sejak usia muda.

Namun, pemerhatian awal pasukan penyelidik mendapati wujud jurang ketara antara kebolehan menggunakan teknologi dengan keyakinan untuk menyuarakan pendapat, meluahkan idea dan berkomunikasi secara beretika.

Ramai murid cenderung menjadi pengguna pasif kandungan digital, lebih selesa menonton dan meniru berbanding menghasilkan atau menyatakan pandangan sendiri.

Oleh itu, pasukan penyelidik ini melihat ada keperluan untuk menghasilkan satu modul pembangunan kelompok digital natif dari segi keyakinan diri, keberanian bersuara dan kesedaran tanggungjawab dalam penggunaan media.

Berbeza dengan tanggapan bahawa projek komuniti universiti bersifat ad hoc, pembangunan modul ini melalui proses yang panjang dan sistematik.

Fasa awal memberi tumpuan kepada kajian literatur, pemahaman terhadap perkembangan kognitif dan emosi kanak-kanak, serta analisis keperluan sebenar kumpulan sasaran.

Perbezaan umur antara 10 hingga 12 tahun menuntut pendekatan berbeza dari segi kandungan, bahasa dan aktiviti.

Justeru, setiap komponen modul dirangka agar bersesuaian dengan tahap perkembangan peserta, tidak memberi tekanan dan menyediakan ruang selamat untuk mereka mencuba serta belajar melalui pengalaman.

Aktiviti yang dibangunkan merangkumi elemen penceritaan media, ekspresi visual, simulasi komunikasi dan kerja berpasukan.

Melalui pendekatan ini, mereka digalakkan untuk menyuarakan pendapat secara berperingkat, membina keberanian, serta memahami bahawa setiap suara mempunyai nilai apabila disampaikan secara berhemah dan bertanggungjawab.



Pemindahan Ilmu dan Kemahiran Kepada Komuniti Tuntut Kesabaran

Proses membangunkan modul berfokuskan kanak-kanak bukanlah tugas mudah kerana cabaran utama ialah memastikan kandungan modul kekal menarik dalam persekitaran kanak-kanak yang terdedah kepada rangsangan digital berlebihan.

Pada masa sama, modul tidak boleh terlalu ringkas sehingga gagal mencapai objektif pembelajaran ditetapkan.

Selain itu, pasukan penyelidik perlu mengimbangkan penggunaan teknologi dengan interaksi bersemuka.

Walaupun media digital menjadi medium utama, interaksi manusia dan sokongan emosi tetap diberi keutamaan.

Teknologi dilihat sebagai alat, bukan matlamat, dalam membentuk keyakinan murid.

Cabaran lain termasuk menterjemahkan konsep akademik seperti literasi media, ekspresi diri dan etika komunikasi kepada bentuk aktiviti yang mudah difahami dan menyeronokkan.
Setiap aktiviti perlu mempunyai tujuan yang jelas, sejajar dengan hasil pembelajaran yang ingin dicapai.

Bagi memastikan modul yang dibangunkan mencapai standard kualiti dan keselamatan ditetapkan, ia turut melalui proses penilaian dan pengesahan.

Proses ini melibatkan semakan pakar, penilaian objektif pembelajaran serta penambahbaikan berterusan berdasarkan maklum balas yang diterima.

Pendekatan ini mencerminkan akauntabiliti akademik universiti, khususnya apabila melibatkan kumpulan sasaran kanak-kanak kerana setiap kandungan perlu selamat, sesuai dan memberi impak positif dalam jangka panjang, bukan sekadar memenuhi keperluan laporan atau publisiti.



Pelaksanaan Modul Berfungsi Dalam Komuniti Sasaran Di Changlun

Memasuki fasa seterusnya, modul Voicing Through Media: A Changlun Initiative To Build Confidence Among Digital Natives dilaksanakan sebagai modul berfungsi sepenuhnya dalam komuniti setempat bermula 2026.

Ia terdiri daripada 6 modul yang telah ditambahbaik dan berkesan bagi mencapai objektif projek ini yang merangkumi asas pengucapan awam, penceritaan melalui gaya podcast, ucapan motivasi, perkongsian pendapat, kepimpinan-mikro dan kempen kreatif serta persembahan penutup bagi peserta berkongsi kemahiran hasil penyertaan dalam projek ini.

Selain itu, pelaksanaan modul ini juga membuka ruang kerjasama lebih erat antara universiti, sekolah dan komuniti setempat yang selari dengan aspirasi universiti untuk bergerak melangkaui tembok kampus dan memainkan peranan aktif dalam pembangunan masyarakat.

Ia secara tidak langsung mencabar persepsi bahawa universiti terpisah daripada realiti masyarakat.

Hakikatnya, usaha pembangunan komuniti yang berkesan memerlukan masa, kepakaran dan proses penilaian yang teliti kerana impaknya mungkin tidak segera kelihatan, namun kesannya adalah lebih mampan dan bermakna.

Universiti berperanan menterjemahkan ilmu kepada amalan, menyumbang kepakaran kepada masyarakat, serta membina generasi masa depan yang lebih berdaya tahan dan berkeyakinan.

Kerja-kerja ini jarang menjadi tajuk utama, namun merupakan teras sebenar sumbangan institusi pengajian tinggi kepada negara.



Membina Generasi Muda Changlun Yang Berani Dan Bertanggungjawab

Sebagai kesimpulan, pembangunan modul Voicing Through Media: A Changlun Initiative To Build Confidence Among Digital Natives memperlihatkan usaha berterusan universiti dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga berani bersuara, berfikiran kritikal dan bertanggungjawab.

Membina keyakinan kanak-kanak bukan tugas segera, sebaliknya memerlukan pendekatan berperingkat, beretika dan berasaskan penyelidikan.

Dalam dunia digital yang semakin kompleks, suara generasi muda perlu dipupuk dan dibimbing sejak awal.

Melalui usaha yang terancang dan berterusan, universiti mampu memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang lebih inklusif, berilmu dan bersuara.



Prof Madya Dr Sabrina Mohd Rashid ialah Pensyarah Kanan Program Teknologi Media SMMTC, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang juga Ketua Penyelidik “Voicing Through Media: A Changlun Initiative To Build Confidence Among Digital Natives.

Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.




Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah tujuan projek penyelidikan "Voicing Through Media: A Changlun Initiative To Build Confidence Among Digital Natives"?
    A: Tujuan projek ini adalah untuk membina keyakinan diri dan kemahiran pengucapan secara tersusun dalam kalangan murid-murid sekolah sekitar Changlun.
  • Q: Siapakah yang menerima bantuan kewangan awal untuk pembangunan modul dalam projek ini?
    A: Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) UUM memberikan bantuan kewangan awal untuk tujuan pembangunan modul dalam projek ini.
  • Q: Apakah sasaran utama murid yang terlibat dalam projek pembangunan modul ini?
    A: Sasaran utama adalah murid sekolah berusia antara 10 hingga 12 tahun yang tergolong dalam kelompok digital natif atau digital natives di sekitar Changlun.
  • Q: Apakah aktiviti yang dirangka dalam modul pembangunan keyakinan diri dan kemahiran bersuara bagi kanak-kanak?
    A: Aktiviti yang dirangka merangkumi elemen penceritaan media, ekspresi visual, simulasi komunikasi, dan kerja berpasukan untuk membina keyakinan dan keberanian bersuara.
  • Q: Apakah cabaran utama dalam proses membangunkan modul ini bagi kanak-kanak?
    A: Cabaran utama termasuk memastikan kandungan modul menarik dalam persekitaran kanak-kanak yang terdedah kepada rangsangan digital, menjaga keseimbangan penggunaan teknologi dengan interaksi bersemuka, dan menterjemahkan konsep akademik kepada aktiviti yang mudah difahami dan menyeronokkan.



#Voicing Through Media #A Changlun Initiative #Build Confidence Among Digital Natives #IPIZ UUM