Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
MALAYSIA

[KOLUMNIS] Sukan perkukuh gaya hidup sihat mahasiswa

Amalul Asyraf Rosli 10/10/2025 | 07:10 MYT
Sukan juga memperkukuh nilai persaingan secara sihat, kerjasama dan disiplin yang tinggi dalam kalangan mahasiswa.
SETIAP 11 Oktober, negara menyambut Hari Sukan Negara (HSN). Hari istimewa ini disambut secara serentak di seluruh negara sebagai pemangkin ke arah peningkatan penglibatan aktif mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT).

Pelaksanaan program sukan bukan sahaja menyerlahkan semangat kesukanan dalam kalangan mahasiswa, malah menjadi wadah utama untuk memperkukuh amalan gaya hidup sihat di kampus.

Hakikatnya, ribuan mahasiswa daripada universiti awam dan swasta telah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sukan yang dijalankan sepanjang hari termasuk senamrobik mega, brisk walk kampus, e-sukan, sukan rakyat serta program interaktif kesihatan mental.

Penyertaan ini mencerminkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan kesihatan fizikal serta mental.

Namun dalam usaha menggerakkan penyertaan secara menyeluruh, beberapa cabaran utama telah dikenal pasti.

Antaranya ialah kekangan masa akibat komitmen akademik, kekurangan minat dalam aktiviti fizikal serta kesukaran logistik terutama bagi kampus cawangan yang jauh dari kemudahan sukan lengkap.

Di samping itu, faktor gaya hidup sedentari, iaitu amalan gaya hidup tidak aktif secara berterusan yang semakin berleluasa dalam kalangan mahasiswa pasca pandemik turut menjadi halangan kepada penyertaan aktif mereka.

Bagi menangani cabaran tersebut, pendekatan lebih inklusif dan fleksibel telah diambil oleh universiti melalui penganjuran aktiviti berbentuk ringan, terbuka dan mesra pelajar.

Contohnya, pelaksanaan cabaran berjalan 5,000 langkah sehari, pertandingan kecergasan dalam talian, serta aktiviti berasaskan komuniti seperti zumba dan senamrobik terbuka.

Pihak pentadbiran turut melibatkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan kelab-kelab sukan pelajar sebagai penggerak utama untuk meningkatkan daya tarikan program.

Selain itu, integrasi teknologi dalam penganjuran acara seperti penjejakan prestasi menggunakan aplikasi mudah alih, pendaftaran digital dan liputan langsung di media sosial berjaya menarik minat mahasiswa generasi digital.

Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan bukan sahaja berbentuk fizikal, malah menyentuh aspek mental dan sosial dimana ianya merupakan elemen yang penting dalam pembangunan mahasiswa secara holistik.

Daripada sudut manfaat, penglibatan mahasiswa dalam arena sukan memberikan impak jangka pendek dan panjang yang jelas.

Dalam jangka masa pendek, pelajar dapat melepaskan tekanan akademik, mengeratkan hubungan sosial dan menambah keyakinan diri.

Sementara, dalam jangka panjang pula, mereka membina amalan gaya hidup aktif yang boleh diteruskan selepas tamat pengajian.

Tambahan pula, penglibatan dalam organisasi dan pengurusan acara sukan turut memperkasa kemahiran insaniah mahasiswa seperti kepimpinan, kerjasama berpasukan dan pengurusan masa seterusnya melahirkan mahasiswa idaman yang sangat diperlukan dalam pasaran kerja semasa.

HSN 2025 yang turut disambut oleh universiti memperlihatkan bahawa kampus bukan sekadar tempat pembelajaran akademik tetapi juga medan membina manusia seimbang.

Penekanan kepada budaya sukan dan gaya hidup sihat perlu terus diperkasa secara berterusan melalui dasar institusi, pelaburan kemudahan sukan yang inklusif dan penglibatan aktif mahasiswa dalam perancangan aktiviti.

Sebagai pentadbir sukan di universiti awam, saya melihat Hari Sukan Negara bukan sekadar acara tahunan tetapi sebagai simbol komitmen nasional dalam melahirkan generasi pelajar yang sihat tubuh badan, cerdas minda dan stabil emosi selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai negara bersukan menjelang 2030.

Selamat Hari Sukan Negara 2025 kepada semua rakyat Malaysia khususnya mahasiswa di IPT.


* Amalul Asyraf Rosli ialah Ketua Pusat Sukan dan Rekreasi Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA),
Universiti Malaysia Terengganu.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.




#Kolumnis AWANI #Hari Sukan Negara #mahasiswa #gaya hidup sihat