MATLAMAT Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) yang diperkenalkan pada 2015 oleh Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merupakan satu inisiatif global ke arah masa depan yang lebih lestari. Ia mengambil kira semua cabaran pembangunan dunia moden, termasuk ekonomi, sosial, politik, dan alam sekitar. Inisiatif ini menggariskan17 matlamat dan 169 sasaran merangkumi lima bidang tumpuan iaitu kemajuan masyarakat, penjagaan bumi, kemakmuran, keamanan dan kerjasama. 

Malaysia merupakan antara 193 negara yang menyokong agenda SDG. Di peringkat nasional, SDG menjadi panduan penting dalam merangka dasar dan rancangan pembangunan negara yang mampan. Sains, teknologi, dan inovasi memainkan peranan yang penting dalam perlaksanaan SDG. Teknologi nuklear merupakan antara teknologi yang dimanfaatkan untuk mencapai matlamat SDG. Apakah yang dimaksudkan dengan teknologi nuklear ini? Teknologi nuklear adalah teknologi yang melibatkan tindak balas nuklear terhadap nukleus sesuatu atom. Tindak balas ini akan memancarkan sinaran alfa, beta, gama, x-ray dan neutron. Sinaran inilah digunakan dalam pelbagai industri secara global. Walaupun kebanyakan orang awam agak takut apabila mendengar perkataan ’nuklear’ ini, teknologi menggunakan interaksi nuklear amatlah signifikan kepada pembangunan teknologi masa kini khususnya dalam mendokong agenda SDG.

Di Malaysia, teknologi nuklear mula diperkenalkan seawal tahun 1896 melalui penggunaan mesin sinar-x dalam sektor perubatan di Hospital Taiping, Perak. Seiring dengan kemajuan negara, teknologi nuklear terus berkembang pesat dalam sektor ekonomi yang lain. Kini, ia diaplikasikan dalam enam sektor utama negara iaitu perubatan dan penjagaan kesihatan, makanan dan pertanian, industri, air dan alam sekitar, keselamatan dan sekuriti nuklear, dan tenaga. Pelancaran Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) pada 20 September 2023 yang lalu bertujuan melonjakkan penggunaan  teknologi ini untuk pembangunan sosio-ekonomi negara ke arah mencapai aspirasi negara maju.

Dari perspektif SDG, tahukah anda bahawa teknologi nuklear berpotensi memberi sumbangan kepada sembilan matlamat SDG iaitu SDG 2: Kelaparan sifar, SDG 3: Kesihatan yang baik dan kesejahteraan, SDG 6: Air bersih dan sanitasi, SDG 7: Tenaga mampu milik dan bersih, SDG 9: Industri, inovasi dan infrastruktur, SDG 13: Tindakan iklim, SDG 14: Kehidupan di bawah air, SDG 15: Kehidupan di darat, dan SDG 17: Kerjasama demi matlamat. Jadi tidak hairanlah badan antarabanga seperti International Atomic Energy Agency (IAEA) bersungguh-sungguh memastikan bahawa penggunaan teknologi nuklear dapat diadaptasi mengikut keperluan dan kehendak negara masing-masing.

Berdasarkan tinjauan oleh Bloomberg pada 2014, sektor kesihatan negara berada dalam 30 negara terbaik dunia. Namun begitu, sektor ini sentiasa menghadapi tekanan disebabkan peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti kanser, kencing manis, penyakit pernafasan kronik dan sakit jantung. Data kesihatan oleh Organisasi Kesihatan Sedunia (World Health Organization, WHO) pada 2018 mendapati hampir tiga suku kematian di Malaysia adalah disebabkan oleh penyakit tersebut. Bagi menangani cabaran tersebut, teknologi nuklear dimanfaatkan sepenuhnya dalam sektor kesihatan negara. Pada 2020, terdapat 39 pusat radioterapi, 33 pusat perubatan nuklear serta 552 hospital dan klinik dilengkapi dengan fasiliti radiologi yang menyediakan perkhidmatan kesihatan berteraskan teknologi nuklear kepada rakyat. Fasiliti kesihatan ini dioperasikan oleh kerajaan dan swasta serta dilesenkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Selain itu, negara juga mempunyai lima fasiliti siklotron dan satu reaktor penyelidikan nuklear iaitu Reaktor TRIGA PUSPATI yang digunakan untuk menghasilkan radioisotop bagi perubatan nuklear untuk tujuan diagnostik dan rawatan penyakit kanser seperti Iodin-131 dan Samarium-153. Saya juga mengetuai penyelidikan dalam penghasilan radioisotop Yttrium-90 bagi merawat kanser hati menggunakan reaktor penyelidikan tersebut. Infrastruktur ini membolehkan perkhidmatan perubatan berkualiti tinggi dan kos efektif dapat diberikan kepada rakyat seterusnya menjadikan negara sebagai destinasi perlancongan perubatan di rantau ini. Penggunaan teknologi nuklear dalam sektor ini membolehkan kehidupan sihat dan kesejahteraan pada semua peringkat umur seperti yang digariskan dalam SDG 3 dapat dicapai.

Sumbangan teknologi nuklear kepada 9 SDG. - Sumber: IAEA

Keterjaminan makanan merupakan isu global termasuk di Malaysia. Pelbagai faktor menyumbang kepada gangguan penghasilan makanan termasuklah perubahan iklim, kekangan pengeluaran hasil pertanian dan peningkatan harga bahan mentah. Justeru, wujud keperluan untuk meningkatkan tahap sara diri (Self-sufficiency level) makanan negara dengan memanfaatkan teknologi baru serta memodenkan sektor pertanian. Selaras dengan hasrat tersebut, teknologi nuklear diguna pakai untuk penghasilan varieti baru benih dan tanaman, pengurusan tanah, tanaman dan ternakan, kawalan serangga perosak serta peningkatan produktiviti dan kualiti makanan. Sehingga kini, lebih daripada 30 jenis benih dan tanaman baharu dengan ciri yang lebih baik berjaya dihasilkan penyelidik tempatan menggunakan kaedah penyinaran. Antaranya termasuklah penghasilan varieti baru benih padi IS21 oleh Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) yang mampu meningkatkan pendapatan petani melalui peningkatan hasil tuaian diantara 35 hingga 50 peratus. Disamping itu, kaedah penyinaran juga digunakan untuk menyahcemar makanan, herba dan makanan haiwan serta membasmi serangga dalam komoditi pertanian negara sebelum dieksport ke pasaran antarabangsa. Teknik nuklear melibatkan penggunaan isotop stabil pula sudah mula mendapat perhatian sebagai kaedah inovatif dalam penentuan ketulenan dan penjejakan makanan. Inovasi ini membantu pihak berkuasa mencegah kes penipuan dan pemalsuan makanan. Usaha juga giat dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk mengintegrasikan teknologi nuklear dengan teknologi lain seperti pertanian pintar, teknologi digital dan sebagainya bagi meningkatkan daya saing dan kemampanan sektor pertanian dalam misi mencapai sasaran SDG 2 negara.

Sektor industri merupakan penggerak utama ekonomi negara dengan menyumbang 35 hingga 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Sejak berdekad lalu, teknologi nuklear diaplikasikan untuk pelbagai industri tempatan seperti industri minyak dan gas, penjanaan kuasa, pengangkutan, aeroangkasa, perubatan dan pembuatan. Teknologi pemprosesan sinaran digunakan oleh industri untuk pensterilan peranti perubatan dan nyahcemar makanan dan produk makanan. Sebagai contoh, syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia iaitu Top Glove Corporation Berhad menggunakan sinaran gama dalam proses pensterilan sarung tangan getah keluarannya supaya bebas daripada kuman dan bahan kimia. Teknologi ini juga dimanfaatkan untuk menghasilkan barangan berkualiti tinggi bagi kegunaan industri. Syarikat pembuatan kereta nasional, Proton Holdings Berhad menjalinkan kerjasama dengan Nuklear Malaysia dalam penyelidikan aplikasi teknologi nuklear dalam industri automotif. Pembangunan industri gas dan minyak negara pada awal 1980-an telah membina keupayaan anak tempatan dalam ujian tanpa musnah (Non-destructive test). Ia merupakan teknik yang digunakan oleh industri dalam penilaian integriti sesuatu bahan, komponen dan sistem tanpa merosakkannya. Hasil usaha berterusan dalam bidang ini, Malaysia kini diiktiraf sebagai negara peneraju NDT di rantau ini dan menjadi rujukan negara-negara lain. Selain NDT, tolok nuklear juga digunakan secara meluas dalam industri tempatan bagi tujuan pengukuran dan kawalan kualiti seperti tolok ketebalan, tolok ketumpatan dan lain-lain lagi. Penggunaan teknologi nuklear terus memacu kemajuan sektor industri negara selaras dengan sasaran SDG 9.

Kemudahan utama teknologi nuklear negara. - Sumber: Nuklear Malaysia

Malaysia sentiasa menekankan kepentingan pengurusan alam sekitar dan sumber asli yang lestari bagi mencapai sasaran SDG 6, 13, 14 dan 15. Bagi merealisasikan hasrat tersebut, teknik nuklear menawarkan metodologi yang unik dengan memberi maklumat pelengkap kepada teknik konvensional bagi memperkasa aktiviti pemantauan dan pengurusan alam sekitar dan sumber asli negara. Ini termasuklah pemantauan perubahan iklim, pengurusan sumber air dan sumber asli serta pemuliharaan alam sekitar. Dengan menggunakan teknik analisis nuklear, data kandungan unsur radioaktif dalam atmosfera, lautan, saliran, sungai, tanih dan sebagainya dapat diperoleh. Bukan itu sahaja, data kandungan unsur nadir bumi atau Rare Earth Elements (REE) yang terdapat di Malaysia juga dapat ditentukan antaranya menggunakan teknik neutron activation analysis (NAA). Selain itu IAEA juga telah mencadangkan penggunaan teknik nuklear dalam mengesan microplastic yang tercemar di lautan Malaysia. Malah pendedahan kepada sinar gama juga boleh mengubah struktrur plastik buangan untuk menjadi bahan baru yang lebih baik atau menjadi plastik yang terbiodegradasi. Kumpulan penyelidikan dari Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh saya sendiri juga sedang membuat kajian penggunaan Cosmic-ray Neutron Sensor (CRNS) dengan kerjasama Nuklear Malaysia dan IAEA dalam menentukan kandungan air dalam tanah bagi pembangunan pengurusan air pintar. Kesemua teknik ini membolehkan pangkalan data alam sekitar yang komprehensif dapat dibangunkan serta membantu pihak berwajib untuk memantau persekitaran negara terhadap pencemaran alam sekitar daripada industri, terutamanya yang melibatkan pelepasan bahan radioaktif.  Selain itu, teknologi nuklear juga membolehkan hakisan tanah yang berlaku di pantai, sungai, empangan dan sebagainya dapat dianggarkan dengan lebih tepat dengan menggunakan penyurih radioaktif. Maklumat tersebut memudahcara pihak berwajib merangka tindakan yang lebih berkesan. 

Sektor keselamatan dan sekuriti nuklear memainkan peranan penting untuk memastikan teknologi nuklear sentiasa digunakan secara selamat dan untuk tujuan aman seperti yang termaktub dalam Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304). Sektor ini melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Tenaga Atom, Nuklear Malaysia dan universiti tempatan. Sektor ini juga mendapat manfaat melalui aplikasi teknologi nuklear. Contohnya, kebanyakkan bangunan dan lapangan terbang dilengkapi mesin pengimbas sinar-x untuk imbasan kargo dan bagasi bagi menjamin keselamatan orang awam. Selain itu, pergerakan keluar masuk bahan nuklear dan bahan radioaktif di Malaysia sentiasa dipantau menggunakan 82 portal pemantauan sinaran yang dipasang di pintu masuk dan keluar seluruh negara bagi mencegah penyeludupan bahan tersebut. Disamping itu, negara juga mempunyai lapan Stesen Pemantauan Sinaran Alam Sekitar (ERMS) untuk memantau tahap sinaran alam sekitar. Bidang forensik nuklear pula semakin mendapat tempat di negara ini kerana keupayaannya untuk mencegah dan bertindak balas terhadap kejadian sekuriti nuklear. Di peringkat global, Malaysia aktif menjalinkan kerjasama dengan rakan antarabangsa dan serantau seperti IAEA, Forum for Nuclear Cooperation in Asia (FNCA) dan ASEANTOM dalam usaha membangunkan kepakaran tempatan dalam bidang ini.  

Teknologi nuklear sangat sinonim dengan loji janakuasa nuklear yang digunakan untuk penjanaan tenaga elektrik. Tenaga nuklear merupakan sumber tenaga yang mampan dan bersih berbanding teknologi penjanaan tenaga yang lain kerana ia hampir tidak mengeluarkan karbon dioksida. Namun begitu, sehingga kini, Malaysia tidak mempunyai loji janakuasa nuklear selain reaktor penyelidikan. Fokus negara pada masa ini adalah tertumpu kepada pembangunan modal insan dan kepakaran tempatan dalam bidang sains dan kejuruteraan nuklear. Kerjasama antara Nuklear Malaysia dan universiti tempatan seperti UKM membolehkan Reaktor TRIGA PUSPATI dimanfaatkan sebagai bahan pembelajaran dan latihan untuk mendalami bidang tersebut. Di peringkat global, pembangunan teknologi reaktor nuklear inovatif seperti reaktor modular kecil (small modular reactor, SMR) yang mampu menjana sejumlah besar tenaga elektrik dengan pelepasan karbon dioksida yang sangat rendah telah menarik minat kebanyakkan negara untuk meneroka teknologi tersebut termasuklah Malaysia kerana ia lebih murah, selamat dan fleksibel. Selaras dengan dasar pelepasan karbon sifar negara, SMR berpotensi memainkan peranan dalam sektor penjanaan tenaga negara pada masa hadapan.

Secara keseluruhannya, teknologi nuklear tidak asing di negara ini. Ia bukan sahaja digunakan secara meluas di pelbagai sektor ekonomi tetapi juga membantu negara mencapai sasaran SDG dan dasar negara yang berkaitan. Perlaksaanan DTNN sehingga 2023 dijangka akan meningkatkan lagi penggunaan dan memaksimunkan manfaat teknologi nuklear untuk pembangunan sosio-ekonomi negara. Aplikasi teknologi nuklear bersama teknologi lain seperti bioteknologi, nanoteknologi, teknologi digital dan sebagainya akan memberikan faedah yang lebih besar kepada negara pada masa hadapan dan memberi jaminan kepada kesejahteraan masyarakat Malaysia khususnya.


* Artikel ini ditulis oleh Ts. Dr. Mohd Idzat Idris, Pensyarah Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang pernah mengikuti program felo khas bersama IAEA; dan Faisal Izwan Abdul Rashid, Pegawai Penyelidik Agensi Nuklear Malaysia.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.