[TERKINI] Ikuti pembentangan Bajet 2026 secara langsung – video tumpuan, undian anda serta analisis penuh di sini!
MALAYSIA

[KOLUMNIS] Tanpa reformasi sistem penjagaan, negara maju hanya ilusi

Rahman Hussin 10/10/2025 | 03:00 MYT
Kajian UNDP mengesahkan: 65% wanita meninggalkan pekerjaan kerana tanggungjawab penjagaan, dan 35% daripadanya kerana kos penjagaan anak yang terlalu tinggi. - Gambar hiasan
APAKAH makna sebuah negara maju jika seorang ibu terpaksa melepaskan kerjayanya hanya kerana tiada pusat penjagaan yang mampu dibayar? Apakah erti kemajuan jika seorang warga tua menghabiskan sisa hidupnya tanpa layanan bermaruah? Kita membina menara kaca yang mencakar langit, lebuh raya yang membelah desa, angka KDNK yang memanjat saban tahun—namun di bawah semua itu wujud sebuah paradoks yang kian menghimpit: ekonomi penjagaan yang rapuh sedang menahan sayap Malaysia daripada terbang lebih tinggi.


Ringkasan AI
  • Artikel ini menyorot kelemahan ekonomi penjagaan di Malaysia yang menyebabkan wanita meninggalkan kerjaya dan warga tua hidup tanpa sokongan bermaruah, meskipun negara terus membangun dari segi fizikal dan angka KDNK.
  • Statistik menunjukkan 65% wanita berhenti kerja kerana tanggungjawab penjagaan, dengan kerja penjagaan tanpa upah dianggarkan bernilai RM379 bilion, hampir 20% KDNK sektor perkhidmatan, namun masih tidak diiktiraf dalam sistem ekonomi formal.
  • Penulis menggesa Belanjawan 2026 agar melaksanakan reformasi penjagaan secara menyeluruh termasuk subsidi kepada penyedia penjagaan, sistem persijilan -Pengasuh Mahir-, insentif cukai lebih realistik dan pengiktirafan sektor penjagaan sebagai kerjaya bermaruah demi membina negara maju yang berjiwa dan berperadaban.


Menjelang pembentangan Belanjawan 2026, belanjawan sulung di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), persoalan ini tidak lagi boleh dielak. RMK-13 dijanjikan sebagai pelan besar untuk menata semula hala tuju negara, mengangkat kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan inklusif. Namun segala impian itu tidak akan menjadi nyata sekiranya kita gagal membaiki sendi paling asas dalam masyarakat—reformasi penjagaan.

Wanita adalah separuh daripada denyut ekonomi. Namun banyak tangan mereka terikat oleh beban penjagaan yang tidak pernah selesai, lalu sayap ekonomi negara terkepak tanpa dapat terbang. Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Wanita (FLPR) kita kini terhenti pada 56%—sedang sasaran RMK-13 adalah 60%. Singapura sudah 64%, Korea Selatan 59%, OECD purata 62%.

Kajian UNDP mengesahkan: 65% wanita meninggalkan pekerjaan kerana tanggungjawab penjagaan, dan 35% daripadanya kerana kos penjagaan anak yang terlalu tinggi. Setiap wanita yang melangkah keluar dari dunia kerja adalah kerugian besar—pendapatan hilang, cukai merosot, bakat terpadam. Lebih pedih lagi, kerja penjagaan tanpa upah di Malaysia dianggarkan bernilai RM379 bilion, hampir 20% KDNK sektor perkhidmatan. Ia sumbangan sunyi, tetapi ekonomi formal terus menutup mata dan tidak mengendahkan peranan mereka.

Hari ini, keluarga muda resah memikirkan tempat penjagaan anak mereka esok pagi; esok pula, generasi yang sama akan resah menjaga ayah ibu yang sudah uzur. Malaysia telah pun menjadi negara menua sejak 2021, dengan 7% penduduk berusia 65 tahun ke atas. Dua puluh tahun lagi, angka itu bakal berganda.

Tanpa reformasi kepada system dan industri penjagaan, kita bakal menyaksikan dua krisis yang beriringan: kanak-kanak tanpa jagaan berkualiti, dan warga tua tanpa sokongan bermaruah. Inilah wajah sebenar generasi “sandwic”: tersepit antara anak kecil dan ibu bapa yang sakit, terhimpit antara kos yang menjerut dan tanggungjawab yang tidak bertepi. Jika hal ini dibiarkan, bukan sahaja keluarga akan runtuh daya tahannya, malah ekonomi negara akan retak dari dalam.

Sebelum ini, langkah-langkah kecil seperti pelepasan cukai RM3,000 untuk TASKA sekadar menyapu debu tanpa menyentuh akar permasalahan ini. Belanjawan 2026 mesti memilih jalan berani—antara kosmetik atau reformasi sejati.

Subsidi penawaran yang disalurkan terus kepada penyedia penjagaan boleh membuka ruang kepada TASKA berkualiti, termasuk di tempat kerja. Pasaran tidak rasmi yang menjadi talian hayat keluarga perlu dibawa masuk ke dalam sistem formal, misalnya dengan mengiktiraf pembayaran, latihan dan penawaran perkhidmatan penjagaan berkala melalui platform digital. Dengan itu, pengasuh mendapat perlindungan sosial, latihan yang bersesuaian dan kerajaan pula dapat mengawal selia standard keselamatan.

Lebih jauh lagi, pekerja sektor penjagaan mesti diangkat setaraf dengan profession lain. Sistem persijilan nasional “Pengasuh Mahir” akan menukar persepsi tentang profession di dalam industri penjagaan—daripada kerja sampingan kepada kerjaya bermaruah. Generasi sandwic juga perlu dibantu; pelepasan cukai untuk penjagaan warga emas dan OKU mesti ditingkatkan ke paras lebih realistik, sekurang-kurangnya RM12,000, sambil memberi insentif khas kepada mereka yang memilih perkhidmatan formal yang berdaftar.

Inilah pilihan kita. Terus menampal luka dengan bantuan kecil yang tidak memadai, atau berani membina sistem penjagaan yang kukuh, adil, dan menyeluruh.

Sebuah negara maju tidak hanya diukur pada panjangnya lebuh raya atau tingginya menara kaca, tetapi pada keupayaan menjaga anak kecil dan menghormati warga tua. Tanpa reformasi system penjagaan, Malaysia hanya akan meniru rupa negara maju tanpa roh dan makna. Dengan reformasi system penjagaan, kita bukan sahaja mengejar angka, tetapi membina ekonomi penjagaan yang memerdekakan wanita, meringankan keluarga, dan memuliakan usia tua.

Inilah peradaban sebenar: negara maju yang berjiwa, negara kaya yang berhati, negara yang mengangkat setiap insan sebagai nadi.


* Rahman Hussin ialah Ketua Pembangunan Perniagaan dan Libat Urus Pemegang Taruh di Kiddocare, dan kerap menulis mengenai isu dasar sosial, tadbir urus, dan ekonomi penjagaan.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.







#negara maju #sistem penjagaan #RMK13 #Belanjawan 2026