[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

[KOLUMNIS] Tatacara Perjanjian Penangguhan Pendakwaan: Satu anjakan baharu dalam landskap perundangan Malaysia

Wan Shaharuddin Wan Ladin 17/09/2025 | 08:30 MYT
Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin adalah Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - Foto SPRM
TATACARA Perjanjian Penangguhan Pendakwaan (Deferred Prosecution Agreement – DPA) merupakan salah satu inisiatif baharu yang dicadangkan untuk memperkukuh sistem keadilan jenayah negara. Di peringkat antarabangsa, mekanisme ini telah diamalkan di negara seperti United Kingdom, Singapura, Kanada dan Amerika Syarikat, khususnya dalam menangani kesalahan korporat dan ekonomi.

Contohnya pada 2017, syarikat Rolls-Royce menandatangani DPA dengan Serious Fraud Office (SFO) UK selepas siasatan global terhadap dakwaan rasuah. Begitu juga syarikat penerbangan gergasi Boeing menandatangani DPA dengan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat dan membayar penalti dan
pampasan berjumpah USD2.5 bilion berkaitan insiden nahas dua pesawat 737 MAX yang mengorbankan 346 nyawa.

Malaysia bakal memperkenalkan tatacara ini dalam kerangka undang-undang nasional, dengan hasrat menjadikannya satu instrumen efektif dalam usaha menegakkan keadilan, memulihkan integriti korporat dan melindungi kepentingan awam.


Apakah itu DPA?

Secara asasnya, DPA ialah suatu perjanjian yang dimeterai antara Pendakwa Raya dan sesebuah legal entity seperti syarikat, pertubuhan atau perkongsian yang disiasat. Melalui perjanjian ini, pihak pendakwaan boleh menangguhkan atau menyelesaikan kes tanpa melalui proses perbicaraan penuh. Penting untuk
difahami bahawa DPA tidak bertujuan menggantikan proses keadilan jenayah sepenuhnya, tetapi menawarkan tatacara alternatif untuk kes tertentu yang sesuai diperbaiki melalui pemulihan, pampasan dan reformasi dalaman.

DPA boleh ditawarkan kepada kesalahan yang melibatkan kepentingan ekonomi dan korporat, termasuk rasuah, penipuan, penggubahan wang haram, pelanggaran undang-undang percukaian dan pasaran modal. Walau bagaimanapun, ia tidak sesuai bagi kesalahan yang melibatkan kekerasan atau jenayah terhadap nyawa kerana sifat kesalahan tersebut tidak dapat ditebus melalui langkah pemulihan. Seiring dengan penanda aras antarabangsa, pemakaian DPA di Malaysia terhad kepada legal entity sahaja, tidak melibatkan individu.

Kelebihan Pelaksanaan DPA

Antara kelebihan utama DPA ialah ia menjimatkan kos dan masa perbicaraan, yang mana sabitan belum dapat ditentukan, di samping mengurangkan beban mahkamah. Melalui pematuhan kepada syarat-syarat perjanjian, legal entity dapat menambah baik tatakelola dalaman, memperkukuh integriti, serta
melaksanakan reformasi korporat yang diperlukan. DPA juga berupaya menggalakkan syarikat tampil sebagai pemberi maklumat (whistleblower) tanpa bimbang reputasi mereka tercalar dengan pertuduhan terbuka di mahkamah.

Lebih penting, DPA selari dengan doktrin keadilan restoratif, iaitu memastikan pihak yang melakukan kesalahan mengambil tanggungjawab untuk memulihkan kerosakan terhadap mangsa atau masyarakat. Ia juga menyumbang kepada pemulihan aset negara serta mewajibkan syarikat untuk membiayai kos siasatan, melaksanakan program pematuhan dan menambah baik prosedur dalaman.

Kuasa Pendakwa Raya dan Syarat DPA

Kuasa untuk menawarkan DPA terletak sepenuhnya pada Pendakwa Raya, selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan. Dalam menimbang permohonan DPA, faktor utama yang dipertimbangkan ialah kepentingan keadilan, kepentingan awam, dan kesan terhadap ekonomi negara. Pendekatan ini bertujuan memastikan pekerja, pelabur dan pemegang taruh yang tidak bersalah tidak terkesan sekiranya syarikat berdepan pendakwaan penuh.

Bagi menjamin keberkesanan DPA dan keadilan restoratif, syarat-syarat tertentu perlu dipatuhi. Antaranya ialah pernyataan fakta dan pengakuan mengenai kesalahan yang dilakukan, pembayaran penalti kewangan, pampasan kepada mangsa, sumbangan kepada badan kebajikan, pembayaran kos siasatan yang
ditanggung oleh pihak berkuasa, reformasi tata kelola dan tadbir urus termasuk mewujudkan dasar anti-rasuah dan latihan integriti korprat, serta kerjasama penuh dengan pihak berkuasa sepanjang tempoh perjanjian. DPA lazimnya berkuat kuasa antara dua hingga lima tahun, dengan kemungkinan batal
sekiranya terma tidak dipatuhi.

Sekiranya berlaku pelanggaran syarat, pendakwaan boleh dimulakan semula terhadap syarikat terbabit. Namun, ruang diberikan kepada syarikat untuk memberikan penjelasan munasabah dan memohon pindaan terhadap syarat tertentu, tertakluk kepada budi bicara Pendakwa Raya.

Menjawab Kebimbangan Awam

Antara kebimbangan yang sering dibangkitkan ialah persepsi pilih kasih, seolah- olah hanya syarikat tertentu diberikan peluang DPA. Untuk mengelakkan persepsi ini, kerajaan akan membangunkan garis panduan perundangan yang jelas, meliputi kriteria kesalahan yang layak, prinsip pemilihan dan syarat pematuhan yang wajib dipenuhi. Garis panduan ini akan memastikan pelaksanaan DPA telus, berstruktur dan bebas daripada unsur pilih kasih.

Selain itu, peranan mahkamah turut dipertimbangkan. Walaupun cadangan awal tidak memberi peranan substantif kepada mahkamah, pengalaman di luar negara menunjukkan mahkamah boleh memainkan fungsi penyeliaan untuk memastikan kepentingan awam terpelihara. Perkara ini akan diteliti dengan mendalam sebelum dimuktamadkan.

Pemantauan dan Penguatkuasaan

Pelaksanaan DPA akan dipantau oleh agensi penguat kuasa yang berkaitan serta pihak ketiga bebas seperti juruaudit atau badan pemantau yang dilantik. Laporan pematuhan perlu dikemukakan secara berkala kepada Pendakwa Raya, bagi memastikan komitmen yang dipersetujui benar-benar dilaksanakan.

Secara keseluruhan, pengenalan DPA di Malaysia merupakan langkah progresif yang mengimbangi keperluan menghukum pesalah korporat dengan kepentingan memulihkan sistem ekonomi, melindungi mangsa dan memelihara keyakinan awam terhadap sistem perundangan.

Melalui pelaksanaan yang telus, berintegriti dan berpandukan garis panduan yang jelas, DPA mampu menjadi instrumen penting dalam agenda negara membanteras rasuah, memperkukuh tatakelola, serta memastikan keadilan dapat ditegakkan dengan lebih menyeluruh.



*Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin adalah Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.







#Tatacara Perjanjian Penangguhan Pendakwaan #DPA #SPRM